Categories
NASIONAL

KEADILAN: Pangkalan TUDM terdedah ancaman asing?

SHAH ALAM 5 JAN: KEADILAN mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menjelaskan sama ada  tindakan 1MDB melepaskan ekuitinya dalam Bandar Malaysia memberi ancaman kepada pangkalan tentera negara kepada China.

Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata di bawah perjanjian asal, Putrajaya menganugerahkan tanah itu kepada 1MDB dengan syarat memindahkan kemudahan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi dan menaiktarafkan enam pengkalan TUDM lain dan satu kem polis udara.

Jual 1MDBBeliau turut mempersoalkan sama ada China Railway Engineering Corp kini bakal mengambil alih peranan itu selepas usaha samanya membeli 60 peratus kepentingan dalam Bandar Malaysia daripada 1MDB.

“Diseru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri memberi penjelasan kepada soalan itu secepat mungkin.

“Ini kerana tidak ada negara berdaulat wajar melibatkan syarikat dimiliki negara lain di dalam keputusan membabitkan kelengkapan dan kemudahan ketenteraannya,” kata Rafizi dalam kenyataan media hari ini.

Rafizi berkata pangkalan TUDM Sungai Besi adalah antara terpenting di negara ini.

Katanya, kem TUDM lain yang sepatutnya dinaikkan taraf mengikut perjanjian Bandar Malaysia itu adalah Kem TUDM Kuantan, Kem TUDM Gong Kedak, Kem TUDM Senawang, Kem TUDM Butterworth dan Kem Polis Udara Ipoh.

Minggu lalu, 1MDB mengumumkan China Railway Engineering Corp dan Iskandar Waterfront Holdings dalam satu usaha sama akan membeli 60 peratus kepentingan dalam 486 ekar Bandar Malaysia untuk RM7.41 bilion.

Walau bagaimanapun, persoalan dibangkitkan semalam selepas China Railway Engineering Corp memaklumkan kepada Bursa Saham Hong Kong bahawa nilai pembelian usaha sama itu sebenarnya RM5.28 bilion iaitu RM2.13 bilion kurang daripada diumumkan.

Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy menjelaskan harga itu bukan muktamad kerana ia tertakluk kepada “sama ada liabiliti tertentu yang berkaitan dengan Malaysia Bandar boleh diserahkan kepada konsortium itu”.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKR: Zahid usah tuding jari, dedahkan kontrak dan konsesi

Oleh: Fahmi Fadzil

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, DS Zahid Hamidi hari ini yang berkata “najib yang terpalit itu dibuat dari dulu”, berkenaan sikap orang ramai menyalahkan kerajaan kerana kontrak penswastaan yang semakin membebankan rakyat, adalah amat mendukacitakan.

Ini kerana bukan sahaja beliau menggunakan perkataan-perkataan yang tidak patut oleh seorang Timbalan Perdana Menteri dan pimpinan kanan UMNO-BN, tetapi lebih dari itu beliau enggan melihat isu dari sudut dasarnya.

Zahid-HamidiMasalah yang ada sekarang adalah kesinambungan dari pentadbiran dahulu, itu tidak dipersoal; yang bezanya ialah orang berkuasa seperti DS Zahid mempunyai kewajipan moral sebagai pemimpin nombor 2 negara untuk melakukan sesuatu untuk menangani masalah ini.

Alangkah sayangnya, DS Zahid kelihatan lebih berminat untuk memberi bayangan tentang siapa yang mencetuskan masalah dari berusaha menyelesaikannya.

Saya menggesa DS Zahid dan Jemaah Menteri untuk bukan sahaja mendedahkan semua kontrak, perjanjian dan konsesi yang mempunyai kesan terhadap kos sara hidup hari ini – termasuklah perjanjian kadar tol lebuhraya – dan tidak lagi berselindung disebalik akta kukubesi seperti Akta Rahsia Rasmi.

Jika benar kontrak, perjanjian dan konsesi ini tidak memanfaatkan malah membebankan hidup rakyat, apakah tidak mungkin ianya dikaji semula dan perjanjian yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat dimeterai?

Rakyat sentiasa melihat dan memerhati gerak langkah pemimpin. Bila tiba waktunya nanti, pemimpin terutamanya mereka yang terlibat secara langsung di dalam pentadbiran kerajaan akan dinilai di dalam “mahkamah rakyat” atas segala tindak-tanduk yang mereka lakukan.

