Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps diaktifkan semula untuk ringan beban hospital

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang yang diaktifkan semula hari ini bagi meringankan beban di hospital daripada menjadi sesak dengan kes melibatkan pesakit Covid-19 bergejala ringan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ketika ini didapati banyak pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital tidak memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan rawatan intensif.

“Contohnya, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudahpun meningkatkan perkhidmatan untuk (kes) bukan Covid-19, jadi kita tak nak nanti semua (kes Covid-19) dirujuk semula ke HKL dan akhirnya jadi sesak.

“Kedua, kita telah melihat sekarang ini banyak kes yang masuk ke hospital yang mempunyai sampingan Covid-19, dia datang sebab rawatan lain, tetapi apabila buat ujian di hospital, didapati dia positif Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian dan lawatan ke Kompleks Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Hospital Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu merumitkan sedikit pengurusan di hospital kerana pesakit tersebut terpaksa diasingkan di wad Covid-19 dan pengasingan pesakit di MAEPS akan memastikan hospital tidak sesak serta mempunyai fleksibiliti untuk mengurus katil.

Sementara itu, menerusi hantaran di laman Twitter, Khairy berkata pembukaan semula Maeps adalah satu langkah awalan sekiranya memerlukan.

Menurutnya, hal itu kerana ketika ini pesakit Covid-19 kategori satu dan dua yang berisiko tinggi turut diterima masuk ke hospital sebagai langkah awal.

“Langkah ini dibuat kerana jumlah kes tinggi dan jika keadaan mendesak, pesakit Covid-19 berisiko tinggi boleh terus diberikan intervensi awal. Hospital pula boleh fokus kepada pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima dan dalam masa yang sama tidak perlu menjejaskan operasi kes bukan Covid-19,” katanya.

Semalam, Khairy pada sidang media berkata PKRC di Maeps akan diaktifkan semula bermula hari ini bagi merawat kes berisiko rendah.

Selain itu dalam sidang media hari ini, beliau berkata hanya 10 hingga 15 peratus bekas pesakit Covid-19 mempunyai komplikasi ‘Long Covid’ atau jangka panjang dengan kebanyakannya adalah golongan berisiko.

“Kita mempunyai protokol merawat ‘Long Covid’, terutamanya melalui penjagaan rehabilitatif. Saya telah meminta supaya kita meningkatkan lagi rawatan rehabilitasi untuk Covid-19 yang berpanjangan. Jadi kita memberi perhatian kepada kes Long Covid ini terutamanya mereka yang dalam kategori berisiko tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kontak rapat pesakit Covid-19 hanya perlu menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19, kerana ujian saringan tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) akan mengesan virus itu walaupun kadar kebolehjangkitan sangat rendah.

“Sebab itu kita tidak sarankan PCR digunakan dalam semua keadaan, RTK mencukupi kerana ia dapat kesan mereka yang mempunyai viral load yang tinggi.

“Sebab itu kita yakin dengan protokol baharu, kontrak rapat, kalau dah booster (dos pengalak), hanya perlu buat RTK sebab itu dapat saring mereka yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya.

Semalam, Khairy mengumumkan individu berumur 18 tahun ke atas yang menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala pada hari pertama, tidak perlu menjalani kuarantin bermula 1 Mac.

Dalam isu berasingan, Khairy berkata beliau telah meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membuat analisis menyeluruh terhadap isu kekurangan jururawat di hospital.

“Saya nak selesaikan betul-betul (isu) kekurangan jururawat kita, semalam pun saya ada dialog dengan kesatuan-kesatuan, pekerja, staf kumpulan pelaksana di KKM, mereka pun cakap benda yang sama. Saya mahu mencari punca dan mungkin selepas selesai isu doktor kontrak saya nak lihat pula kepada kumpulan pelaksana,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 1,000 pelajar di Cyberjaya disaring, 139 dirujuk ke PKRC

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 946 pelajar, guru dan petugas Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sepang disaring sejak semalam susulan penularan kluster Covid-19 di situ.

Daripada jumlah itu, seramai 139 orang dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), kata pengarah kesihatan negeri.

