Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP PKPB: Neelofa, suami pertimbang kemuka representasi

SEREMBAN, 24 SEPT: Pihak pembelaan dalam kes selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail akan mempertimbangkan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal Mei lepas.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili pasangan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sebutan semula kes di hadapan Majistret Mahyun Yusuf hari ini.

Bercakap kepada pemberita, Muhammad Shafee berkata: “Saya baru dapat (dokumen) itu, jadi kami akan kaji dokumen ini untuk persiapan pembelaan ataupun untuk membuat satu representasi berdasarkan dokumen yang kami ada supaya tidak buang masa.

“Ia adalah perkara kecil, daripada semut jadi gajah,” katanya selepas prosiding kes berkenaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Proses sebutan semula hari ini melibatkan penyerahan dokumen pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan yang diketuai peguam Muhammad Shafee serta Ramzani Idris, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah Hanapiah manakala pihak pendakwaan pula diwakili, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Iznina Hanim.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Okt depan.

Terdahulu, pasangan berkenaan tiba di mahkamah kira-kira 8.40 pagi.

Pada 20 Mei lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual karpet di pusat perniagaan Nilai 3, dekat sini, pada 2 Mei lalu dan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang, 2 Mei lalu.

Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis panggil empat individu langgar SOP majlis berbuka puasa

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Polis telah memanggil empat individu untuk memberi keterangan berhubung isu pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel, Khamis lepas.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata mereka yang dipanggil setakat ini ialah tiga orang daripada pihak penganjur dan seorang daripada pihak pengurusan hotel.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (no. 4) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata kesemua yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat, dan kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan telah selesai dijalankan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2115 9999, IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Baru-baru ini tular di media sosial sekumpulan individu termasuk selebriti popular berbuka puasa di sebuah hotel tanpa penjarakan fizikal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Tiga perkara jadi kayu ukur cadangan perubahan PKPB di Selangor

RAWANG, 30 APRIL: Tiga perkara menjadi kayu ukur terhadap syor perubahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor untuk pertimbangan kerajaan persekutuan.

Dato’ Menteri Besar berkata ia meliputi pertambahan kes positif Covid-19, jangkitan ada kaitan kawasan tumpuan awam dan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) semakin meningkat.

“Kita ada angkat beberapa cadangan namun yang penting kita mahu masa yang sesuai (perubahan pelaksanaan PKPB) dan bukan secara tiba-tiba.

“Sebab itu kita ada cadangkan tarikh bila bermula tetapi syor ini akhirnya akan dibincangkan di peringkat persekutuan sebelum diputuskan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Selayang 2030 (DRTMPS 2030) di Le Gardens Pavilion hari ini.

Amirudin memaklumkan pihaknya sudah mengadakan sidang khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara (Selangor) hari ini bagi meneliti semula pelaksanaan perintah tersebut susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

“Kita berharap kerajaan persekutuan akan umum sesuatu petang ini atau esok dan saya akan berjumpa yang dipertua pihak berkuasa tempatan berdasarkan pengumuman itu nanti,” katanya.

Beliau menambah kes membabitkan tempat kerja berjaya dikawal dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini namun penularan di kawasan tumpuan orang ramai membimbangkan.

“Jadi, kita perlu ambil tindakan tertentu untuk mengelak perebakan tidak terkawal kerana kita tidak mahu jadi seperti Italy dan India,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kes Covid-19 naik, Kerajaan Negeri teliti semula pelaksanaan PKPB

SHAH ALAM, 29 APRIL: Dato’ Menteri Besar akan mengadakan sidang khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara (Selangor) esok susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Menerusi Twitter hari ini, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat itu bagi meneliti semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Hari ini hari ketiga berturut-turut kes baru Covid-19 kembali mencecah empat angka, esok pagi (Jumaat) saya memanggil sidang khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara (Selangor) bagi meneliti semula pelaksanaan PKPB di seluruh Selangor.

“Mesyuarat esok akan mengangkat syor-syor pelaksanaan PKPB di Selangor kepada Majlis Keselamatan Negara bagi pertimbangan kerajaan persekutuan,” katanya.