* Fahmi Fadzil adalah Pengarah Komunikasi KEADILAN

Categories
KENYATAAN MEDIA

Asas kerjasama wajib kepada prinsip

Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh

Dalam apa-apa usaha dan tindakan, kerjasama sentiasa dianggap sebagai faktor penting dalam kejayaan. Kerjasama membawa maksud beberapa pihak terlibat secara bersama dalam mencapai sesuatu objektif yang dipersetujui bersama.

Kerjasama ini boleh berlaku dalam banyak keadaan dan peringkat, sama ada sesama individu atau kumpulan, dalam perkara kecil atau besar. Dalam kalimah bahasa, kerjasama dalam perkara keburukan pun dianggap kerjasama.

Namun berpandukan Al-Qur’an, ayat 2 Surah Al-Maidah, kerjasama mestilah berasaskan kepada melaksanakan kebaikan dan bukan kerosakan.

Mafhum ayat tersebut ialah “…Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksaNya.”

Dalam sebuah Hadith Riwayat Bukhari Rasulullah S.A.W bersabda, “Bantulah saudaramu, baik dalam keadaan sedang berbuat zalim atau sedang teraniaya.

Ada yang bertanya: “Wahai Rasulullah, kami akan menolong orang yang teraniaya. Bagaimana menolong orang yang sedang berbuat zalim?” Baginda menjawab: “Dengan menghalanginya melakukan kezaliman. Itulah bentuk bantuanmu kepadanya.””
Justeru, asas kerjasama wajib kepada prinsip-prinsip yang didokong yang membawa manfaat kepada umum namun tidak boleh sama sekali bekerjasama dalam perkara dosa seperti berdusta dan perkara melampaui batas seperti pecah amanah dan kezaliman.

Kepekaan dan kesedaran terhadap pendirian pihak yang terlibat dalam kerjasama amatlah penting supaya kita tidak terjerumus sama dalam membuat kerosakan.

Dalam konteks politik negara sekarang, amatlah jelas kepincangan UMNO-BN dalam memerintah dan mentadbir.

Krisis ekonomi dan kepemimpinan berlaku kerana kelemahan dan kebobrokan mereka yang berkait dengan prinsip amanah, keadilan, kebenaran, tatakelola dan pertanggungjawaban.

Skandal hutang 1MDB, derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, pelaksanaan GST dan penggunaan undang-undang seperti akta hasutan sebagai ancaman adalah antara pelanggaran prinsip-prinsip tersebut oleh UMNO-BN yang akibatnya amat buruk buat rakyat.

Sementara itu, dana awam yang kebanyakannya merupakan wang amanah orang Melayu dan Bumiputera turut dicemari dengan keputusan serta tindakan yang amat meragukan.

Contohnya penggunaan dana Kumpalan Wang Amanah Pencen, Tabung Haji dan lain-lain untuk menyelamatkan 1MDB. Begitu juga dengan dakwaan penyalahgunaan dana dan aset MARA dalam pembelian hartanah serta salahguna dana amal jariah YaPEIM.

Justeru, dalam konteks cadangan kerjasama di antara UMNO dan PAS yang masih lagi rakan tahaluf siyasi KEADILAN, saya ingin menegaskan pendirian Biro Politik KEADILAN bahawa bekerjasama tidak ada salahnya malah digalakkan dalam rangka usaha yang jelas ke arah mewujudkan kemakmuran ekonomi, menjamin keadilan sosial dan kepemimpinan yang amanah.

Namun pertimbangan yang bijaksana perlu diambil apabila rakan kerjasama tidak serius malah menjadi penyumbang kepada kerosakan, penyelewengan, rasuah dan kezaliman.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat

Categories
NASIONAL

KEADILAN ulangi pendirian teruskan tahaluf siyasi tumbangkan BN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 NOV: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengulangi pendiriannya meneruskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PAS bagi mengukuhkan kekuatan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali, berkata keputusan itu tidak bermakna terdapat mana-mana pimpinan parti itu mempunya kecenderungan hanya kepada sesuatu pihak sahaja.

mbkongres web 1“Kita memimpin mereka untuk membawa perubahan tetapi seperti yang disebut oleh perwakilan dan kepimpinan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 11 Oktober, sementara kita memperkukuhkan Pakatan Harapan antara KEADILAN, DAP dan AMANAH, parti juga memutuskan meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS, PSM dan parti di Sabah dan Sarawak.

