Categories
AGENDA NASIONAL

Gelembung pelancongan bersasar mampu bantu industri pulih berperingkat

MELAKA, 10 MAC: Kebenaran aktiviti pelancongan rentas antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini menerusi program Gelembung Pelancongan Bersasar, dijangka mampu memulihkan kembali sektor berkenaan secara berperingkat.

Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Melaka Goh Hock Gin berkata beliau yakin langkah itu mampu mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan pelancong.

Beliau berkata keputusan itu sekurang-kurangnya merupakan permulaan baik yang dilaksanakan kerajaan yang disifatkannya bukan sahaja boleh mengawal pergerakan pelancong, malah mampu membantu mengesan pelancong terlibat sekiranya jangkitan Covid-19 dikesan berlaku dalam kalangan mereka.

“Pemain industri dan pelancong perlu akur dengan syarat-syarat yang ditetapkan kerana keputusan yang dibuat perlu mengambil kira tentang penularan Covid-19 kerana kita tidak mahu ada jangkitan baharu melibatkan kluster pelancongan sekali gus menyebabkan pelaksanaan PKP 3.0,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya penduduk dari negeri PKPP yang ingin melancong ke Melaka boleh mendapatkan khidmat ejen pelancongan di bawah Matta yang kesemuanya berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Goh berkata sehingga hari ini, 80 ejen pelancongan berdaftar di bawah Matta Melaka serta MOTAC, dan pelbagai pakej pelancongan menarik ditawarkan kepada pelancong.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancong Melaka, Madelina W.L Kuah berkata syarat yang dikenakan kepada pelancong dari negeri PKPP yang ingin melancong ke negeri PKPP lain dilihat agak membebankan terutama dari segi kos kerana mereka perlu melancong menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Beliau berkata selain itu, pergerakan pelancong juga agak terhad berbanding sekiranya mereka dibenarkan melancong dengan menaiki kenderaan sendiri.

“Pelancong yang menggunakan khidmat ejen perlu menaiki bas persiaran atau kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC selain mengikut jadual perjalanan serta tempat pelancongan yang telah ditetapkan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah PKPP ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, namun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah MOTAC.

Setakat ini tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini selain Pulau Langkawi diisytihar sebagai zon PKPP mulai hari ini walaupun Kedah masih di bawah PKPB.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar bekerja dari rumah masih terpakai – menteri

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Dasar bekerja dari rumah bagi perkhidmatan awam dan industri di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) masih terpakai walaupun kesemua negeri kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kehadiran pegawai di kawasan PKPB adalah pada tahap 30 peratus, manakala bagi kawasan PKPP pada tahap optimum dan boleh beroperasi sepenuhnya.

“Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada ketua jabatan untuk melaksanakan arahan ini mengikut kesesuaian cara kerja masing-masing.

“Pihak MITI dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam akan membuat pengumuman sekiranya terdapat perubahan bagi pelaksanaan dasar itu untuk industri terlibat dan perkhidmatan awam,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kebenaran mengadakan acara siaran langsung dengan kehadiran penonton bagi kawasan PKPB dan PKPP serta penggambaran luar studio bagi industri kreatif negara, bermula esok.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan termasuk kehadiran 50 peratus kapasiti ruang acara di kawasan PKPB manakala bagi kawasan PKPP, jumlah kehadiran adalah mengikut keluasan premis dan tertakluk kepada penjarakan sosial.

Bagi kebenaran penggambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP, Ismail Sabri berkata ia tertakluk kepada SOP Pembangunan Kandungan Kreatif serta perlu mematuhi syarat ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai SOP bagi kebenaran tersebut boleh dirujuk di laman sesawang KKMM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancongan antara negeri PKPP dengan agensi berdaftar dibenarkan

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, mulai esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun aktiviti tersebut tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Ia juga perlu menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC seperti bas pelancongan. Pelancongan dengan kenderaan persendirian masih tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Selain itu katanya, pergerakan kenderaan dari agensi pelancongan itu juga, perlu mendapat kebenaran dari pihak polis.

Kenderaan pelancongan juga dilarang singgah ke negeri di bawah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi pergerakan yang perlu melintasi negeri tersebut.

Selain itu, lokasi penginapan dan premis pelancongan juga perlu mendapat kelulusan dari MOTAC.

Setakat ini tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini.

Sementara itu, kerajaan juga bersetuju untuk menukar status Pulau Langkawi sebagai zon PKPP mulai esok walaupun negeri Kedah masih di bawah PKPB.

Ini kerana tiada pertambahan kes Covid-19 kawasan itu dan ia telah bertukar kepada zon hijau.

“Kes Covid-19 terakhir dilaporkan pada 20 Februari lalu dengan dua kes. Maka, Gelembung Pelancongan Bersasar juga terpakai untuk Pulau Langkawi,” katanya.

