Categories
AGENDA NASIONAL

Perolehan MBI, PKNS sedikit turun akibat PKP

SHAH ALAM, 27 OGOS : Dua anak syarikat Kerajaan Negeri mencatatkan nilai perolehan agak menurun pada tahun lalu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mencatatkan perolehan keuntungan sebanyak RM108.8 juta pada tahun lalu berbanding RM417.4 juta (2019) dan RM120.3 juta (2018).

Manakala, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mencatatkan nilai perolehan sebanyak RM510.2 juta pada tahun lalu, RM659.7 juta (2019) dan RM613.2 juta (2018).

“Jika kita lihat untuk ketiga-tiga tahun, pada 2020 nilai perolehan kedua-dua anak syarikat ini agak menurun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedikit sebanyak agak menjejaskan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Jeram Shaid Rosli mengenai prestasi anak syarikat Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mengulas mengenai kos operasi anak syarikat itu, Amirudin berkata kos itu masih mampu ditanggung dan tidak perlu menjual sebarang aset.

“Kos operasi masih mampu ditanggung daripada hasil wang tunai yang masuk. Idea asal penubuhan anak syarikat adalah untuk meringankan tugas Kerajaan Negeri dan memberi nilai yang bagus,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPK agih 5,800 bantuan makanan, ringan beban golongan terjejas PKP

SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyumbangkan 5,800 bakul makanan berupa keperluan asas seperti beras, gula, minyak dan telur kepada golongan terjejas susulan penularan Covid-19.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pihaknya menyedari kesukaran dihadapi mereka yang hilang mata pencarian disebabkan sekatan pergerakan dan ekonomi.

“Menjadi tanggungjawab MPK untuk peka kebajikan penduduk serta warga kerjanya kerana mereka merupakan sebuah keluarga perlu dijaga dan disokong dalam menghadapi wabak ini,” katanya.

Ahmad Fadzli berkata pihaknya turut dibantu agensi lain iaitu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menyediakan 500 set bantuan dan 300 bakul disumbangkan Klanggroup Holdings Sdn Bhd.

“Kerjasama ini menterjemahkan usaha kerajaan bersama pihak lain untuk meringankan beban rakyat dalam saat-saat sukar,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Advance selamatkan 50,000 individu hampir hilang kerja

SHAH ALAM, 24 OGOS: Program Selangor Advance menyelamatkan pekerjaan 50,000 individu daripada 900 syarikat yang mengalami masalah aliran tunai akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang diperkenal dalam Pakej Selangor Prihatin sebelum ini diteruskan menerusi Pakej Kita Selangor dengan memberi kemudahan tunai kepada syarikat terbabit untuk terus beroperasi ketika penularan Covid-19.

“Selangor Advance bantu 900 syarikat dan lebih 50,000 pekerja yang berkemungkinan diberhentikan kerja kalau aliran kewangan tidak dibantu,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab serentak soalan empat Ahli Dewan Negeri yang meminta penjelasan berhubung usaha kerajaan membantu syarikat terjejas akibat penularan Covid-19 dan isu berkaitan ekonomi negeri.

Soalan dikemukakan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang), Dr Daroyah Alwi (PPBM-Sementa), Lau Weng San (PAKATAN-Banting) dan Dato’ Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong).

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan pelbagai inisiatif diperkenal menerusi beberapa pakej rangsangan sejak tahun lalu dapat memastikan ekonomi negeri ini terus bergerak dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut Amirudin, transformasi pendigitalan perniagaan Kerajaan Negeri seperti membantu lebih 70,000 syarikat PKS yang berniaga dalam talian di platform terkenal.

“Hasil daripada RM7 juta dibelanjakan berjaya mencatat jualan langsung RM100 juta dan memberi kesan ekonomi melebihi RM1 bilion,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Bangkit perah kemanisan, PLATS bantu luaskan pasaran air tebu

Foto AHMAD ZAKKI JILAN

SHAH ALAM, 22 OGOS: Fikirannya kusut. Perniagaan minyak pelincir dan rawatan enjin motokar milik Wan Muhd Syafis Ishak, 42, tiba-tiba tunggang-langgang.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytihar pada Mac tahun lalu, kerugiannya mencecah RM25,000 dalam tempoh lima bulan.

