Categories
AGENSI SELANGOR

PKP penuh: Tenaga pengajar agama lega dapat bantuan makanan

SHAH ALAM, 15 JUN: Tenaga pengajar agama negeri ini menarik nafas lega dan bersyukur menerima makanan asas sumbangan Kerajaan Selangor.

Pemegang tauliah al-Quran berkata bantuan tersebut mampu menjimatkan perbelanjaan dapur kerana berdepan masalah kewangan sejak perkhidmatan dihenti sementara susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya.

Dalilah Ahmad. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pendapatan saya terjejas hampir 90 peratus sepanjang Covid-19 kerana tidak dapat keluar mengajar al-Quran seperti biasa. Ketika ini saya hanya bergantung kepada bayaran individu yang minta diajar secara dalam talian.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyediakan bantuan dinanti selama ini,” kata Dalilah Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau antara 280 asatizah berdaftar di bawah Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Petaling yang menerima manfaat berkenaan hari ini.

Abdullah Abdul Shukor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, guru tahfiz Abdullah Abdul Shukor berkata perkara terbabit mencerminkan keprihatinan Kerajaan Selangor terhadap semua tanpa mengira status kependudukan individu.

“Sebagai salah seorang perantau yang mencari rezeki di negeri ini amat menghargai bantuan diberi. Mereka (Kerajaan Negeri) sedar dalam tempoh pandemik, ramai individu hilang pekerjaan ditambah pula dengan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.

Categories
SELANGOR

PKP penuh: Polis Selangor keluar 2,251 kompaun ingkar SOP

SHAH ALAM, 15 JUN: Polis Selangor mengeluarkan 2,251 kompaun atas pelbagai kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan penuh fasa pertama bermula 1 Jun.

Ketua polis negeri berkata tiga kesalahan utama ialah gagal mematuhi penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan tidak mengimbas MySejahtera, lapor Berita Harian.

“Kompaun ini dalam tempoh 13 hari sehingga 13 Jun. Kesalahan yang paling banyak ialah tiada penjarakan fizikal, iaitu 541 kompaun.

“Kemudian diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka 523 kompaun, tidak mengimbas kod QR MySejahtera sebanyak 238 kompaun,” kata Dato’ Arjunaidi Mohamed semalam.

Menurut Arjunaidi berdasarkan penguatkuasaan pemantauan sepanjang tempoh terbabit, kebanyakan penduduk Selangor mematuhi SOP.

“Hanya segelintir penduduk Selangor masih gagal, ingkar dan mengambil mudah, seperti SOP yang mudah iaitu penjarakan fizikal dan pelitup muka.

“Sepatutnya semua orang sudah faham tetapi masih ada yang ambil mudah dengan tidak memakai pelitup muka dan berkumpul. Ada juga majikan gagal menentukan agar pekerja merekod kehadiran atau mengimbas MySejahtera,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: PKP penuh tidak bermakna jika banyak syarikat terus beroperasi

KUALA SELANGOR, 6 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuat kuasa ketika ini bagi membendung penularan Covid-19 hanya sia-sia jika banyak syarikat dibenarkan beroperasi.

Justeru, Dato’ Menteri Besar menggesa kerajaan menilai semula kelulusan itu kerana dibimbangi mengundang situasi lebih buruk selain meruntuhkan sistem perkhidmatan kesihatan negara.

“Istilah ini (PKP penuh) sebenarnya langsung tak wujud malah terasing dari realiti kerana mereka (kerajaan) benarkan banyak institusi serta organisasi bergerak yang akhirnya sedikit sebanyak menimbulkan kecelaruan.

“Perkara ini perlu diluruskan kembali supaya tidak memberi ancaman terhadap keselamatan dan sistem kesihatan. Kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) sudah lebih 100 peratus, sudah tentu hospital tidak boleh menanggung kalau aktiviti ini terus berjalan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas turun padang meninjau Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Dewan Negeri (DUN) Bukit Malawati Juwairiya Zulkifli.

Kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun selepas mengambil kira jumlah kes harian melebihi 8,000.

Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan Majlis Keselamatan Negara.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Letak kenderaan di lokasi sesuai, mudahkan kutipan sampah

SHAH ALAM, 5 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) meminta penduduk negeri ini meletak kenderaan di kawasan betul dan teratur bagi memudahkan kutipan sampah domestik dan pukal di kawasan kediaman.