“Malangnya bila tengok laporan media, seolah-olah saya yang nak ke sana sedangkan Presiden ke sini. Sebagai Timbalan Presiden KEADILAN saya patuh dan setia kepada Presiden dan keputusan parti. Jangan jadi seperti Utusan dan TV3,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan Ke-11 2015 di IDCC di sini, semalam.

Katanya, kegagalan parti pembangkang mengukuhkan kembali kesepakatan mereka hanya mengecewakan harapan rakyat ekoran mampu menyebabkan Barisan Nasional (BN) memiliki peluang cerah mengekalkan kuasa pada pilihan raya akan datang.

“Hari ini kita berhadapan pelbagai bentuk cabaran semakin getir. Ekonomi gawat, negara kita jerebu, bukan sahaja jerebu cuacanya tetapi juga jerebu politiknya, jerebu kepimpinan dan hilang keyakinan pelabur. Kita juga berhadapan krisis di kalangan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan hari ini.

“Saya sebagai pimpinan muda dalam parti mengharapkan kepada semua rakyat di luar sana bersama parti politik bersatu kamu menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional,” katanya.
EZY

Categories
NASIONAL

Azmin: “Selangor boleh, kenapa tidak Johor?”

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 NOV: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Mohamed Azmin Ali melahirkan keyakinan negeri kubu kuat Umno, Johor mampu ditembusi sekiranya parti-parti pembangkang bersedia ketepikan perbezaan pendapat antara mereka.

Mohamed Azmin berkata, ini tidak mustahil berlaku seperti apa yang pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri yang dikuasai Umno.

mbkongres web 3“Di Selangor dahulu siapa yang terfikir kita boleh perintah (sebab) Umno kuat, ‘totok’ tetapi hari ini di mana Dr Khir Toyo? Kalau Selangor boleh saya percaya Johor juga boleh,” kata Mohamed Azmin ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan Ke-11 2015 di IDCC di sini, semalam.

Bagaimanapun kata beliau, kejayaan itu tidak akan dicapai sekiranya parti politik dalam pembangkang masih gagal menguruskan perbezaan pendapat antara mereka.

Mohamed Azmin turut mengambil kesempatan menyeru supaya semua ahli KEADILAN dan rakyat terus tabah dan sabar menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran perjuangan.

“Kalau Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dipenjara sekali lagi, tidak mengapa kerana Allah hendak menguji kita supaya tabah dan sabar.

“Adakah kita berjuang hanya apabila Anwar berada di luar sahaja tetapi kita juga perlu berjuang walaupun Anwar berada di dalam penjara,” katanya lagi.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKR desak Kerajaan Persekutuan jelaskan GST kad prabayar

Oleh: Sim Tze Tzin

Pengumuman Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkenaan GST kad prabayar menimbulkan pelbagai persoalan.

KEADILAN mendesak kerajaan menerangkan mekanisme yang terbaru untuk menangani masalah ini.

Sejak bulan April sehingga sekarang, tujuh bulan telah berlalu, tiga menteri yang bertanggungjawab datang dan pergi, tetapi penyelesaian masalah masih belum ditemui. Ini membuktikan kegagalan pihak kerajaan UMNO/BN.

bantah-gstDalam satu laporan media semalam, beliau berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan mengumumkan harga tambah nilai prabayar telefon kembali seperti sebelum pelaksanaan cukai GST pada 1 November 2015.

“Macam mana Telco mahu caj, mereka kena fikirkan cara itu. Yang penting rakyat beli RM10 dapat nilai RM10” Beliau berkata. Kenyataan beliau memberi lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Kenyataan beliau penuh dengan pelbagai kontradiksi (contradictions).

Pertama sekali, dalam zaman SST, syarikat Telco menerap SST kad prabayar 6%, tetapi, sekarang dalam zaman GST, syarikat telco enggan menerap 6% GST.

Pada bulan Jun yang lepas bekas Menteri KKMM Datuk Shabery Cheek berkata kerajaan tidak berkuasa untuk membolehkan syarikat Telco menerap GST 6%. Dan beliau mengakui bahawa GST memang akan dikenakan ke atas kad top up.

Keduanya, kerajaan enggan menyenaraikan kad prabayar sebagai barangan kadar sifar (zero rated), sebab GST kad prabayar akan membawa RM850 juta pendapatan kepada kerajaan setiap tahun.