Sebelum itu, lebih 1,000 tempahan dalam talian diterima saban bulan. Kini merudum kepada 200 sahaja akibat sekatan perjalanan.

Beliau terpaksa mengorek wang simpanan untuk membayar gaji pekerja dan sewa pejabat. Lebih RM5,000 dikeluarkan setiap bulan dalam tempoh itu.

Atas saranan rakannya, beliau beralih kepada perniagaan air tebu. Tanpa disangka-sangka, jualannya melonjak. Lebih-lebih lagi dengan bantuan Platform Selangor (PLATS).

Wan Muhd Syafis memulakan perniagaan minyak enjin kenderaan sejak 2016 dengan dibantu lima pekerja. Produk itu mendapat sambutan baik dalam talian.

Dalam sebulan, purata jualan bulanan dianggar RM30,000. Jumlah meningkat kepada RM40,000 pada musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

Dua orang pekerja mengangkat tebu yang baru sampai di di kedai mereka di Bandar Saujana Putra pada 24 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sebaliknya sejak PKP dikuat kuasa di seluruh negara, hendak dapat RM7,000 sebulan pun payah. Tempahan hanya berlegar 200 tempahan minyak berkenaan.

“Tabiat orang kita, selalunya selenggara kereta cuma bila nak jalan jauh sahaja seperti balik kampung atau bercuti.

“Bila PKP dibuat, tidak boleh bergerak ke mana-mana. Hari raya pun tidak boleh balik kampung. Sebab itu, ramai tidak selenggara kereta dan jualan pun merosot teruk,” katanya kepada Selangorkini.

Semakin lama wang simpanan beliau semakin menyusut bagi menggerakkan perniagaan minyak hitam.

Namun, pilihan Wan Muhd Syafis terbatas. Berniaga satu-satunya sumber rezeki bapa kepada dua anak itu untuk menampung keluarga.

Pinjam mesin

Dalam sibuk untuk menyelamatkan perniagaan sedia ada, rakannya dikenali sebagai Pok Din mencadangkan beliau menjual air tebu dalam botol.

Beliau menyaksikan sendiri jualan air tebu Pok Din yang terletak berdekatan kedainya laris sepanjang Ramadan tahun sebelumnya.

Namun, Pok Din lebih berminat dengan perniagaan restoran sahaja. Justeru beliau meminjam mesin pemerah tebu. Pok Din turut mengajarnya selok belok berniaga air tebu termasuk cara mendapatkan bekalan.

Berbekal bantuan itu, Wan Muhd Syafis tekad untuk bangkit dengan memulakan perniagaan pada Julai 2020 atas jenama Air Tebu Kawwjus. Mulanya, beliau cuma berniaga di tepi jalan dan beberapa kedai sekitar Saujana Putra, Kuala Langat.

“Mula-mula buat dalam 20 hingga 30 botol sehari dan habis. Kemudian tambah 50 botol lagi, juga habis. Tambah lagi 100 botol, juga habis.

“Sekarang saya boleh jual kira-kira 4,500 hingga 5,000 botol seminggu sama ada jualan terus atau menerusi tujuh ejen di Lembah Klang,” katanya.

Air Tebu Kawwjus mendapat sambutan berikutan faktor kesegarannya selain adanya pilihan perisa termasuk lemon.

Wan Muhd Syafis Ishak menggunakan mesin khas untuk membuang kulit tebu di kedainya di Bandar Saujana Putra pada 24 Julai 2021.
Beliau menyertai Platform Selangor (PLATS) selepas Kerajaan Negeri memperluaskan program itu kepada penjaja kecil dan peruncit. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Lantaran mesin yang dipinjam tidak mampu menampung pengeluaran, Wan Muhd Syafis melabur RM45,000 untuk membeli mesin pengisar dan pemerah berkuasa tinggi pada awal tahun ini.

Permintaan Air Tebu Kawwjus mendapat sambutan baik, lebih-lebih lagi penyertaannya dalam PLATS banyak membantu promosi produknya sekali gus pasarannya kian meluas.

“Saya mula daftar PLATS semasa mula-mula diperkenal. Ramai juga pelanggan yang membeli. Bagusnya PLATS mudah daftar, berstruktur dan paling penting percuma,” katanya.

