Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama negeri, agensi persekutuan bantu PKPD tamat awal

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerjasama Kerajaan Selangor dengan pengurusan daerah membantu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan tertentu negeri ini tamat lebih awal.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata itu membuktikan penyatuan semua pihak terlibat termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) dalam mendepani Covid-19 membuahkan hasil.

“Alhamdulillah setakat ini PKPD di Selangor berjalan baik malah direkodkan tutup lebih awal daripada tempoh dua minggu yang ditetapkan, berbanding pengalaman di Sungai Lui (Hulu Langat) yang hampir sebulan.

“Sekarang PKPD di Selangor ada tutup lima hingga lapan hari lebih awal. Ini tunjukkan bagaimana kita ubah dan berjaya menyatupadukan semua pihak secara keseluruhan,” katanya menjawab soalan ADN Sentosa Dr Gunarajah George berhubung tanggungjawab pengurusan bencana daerah mendepani Covid-19.

Antara lokaliti PKPD yang ditamatkan awal daripada jadual ialah Pangsapuri Damai PJS8, Damansara (seminggu awal); Gugusan Semarak, PJU 5 Kota Damansara (lima hari awal) dan Flat Taman Samudera Timur, Gombak (tiga hari awal).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

5,200 penduduk Gugusan Semarak dikenakan PKPD mulai hari ini

PETALING JAYA, 6 Ogos: Seramai 5,200 penduduk di Gugusan Semarak, PJU 5, Kota Damansara di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam tadi.

Pegawai Daerah Petaling Dato’ Johary Anuar berkata pelaksanaan PKPD itu susulan peningkatan kes Covid-19 terutama dalam kalangan penduduk bukan warganegara.

“Sepanjang tahun 2021, Gugusan Semarak merekodkan sebanyak 350 kes positif Covid-19. Kawasan ini menunjukkan trend peningkatan kes yang ketara kebelakangan ini.

“Turut membimbangkan juga terdapat kes positif di kalangan bukan warganegara yang tidak dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling,” katanya pada sidang media di kawasan berkenaan tengah malam tadi.

Beliau berkata pemberian vaksin akan dilaksanakan kepada penduduk seperti PKPD di beberapa kawasan di Petaling Jaya sebelum ini.

“PKD Petaling akan melaksana aktiviti saringan dan selepas mengenal pasti penduduk yang negatif kita akan jalankan aktiviti vaksinisasi kepada mereka.

“Selain itu kita juga akan mengedarkan 1,040 bakul makanan kering kepada semua penduduk. Bakul makanan kering ini adalah sumbangan daripada Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad,” katanya.

Tambahnya, PKPD Gugusan Semarak melibatkan 13 blok pangsapuri lima tingkat dengan 1,040 unit rumah membabitkan 5,200 individu yang terdiri 60 peratus warganegara dan 40 peratus lagi warga asing.

Pada 4 Ogos, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan Gugusan Semarak antara 13 lokaliti yang dikenakan PKPD bermula 6 Ogos sehingga 19 Ogos depan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPD tamat bukan petanda bebas Covid-19, jangan abai SOP

AMPANG, 31 JULAI: Penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sehari awal di Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah di sini bukan bererti penduduk bebas dari pandemik Covid-19.

Pegawai Daerah Hulu Langat Najmuddin Jemain berkata penduduk perlu terus berhati-hati dan mengelak aktiviti sosial berikutan ada yang masih menjalani kuarantin kendiri.

“Mereka kena tahu kita masih belum menang lagi kerana kurang kesedaran itu menyebabkan kita menghadapi peningkatan kes kerana ada pelanggaran SOP (tatacara operasi piawai) yang mungkin terleka walaupun tidak mempunyai niat.

“Bagi memastikan penduduk sentiasa peka, saya akan minta pengurusan pangsapuri memantau dan kerap mengingatkan penduduk agar lebih berhati-hati,” katanya kepada Selangorkini.

Jelasnya, PKPD ditamatkan sehari awal susulan 559 penduduk selesai divaksin pada 29 Julai lalu dengan keseluruhan 899 penghuni menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Petang semalam, Menteri Kanan Luar Negeri (keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan perintah kawalan ketat di pangsapuri berkenaan ditamatkan sehari awal.

Kawasan tersebut dikenakan PKPD mulai 18 Julai selepas puluhan penghuni dijangkiti Covid-19.

Categories
ADN SELANGOR

Penghuni Flat Taman Samudera Timur lari PKPD dikesan, akan disaring segera

SHAH ALAM, 27 JULAI: Beberapa penduduk di Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikesan melarikan diri sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sudah kembali ke kediaman masing-masing.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi berkata penghuni tersebut akan diarah menjalani saringan dalam masa terdekat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

“Difahamkan ada beberapa keluarga sudah balik dan mereka memberikan alasan pulang ke rumah ibu bapa tetapi jumlahnya tidak ramai kerana kawasan itu kebanyakan disewa warga asing.