Datuk Seri Shabery Cheek juga berkata pengecualian cukai tidak harus diberi kerana akan menjejaskan keyakinan pelabur dalam isu GST.

Ketiga, dengan pengumuman yang terbaru bahawa pengguna beli RM10 dapat RM10 nilai, ini bermaksud pengguna juga tidak akan dikenakan cukai GST.

Jadi, persoalannya adalah siapa akan membiayai cukai GST RM850 juta? Ini soalan RM850 juta (This is a RM850 million question). Adakah duit akan turun dari langit? Adakah kerajaan akan dapat derma dari kawan-kawan Arab?

KEADILAN tidak yakin ada penyelesaian daripada kerajaan. Keyakinan rakyat terhadap janji-janji kerajaan telah terjejas kerana banyak pengumuman telah dibuat tapi rakyat masih kena GST. Ini amat tidak adil kepada golongan pendapatan rendah, pesara dan orang muda yang percaya kepada janji kerajaan.

Dalam soal GST kad prabayar ini, KEADILAN telah mencadangkan formula meletakkan kadar sifar terhadap kad prabayar.

Ini sekali gus akan menyelesaikan masalah dan membantu golongan berpendapatan rendah. Tetapi kerajaan telah menolak cadangan tersebut kerana kerajaan perlukan duit GST tersebut.

Dari pihak kerajaan pula, beberapa menteri yang terdahulu telah cuba menyelesaikan masalah ini tetapi tidak berjaya.

Pada bulan April, timbalan menteri kewangan yang terdahulu Dato Ahmad Maslan menjanjikan bahawa kad prabayar tidak akan dikenakan GST, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Pada bulan Mei, Perdana Menteri pula mengarahkan Menteri KKMM pada masa itu Datuk Seri Shabery Cheek untuk menangani masalah tersebut. Tetapi pada bulan Jun, GST tetap dikenakan. Selepas semua usaha gagal, apakah keyakinan rakyat terhadap pengumuman yang baru?

Walau bagaimanapun, KEADILAN mengalu-alukan usaha Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani mengambil initiatif menangani masalah GST dan kami mengucapkan selamat mencuba.

* Sim Tze Tzin adalah Pengarah Strategi Parti KEADILAN

Categories
NASIONAL

Saifuddin konsisten dan berkata benar

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 15 OKT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengalu-alukan kemasukan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai ahli baru dalam parti itu.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei, berkata Saifuddin adalah tokoh reformasi yang konsisten dalam Umno dan sentiasa berpegang kepada prinsip ‘berkata benar walaupun pahit’.

IMG-20151015-WA0003Beliau berkata, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga antara tokoh yang dihormati lawan dan kawan serta sentiasa bersederhana dalam pandangannya.

“Beliau sangat berprinsip dan perbezaan pendiriannya tidak digemari dalam kalangan pimpinan Umno, sekali gus memalapkan karier politiknya dalam parti itu.

“Justeru, PKR Selangor mengalu-alukan kemasukannya dan akan membantu menyemarak perjuangan parti seperti kami meraikan kemasukan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Kamaruddin Jaffar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Shuhaimi yang juga Adun Sri Muda, berkata jaringan sokongan pelbagai pihak dalam dan luar negara yang dimiliki Saifuddin akan membantu parti memantapkan hubungan dalam kepimpinan.

Datuk Saifuddin aKatanya, Saifuddin juga berupaya menyatukan buah fikiran pelbagai pihak sebagai nilai tambah kepada kekuatan PKR.

“Saya percaya, selepas beliau berbincang dengan kepimpinan PKR pusat, parti boleh berkongsi hala tuju dengan memberi peluang kepadanya untuk menerajui gerakan yang besar dan bermakna.

“Beliau ada sejarah hebat dan berpengalaman menerajui gerakan kesederhanaan dan pasti ia boleh dimanafaatkan demi melihat Malaysia yang lebih baik,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

‘Hijrah kecil’ Saifuddin ubah Malaysia

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 15 OKT: Datuk Saifuddin Abdullah menganggap penyertaan beliau ke dalam PKR sebagai ‘hijrah kecil’ untuk meneruskan niat dan harapan membawa perubahan kepada Malaysia.

Katanya, ruang membawa perubahan sudah tidak dibincangkan secara komprehensif di dalam Umno hingga memaksa beliau mengambil keputusan meninggalkan parti berkenaan.