Dato’ Dr Sha’ri Ngadiman menjelaskan kontak rapat Kluster Persiaran Tasik itu ditempatkan di stesen kuarantin kerajaan dengan semua pesakit tidak bergejala serta stabil.

“Pejabat Kesihatan Daerah Sepang dan sekolah bekerjasama rapat menangani kluster ini. Sebarang maklumat terkini dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes indeks melibatkan seorang guru yang dikesan bergejala pada 22 November dan disahkan positif Covid-19 dua hari kemudian.

Dr Sha’ri menjelaskan saringan kontak rapat mengesan tujuh lagi kes iaitu enam pelajar dan seorang guru dengan kluster tersebut diumumkan pada 29 November.

“Kesemua pelajar dirujuk ke PKRC Maeps manakala kedua-dua guru menjalani pengasingan di rumah,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM rancang buka dua lagi pusat kuarantin di Lembah Klang

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) jika kes positif pandemik itu terus meningkat secara mendadak di Lembah Klang.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata dua PKRC dikenal pasti ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil di Selangor dan Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur di Jalan Pahang di sini yang menghentikan operasinya pada 2019.

“PKRC UiTM dapat menempatkan 1,200 katil…ini sudah tentu membantu mengurangkan bebanan di PKRC utama serta penggunaan katil secara keseluruhanan di Lembah Klang yang kini pada tahap kritikal,” katanya semasa menjadi tetamu program ‘THe Nation” bertajuk ‘Malaysia and the Covid-19 Battle’, yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV hari ini.

Katanya KKM juga mengkhususkan PKRC untuk warga asing di hotel seperti Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dan sebuah resort di Bangi dengan kos ditanggung oleh mereka.

Dr Noor Azmi berkata KKM juga meningkatkan kapasiti di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Selayang dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bandar Tun Razak, Cheras bagi menampung peningkatan kes positif terutama bagi kategori empat dan lima.

Mengenai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), katanya kementerian menjangkakan lebih banyak syarikat akan menyertai program tersebut bagi meningkatkan pemberian suntikan vaksin kepada pekerja memandangkan wujudnya banyak kluster di tempat kerja.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kapasiti pusat kuarantin seluruh negara kini pada tahap 60 peratus

IPOH, 11 JUN: Kadar kapasiti penggunaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara ketika ini berada pada tahap 60 peratus, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata beberapa pilihan seperti penggunaan Institut Latihan Awam Persekutuan di seluruh negara dan asrama awam akan diguna pakai pihaknya sekiranya jumlah pesakit di PKRC terus bertambah namun ia bergantung kepada kes dan keadaan semasa.

“Kita akan pastikan ada ruang (penampan) 20 peratus bagi setiap PKRC. Kalau sudah sampai 80 peratus (kapasiti), kita akan cari pilihan tertentu. Antara pilihan itu adalah kita mempunyai 360 buah Institut Latihan Awam Persekutuan di seluruh negara.

Itu merupakan satu potensi, begitupun kebanyakan institut awam ini kita gunakan sebagai pusat kuarantin bagi mereka yang balik dari luar negara dahulu. Sekiranya berlaku keadaan agak kritikal di PKRC, NADMA akan menggunakan pilihan berkenaan tetapi tidak melibatkan semua negeri dan bergantung kepada kekuatan yang ada,” katanya selepas melawat PKRC Arena Badminton Ipoh hari ini.

Katanya, aset awam (bangunan dan infrastruktur kerajaan) dipilih kerana ia boleh digerakkan secepat mungkin menerusi kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan negeri selain boleh mengurangkan beban kos membiayai setiap pusat kuarantin dan PKRC yang dilihat amat tinggi.

Keperluan menambah PKRC sedia ada bagi menampung pesakit Covid-19 terutamanya kategori satu dan dua, akan terarah serta difokuskan kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Johor Bahru dan Lembah Klang terlebih dahulu.

Nadma bertanggungjawab terhadap kelicinan proses di semua 80 PKRC seluruh negara yang membabitkan kira-kira 5,000 petugas kesihatan dan bukan kesihatan selain 30,000 katil untuk menampung pesakit-pesakit pandemik tersebut.