PLATS adalah sebuah program anjuran Kerajaan Negeri untuk membantu peniaga membuat jualan dalam talian. Pelanggan mudah menjejaki perniagaan atau produk melalui laman sesawang itu.

Berikutan permintaan tinggi, Wan Muhd Syafis perlu memastikan bekalan bahan mentah yang konsisten. Beliau memerlukan kira-kira lima tan tebu seminggu. Bekalan diperoleh dari Kedah dan Negeri Sembilan.

“Dahulu memang tanaman tebu besar-besaran terdapat di Perlis tetapi sekarang tidak lagi,” katanya.

Namun, ada kala Wan Muhd Syafis berdepan situasi terputus bekalan berikutan pengusaha menanam dalam jumlah kecil, sekitar satu atau dua ekar sahaja.

Justeru, beliau bercadang membuka kilang lagi di Negeri Sembilan bagi memudahkan urusan mendapat bekalan tebu untuk dihantar ke kilangnya di Saujana Putra.

Beliau juga berhasrat mempertingkat kemudahan kilangnya sesuai dengan piawaian untuk mendapatkan pensijilan halal suatu hari kelak.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: KPDNHEP keluar 839 kompaun nilai RM4.5 juta

BATU KAWAN, 21 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan 839 kompaun kesalahan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) membabitkan nilai RM4.5 juta dalam pemeriksaan di seluruh negara sejak 13 Mei lepas.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata tindakan kompaun diambil dalam pemeriksaan penguatkuasa KPDNHEP di 732,893 premis di seluruh negara sehingga semalam.

“Saya ingin tekankan bahawa mengeluarkan kompaun bukanlah keutamaan KPDNHEP. Ia tindakan terakhir selepas advokasi yang diberikan terlebih dahulu tidak dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan dan pemeriksaan premis perniagaan di Design Village hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh sama, pihaknya turut memberi amaran dan nasihat kepada pemilik 8,410 premis perniagaan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan semasa pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya secara dasar, rata-rata peniaga di negara ini amat mematuhi SOP norma baharu yang ditetapkan dengan kadar pematuhan sehingga 98.7 peratus.

Bagaimanapun, Hasnol Zam Zam mengakui terdapat lebih satu peratus golongan yang masih berdegil dan culas dalam mematuhi SOP itu walaupun telah berkali-kali dinasihatkan.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor rancang buka kawasan pelancongan, tempat bersejarah kepada pelawat

PETALING JAYA, 21 OGOS: Kerajaan Negeri meneliti membuka beberapa kawasan pelancongan dan tempat bersejarah kepada pelawat apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata ia sebagai usaha membantu merancakkan semula sektor pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kita juga merancang untuk menganjurkan beberapa program kemasyarakatan apabila PKP dilonggarkan seperti pertandingan permainan wau dan gasing.

“Setakat ini penganjuran aktiviti dalam talian seperti Senandung Aidilfitri, Rentak Selangor dan anugerah Hadiah Sastera Selangor dapat sambutan menggalakkan,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.

Pada 1 Mac, Kerajaan Negeri julung kali menganjurkan Program Rentak Selangor secara maya dengan menampilkan 10 jenis kebudayaan.

Program yang bersiaran selama satu jam di Warisan Hall Studio Sijangkang, Kuala Langat mempersembahkan tarian pooja, muzik gambus, tarian kuda dan muzik cempuleng.

Program itu juga menjadi platform anak untuk seni untuk membuat persembahan dalam tempoh PKP.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

200,000 keluarga terjejas PKP terima bakul makanan negeri

GOMBAK, 15 OGOS: Kira-kira 200,000 keluarga yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat bantuan bakul makanan di bawah dua Pakej Kita Selangor tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan berupa keperluan asas seperti beras, gula dan minyak masak diagihkan kepada 1,000 hingga 4,000 keluarga di setiap 56 Dewan Undangan Negeri.

“Dianggarkan 150,000 hingga 200,000 keluarga termasuk mereka dijangkiti Covid-19 dibantu dengan pemberian bakul makanan dibuat setiap minggu malah setiap hari di sesetengah kawasan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan makanan kepada wakil penduduk sekitar Gombak di sini hari ini.

