Categories
AGENDA NASIONAL

Mediasi boleh dijalankan secara dalam talian – PKPMP

PUTRAJAYA 2 JUN: Mediasi di mahkamah kini boleh dijalankan secara dalam talian, tanpa kehadiran pihak-pihak terbabit ke mahkamah.

Mediasi secara dalam talian ini merupakan satu inisiatif Badan Kehakiman, dalam memastikan akses kepada keadilan dapat diberikan kepada semua peringkat masyarakat, seiring dengan normal baharu yang diamalkan pada masa kini.

Mengikut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), sesi mediasi secara dalam talian berkenaan, merupakan alternatif kepada mediasi yang dijalankan di Pusat Mediasi Mahkamah.

“Tiada perubahan bagi prosedur mediasi secara dalam talian, berbanding mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah, melainkan perbezaan mod perhubungan, iaitu sesi mediasi secara dalam talian boleh dijalankan dengan menggunakan medium komunikasi melalui aplikasi yang dipersetujui oleh pihak-pihak, seperti Skype atau Zoom,” menurut kenyataan tersebut.

Bagi memudahkan orang ramai memahami tatacara pengendalian mediasi berkenaan, PKPMP mengeluarkan Prosedur Pengendalian Mediasi Secara Dalam Talian dan Prosedur Pengendalian Mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah.

Kedua-dua prosedur berkenaan merangkumi tatacara pengendalian mediasi yang terbahagi kepada pra mediasi, semasa mediasi dan pasca mediasi.

Prosedur berkenaan berkuatkuasa mulai hari ini, mengikut kenyataan PKPMP itu.

Infografik berkenaan prosedur tersebut, boleh diakses melalui Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia di pautan www.kehakiman.gov.my

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Premis mahkamah masih ditutup, tiada operasi

PUTRAJAYA, 2 MEI: Premis Mahkamah masih lagi ditutup dan tidak beroperasi sehingga mendapat arahan kerajaan, berikutan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) hari ini, panduan pengendalian kes adalah sama seperti yang diumumkan pada 17 Mac lepas, 26 Mac, 2 April dan 24 April.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pada 17 Mac lepas memaklumkan mahkamah di seluruh negara ditutup dan perbicaraan pendengaran kes sivil serta jenayah juga ditangguhkan, dan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian.

Beliau bagaimanapun berkata, permohonan untuk tahanan reman dan pendaftaran kes baru dan urusan jamin dijalankan seperti biasa.

Menurut Ahmad Terrirudin, pengurusan kes sivil secara ‘e-Review’ akan terus dijalankan seperti biasa, secara dalam talian manakala pengurusan kes sivil secara manual akan ditangguhkan dan akan diberikan tarikh yang baharu.

Menurut kenyataan PKPMP pada 26 Mac lalu, bagi memastikan akses kepada keadilan semasa tempoh lanjutan pelaksanaan PKP, pihak dalam kes sivil boleh memohon kepada mahkamah untuk pendengaran kes sivil secara dalam talian.

Pada April 23, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan selama dua minggu sehingga 12 Mei untuk membendung penularan wabak Covid-19.

-BERNAMA