Pengarah urusannya berkata pertambahan kenderaan di persekitaran rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ada kalanya menghalang laluan lori kompaktor dan lori armrol untuk melakukan kerja berkaitan.

“Selama empat hari selepas kerajaan menguatkuasakan PKP, kita dapati jumlah kenderaan meningkat dengan ketara memandangkan kebanyakan pekerja bertugas dari rumah.

“Justeru, kita harap semua bekerjasama supaya pemandu lori KDEBWM dapat masuk khususnya ke kawasan sempit seperti flat, pangsapuri dan perumahan berstrata,” kata Ramli Mohd Tahir ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau menjangka penjanaan sisa harian dari kawasan perumahan di negeri ini meningkat berbanding premis perniagaan sepanjang tempoh dua minggu ini.

“Memandangkan orang ramai tidak dibenarkan makan di kedai, jadi kesempatan berada di rumah dimanfaatkan untuk memasak dan menempah makanan secara dalam talian sekali gus menghasilkan sisa yang banyak terutama pada hujung minggu.

“Untuk itu, kita menggesa masyarakat urus sisa dengan baik dan meletakkan ke dalam tong sampah di luar rumah pada awal pagi. InsyaAllah, kita cuba laksana tugas sebaiknya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP penuh: 366 permohonan dapat kelulusan operasi, 1,420 ditolak

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat semalam telah memperakui 366 permohonan surat kebenaran beroperasi dan pergerakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun 2021.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata agensi itu yang berperanan sebagai agensi pengesahan dalam sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) bagi sektor telekomunikasi dan internet, penyiaran serta pos dan kurier memaklumkan perakuan itu diberikan kepada sebahagian daripada 1,786 permohonan.

Daripada jumlah tersebut, 132 kelulusan melibatkan syarikat perkhidmatan telekomunikasi, 108 berkaitan penyiaran dan 126 berkaitan pos dan kurier.

SKMM berkata baki 1,420 permohonan ditolak kerana perkhidmatan bukan di bawah sektor komunikasi; perkhidmatan walaupun di bawah sektor komunikasi, namun bukan pemegang lesen atau menjalankan perkhidmatan perlu; atau tidak tersenarai sebagai vendor, pengedar atau ejen yang disahkan pemegang lesen.

“Untuk memastikan kelancaran proses pengesahan serta memastikan mereka yang benar-benar layak diberikan kebenaran beroperasi dan pergerakan dengan segera, MCMC memohon kerjasama semua pihak untuk memastikan status syarikat adalah tergolong dalam perkhidmatan perlu,” katanya.

SKMM memaklumkan, bagi mereka yang bukan pemegang lesen yang dikeluarkan suruhanjaya itu, syarikat perlu mendapat pengesahan pihak pemegang lesen yang berkaitan terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan melalui CIMS.

CIMS merupakan pusat sehenti yang diuruskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tujuan pengeluaran surat kebenaran beroperasi dan pergerakan semasa PKP kepada semua sektor industri yang dianggap sebagai perkhidmatan perlu, termasuk sektor komunikasi.

SKMM memaklumkan, proses kelulusan melalui CIMS bagi sektor di bawah pemantauan suruhanjaya itu dijalankan secara telus dan teliti bersandarkan matlamat meneruskan kesinambungan perkhidmatan perlu kepada rakyat serta mengelakkan penyalahgunaan surat kebenaran yang diberikan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa MITI akan bertindak sebagai kementerian pusat bagi memproses permohonan syarikat perkhidmatan perlu untuk beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh mulai 1 hingga 14 Jun.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

PKP penuh: Wakil rakyat hulur bantuan, ringan beban penduduk

SHAH ALAM, 3 JUN: Wakil rakyat di negeri ini mula bergerak menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas di kawasan masing-masing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sejak Selasa lalu.

Selain golongan kehilangan mata pencarian terutama yang berpendapatan harian, sumbangan turut disalurkan kepada mereka tidak dapat keluar kerana sedang dikuarantin berikutan dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak rapat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata pusat khidmatnya memperkenalkan program ‘Ziarah Lockdown’ dan ‘Ziarah Kuarantin’ sepanjang PKP penuh dengan menghantar pek makanan mengandungi beras, tepung, mihun dan kicap.

“Mungkin kali ini jumlah memerlukan bantuan lebih ramai kerana ada pertambahan pesakit Covid-19, seperti contoh ada 136 orang dikesan dijangkiti wabak (menerusi Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor).