Bantuan disumbangkan Tenaga Nasional Berhad, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Lions Club.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian kesan pendemik terhadap industri seni diangkat kepada Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 5 OGOS: Sebanyak 90 peratus daripada 372 pekerja industri seni kreatif seluruh negara didapati terjejas pendapatan sejak lebih setahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Jumlah tersebut diperoleh hasil kaji selidik pekerja industri seni yang dijalankan Galeri Shah Alam secara dalam talian antara 24 Jun hingga 5 Julai lalu yang disertai 187 penggiat industri di Selangor.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan angka sebenar penggiat industri di negeri ini yang hilang mata pencarian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kaji selidik juga menunjukkan 52 peratus daripada mereka mempunyai simpanan kurang lima bulan manakala 22 peratus tiada simpanan.

Sementara itu, 57 peratus daripada pemain industri pernah menerima bantuan makanan atau wang dan 43 peratus lagi tidak mendapat sebarang inisiatif.

Berdasarkan laporan sama, sebanyak 58 peratus memerlukan bantuan geran karya dan kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Laporan itu juga menyebut hasil dapatan kaji selidik akan diserah kepada Kerajaan Selangor serta disebarkan.

Seramai 123 responden yang menyertai kaji selidik itu bergiat dalam seni tampak moden, jurugambar atau jurukamera (87), pengajar atau jurulatih seni (62), pereka multimedia dan grafik (52), pengurus acara seni serta lain-lain (29).

Artis seni kraf pula seramai 26 orang, penjual atau pereka barangan seni (21), pengurus seni (20), pengkritik atau penulis seni dan pekerja seni persembahan masing-masing (15) serta pengurus galeri atau ruang seni (13).

Sebanyak 50 peratus daripada mereka pekerja bebas, sepenuh masa (40 peratus) dan selebihnya pekerja sambilan.

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Industri fesyen berkembang lebih maju ketika PKP dengan e-dagang

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Perang melawan pandemik Covid-19 banyak mengubah kehidupan masyarakat di negara ini, ada yang menjadi penganggur, tidak terkecuali peniaga dan usahawan, dengan ada yang terpaksa ‘gulung tikar’.

Antara yang terkesan ialah industri fesyen dan kebanyakan terpaksa menutup butik serta premis kerana beban kewangan kos sewa dan stok tinggi meskipun tidak beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, masih ada yang tidak mudah berputus asa, sebaliknya penerokaan platform ekonomi digital atau e-dagang menjadi batu loncatan untuk membolehkan industri itu dapat bertahan serta berkembang di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Selain itu, keberkesanan media sosial termasuk Facebook, Instagram dan Tiktok menyaksikan ramai usahawan baharu mengiklan, mempromosi serta memasarkan produk di alam maya.

Antara yang menyedari betapa pentingnya platform ekonomi digital ketika pandemik ialah usahawan fesyen muslimah, Faridah Hanom Samsudin yang memanfaatkan platform maya untuk mengembangkan penawaran produk berasaskan muslimah.

Beliau yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zara Awliyah Sdn Bhd itu mengakui bahawa kuasa media sosial itu sedikit sebanyak membantu menstabilkan perniagaannya ketika krisis pandemik yang masih berlarutan ini memandangkan masyarakat banyak menghabiskan masa dalam media sosial setiap hari.

“Saya tidak dapat menafikan cara konvensional lebih bagus sebelum pandemik kerana kebanyakan pelanggan lebih suka mencuba sendiri pakaian di premis atau butik sebelum membelinya.

“Namun bagi menyesuaikan dengan norma baharu ini, ekonomi digital lebih mudah untuk diakses kerana pelanggan tidak perlu lagi keluar dari rumah namun dapat membeli-belah menerusi internet,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menurut Faridah Hanom, menerusi e-dagang dan media sosial, peniaga bagaikan mendapat semangat untuk tampil penuh berkeyakinan, selain dapat menjangkau pelanggan di mana-mana sahaja mereka berada dengan menggunakan gajet mereka.

“Selain itu, ekonomi digital dilihat berpotensi mengembangkan kreativiti serta inovasi usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain membuka peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat dalam situasi genting ini,” katanya.

PELAN SANDARAN KETIKA KRISIS

Faridah Hanom yang berkecimpung dalam dunia fesyen muslimah sejak lapan tahun lalu berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya turut berhadapan dengan situasi panik dan buntu apabila kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh pada Mac 2020 untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa menutup premis perniagaan selama tiga bulan termasuk ketika bulan Ramadan.