Agensi itu kini sedang mengadakan siri lawatan ke semua PKRC di seluruh negara pasca Hari Raya Aidilfitri bagi melihat situasi semasa pusat-pusat kuarantin ini dari segi kapasiti dan perjalanan proses pentadbiran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sedia umum pakej baharu ekonomi jika PKP 3.0 berpanjangan

SERDANG, 15 MEI: Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan membantu rakyat menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang baharu jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berterusan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata situasi semasa penularan Covid-19 turut diambil kira jika berlaku peningkatan kes mendadak di negeri ini.

“Ia bergantung kepada kadar jangka masa lama atau tidak Covid-19 atau PKP dilaksanakan.

“Namun PKP kali ini tidak seperti PKP 1.0 di mana kita tutup semua aktiviti ekonomi tetapi kali ini kita masih membenarkannya walaupun sekadar 30 peratus,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, kelmarin.

Sementara itu, Amirudin mengakui terdapat desakan daripada beberapa pihak yang meminta supaya menutup terus aktiviti ekonomi di Selangor.

Beliau berkata perkara itu berikutan keadaan kritikal terutama jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) yang menunjukkan peningkatan mendadak.

“Kejadian di tempat kerja sejak Februari hingga Mei juga tinggi antara 40 hingga 45 peratus, namun dalam lima ke enam hari ini kes terkawal sekitar 20 peratus,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kawalan pusat kuarantin ditingkat, elak kes curi berulang

MELAKA, 13 FEB: Kawalan keselamatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara akan ditingkatkan bagi mencegah sebarang kejadian tidak diingini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata ini termasuk menambah jumlah anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di 391 pusat yang masih beroperasi dan aktif.

Katanya, usaha itu juga bagi mengelak imej PKRC tercalar dengan isu negatif susulan kejadian kecurian yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.

“Apabila terdapat ramai orang di situ, pelbagai masalah boleh timbul, jadi apa yang kita boleh lakukan ialah meningkatkan kawalan keselamatan di pusat-pusat tersebut.

“Dengan kehadiran lebih anggota APM di situ, mungkin rondaan boleh dilakukan sekerap mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program penyampaian Kit Bantuan Makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang hari ini.

Pada program tersebut, sebanyak 1,000 kit makanan disumbangkan kepada penduduk kawasan Parlimen Tangga Batu dalam usaha meringankan beban golongan yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Khamis lalu, polis menahan dua lelaki selepas disyaki mencuri empat unit telefon bimbit milik pesakit di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata kerajaan menerusi Nadma akan menubuhkan Program Sukarelawan Pemerkasaan Komuniti bagi membendung penularan Covid-19.

Program dijangka melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat dan anggota masyarakat dalam program pendidikan dan penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) serta pematuhan pencegahan Covid-19.

“Dengan adanya sukarelawan tersebut dalam kalangan komuniti, ia dilihat akan memberi kefahaman secara lebih luas tentang norma baharu serta bahayanya virus Covid-19 ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Bas Smart Selangor buat lebih 15 pusingan bawa pesakit, petugas di PKRC

SHAH ALAM, 1 FEB: Bas Smart Selangor disediakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang melakukan lebih 15 pusingan sehari bagi urusan membawa pesakit dan petugas kesihatan.

EXCO pengangkutan berkata kekerapan tersebut bergantung kepada permintaaan serta bilangan pesakit pandemik di pusat bertempat di Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) itu.

“Setiap hari bas ini akan membuat antara 15 hingga 20 pusingan bergantung kepada situasi. Dari jumlah itu tiga hingga lima pusingan membawa pesakit positif manakala selebihnya membawa kakitangan dari PKRC ke tempat penginapan,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Beliau berkata semua pemandu kenderaan akan melalui proses nyahkuman sebelum mengambil dan menghantar pesakit atau kakitangan bertugas.

“Apabila waktu bekerja tamat, bas juga akan dibersihkan dan menjalani proses sama di depot RapidKL bagi memastikan keselamatan pemandu serta penumpang,” katanya.

Minggu lalu, Sze Han memaklumkan sebanyak 10 Bas Smart Selangor disediakan untuk tujuan itu dan dinyahkuman dari semasa ke semasa.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKRC Maeps masih mampu tampung pesakit gejala rendah Covid-19

SHAH ALAM, 24 JAN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) masih mampu menampung pesakit Covid-19 bergejala rendah di Selangor, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Beliau berkata secara purata, penggunaan katil di PKRC itu ialah 3,000 hingga 3,500, dan setakat ini masih terdapat kira-kira 5,000 katil yang masih belum digunakan.