“Mereka tidak boleh keluar membeli barang, kalau yang dirawat di hospital atau pusat kuarantin ahli keluarga pula perlu dibantu kerana menjadi kontak rapat dan menjalani kuarantin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

ADN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi turut menumpukan kawasan berlaku peningkatan wabak dan kumpulan pertama penerima membabitkan 13 keluarga yang terputus bekalan makanan di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Seksyen 16.

Mohd Najwan Halimi menyerahkan bantuan makanan kepaada salah satu daripada 13 keluarga yang terputus bekalan pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Flat PKNS Seksyen 16, Shah Alam. Foto Mohd Najwan Halimi

“Kita juga bantu mereka yang mencari rezeki sebagai penjaja kecil, ramai golongan itu terjejas kerana perniagaan tidak berjalan seperti biasa dan pendapatan tidak seberapa,” katanya.

Sementara itu, ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata pusat khidmatnya sudah mula menghubungi 400 orang dalam senarai kumpulan memerlukan bantuan yang dikumpulkan sejak PKP 1.0 dengan kebanyakannya bergaji hari seperti pemandu dan kelindan lori.

Lim Yi Wei membantu seorang warga emas untuk dibawa ke pusat pemberian vaksin menerusi program GoVax. Foto Lim Yi Wei

“Kami akan menghantar keperluan seperti makanan, lampin pakai buang serta susu untuk orang dewasa dan kanak-kanak selepas sahaja proses penelitian selesai.

“Sepanjang PKP penuh ini juga, kami melaksanakan program GoVax yang menyediakan pengangkutan membawa warga emas dan orang kurang upaya menerima vaksin di lima pusat pemberian vaksin berhampiran,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

ERL gantung sementara khidmat ke lapangan terbang

SHAH ALAM, 3 JUN: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menggantung semua perkhidmatan tren mulai Jumaat (esok) sehingga notis lanjut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Syarikat itu berkata keputusan diambil berikutan hampir tidak ada perjalanan udara serta bilangan pengguna perkhidmatan tren terhad sejak lebih setahun lepas.

“Purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69 peratus pada 2020 berbanding 2019. Dengan pelaksanaan PKP penuh, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89 peratus pada tahun ini.

“Bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kenyataan itu meminta mereka yang terpaksa melakukan perjalanan kerana perkara mustahak sepanjang tempoh PKP penuh mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan.

“Maklumat berhubung opsyen pengangkutan dari setiap stesen ERL dan kemas kini perkhidmatan boleh didapati menerusi www.KLIAekspres.com, Facebook serta Twitter KLIA Ekspres.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan lanjut sila hubungi pertanyaan pelanggan di talian 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang),” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PAKATAN gesa bantuan, moratorium tiga bulan bantu rakyat hadapi PKP penuh

SHAH ALAM, 29 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa pemberian bantuan dan moratorium kepada rakyat untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama 14 hari bermula 1 Jun.

Menerusi kenyataan media bersama tujuh ahli parlimen, Jawatankuasa Kos Sara Hidup menyokong keputusan Putrajaya melaksanakan PKP dengan syarat berikut:

1. Memberi bantuan sekali bayar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40)
2. Melaksanakan moratorium pinjaman bank selama 3 bulan
3. Melaksanakan rebat elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB)
4. Memastikan bekalan keperluan harian mencukupi
5. Memastikan harga barang keperluan tidak naik
6. Memastikan penghantaran barang keperluan ke destinasi tidak terhalang
7. Memastikan bantuan bakul makanan sampai kepada rakyat memerlukan

Ahli Jawatankuasa Kos Sara Hidup PAKATAN dianggotai Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim (KEADILAN), Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hassanuddin Mohd Yunus (Amanah) dan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen (DAP).

Turut menganggotai Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail (KEADILAN), Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar (DAP), Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin (DAP) dan Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin (DAP).

Categories
AGENDA NASIONAL

Laksana PKP penuh perlu ikut data tepat – Anwar

PETALING, 29 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh perlu mengikut data yang tepat dan cepat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang berkata semua pihak perlu diberi keizinan untuk mengumpulkan maklumat berkenaan bagi mengenal pasti lokaliti terlibat dengan penularan wabak Covid-19 secara lebih tepat.

“Pelaksanaan PKP penuh melibatkan kluster tertentu adalah lebih efektif. Kalau tidak kita akan ambil rambang sahaja.