Pada kebiasaannya sebelum pandemik, pihak beliau banyak mendapat tempahan telekung sebulan sebelum Ramadan sehinggalah kepada hampir Hari Raya Haji.

“Jualan kami memang menurun sebanyak 20 peratus ketika bulan pertama PKP kerana pada masa itu kami panik dan masih lagi dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu, terutamanya dari segi mengagihkan semula tenaga kerja, pemindahan stok untuk pembungkusan serta tempoh penghantaran terjejas.

“Mujur saya pernah mempelajari selok-belok perniagaan daripada mereka yang arif sebelum ini dan saya mengamalkan ilmu itu untuk kekal fokus kepada apa yang perlu dilakukan, termasuk menukarkan kepada perniagaan dalam talian 100 peratus berbanding 80 peratus sebelum PKP,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya menggerakkan kira-kira 1,800 agen di seluruh negara, termasuk Brunei, Singapura dan Filipina, untuk meningkatkan kadar jualan menerusi media sosial dan menjalin hubungan baik dengan pelanggan ketika PKP.

“Jika sebelum ini ‘Facebook live’ sekali sehari dan keluar berjumpa dengan pelanggan namun ketika PKP, kami meningkatkan bilangan ‘Facebook live’ itu sebanyak lima hingga enam kali.

“Oleh kerana kebanyakan promosi telekung kami sebelum ini lebih kepada persediaan untuk jemaah umrah dan haji, namun sejak PKP promosi itu tidak dapat dilaksanakan maka kami gantikan dengan promosi berkonsepkan hadiah kepada yang tersayang.

“Kami turut menawarkan pembungkusan yang cantik untuk menarik perhatian pelanggan menerusi ‘Facebook Live’ dan membuat peraduan serta kempen eksklusif untuk meningkatkan jualan kami ketika PKP,” katanya yang menambah hasil jualan meningkat sebanyak 20 peratus pada bulan Januari hingga Jun lalu.

Faridah Hanom berkata komunikasi sesama agen, dropship dan kakitangan pengurusan menerusi media sosial sangat penting kerana meskipun tidak dapat bersemuka untuk merancang hala tuju, namun pengurusan stok dan perkhidmatan pelanggan ketika PKP dapat dilakukan.

“Dalam perniagaan fesyen secara dalam talian, kerjasama dengan semua pihak amat penting dan saling bantu-membantu dapat menjalinkan hubungan sesama industri kerana jika dalam keadaan kesusahan, senang untuk meminta dan menghulurkan bantuan antara satu sama lain.

“Selain itu, saya sentiasa memastikan ada pelan sandaran jika berlaku sesuatu krisis. Contoh, jika ada pembekal tidak dapat menghantar kain dari Indonesia dan Korea dalam masa yang ditetapkan, kami akan berusaha untuk membeli kain dahulu daripada kedai tempatan lain untuk menjahit telekung kami,” katanya.

Faridah Hanom berkata walaupun kebanyakan usaha terpaksa menghadapi pelbagai dugaan ketika PKP, namun ia tidak harus dijadikan sebagai halangan sebaliknya harus dilihat sebagai ‘hikmah’ dan ujian dalam perjalanan hidup.

“Setiap perniagaan mesti ada pasang dan surutnya, jika terpaksa ditutup akibat PKP, tidak mengapa, bangkit semula dan mulakan kembali dengan modal kecil menerusi platform ‘e-commerce’.

“Belajar melalui pengalaman dan tidak berputus asa, jika mereka baru mahu berjinak-jinak dalam keusahawanan, jadilah dropship dulu kumpul pengalaman barulah mengembangkan perniagaan mereka secara berperingkat,” katanya.

KEKALKAN TENAGA KERJA KETIKA PKP

Pengarah Eksekutif Perancangan Strategik Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SK), Mohammad Muhaimin Aminuddin berkata, pihaknya turut terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melonjakkan ekonomi digital namun masih kekal positif dalam perniagaan mereka.

Beliau berkata, walaupun ketika PKP banyak sektor ekonomi terjejas, namun pihaknya mampu menjana keuntungan sehingga 20 peratus lebih tinggi daripada sebelum PKP pada tahun lepas.