“Jadi, saringan antara isu akan dibangkitkan nanti sebab kita belum sempat adakan perbincangan namun mereka tetap perlu disaring demi keselamatan penghuni lain,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 106 unit rumah di flat berkenaan didapati kosong selepas bancian dijalankan dari rumah ke rumah bagi mendapatkan data bilangan isi rumah.

Bancian ke atas 630 rumah di enam blok yang selesai pada Rabu iaitu hari keempat pelaksanaan PKPD mendapati 523 unit berpenghuni dan lima unit disenarai di bawah simpan dalam perhatian (KIV) berikutan enggan memberi kerjasama.

Flat Taman Samudera Timur dikenakan perintah ketat selama dua minggu mulai 18 hingga 31 Julai selepas 51 kes Covid-19 dikesan hasil saringan terhadap 1,400 penduduk.

Kawasan terbabit antara empat lokaliti di Selangor dikenakan PKPD selain Damai Apartment, PJS 8, mukim Damansara; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang dan Bandar Bukit Tinggi, mukim Klang.

Kelmarin, PKPD di Damai Apartment ditamatkan seminggu lebih awal selepas semua penduduk selesai menerima vaksin mulai 23 Julai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD Flat Taman Samudera Timur tamat awal tiga hari

SHAH ALAM, 27 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Flat Taman Samudera Timur, Gombak ditamatkan esok, tiga hari awal daripada yang dijadualkan.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan hari ini.

Flat berkenaan merupakan kawasan kedua yang ditamatkan PKPD lebih awal selepas Pangsapuri Damai pada tengah malam, 25 Julai.

Kedua-dua lokaliti terbabit dikenakan perintah kawalan ketat sejak 18 Julai selain Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah, mukim Ampang dan Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, mukim Klang.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi sebelum ini dilaporkan menjangka suntikan vaksin terhadap penghuni Flat Taman Samudera Timur selesai esok.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Penghuni Pangsapuri Merpati A dikenakan PKPD dapat bantuan makanan

AMPANG, 27 JULAI: Sebanyak 430 bakul makanan diagihkan kepada penduduk Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai 18 Julai.

Wakil rakyat Pandan Indah berkata bantuan bernilai RM60 setiap satu meliputi beras, gula, tepung, bawang, sayur dan ayam dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kita (pusat khidmat masyarakat dan PKPS) memperuntuk hampir RM30,000 untuk bantuan ini dan berharap ia sedikit sebanyak meringankan beban penduduk yang mungkin tertekan kerana tidak dapat keluar mendapatkan keperluan,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau yang ditemui selepas menyerahkan sumbangan terbabit di sini menambah usaha akan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk membabitkan kawasan PKPD lain.

Pangsapuri Merpati A dikenakan PKPD selama dua minggu sehingga 31 Julai berikutan 51 kes Covid-19 dikesan hasil saringan terhadap 1,400 penduduk.

Kawasan terbabit antara empat lokaliti di Selangor yang dikenakan PKPD sejak 18 Julai selepas mencatatkan peningkatan kes wabak.

Lokasi lain ialah Pangsapuri Damai, mukim Damansara, Jalan Batu Nilam, mukim Klang dan Taman Samudera, mukim Batu.

Pada 25 Julai, PKPD di Pangsapuri Damai ditamatkan selepas semua penduduk selesai menerima vaksin.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPD Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang mungkin tamat awal

SHAH ALAM, 27 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang mungkin ditamatkan lebih awal.

Pegawai Daerah Klang berkata pihaknya mencadangkan perintah ketat itu ditamatkan lebih awal atas beberapa faktor termasuk semua penduduk sudah menerima vaksin.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sedang menyiapkan permohonan supaya PKPD dapat ditamatkan lebih awal dari tarikh sepatutnya iaitu pada 31 Julai ini.

Petugas terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang

“Keseluruhan seramai 1,116 penduduk selesai menerima suntikan vaksin Ahad lalu kecuali mereka yang disahkan positif Covid-19,” kata Mohd Zainal Mohd Nor kepada SelangorKini.

Menurut beliau, seramai 212 individu didapati positif daripada 626 penduduk menjalani saringan Covid-19.

“Mereka dipanggil semula ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) sementara di sini hari ini untuk dibuat penilaian sama ada kekal kuarantin di rumah atau ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) mini.

“Bagi pesakit yang berada di kategori tiga dan empat mereka akan dipindahkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Pada 16 Julai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Namun pada 25 Julai, Ismail Sabri mengumumkan PKPD Apartment Damai ditamatkan seminggu awal berbanding tempoh asal pada 31 Julai.

Sebelum ini dua kawasan menamatkan tempoh PKPD lebih awal iaitu di Pangsapuri Mentari Court PJS8 dan Westlite PKNS Petaling Jaya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Penduduk Apartment Damai selesai terima vaksin

SHAH ALAM, 25 JULAI: Proses pemberian vaksin kepada 1,279 penduduk Apartment Damai mukim Damansara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selesai semalam.

