Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps Serdang ditutup 8 Februari, urus lebih 166,000 pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 1 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) ditutup secara rasmi 8 Februari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

“PKRC Maeps dijadualkan tutup secara rasmi pada 8 Februari ini InsyaAllah,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

MAEPS Hall A2 yang menempatkan pesakit Covid-19 wanita. Kredit foto: twitter.com/azmanrocks

Penutupan PKRC Maeps yang beroperasi kali kedua selama 14 bulan itu terdahulu dikongsi pengguna Twitter @azmanrocks yang dipercayai kakitangan kesihatan yang berkhidmat di PKRC berkenaan.

“Maeps telah mengeluarkan kumpulan pesakit terakhirnya semalam (kelmarin). MAEPS 2.0 telah menjaga 166,072 pesakit Covid-19 sepanjang 14 bulan, meringankan beban hospital di Semenanjung Malaysia.

“Satu penghormatan untuk berkhidmat di sini selama tiga bulan dan pada hari terakhirnya,” katanya menerusi Twitter, semalam.

Maeps diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 dan kemudian ditutup pada 15 Julai tahun yang sama.

Pada 9 Dis 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19.

MAEPS Hall B yang menempatkan pesakit berisiko tinggi. Kredit foto: twitter.com/azmanrocks

Sepanjang tempoh itu Kerajaan Negeri memperuntukkan RM320,000 bagi membantu melancarkan proses perjalanan PKRC Maeps antaranya taska menempatkan anak petugas barisan hadapan dan menyumbang 14 unit tablet untuk kegunaan petugas.

Kerajaan Negeri juga menyediakan lima unit Bas Smart Selangor ke PKRC Serdang bagi memudahkan urusan rawatan pesakit.

Menurut Selangor State Government, bas berkenaan digunakan untuk menghantar dan mengambil pesakit dari Pusat Penilaian Covid-19 ke fasiliti kesihatan seluruh negeri.

Ketika Aidilfitri tahun lalu, Kerajaan Selangor turut menyumbang lebih 6,000 pek makanan kepada petugas dan pesakit yang ditempatkan di PKRC berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Selangor sumbang RM320,000 bantu lancarkan PKRC Serdang

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri membelanjakan RM320,000 bagi membantu melancarkan proses Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) menerima pesakit Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan diberikan itu meliputi sumbangan kepada semua pihak di Maeps iaitu petugas barisan hadapan serta pesakit yang dikuarantin.

Pakej Kita Selangor memperuntuk RM1 juta melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan untuk meringankan beban petugas. Foto Facebook Amirudin Shari

“Semasa Maeps diaktifkan dan menerima ribuan pesakit Covid-19, Kerajaan Negeri turut membantu dengan sumbangan tablet bagi kegunaan petugas, bantuan logistik, makanan, serta kos pengurusan taska bagi petugas barisan hadapan di Maeps berjumlah RM 320,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Beliau berkata demikian selepas berkongsi pautan dari Twitter Media Selangor yang memaklumkan PKRC berkenaan ditutup selepas 14 bulan beroperasi.

Amirudin juga turut berkongsi gambar antara bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri iaitu taska sementara buat anak-anak petugas PKRC berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) mendengar penerangan oleh seorang petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang pada 19 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Taska yang menempatkan anak petugas hadapan itu beroperasi sejak 8 Februari tahun lalu dengan 41 kanak-kanak berdaftar pada hari pertama pembukaannya.

Maeps diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 dan kemudian ditutup pada 15 Julai tahun yang sama.

Pada 9 Dis 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif ‘Merdeka Booster’ tiup semangat petugas hadapan PKRC Serdang

SERDANG, 10 OGOS: “Be strong and take care of yourself. We love you,” (Tabahkan hati dan jaga diri anda. Kami sayangkan anda). Itu antara ungkapan peniup semangat yang tertera pada kad yang diberikan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sempena bulan kemerdekaan tahun ini.

Kad-kad dengan mesej peniup semangat berserta pen berbentuk pil tertulis ‘vitamin pen’ akan diikat pada pemegang pintu kenderaan dan cermin sisi motosikal petugas barisan hadapan secara rawak dalam bulan ini sebagai kejutan.