“Sepanjang tempoh PKP, sebanyak 37 cawangan butik SK terpaksa ditutup di seluruh negara, namun kami berusaha menggerakkan kesemua kakitangan cawangan untuk dijadikan dropship sepanjang PKP untuk melariskan jualan.

“Bersyukurlah kami dapat melalui kesukaran ini dan meneruskan operasi dengan menukar kedai kami kepada e-dagang sepenuhnya. Kami memperhebatkan usaha untuk berhubung dengan pelanggan kami dan menyediakan penghantaran pesanan pada hari yang sama, dan sambutannya amat menggalakkan,” katanya sambil menambah, produk utama SK adalah telekung sementara produk sampingan terdiri daripada kategori pakaian, sejadah, aksesori dan tudung.

Menurut Mohammad Muhaimin, selain menggerakkan staf sebagai dropship, pihaknya juga turut mengadakan kursus penggunaan media sosial dan platform e-dagang kepada lebih 300 orang dropship sedia ada di setiap negeri bagi menggerakkan penjualan produk, terutamanya ketika musim perayaan.

“Kemahiran seperti Facebook Marketing, Headquarters branding marketing campaign, Whatsapps business dan sebagainya, kita hantar yang pakar untuk mengajar kemahiran asas dan kemahiran copywriting untuk menarik perhatian pelanggan.

“Kami mengadakannya secara berterusan sehinggalah pada PKP 3.0 baru-baru ini, kebanyakan kakitangan butik cawangan bergerak sebagai pasukan dalam talian untuk mencapai sasaran jualan mereka.

“SK bersyukur kerana kemudahan moratorium pinjaman dan pelbagai bantuan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu kebanyakan usahawan PKS untuk terus bertahan ketika pandemik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, walaupun kerajaan memberi bantuan dan kemudahan pinjaman kredit kepada golongan terjejas, namun sebagai usahawan PKS, mereka tidak seharusnya bergantung 100 peratus kepada kerajaan.

Usahawan PKS, kata beliau, perlu mempunyai pelan jangka panjang dan pelan sandaran bagi mengatasi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan.

“Sentiasa berusaha untuk belajar perkara baharu kerana sudah pasti bukan semua krisis yang kita hadapi adalah sama, contohnya seperti pandemik Covid-19, ia merupakan perkara baharu dan semua orang tidak sangka akan penutupan secara besar-besaran akibat PKP.

“Sentiasa berani melakukan perubahan dengan kreatif dan berinovasi kerana semua orang sedang bersaing antara satu sama lain untuk meneruskan perniagaan mereka ketika pandemik, jika kedai fizikal tutup, lakukan secara digital,” katanya.

BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN

Pensyarah Kanan (Perakaunan dan Kewangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Noorul Azwin Md Nasir berkata usahawan harus bijak mengambil peluang mengatasi cabaran tanggungan kewangan lebih baik akibat PKP.

Menurut beliau, usahawan yang terkesan akibat pandemik boleh meneliti pelbagai bantuan kerajaan seperti Sistem Insurans Pekerjaan, Program Pengekalan Pekerjaan dan Subsidi Upah bagi mengelakkan pemberhentian pekerja mereka secara besar-besaran seterusnya menyebabkan hilang punca pendapatan.

“Banyak perniagaan menambah stok pada awal tahun sebagai persediaan menghadapi musim perayaan dan ia akan memperlihatkan peningkatan jumlah hutang pembekal yang rata-rata memberi tempoh hutang sekitar satu hingga tiga bulan.

“Mungkin lebih menguntungkan usahawan berhutang dengan pembekal berbanding dengan bank atau agensi kewangan dalam mendapatkan modal pembelian stok. Ini kerana dari perspektif kadar faedah, tiada faedah dikenakan ke atas kelewatan bayaran. Pembekal juga cenderung memberikan diskaun sekiranya bayaran dilangsaikan lebih awal,” katanya.

Beliau menambah, meskipun sesetengah usahawan mendapat kelulusan bantuan serta penangguhan bayaran moratorium, mereka masih perlu mencari jalan menampung kekurangan pendapatan ataupun kerugian dengan kadar segera.