Orang ramai yang mahukan maklumat lanjut mengenai SOP keputusan terbaharu tersebut boleh merujuk MOTAC dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti sukan individu, berpasukan dibenar di kawasan PKPB, PKPP

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Aktiviti sukan dan rekreasi individu serta berpasukan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan atau perlawanan kini dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan memaklumkan kebenaran itu tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa dan kebenaran pihak berkuasa berkaitan.

Menurut kenyataan itu, bagi penganjuran kejohanan atau pertandingan di peringkat kebangsaan seperti Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) yang melibatkan pergerakan rentas negeri, kebenaran polis adalah diperlukan.

Ia juga mesti mengikut Model Gelembung Sukan dan tanpa kehadiran penonton.

Bagi penganjuran di peringkat antarabangsa, KBS berkata ia mesti mendapat kebenaran pihaknya terlebih dahulu.

Menurut KBS, sepanjang arahan kawalan pergerakan itu, latihan pusat berfasa bagi pasukan Liga-M, MHL, STL secara ‘home or camp quarantine’ serta program latihan berpusat Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri secara ‘camp quarantine’ adalah dibenarkan.

Turut dibenarkan aktiviti berkumpulan yang dilakukan secara setempat seperti senamrobik, yoga dan tarian sukan dengan had kapasiti 50 peratus daripada kapasiti kawasan dengan kawalan penyeliaan.

Bagaimanapun, aktiviti massa yang melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal seperti larian ria, pacu ria, maraton dan triatlon adalah tidak dibenarkan.

Kenyataan itu menyebut bagi Sabah dan Sarawak, tatacara operasi piawainya adalah berbeza dan orang ramai disaran merujuk ke laman sesawang Majlis Keselamatan Negara untuk maklumat lanjut.

Baru-Baru ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Pulau Pinang, Johor,Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Kelantan dan Kuala Lumpur manakala Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Putrajaya dan Labuan diletak di bawah PKPP bermula 5 hingga 18 Mac depan.

Negeri Sarawak pula terus diletak di bawah PKPB sehingga 15 Mac depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat negeri PKPB, PKPP diseru melancong kawasan setempat

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Orang ramai diseru memulakan aktiviti pelancongan di lokasi setempat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), susulan kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan beroperasi di kedua-dua kawasan itu.

Sambil menasihati orang ramai melancong dengan selamat, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu akan dapat menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara.

Beliau menyifatkan pengumuman kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan PKPB dan PKPP adalah khabar gembira buat penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tempatan.

“Jadilah pelancong yang bertanggungjawab dengan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa dan mempraktikkan amalan norma baharu.

“Insya-Allah, Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) akan terus bersama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tanah air untuk bangkit semula terutama dalam situasi yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Khamis lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis, namun bagi kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD), aktiviti pelancongan keluar masuk di kawasan terbabit adalah tidak dibenarkan.

Kebenaran turut diberikan dengan syarat sama di premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Boleh gerak lebih radius 10km, rentas negeri, daerah kekal tidak dibenarkan

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan membenarkan pergerakan melebihi radius 10 kilometer (km) dari lokasi namun rentas daerah atau negeri masih tidak dibenarkan.

Menteri kanan keselamatan berkata keputusan itu dibuat selepas banyak aktiviti perniagaan beroperasi di seluruh negara.

“Selepas mengambil kira keputusan kerajaan sebelum ini yang membenarkan banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi, adalah tidak relevan untuk kita terus melarang mana-mana pihak bergerak dalam radius 10 km.

“Bagaimanapun, larangan merentas daerah dan negeri setakat ini masih lagi dikekalkan di semua negeri,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini.

Pergerakan lebih 10 km ini adalah dibenarkan di semua negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan Perintah Pemulihan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor antara empat negeri kekal PKP hingga 4 Mac

SHAH ALAM, 16 FEB: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang dijadual tamat pada Khamis ini dilanjutkan sehingga 4 Mac.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksana di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak, Putrajaya dan Labuan.

“Manakala, Perlis pula satu-satunya negeri dalam fasa PKP Pemulihan (PKPP). Kes banyak menurun bermula minggu kelima tahun 2021 iaitu selepas dua minggu pelaksanaan PKP.

“Kes import juga menurun tetapi kes masih kekal tinggi di beberapa negeri, justeru kita melaksana PKP, PKPB dan PKPP di beberapa negeri selama dua minggu,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menguatkuasakan semula PKP bermula 4 Februari lalu berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 dan kewujudan kluster baharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah di negeri PKPB, PKPP bermula 20 Januari kecuali tingkatan 2 dan 3

SHAH ALAM, 12 JAN: Sesi persekolahan negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) bakal bermula pada 20 Januari.

Menteri kanan (pendidikan) bagaimanapun berkata kebenaran tersebut tidak tertakluk kepada pelajar tingkatan dua dan tiga yang menjalani pengajaran serta pembelajaran di rumah sehingga 8 Mac sebelum dibenarkan ke sekolah.

“Pelaksanaan kelas secara bersemuka di negeri PKPB dan PKPP melibatkan murid pra sekolah serta darjah satu hingga enam.