Inisiatif ‘Merdeka Booster’ oleh Unit Khidmat Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu bertujuan meningkatkan semangat dan kesejahteraan emosi dalam kalangan petugas barisan hadapan ketika menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin mencabar.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Unit Psikologi Kaunseling JKNS Suraya Banu Sallehudin, motivasi dalam kalangan petugas barisan hadapan menurun kerana situasi yang tidak reda, malah ada yang hampir putus asa dan kecewa.

“Kejutan ‘token of appreciation’ adalah supaya mereka tahu masih ada yang sayang dan hargai pengorbanan mereka supaya dapat kekal kuat dan jaga diri untuk terus menjaga rakyat yang memerlukan,” katanya kepada Bernama.

Suraya yang juga penyelaras MHPSS berkata kad dengan mesej “Be strong because things will get better. It may be stormy now, but it never rains forever” memberi kata-kata harapan kepada petugas bahawa keadaan akan pulih walaupun pada masa ini ia begitu mencabar dan di luar kawalan.

Menurut Suraya, petugas-petugas barisan hadapan yang telah menerima ‘kejutan’ berkenaan selepas habis waktu bertugas akan menghubungi MHPSS menerusi aplikasi WhatsApp memberikan maklum balas “rasa penat hilang”, “rasa dihargai” dan “rasa disayangi”.

“Kita rasa matlamat tercapai kerana rata-ratanya kembali bersemangat,” katanya.

Pegawai Penyelaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Intan Rosmawannie Adlan antara penerima kad berkenaan berkata kejutan seumpama itu adalah sesuatu yang amat diperlukan buat masa ini kerana ia mampu menceria serta menaikkan semangat petugas barisan hadapan di PKRC MAEPS 2.0.

“Walaupun hadiah kecil namun ia amat bermakna kepada petugas barisan hadapan untuk membakar semangat mereka dalam situasi yang mencabar,” kata petugas Pusat Media PKRC MAEPS 2.0, Jabatan Penerangan Negeri Selangor, Norfarhana Mohd Zainal Abidin yang turut menerima kad kejutan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sumbang pek makanan RM60,000 kepada pusat kuarantin Serdang

SERDANG, 9 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan pek makanan dan minuman bernilai RM60,000 kepada pesakit dan petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan yang diperuntukkan di bawah asnaf “Amil” itu merupakan sebahagian inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang diumumkan pada 2 Julai lepas.

Beliau berkata sumbangan itu akan dimanfaatkan 20 agensi kerajaan yang bertugas di pusat berkenaan termasuk petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sumbangan ini adalah inisiatif yang kita laksanakan di bawah peruntukan asnaf ‘Amil’ yang peruntukan asalnya bernilai RM1 juta tetapi melihat kepada keperluan sekarang ini, LZS telah membelanjakan hampir RM1.2 juta bagi membantu petugas barisan hadapan.

“Kita juga dimaklumkan bahawa pihak pusat kuarantin memerlukan susu dan lampin pakai buang dewasa setelah pusat ini dinaik taraf kepada pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat…oleh itu kita akan melihat keperluan ini jika perlu ditambah di masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu di sini.

Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata LZS turut mengagihkan bantuan kewangan kira-kira RM800,000 kepada seluruh hospital di Selangor bagi membeli barangan keperluan berkaitan Covid-19.

“Antara barangan keperluan itu termasuk katil, tong oksigen, pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan lain-lain,” katanya.

Pada 2 Julai lepas, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.0 juta peruntukan wang amil disalurkan bagi menyokong keperluan asas petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19.

Sebelum ini, LZS turut menyalurkan sumbangan sebanyak 2,000 pek makanan dan minuman selama 30 hari kepada orang ramai yang hadir membuat penilaian kesihatan di di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati, Shah Alam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ubat, lampin pakai buang dan susu bayi boleh dibawa ke PKRC Serdang

SHAH ALAM, 16 JULAI: Waris hanya dibenarkan menghantar tiga jenis barang kepada pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Serdang 2.0.

Barang tersebut meliputi ubat-ubatan untuk penyakit kronik, lampin pakai buang bayi dan dewasa serta susu bayi, kata pengarahnya.

Dr Shahabuddin Ibrahim memaklumkan keputusan dibuat melalui mesyuarat penyelarasan pengaktifan Maeps 2.0 Bilangan 59/2021 hari ini.

“Pesakit yang dirujuk ke PKRC Serdang perlu membawa kelengkapan sebelum ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

“Senarai barang keperluan yang perlu dibawa antaranya pakaian selesa untuk minimum 10 hari, tuala dan kelengkapan mandian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan individu terbabit perlu menjaga semua barang yang dibawa dan pihaknya tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang kehilangan.