“Sebahagiannya mula berkecimpung dalam bidang atau industri dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Ia bukanlah untuk tempoh panjang, tetapi untuk pulih lebih cepat berbanding pesaing,” katanya.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

ADN Bukit Melawati edar 1,000 bantuan makanan untuk individu dikuarantin

KUALA SELANGOR, 1 OGOS: Sebanyak 1,000 bakul makanan telah diedar kepada individu yang dikuarantin di Bukit Melawati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata pusat khidmatnya banyak menerima permohonan daripada golongan berkaitan di mana hampir 10 keluarga memohon dalam masa sehari.

“Sebelum ini kita buka kepada semua tetapi kali ini khusus kepada mereka yang dikuarantin.

“Sejurus menerima laporan, bantuan bakul makanan akan terus dihantar pada hari yang sama,” kata Juwairiya Zulkifli ketika ditemui pada Porgram Vaksin Selangor (Selvax) di Dewan Bandar Baru di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, pihaknya juga menerima permohonan bantuan peranti dalam kalangan pelajar sekolah serta universiti dengan 15 komputer riba telah diagihkan bagi membantu mereka mengikuti kelas secara dalam talian.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan jumlah peruntukan kepada wakil rakyat bagi menjayakan program Mesra Rakyat ditambah kepada RM100,000 tanpa mengira fahaman politik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan RM50,000 diberi kepada mereka bagi mengagih bantuan makanan kepada penduduk terjejas.

Kerajaan Negeri juga menyalur RM30,000 kepada ahli parlimen Pakatan Harapan yang tidak menerima peruntukan peringkat Persekutuan bagi memudahkan mereka membantu rakyat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

70 pek makanan diagih kepada penduduk Taman Templer setiap hari

GOMBAK, 26 JULAI: Sebanyak 70 bakul makanan asas diagih setiap hari kepada penduduk sekitar Taman Templer bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata edaran pek berupa beras, gula, tepung, bihun, sardin dan teh bernilai RM30 dibuat atas permintaan penduduk melalui ketua kampung serta pusat khidmat.

“Memang setiap hari bantuan ini disalurkan kepada penduduk sama ada serahan dilakukan sendiri oleh pegawai pusat khidmat atau mereka datang sendiri ke bank makanan yang disediakan.

“Kita menerima permintaan terlalu tinggi malah ada sebahagian mereka yang memohon bantuan sama sehingga tiga kali, namun kita percaya mereka ini sangat mengharapkan bantuan berikutan hilang pendapatan akibat Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan hari ini.

Selain barangan asas, Mohd Sany berkata pihaknya turut membekalkan lampin pakai buang dan susu bayi kepada keluarga memerlukan mengikut permintaan.

Beliau menjelaskan sumbangan komputer riba dan tablet diberi kepada pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).

“Biasanya kita akan selidik dahulu latar belakang pelajar terbabit kerana keutamaan adalah mereka yang mempunyai ramai adik-beradik bersekolah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengusaha perkahwinan perlu kreatif, berani cebur bidang baharu

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pengusaha majlis perkahwinan perlu kreatif dan berani mencuba bidang lain ketika larangan sebarang aktiviti sosial dikuatkuasakan.

Pengasas Bizmilla Wedding Centre berkata golongan itu perlu bangkit menyahut cabaran baharu demi ekonomi sendiri di samping menjaga kebajikan pekerja.

“Kita kena pelbagaikan perniagaan. Gunakan peralatan atau kemudahan yang ada termasuk tenaga kerja supaya tidak perlu keluarkan modal lain.

“Dalam pandemik Covid-19 ini sebenarnya ada rezeki baharu. Allah ilhamkan idea lain yang kita boleh teruskan walaupun perniagaan sebelum ini kembali beroperasi,” kata Mila Jirin pada Bual Bicara bertajuk Covid-19 & Industri Majlis Perkahwinan.

Program disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV semalam.

Mila yang juga penyanyi berkata ketika kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, beliau terpaksa menanggung sejumlah kerugian memandangkan sebarang penganjuran majlis tidak dibenarkan.

“Kita kena pulangkan duit tempahan kira-kira 900 majlis membabitkan jutaan ringgit. Perkara paling penting ketika itu adalah perbincangan kedua-dua pihak.

“Alhamdulillah pelanggan faham apabila penerangan diberikan. Kita tunjukkan kos dikeluarkan dan minta bayaran balik dilakukan berperingkat,” katanya.