Hari ini, jangkitan baharu Covid-19 seluruh negara adalah 3,332 kes yang mana Selangor sahaja mencatat 1,083 kes.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPB di Selangor yang dijadual berakhir semalam dilanjutkan sehingga 17 Mei.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB Selangor dilanjut hingga 17 Mei

SHAH ALAM, 27 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang dijadual berakhir esok dilanjutkan sehingga 17 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan) berkata arahan sama turut dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Manakala Perlis, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Putrajaya dan Labuan berstatus PKP Pemulihan.

“Ia berkuat kuasa pada 29 April sehingga 17 Mei kecuali Sarawak pada 27 April hingga 17 Mei,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Beliau menambah 10 daerah di Kelantan pula kekal di bawah PKP bermula 29 April hingga 17 Mei.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB Selangor dilanjut hingga 28 April

SHAH ALAM, 12 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang dijadual berakhir pada Rabu dilanjutkan sehingga 28 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) berkata arahan sama turut dikuat kuasa di Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“PKPB Sarawak pula berkuat kuasa pada 13 hingga 26 April,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Tambahnya, pergerakan rentas negeri antara kawasan PKPB juga masih dilarang.

Sementara itu, PKP Pemulihan di Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan dilanjutkan sehingga 28 April.

Grafik Twitter Majlis Keselamatan Negara
Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor antara enam negeri kekal PKP Bersyarat hingga 14 April

SHAH ALAM, 30 MAC: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dilanjutkan hingga 14 April berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPB di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, dan Kelantan turut dilanjutkan dalam tempoh sama iaitu 14 hari.

“PKPB di Sarawak pula dilanjutkan bermula hari ini sehingga 12 April.

“Manakala 10 lagi negeri dan wilayah dikekalkan PKP Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis, Kedah, Perak, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Labuan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata, rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan daripada negeri PKPP ke PKPP melalui konsep gelembung pelancongan bersasar.

“Rentas daerah dibenarkan kecuali Sabah dan Sarawak,” katanya.

PKPB di Selangor yang berkuat kuasa dari 5 hingga 18 Mac lalu dilanjutkan hingga 31 Mac. Ia turut melibatkan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan

Categories
EXCO SELANGOR

PKPB: Tiada promosi pelancongan, gesa rakyat tidak bergerak bebas

DENGKIL, 21 MAC: Selangor masih tidak mengaktifkan promosi pelancongan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan ketika ini.

EXCO pelancongan berkata malah pada tempoh berkenaan penduduk disaran menghadkan pergerakan serta tidak berada di luar sekiranya tiada urusan penting.

“Namun kita tidak menghalang sekiranya ada yang ingin berjalan. Tetapi pada waktu ini (PKPB) bukan waktu sesuai untuk kita promosikan pelancongan kerana kes di Selangor juga masih tinggi.

“Oleh itu, jangan abaikan tatacara operasi piawai dan elakkan tempat yang sesak,” kata Hee Loy Sian selepas majlis Penyerahan Bakul Makanan di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata aktiviti promosi akan dilakukan sekiranya negeri ini bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Selepas diumumkan, kita akan teruskan dengan kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! bagi membolehkan rakyat bercuti dalam negeri terlebih dahulu,” katanya.

16 Mac lalu, kerajaan mengumumkan Selangor masih kekal berada di bawah PKPB sehingga 31 Mac ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar bekerja dari rumah masih terpakai – menteri

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Dasar bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam dan industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih terpakai walaupun kesemua negeri kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kehadiran pegawai di kawasan PKPB adalah pada tahap 30 peratus, manakala bagi kawasan PKPP pada tahap optimum dan boleh beroperasi sepenuhnya.

“Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada ketua jabatan untuk melaksanakan arahan ini mengikut kesesuaian cara kerja masing-masing.