Penghantaran barang dibenarkan boleh dibuat dengan mengisi borang menerusi pautan https://docs.google.com/forms/u/1/d/e/1FAIpQLSdYlP8jKUt8iX8Rd19kNQYYsacw1BZk0OuLAVeELt4VOLljAQ/viewform?usp=sf_link.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggunaan katil pusat kuarantin MAEPS hampir penuh

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 kini hampir penuh digunakan.

Menteri Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada keseluruhan katil berjumlah 5,198, 154 katil yang dikhususkan untuk pesakit Covid-19 kategori empat melepasi kapasiti penggunaan maksimum yang ditetapkan.

“Baki katil bagi pesakit Covid-19 kategori satu, dua dan tiga juga hampir digunakan sepenuhnya. Berdasarkan data terkini, PKRC terbabit menerima secara purata 800 pesakit Covid-19 sehari dengan 200 pesakit adalah mereka yang berada dalam kategori empat,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata KKM menilai semula strategi sedia ada serta mengenal pasti langkah responsif dan pantas bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 bagi menerima dan merawat pesakit khususnya kategori empat dan lima yang semakin meningkat.

Antara langkah segera:

1. Menambah segera katil ICU di hospital KKM dan hospital pengajar universiti seperti menambah 20 katil ICU di Hospital Ampang serta lapan katil ICU dan 45 katil di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia pada 7 Julai 2021.

2. Melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dengan 69 katil dan peralatan tambahan dianggar RM1.1 juta.

3. Menubuh hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR.

4. Memperluas kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat.

5. Melaksana segera penugasan semula (mobilisasi sementara) lebih 110 petugas kesihatan ke PKRC MAEPS berkuat kuasa 8 Julai 2021 untuk tempoh satu hingga enam bulan bagi menyokong PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

6. Menambah segera sebanyak 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0

7. Melaksana kerja pengujian dan penyerahan pada malam 7 Julai 2020 bagi 30 unit ‘oxygen concentrator’ baharu di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0

8. Mengoperasi semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil.

9. Menyediakan pekerja sukarelawan terutama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu pesakit kanak-kanak yang mana ibu bapa juga dirawat kerana Covid-19.

10. Bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta dan pihak majikan untuk menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan menubuhkan PKRC

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan penganggur cuba seludup rokok ke pusat kuarantin MAEPS

SEPANG, 8 JULAI: Polis menahan seorang lelaki yang didapati cuba menyeludup masuk 10 kotak rokok ke dalam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hujung minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2 petang apabila penganggur berumur 33 tahun yang juga pesakit di PKRC itu dilihat melemparkan satu bungkusan hitam berhampiran Hall A, sebelum memasuki kawasan berkenaan dengan memakai pakaian seperti pekerja kontrak.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, polis yang membuat pemeriksaan sekitar lori TNB berhampiran dengan dewan itu menemukan 10 kotak rokok jenis Luffman, dibungkus dalam satu bungkusan hitam.

“Pemeriksaan lanjut terhadap lelaki berkenaan turut membawa kepada penemuan satu bungkusan yang dipercayai air ketum dianggarkan 500 mililiter di dalam begnya,” katanya kepada media di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Serdang terima lebih 100,000 pesakit Covid-19

PUTRAJAYA, 6 JUN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang menerima kemasukan lebih 100,000 pesakit sejak dibuka pada 9 Disember tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata angka itu bukan satu kebanggaan pihaknya kerana ia memerlukan pengorbanan besar petugas barisan hadapan dalam memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Hari ini kita mencatatkan 105,797 kes yang mendapat rawatan di PKRC ini dan memperoleh kerjasama yang baik daripada agensi lain.

“Pengorbanan dan komitmen mereka (petugas barisan hadapan) begitu tinggi tidak kira siang atau malam termasuk ketika cuti umum bagi memastikan pengurusan pesakit di PKRC MAEPS ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Sha’ari berkata di awal operasi, PKRC hanya menerima pesakit dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori bergejala ringan, namun kemudian turut menerima pesakit kategori tiga iaitu kes radang paru-paru serta kategori empat yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan yang bertungkus lumus bersama 16 agensi lain bagi memastikan pesakit menerima rawatan sebaik mungkin.