“Untuk sekolah menengah pula, sesi persekolahan untuk tingkatan satu dan empat, tingkatan lima bagi sesi 2020 dan 2021 serta tingkatan 6 (2020, 2021),” kata Dr Radzi Jidin menerusi sidang media hari ini.

Semalam kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKPB pula di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terengganu dan Kelantan manakala PKPP melibatkan Perlis dan Sarawak.

Pelaksanaan selama 14 hari bermula esok sehingga 26 Januari.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0530/0600 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kekurangan minat belian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan semula untuk membendung penularan Covid-19 yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan diniagakan 50 mata lebih rendah kepada 4.0530/0600 daripada dolar AS berbanding 4.0480/0530 ketika ditutup semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata ringgit mencatatkan tiga kali ganda negatif dengan harga minyak kekal tentatif.

“Dolar AS mengukuh di seluruh papan berikutan peningkatan hasil AS, manakala kerajaan Malaysia mengenakan sekatan PKP dalam satu lagi cabaran bergelut dalam pemulihan ekonomi domestik.

“Kesemua ini meningkatkan sentimen penurunan untuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Jan) hingga 26 Jan.

Enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

Pada dagangan awal, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0467/0522 daripada 3.0436/0478 pada Isnin dan jatuh berbanding yen kepada 3.8889/8960 daripada 3.8882/8934.

Berbanding pound Britain, mata wang tempatan merosot kepada 5.4801/4903 daripada 5.4616/4687 semasa ditutup semalam dan turun berbanding euro kepada 4.9284/9382 daripada 4.9236/9309.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPP seluruh negara dilanjut lagi hingga 31 Mac

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara dilanjutkan lagi mulai hari ini hingga 31 Mac depan.

Bagaimanapun perintah itu tidak melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah serta lokaliti-lokaliti tertentu yang diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati peningkatan ketara kes Covid-19 masih berlaku di seluruh negara dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Perintah ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan. Peningkatan kes disumbangkan oleh pelaksanaan saringan wajib terhadap pekerja asing yang dijalankan secara besar-besaran dan juga akibat berlakunya penularan jangkitan dalam komuniti yang dikesan, terutamanya di Lembah Klang dan beberapa negeri,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKPP hari ini.

PKPP yang dilaksanakan kerajaan sejak 10 Jun lalu dijadualkan tamat semalam.

Menurut Ismail Sabri, segala tatacara operasi piawai (SOP) di bawah PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuat kuasa yang diwartakan dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata aktiviti di dalam pub dan kelab malam kecuali perniagaan restoran di dalam premis tersebut masih dilarang di kawasan PKPP selain aktiviti dengan kehadiran ramai sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal turut dilarang.

“Aktiviti pelancongan adalah berdasarkan ketetapan yang telah diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebelum ini namun perlu mematuhi SOP yang ketat,” jelasnya.

Mengenai pasukan petugas khas operasi pematuhan, beliau berkata Polis Diraja Malaysia menahan 347 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 337 dikenakan kompaun dan 10 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pusat hiburan (135), tidak memakai pelitup muka (109), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (54) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (49),” katanya.

Bagi Op Benteng, seramai 31 lagi pendatang tanpa izin berjaya ditahan dan lima kenderaan darat dirampas manakala 110 sekatan jalan raya dilakukan semalam.

Berhubung pemeriksaan di tapak binaan pula, katanya sejak 20 April hingga semalam, sebanyak 14,124 jumlah pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 8,029 tapak pembinaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di 10 tapak pembinaan di seluruh negara dan kesemua tapak pembinaan yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” kata Ismail Sabri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Aktiviti karaoke berbilik masih dilarang

SHAH ALAM, 24 DIS: Hanya pusat hiburan keluarga termasuk karaoke berbilik di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan beroperasi setakat ini.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti tersebut masih dilarang di negeri lain yang berada dalam kawasan PKP Bersyarat.

“Aktiviti karaoke keluarga hanya dibenarkan di kawasan zon hijau yang berada dalam tempoh PKPP,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas keputusan Kerajaan Sarawak yang membenarkan pusat karaoke berbilik kembali beroperasi bermula semalam.

Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak memperhalusi garis panduan pembukaan premis karaoke di kompleks beli-belah.

Categories
AGENDA NASIONAL

217 ditahan ingkar PKP, tidak pakai pelitup muka kesalahan tertinggi

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Sebanyak 217 Individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 210 dikompaun manakala tujuh direman, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak memakai pelitup muka mencatat kesalahan tertinggi dengan 99 kes, diikuti dengan kegagalan menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 60 kes.

Kesalahan lain adalah kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal sebanyak 31 kes, aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10), katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 67 pendatang asing diberkas hasil kawalan ketat sempadan negara secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Turut dirampas dalam operasi itu ialah empat kenderaan darat dan lapan bot, katanya.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Ismail Sabri berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 27 tapak binaan di seluruh negara, dan kesemua mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 85,383 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 77 hotel serta 19 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 12,626 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 542 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, sementara 72,215 individu dibenarkan pulang,” katanya.

-BERNAMA