“Kita minta supaya diberi keizinan sama ada kerajaan, bukan kerajaan, pusat kajian atau pertubuhan antarabangsa untuk kumpulkan maklumat ini,” katanya mengenai pelaksanaan PKP penuh susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Petaling di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini semalam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pembangkang juga memainkan peranan menyediakan pasukan sendiri bagi mengumpulkan data Covid-19 dan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

“Sekiranya data itu dikongsi, kita dapat membuat unjuran saintifik berdasarkan kaedah sains dan membuat andaian berhubung sebarang kemungkinan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sektor ekonomi dan sosial ditutup, perintah kawalan penuh mulai 1 Jun

SHAH ALAM, 28 MEI: Kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh dua minggu mulai 1 Jun.

Perkara itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan
Covid-19 yang dipengerusikan perdana menteri petang tadi

“Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Kenyataan itu menyebut keputusan mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 melebihi 8,000 kes sehari, kes aktif lebih 70,000 dan angka korban yang semakin meningkat.

Tambahnya, kewujudan varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dan pantas turut mempengaruhi keputusan tersebut.

“Dengan peningkatan kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19 juga semakin terhad,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri berkata perintah kawalan penuh fasa kedua dengan pembukaan semula beberapa sektor akan dibuat jika tempoh dua minggu pertama berjaya mengurangkan kes wabak.

Jelasnya, fasa kedua dilaksanakan dalam tempoh empat minggu sebelum memasuki fasa ketiga iaitu Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini.

“Keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya tertakluk kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan perkembangan kes harian dan kapasiti hospital untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi terkesan akan diperincikan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Rebakan virus makin parah, wajarkah PKP penuh?

Oleh Muammar Eusoffi Zainol Abidin

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Sanggupkah anda melakukan ‘lockdown’ atau kawalan kendiri? Dengan lonjakan kes harian Covid-19 sehingga melebihi 6,000 kes sehari, mungkin sudah tiba masanya masyarakat mengambil insiatif sendiri, untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Hari demi hari data menunjukkan peningkatan kes mendadak, ditambah pula dengan varian-varian baharu yang belum dapat difahami sepenuhnya oleh pakar-pakar kesihatan, termasuk kes tertinggi sebanyak 6,806 semalam.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Prof Madya Dr Azimatun Noor Aizuddin berkata, PKP kendiri antara pilihan terbaik ketika ini bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan impak negatif ekonomi.

Pensyarah Perubatan Kanan Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, semua pihak sedia maklum kesan risiko yang akan berlaku sekiranya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara sepenuhnya, terutama sektor ekonomi.

“Peranan setiap pihak amat penting ketika ini, dalam menentukan kemenangan melawan pandemik Covid-19

Anggota polis memeriksa dokumen pengguna jalan raya ketika melakukan sekatan di Plaza Tol Gombak bagi memastikan orang awam tidak melanggar Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) ketika tinjauan pada 7 Mei 2021. Foto BERNAMA

“Kerajaan sebagai pemerintah juga sentiasa mempertimbangkan baik dan buruk dalam menjalankan tindakan yang diambil, selain rakyat sama-sama membantu dan memainkan peranan masing-masing demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Di platform media sosial pula kini turut trending membabitkan tanda pagar ‘Road to 10k (10,000)’ di Twitter, yang merujuk kepada 10,000 kes sehari dengan luahan kekecewaan warganet berhubung perkembangan pandemik itu, yang melanda negara ini.

Mengulas lanjut Azimatun berkata, SOP yang digariskan bukan semuanya dikategorikan norma baharu, tetapi norma yang sepatutnya dan ditambah baik mengikut kesesuaian semasa dan keadaan dengan virus Covid-19 ini.

“Virus ini sangat merbahaya dan SOP yang ditetapkan perlu diwajibkan dengan undang-undang, memandangkan terdapat segelintir pihak yang mengambil ringan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam hantaran di Twitter menyarankan supaya, orang ramai melaksanakan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self lockdown’ bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Antara saranan itu ialah mencadangkan, setiap orang hanya keluar membeli barangan keperluan seminggu sekali, isi minyak kenderaan sehingga tangki penuh dan solat berjemaah lima waktu bersama ahli keluarga di rumah.

Selain itu, KKM turut mencadangkan supaya mengoptimumkan pembelian dalam talian dan tidak menerima kunjungan tetamu di rumah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil dan Sederhana (SAMENTA) bahagian tengah Datuk William Ng berkata, PKP penuh yang dicadangkan sesetengah pihak akan menyebabkan beribu syarikat kecil dan sederhana (SME) gulung tikar, yang akan menyebabkan berlakunya satu lagi pusingan pembuangan pekerja.