“Walaupun terdapat rungutan namun sikap profesionalisme kakitangan di sini dapat mengatasinya dan berharap pesakit yang menerima rawatan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Dr Sha’ari berkata kakitangan di pusat kuarantin itu juga berpengalaman dan mampu mengendalikan kes Covid-19 dalam jumlah yang besar.

“Sekiranya berlaku peningkatan jumlah pesakit ke PKRC ini, komitmen dan pengalaman dalam kalangan kakitangan begitu tinggi yang mampu merawat pesakit walaupun dalam jumlah yang ramai.

“Kita juga telah melengkapkan beberapa fasiliti di sini seperti mesin x-ray bergerak, mesin ultrabunyi dan menambah bilangan pakar perubatan di samping 1,800 kakitangan lain untuk memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bilangan pesakit kritikal di PKRC Serdang meningkat drastik

SERDANG, 30 MEI: Di celah-celah bangunan di kawasan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), terletak satu khemah gelembung udara tekanan negatif yang didalamnya persis keadaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital, dengan peralatannya serta terdapat pesakit.

Dilengkapi empat katil, enam kerusi dan peralatan untuk resusitasi seperti di ICU, khemah MAEPS Acute Resuscitation And Isolation Area (MARIA) ini bertindak umpama ICU sementara yang mampu menempatkan 10 pesakit kritikal Covid-19 kategori 4 pada satu-satu masa yang perlu distabilkan dan memerlukan bantuan oksigen sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Timbalan Pengarah 1 Klinikal PKRC MAEPS Dr Marzilawati Abd Rahman berkata sekiranya keadaan pesakit Covid-19 kategori 1, yakni yang tidak bergejala; kategori 2 (gejala ringan) dan kategori 3 (pesakit dengan radang paru-paru) di PKRC MAEPS berubah menjadi teruk; mereka akan dimasukkan ke MARIA untuk di “resus” (resusitasi) dan distabilkan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Tempoh masa pesakit yang kami resus dan rawat sebelum dihantar ke hospital adalah dalam masa enam jam, namun ketika ini jumlah kes amat tinggi, jadi ada juga kes yang kami terpaksa ‘tahan’ sehingga 12 jam sebelum dihantar Hospital Sungai Buloh kerana keadaan kekangan katil dan bahagian di hospital itu,” katanya kepada Bernama.

[Untuk rekod: Kategori 1 – tidak bergejala, kategori 2 – bergejala tanpa adang paru-paru, kategori 3 – bergejala dengan radang paru-paru, kategori 4 – bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen dan kategori 5 – pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ (multiorgan) – editor]

Beliau berkata MARIA, yang diaktifkan pada Januari lepas, dikendalikan antara 40 dan 45 kakitangan sehari yang terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat yang bertugas dalam dua syif iaitu pagi dan petang.

Menurut Dr Marzilawati, pada awal penubuhannya bilangan pesakit kategori 4 yang dirawat di MARIA adalah kurang daripada 10 orang, namun mutakhir ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19 dalam negara, fasiliti itu menerima purata pesakit antara 50 ke 60 sehari.

“Dianggarkan 10 peratus (pesakit) kategori 3 akan menjadi ‘bertambah buruk’ atau bertukar menjadi kategori 4, yang akan memerlukan penggunaan tangki oksigen.

“Kes seperti ini yang memerlukan terapi oksigen, kami rawat di MARIA secara ‘transit’ dan kemudian pesakit dibawa ke Hospital Sungai Buloh; kerana kes-kes begini lebih bagus dengan oksigen berterusan di hospital yang boleh merawat pesakit dengan lebih efisien dan efektif,” katanya.

Selain menstabilkan pesakit yang mempunyai masalah pernafasan, beliau berkata MARIA juga merawat pesakit yang menghidap penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

“Pesakit yang ada penyakit lain contohnya kencing manis, mungkin tidak dapat dikawal semasa kemasukan (ke PKRC MAEPS), kita rawat dia dulu untuk dalam beberapa jam (di MARIA) dan selepas rawatan dia telah baik, dan kemudian dia boleh masuk ke dewan.

“Ada juga kes yang tiba-tiba mereka dapat sakit dada, yang memerlukan rawatan seterusnya di hospital, jadi kita rawat dulu di sini (MARIA) dan kemudiannya kita hantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Dr Marzilawati berkata 80 peratus pesakit yang dirawat di MARIA ialah pesakit yang memerlukan oksigen atau kategori 4 manakala selebihnya adalah disebabkan ‘medical illness’.