Pegawai daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 525 penerima adalah warganegara manakala bukan warganegara 754 penerima.

“Kita telah maklumkan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara bahawa kita telah selesai semua proses dan mencadangkan PKPD ini ditamatkan lebih awal,” kata Datuk Johary Anuar kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat Najmuddin Jemain memaklumkan proses saringan 1,400 penduduk Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah mukim Ampang yang dikenakan PKPD selesai.

“Kita bersyukur proses saringan berjalan lancar. Langkah seterusnya adalah proses pemberian vaksin yang akan dijalankan pada Khamis iaitu 29 Julai,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPD Pangsapuri Damai tamat tengah malam ini, seminggu lebih awal

SHAH ALAM, 25 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Damai PJS8, Damansara ditamatkan tengah malam ini, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Kenyataan timbalan perdana menteri menunjukkan kawasan terbabit satu-satunya lokaliti yang tamat kawalan ketat seminggu awal berbanding tempoh asal pada 31 Julai.

Sementara PKPD di beberapa lokaliti lain sekitar Sabah tamat esok mengikut jadual.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai situasi semasa bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti tersebut,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 16 Julai, kerajaan mengumumkan empat kawasan dalam empat daerah di Selangor dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Pangsapuri Damai, mukim Damansara, Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Jalan Batu Nilam, mukim Klang dan Taman Samudera, mukim Batu.

Petang tadi, Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata seramai 1,279 penduduk pangsapuri berkenaan selesai menerima vaksin yang dimulakan sejak kelmarin.

Categories
PBT SELANGOR

Sedia bas mudahkan pesakit Covid-19 PKPD Apartment Damai ke CAC

SHAH ALAM, 24 JULAI: Sebuah bas disediakan untuk penduduk Apartment Damai mukim Damansara
yang positif Covid-19 untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati.

Pegawai daerah Petaling berkata bas itu disediakan untuk kemudahan penduduk di kawasan tersebut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebelum ini kita membuka CAC secara hibrid namun menutupnya sejurus proses saringan selesai Selasa lalu.

“Dengan adanya bas, penduduk yang positif Covid-19 sama ada bergejala atau tidak dibawa ke CAC untuk memudahkan pemantauan tahap kesihatan pesakit,” kata Datuk Johary Anuar ketika dihubungi.

Menurutnya, seramai 2,323 penduduk selesai disaring Selasa lalu dan 1,774 keputusan saringan telah diterima.

“Daripada 1,774 saringan, seramai 682 individu didapati positif Covid-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan di PKPD Apartment Damai berjumlah 985 kes berbanding sebelum ini 303 kes.

“Kita menjangkakan kes positif meningkat apabila menerima baki keputusan 549 individu petang semalam. Proses vaksinasi bermula semalam dan dijangka seramai 500 individu menerima vaksin,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuatkuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Categories
PBT SELANGOR

51 kes Covid-19 dikesan di PKPD Jalan Pandan Indah

SHAH ALAM, 23 JULAI: Sebanyak 51 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan penduduk Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 18 Julai lalu.

Pegawai Daerah Hulu Langat Najmuddin Jemain berkata keputusan itu diperoleh hasil saringan yang dilakukan terhadap 1,400 penduduk selama dua hari.

“Bagi individu yang negatif, mereka akan divaksin tiga hari sebelum tamat tempoh PKPD dan diberikan kepada individu yang belum mempunyai janji temu MySejahtera.

“Bagaimanapun, mereka yang positif atau telah sembuh Covid-19 dikecualikan daripada diberikan vaksin,” katanya ketika dihubungi.

Najmuddin berkata sebuah klinik sementara yang berfungsi sebagai pusat penilaian Covid-19 (CAC) turut dibuka untuk penduduk di kawasan itu.

“Pesakit boleh hadir ke CAC ini sepanjang waktu bekerja, namun apabila tamat boleh merujuk ke Klinik Kesihatan Batu 9 jika berlaku kecemasan,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PKPD: PKRC mini untuk rawat penduduk Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1

SHAH ALAM, 21 JULAI: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) mini disediakan untuk merawat penduduk Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 1, Klang yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Pegawai Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor berkata pusat itu akan menggunakan dewan serbaguna berhampiran yang boleh menampung kapasiti 50 pesakit.

“Kita tidak letakkan katil sebaliknya guna kubikel Jabatan Kebajikan Masyarakat. Setakat ini masih belum beroperasi kerana saringan individu bergejala bermula esok.

“Bagaimanapun pusat ini hanya untuk kes positif tahap satu dan dua sahaja. Mereka boleh menerima rawatan serta dipantau tanpa perlu ke pusat kuarantin yang jauh,” katanya kepada SelangorKini.

Bermula Ahad, kawasan pangsapuri membabitkan 969 unit kediaman dari 11 blok itu dikenakan PKPD selama dua minggu susulan peningkatan jangkitan Covid-19.

Perintah sama turut dikuat kuasa di tiga kawasan lain di negeri ini iaitu Damai Apartment, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.