“Kerosakan kepada ekonomi kita tidak akan dapat dipulihkan, pada ketika kita sedang bersedia untuk pemulihan pada ketika pelaksaan vaksinasi kebangsaan dilakukan.

Suasana lengang kedai dobi layan diri 24 jam ketika tinjauan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Kuala Lumpur pada 14 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Kita bersatu bersama-sama persatuan perdagangan lain seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) dan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EUROCHAM), menolak kepada PKP sepenuhnya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat untuk Pendidikan Pasaran (CME) Dr Carmelo Ferlito berkata, adalah dinyatakan bahawa PKP sepenuhnya boleh menghentikan penularan virus itu dan oleh sebab itu ia adalah suatu yang munasabah untuk mengorbankan sesuatu untuk sesuatu yang lebih baik.

“Bagaimanapun, telah dibuktikan oleh banyak kajian saintifik (dan pemerhatian stastistik mudah) yang PKP penuh tidak berkesan, kesan terbaiknya hanyalah, ia melambatkan proses itu. Tiada negara Barat berjaya mengatasi Covid-19 dengan penutupan penuh. Mereka telah mencuba dan ia gagal,” katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu mengenakan semula pengenalan PKP bagi mencapai kejayaan seperti PKP pertama dikenakan pada Mac tahun lepas.

“Kita perlu memastikan orang ramai duduk di rumah mereka. Tiada sepatutnya ada sebarang alasan untuk adanya perhimpunan. Kekal jarak antara satu sama lain perlu dikenakan walaupun dalam kalangan barisan hadapan.

“Walaupun apa pun yang menjadi penyebab kepada peningkatan pandemik masa kini, apa yang perlu di lakukan ialah cara untuk mengatasinya, cubaan untuk mengurangkan jumlah kes baharu itu akan melibatkan banyak peruntukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Mahathir berkata, yang program vaksinasi perlu dipercepatkan lagi dan orang ramai perlu menerima apapun jenis vaksin yang telah digunakan di negara lain dengan banyak dan dikebanyakan negara, dengan hanya satu suntikan vaksin sahaja dapat mengurangkan jumlah kes baharu, tetapi mereka yang telah divaksinkan juga perlu untuk diuji dan diuji semula.

Gesaan itu dipersetujui oleh Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) Shahir Adnan, yang mahu PKP 3.0 diperketatkan seperti mana PKP 1.0, agar kes harian dapat diturunkan dengan drastik dan rakyat kini tertekan dengan PKP yang berlarutan menyebabkan kes harian tidak turun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan makanan jika PKP penuh, tingkat saringan kesan kes tiada gejala

SHAH ALAM, 20 MEI: Bantuan makanan kepada golongan terkesan mesti diberikan sekiranya mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh.

Cadangan dikemukakan Ahli Kumpulan Penasihat Rangka Kerja Kesiapsiagaan Pandemik Influenza Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Beliau berkata pasukan bantuan makanan perlu diwujudkan untuk meyakinkan rakyat bekalan tidak terputus sepanjang PKP.

Pakar kesihatan awam itu turut mencadangkan penggunaan ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) di klinik kerajaan serta memberi subsidi kepada klinik swasta di Lembah Klang untuk menjalankan saringan.

“Ujian komuniti berfokus atau secara beramai-ramai perlu dipertingkatkan untuk mengesan kes tiada gejala,” kata bekas timbalan ketua pengarah (kesihatan awam) Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Facebook pada 18 Mei.

Tambah Dr Lokman Hakim, Program Suntikan Vaksin Covid-19 Negara perlu dipinda kerana tiga perempat kes berlaku di Lembah Klang.

“Keupayaan barisan hadapan juga perlu dipertingkatkan tiga kali ganda khususnya di Lembah Klang dan bandar utama lain untuk mengelak kesihatan awam lumpuh.

“Justeru kerajaan persekutuan perlu menyediakan pelan jangka panjang kawalan Covid-19 yang mungkin berlanjutan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan PKP penuh dalam bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dato’ Seri Amirudin Shari bersedia menuruti arahan sedemikian namun menegaskan pertimbangan menyeluruh kepada aspek lain termasuk kesihatan mental serta kehilangan pendapatan.

Beliau menegaskan nyawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan berbanding penjanaan ekonomi tetapi PKP harus diiringi pertimbangan lain demi manfaat semua pihak.