Bagi menampung pertambahan pesakit yang dibawa ke MARIA, beliau berkata pusat rawatan sementara itu disambungkan dengan Dewan B, yang bertindak sebagai unit sokongan kepada MARIA dengan kapasiti 60 katil.

Sehingga 26 Mei, PKRC MAEPS mempunyai kapasiti 5,648 katil dengan lebih 75 peratus daripadanya telah dipenuhi pesakit yang kebanyakan dari kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tandas dibersih empat kali sehari, 75 peratus pesakit Covid-19 puas hati

SHAH ALAM, 18 MEI: Tandas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dibersihkan empat kali sehari mengikut jadual, kata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Jabatan berkata tinjauan dilakukan mendapati 75 peratus pesakit turut berpuas hati dengan tahap kebersihan tandas berkenaan.

“Untuk makluman kerja pembersihan tandas dilakukan pada jam 10 pagi-12 tengah hari, 3-5 petang, 8-10 malam dan 2– 4 pagi.

“Ada pesakit memberikan komen positif berhubung perkara ini menerusi media sosial. Bagaimanapun jumlah penggunaan tinggi selain sikap membuang sampah merata-rata menyebabkan saluran tersumbat,” katanya menerusi Facebook.

Kenyataan sebagai maklum balas terhadap laporan portal berita berhubung luahan pesakit ketika mendiami pusat berkenaan termasuk keadaan tandas yang jijik.

Berhubung isu suhu, JKNS berkata pihaknya akan mengatasi masalah itu dengan menetapkan suhu piawaian antara 22 hingga 24 darjah celcius selain meneruskan pantauan.

“Untuk bekalan makanan pula, PKRC sediakan sebaik mungkin bagi elakkan pembaziran. Kenderaan saji (food truck) disediakan secara percuma sehingga 10 malam manakala pesakit yang masuk selepas waktu itu akan diberikan roti, biskut, jem kaya, air kotak dan mineral.

“Agihan makanan diutamakan kepada warga emas, kanak-kanak serta pesakit yang mempunyai diet terapeutik. Walaupun proses agak lambat namun pihak PKRC akan memastikan ia selesai dalam tempoh dua jam,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kerajaan Negeri sedia bantu ringan beban KKM

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerajaan Selangor sentiasa berusaha memenuhi keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dari segi bantuan sukarelawan atau kemudahan kesihatan.

Dato’ Menteri Besar berkata walaupun Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri tetapi pihaknya sedia membantu untuk meringankan beban mereka.

“Pengurusan CAC di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKNS, tetapi Kerajaan Negeri bersedia beri bekerjasama untuk membantu selagi boleh.

“Kerajaan Negeri akan memasang khemah untuk kemudahan pesakit dan petugas di luar CAC,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter merujuk kesesakan di CAC Stadium Malawati.

Katanya, beliau juga difahamkan JKNS mengalami masalah kekurangan petugas perubatan kerana mengurus  Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS yang turut menerima pesakit negeri lain selain terlibat urusan program imunisasi.

Hari ini, JKNS berkata pihaknya bercadang menambah kapasiti kepada 1,000 katil di PKRC terbabit susulan kemasukan ramai pesakit kategori tiga iaitu bergejala dengan radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen.

Katanya, penambahan katil pesakit kategori itu bertujuan menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan angka pesakit Covid-19 pada masa kini.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pusat kuarantin Serdang cadang tempatkan 1,000 katil pesakit kategori tiga

SHAH ALAM, 16 MEI: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bercadang menambah kepada 1,000 katil bagi menampung pesakit wabak tersebut.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan langkah itu dibuat susulan kemasukan ramai pesakit kategori tiga iaitu bergejala dengan radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen.

“Awalnya kita hanya ada 60 katil untuk kategori tiga pada Januari lalu tetapi kini PKRC Bersepadu MAEPS menempatkan seramai 757 pesakit dan bercadang menambah kapasiti bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang.

“Justeru, pesakit kategori tiga akan ditempatkan di dewan berhampiran ICU sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan manakala pesakit kategori satu dan dua yang stabil diletakkan di Dewan DG,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun, PKRC berusaha sebaik mungkin memisahkan kategori pesakit warganegara dan bukan warganegara di dewan berkenaan.