PC HQ PKR Datuk Saifuddin Masuk PKR (6)“Saya menyertai politik dengan niat dan idealisma yang jelas dengan objektif lebih tinggi daripada kepentingan peribadi serta ingin membina sebuah negara Malaysia lebih baik untuk semua.

“Malangnya, saya tidak melihat ia dibincangkan secara komprehensif dalam Umno-BN. Saya fikir, harus bersama dengan gabungan minda yang berada di sebelah sini (Pakatan),” katanya yang pernah memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Saifuddin berkata, dasar PKR yang sederhana sebagai parti berbilang kaum selain idealisma jelas membawa perubahan kepada negara menjadi antara faktor beliau menyertai parti itu.

Menyentuh soal kedudukannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of the Moderates (GMM), belia akan menghantar surat perletakan jawatan sejurus Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail pulang dari luar negara.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Sah Saifuddin sertai PKR

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 15 OKT: Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus mengisytiharkan keluar Umno berkuatkuasa hari ini

Datuk Saifuddin aPengumuman itu dibuat Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di ibu pejabat parti itu, di Petaling Jaya yang turut dihadiri Saifuddin dan Timbalan Presiden PKr, Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, beberapa pihak mendesak Saifuddin yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno keluar daripada parti itu selepas didakwa mengeluarkan kenyataan yang berbeza dengan dasar mereka, sekali gus memperlihatkan Umno tidak boleh dikritik secara terbuka.

Penyertaan Saifuiddin ke dalam PKR juga dilihat bakal memperkukuhkan lagi gabungan Pakatan Rakyat (Pakatan), selepas penyertaan bekas veteran Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Berita lanjut bakal menyusul

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Ketua Umum & Presiden PKR sempena Maal Hijrah 1437

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah bagi tahun 1437H kepada seluruh umat Islam di Malaysia dengan doa semoga tahun hadapan lebih baik untuk kita semua.

KEADILAN mengajak rakyat Malaysia sama ada yang Islam, mahupun yang bukan Islam, untuk sama-sama mengambil iktibar dan manfaat daripada pengertian sebenar hijrah dalam konteks kehidupan, yang pada asasnya didasari dengan pengorbanan ke arah kebaikan.

Hijrah merupakan sebuah kesungguhan untuk perubahan, islah atau reform. Jika kita seorang Muslim, hijrahlah supaya menjadi Muslim yang lebih baik. Jika bukan Muslim, usahalah untuk melipatgandakan kebaikan dan kebajikan dalam kehidupan.

Kerjasama dengan bukan Muslim tercetus sejak peristiwa Hijrah, di mana perjalanan baginda dan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq ke Madinah dipandu oleh Abdullah bin Arqat, yang ketika itu ia masih belum memeluk Islam.

Hijrah juga mengajar kita bagaimana hebatnya pengorbanan wanita, apabila Sayidatina Asma’ binti Abu Bakar ditugaskan untuk menghantar makanan kepada Rasulullah s.a.w dan ayahnya di tempat-tempat rahsia.

Sayidatina Asma’ RA begitu bijaksana dalam setiap langkah dan menghapuskan jejaknya, supaya orang-orang kuffar Quraisy yang sedang memburu tidak dapat mengesannya. Pengorbanan ini diperakui sebagai suatu detik yang amat penting dalam peristiwa Hijrah.

logo-pkr (1)Justeru KEADILAN mengajak semua pihak, khususnya pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mengambil semangat Hijrah ini, untuk melakukan perubahan dalam negara kita yang tercinta.

Di saat yang mencabar ini, rakyat Malaysia berhadapan dengan krisis politik yang tidak menentu, krisis ekonomi yang semakin meruncing dan sistem sosial yang pincang akibat sikap berkepentingan orang politik, skandal dan penyelewengan serta perkauman yang mengugat keamanan serta kestabilan negara.

Jika kita imbas kembali bagaimana peristiwa yang berlaku 1437 tahun yang lalu, di mana Nabi Muhammad s.a.w berjaya menyatukan kaum Auz dan Khajraz yang sudah bermusuhan selama 120 tahun.

Nabi Muhammad juga membuat banyak kerjasama dengan pelbagai golongan dan agama dengan memeterai banyak perjanjian, antaranya Hilful Fudhul, Mitsaqudh Dzulmi, Baitul Aqabah (Perjanjian Aqabah) dan Mitsaqul Madinah (Piagam Madinah).