“Pihak MITI dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam akan membuat pengumuman sekiranya terdapat perubahan bagi pelaksanaan dasar itu untuk industri terlibat dan perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kebenaran mengadakan acara siaran langsung dengan kehadiran penonton bagi kawasan PKPB dan PKPP serta penggambaran luar studio bagi industri kreatif negara, bermula esok.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan termasuk kehadiran 50 peratus kapasiti ruang acara di kawasan PKPB manakala bagi kawasan PKPP, jumlah kehadiran adalah mengikut keluasan premis dan tertakluk kepada penjarakan sosial.

Bagi kebenaran penggambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP, Ismail Sabri berkata ia tertakluk kepada SOP Pembangunan Kandungan Kreatif serta perlu mematuhi syarat ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai SOP bagi kebenaran tersebut boleh dirujuk di laman sesawang KKMM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti sukan individu, berpasukan dibenar di kawasan PKPB, PKPP

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Aktiviti sukan dan rekreasi individu serta berpasukan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan atau perlawanan kini dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa dan kebenaran pihak berkuasa berkaitan.

Menurut kenyataan itu, bagi penganjuran kejohanan atau pertandingan di peringkat kebangsaan seperti Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) yang melibatkan pergerakan rentas negeri, kebenaran polis adalah diperlukan.

Ia juga mesti mengikut Model Gelembung Sukan dan tanpa kehadiran penonton.

Bagi penganjuran di peringkat antarabangsa, KBS berkata ia mesti mendapat kebenaran pihaknya terlebih dahulu.

Menurut KBS, sepanjang arahan kawalan pergerakan itu, latihan pusat berfasa bagi pasukan Liga-M, MHL, STL secara ‘home or camp quarantine’ serta program latihan berpusat Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri secara ‘camp quarantine’ adalah dibenarkan.

Turut dibenarkan aktiviti berkumpulan yang dilakukan secara setempat seperti senamrobik, yoga dan tarian sukan dengan had kapasiti 50 peratus daripada kapasiti kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Bagaimanapun, aktiviti massa yang melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal seperti larian ria, pacu ria, maraton dan triatlon adalah tidak dibenarkan.

Kenyataan itu menyebut bagi Sabah dan Sarawak, tatacara operasi piawainya adalah berbeza dan orang ramai disaran merujuk ke laman sesawang Majlis Keselamatan Negara untuk maklumat lanjut.

Baru-Baru ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Pulau Pinang, Johor,Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Kelantan dan Kuala Lumpur manakala Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Putrajaya dan Labuan diletak di bawah PKPP bermula 5 hingga 18 Mac depan.

Negeri Sarawak pula terus diletak di bawah PKPB sehingga 15 Mac depan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais benar akad nikah bersemuka mulai 8 Mac

SHAH ALAM, 4 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka bermula 8 Mac ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Jais memaklumkan kebenaran bagi mengadakan majlis berkenaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini berkuat kuasa esok.

“Bagaimanapun ia tertakluk kepada jumlah kehadiran antaranya acara diadakan di masjid terhad kepada 15 orang manakala di Jais dan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) pula hanya enam tetamu.

“Bagi pelaksanaan majlis di rumah dan premis berbayar pula jumlah dibenarkan seramai 20 orang,” katanya.

Sebelum ini majlis akad nikah dilaksanakan secara sidang video sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat negeri PKPB, PKPP diseru melancong kawasan setempat

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Orang ramai diseru memulakan aktiviti pelancongan di lokasi setempat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), susulan kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan beroperasi di kedua-dua kawasan itu.

Sambil menasihati orang ramai melancong dengan selamat, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu akan dapat menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara.

Beliau menyifatkan pengumuman kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan PKPB dan PKPP adalah khabar gembira buat penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tempatan.

“Jadilah pelancong yang bertanggungjawab dengan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa dan mempraktikkan amalan norma baharu.

“Insya-Allah, Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) akan terus bersama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tanah air untuk bangkit semula terutama dalam situasi yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Khamis lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis, namun bagi kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD), aktiviti pelancongan keluar masuk di kawasan terbabit adalah tidak dibenarkan.

Kebenaran turut diberikan dengan syarat sama di premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.

– BERNAMA