“Di PKRC Maeps, kita ada sebanyak 9,350 katil yang disediakan untuk pesakit bergejala rendah kategori 1 dan 2 dan sekarang kita sudah letakkan 60 ‘acute bed’ untuk merawat pesakit kategori 3 dan 4 (sekiranya berkeperluan)

“PKRC ini direka bukan sahaja untuk menerima kes-kes positif dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi juga pesakit dari Melaka, Negeri Sembilan serta Johor,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, tular beberapa video menerusi media sosial menunjukkan kononnya berlaku kesesakan di PKRC Maeps akibat pertambahan jumlah pesakit yang mendadak.

Pada 9 Disember lalu, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC. Kali pertama Maeps diaktifkan sebagai PKRC ialah pada 16 April tahun lalu sebelum ditutup pada 15 Julai.

Pembukaan PKRC merupakan usaha kerajaan menempatkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala bagi memastikan kecukupan katil di hospital untuk pesakit bergejala.

Sementara itu, Dr Sha’ari mengesahkan jangkitan membabitkan seorang jururawat di Hospital Shah Alam baru-baru ini adalah daripada komuniti dan bukan berpunca di hospital.

Katanya petugas tersebut sudah disaring dan kini sedang dirawat manakala kesemua kontak rapat sudah menjalani ujian saringan dan didapati negatif.

“Keadaan di Hospital Shah Alam juga terkawal dan kes ini dikategorikan kes terpencil kerana punca jangkitan adalah bukan daripada hospital,” katanya.

Dr Sha’ari turut menasihati orang awam agar terus kekal berada di rumah dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Video tular PKRC MAEPS sesak mengelirukan – Nadma

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini menjelaskan video tular yang menunjukkan kesesakan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) tidak menggambarkan situasi sebenar.

Ini kerana menurut Nadma, kandungan video itu tidak menunjukkan keseluruhan dewan penempatan pesakit Covid-19 selain tidak disertakan penerangan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Nadma Nur Daliza Dohat berkata pada masa ini PKRC itu mempunyai 8,000 katil, namun berkapasiti sebenar 10,000 katil.

“Setakat 12 tengah malam, 8 Janauri, jumlah pesakit semasa ialah 2,863 orang. Ini bermakna daripada 8,000 katil sedia ada jumlah katil yang masih kosong ialah 5,137 buah.

“Gambaran dalam video yang sedang tular bahawa PKRC sesak adalah mengelirukan. Keadaan dalam video itu hanyalah situasi biasa ketika proses discaj harian,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Nur Daliza menjelaskan sekalipun tiada dinding sekat, penjarakan fizikal antara pesakit dilakukan mengikut tatacara operasi piawai pihak berkuasa.

Ketiadaan dinding sekat bertujuan membolehkan petugas-petugas di PKRC memantau keadaan kesemua pesakit secara efektif, jelasnya.

“Ketika ini terdapat 1,170 petugas daripada pelbagai agensi bertugas memastikan pesakit yang ditempatkan di PKRC berada dalam keadaan baik dan selesa,” katanya.

Pada 9 Disember lepas, kerajaan memutuskan mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC. Kali pertama MAEPS diaktifkan sebagai PKRC ialah pada 16 April tahun lalu sebelum ditutup pada 15 Julai.

Pembukaan PKRC merupakan usaha kerajaan menempatkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala bagi memastikan kecukupan katil di hospital untuk pesakit bergejala.

Dalam pada itu, Nur Daliza berkata jumlah kumulatif pesakit Covid-19 yang ditempatkan di PKRC sejak dibuka ialah 19,121 orang iaitu 18,362 lelaki dan 759 wanita.

Slogan ‘Kita jaga kita’ sebagai peringatan kepada masyarakat untuk sentiasa berwaspada haruslah menjadi pegangan kerana tidak mustahil keadaan sesak di PKRC boleh berlaku jika masyarakat terus leka dalam usaha membendung wabak itu, katanya.

– BERNAMA