Nabi Muhammad juga membuat perjanjian perdamaian dengan kaum Yahudi di Madinah, Perjanjian dengan Bani Junainah, Perjanjian dengan Bani Dhamrah, Perjanjian dengan Bani Mudlij, Perjanjian Baitur Ridhwan, Perjanjian Hudaibiyah dan banyak lagi.

HIJRAH MAALKesemua perjanjian ini, harus diambil iktibar oleh kalangan yang berpecah dalam konteks Malaysia, untuk bersatu dalam satu front yang dinamakan Pakatan Harapan, dengan satu tekad untuk menegakkan keadilan dan mengembalikan negara Malaysia ke landasan yang betul.

KEADILAN percaya, jika kita komited dengan usaha gigih kita, jika kita komited untuk melakukan islah untuk masa depan negara, insha Allah Malaysia akan mampu diselamatkan.

Semoga dengan semangat hijrah ini kita sama-sama ketepikan kelemahan dan persengketaan kita, kita buang keegoan kita, demi masa depan anak cucu kita.

Selamat menyambut Maal Hijrah 1437.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum KEADILAN

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
1 Muharram 1437H

Categories
NASIONAL

Azmin: Tiada rampasan kuasa, tuduhan berniat jahat

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 OKT: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menyifatkan tuduhan bakal berlakunya ‘rampasan kuasa’ terhadap Presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai berniat jahat.

Katanya, tuduhan jahat dan fitnah itu dikeluarkan oleh individu yang sudah ‘muflis’ idea.

MB Azmin“Saya tiada komen untuk itu. Tuduhan dilemparkan itu berniat jahat dan fitnah dikeluarkan oleh individu ‘bangkrap’,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kreatif Digital Selangor (SDCC), di I-City, di sini.

Dato’ Menteri Besar itu bagaimanapun berkata perkara itu merupakan masalah dalaman parti dan tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka melalui media.

“Apa masalahnya? Itu masalah dalaman parti. Kita tak bincang masalah dalaman parti secara terbuka,” katanya.

Mohamed Azmin menafikan berlakunya perpecahan dalam PKR itu susulan penubuhan Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu itu yang dilakukan menerusi petisyen untuk memaksa Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) khas diadakan bagi membincangkan pembentukan Pakatan Harapan.

“Kita berbincang dengan semua pihak, parti politik mahupun mana-mana badan yang mahu jatuhkan Umno,” katanya.

Difahamkan, MPP PKR bersidang Ahad depan selepas petisyen diserahkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menuntut perbincangan berkenaan pembentukan “mengejut” pakatan baharu itu.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Aidiladha Presiden PKR

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd.

Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kesempatan yang diberikan kepada kita untuk merayakan AidilAdha bagi tahun 1436 Hijrah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Kepatuhan dan ketaatan Nabi Ibrahim tiada tolok bandingnya yang telah menjadikan Baginda sebagai pemimpin contoh yang terulung dan terhebat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya.

(Setelah itu) Allah berfirman lagi: ‘Sesungguhnya Aku melantik mu menjadi Imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia’. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: ‘(Ya Tuhan ku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunan ku (pemimpin-pemimpin ikutan)’. Allah menjelaskan lagi: ‘(Permohonan mu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Baqarah:124)

Mengambil iktibar daripada peristiwa Korban ini, kita harus memperkukuhkan muafakat rakyat untuk berhadapan dengan penguasa yang zalim, yang mempelopori politik perkauman untuk mengapi-apikan permusuhan, yang mengamalkan politik korupsi serta pincang dalam menjalankan amanah mentadbir ekonomi negara dengan baik.

Kesungguhan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat, melepaskan mereka dari belenggu kemelesetan ekonomi dan mengelakkan negara terjerumus ke jurang perkauman, harus menjadi keutamaan kita.

Justeru, kita harus menyelami erti pengorbanan sebenar, iaitu berjuang penuh keikhlasan dengan mengetepikan kepentingan peribadi, kelompok, puak dan sebagainya, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pencapaian perjuangan kita.

Aidiladha juga mengajar erti pengorbanan, kesungguhan dam kesetiaan kita, sama ada terhadap Pencipta kita, mahu pun kepada sahabat handai dan rakan seperjuangan kita.
Mudah-mudahan Allah merestui perjuangan kita.

Salam Aidiladha buat seluruh umat Islam Malaysia daripada kepimpinan dan akar umbi KEADILAN, moga

ibadah korban kita diterima.

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walillahilhamd.

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
DATUK SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
10 Zulhijjah 1436H