Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

PLATS dapat sambutan, 25,000 individu daftar dalam sebulan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kira-kira 25,000 individu mendaftar sebagai peserta Platform Selangor (PLATS) selepas Kerajaan Negeri memperluaskan program itu kepada penjaja kecil dan peruncit bulan lalu.

EXCO pembangunan usahawan berkata angka dicatatkan dalam tempoh sebulan itu menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap usaha dijalankan bagi menggerakkan ekonomi.

Susulan itu Rodziah Ismail berkata pihaknya menawarkan bantuan pembiayaan Hijrah lebih cepat kepada peserta yang memerlukan modal permulaan.

“Menerusi PLATS usahawan mendapat akses pembelian dari seluruh negara selepas dibantu dari aspek pemasaran, digitalisasi dan latihan.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Liga Usahawan Selangor secara dalam talian pada 31 Mei 2021.

“Jadi selepas ini peserta yang mahu mengembangkan perniagaan boleh memohon bantuan secara terus tanpa perlu mengisi borang. Sediakan dokumen dan Hijrah akan terus proses,” katanya pada program Bual Bicara Menyambung Nyawa Usaha IKS Dalam Era Covid-19.

Program disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Rodziah berkata pihaknya merancang menjadikan PLATS sebagai pusat sehenti untuk memudahkan peserta mendapatkan bekalan perniagaan tanpa terhad kepada penjualan makanan sahaja.

Pada 9 Jun Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan PLATS diperluas kepada perusahaan kecil dan sederhana mikro menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

PLATS diperkenal Ramadan tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MB rancakkan pendigitalan, bantu peniaga depani Covid-19

SHAH ALAM, 22 JUN: Inisiatif pendigitalan yang dirancakkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sepanjang tiga tahun pentadbirannya memacu sektor ekonomi negeri meski berdepan wabak Covid-19.

Memberi contoh, exco perdagangan berkata platform Grab Selangor dan Platform Selangor (PLATS) disusuli kempen e-Bazar Raya Selangor yang dibangunkan memastikan peniaga kecil terus dapat mencari rezeki.

“Mulai saat itu, Kerajaan Negeri mendaftar ramai pengusaha kecil dan sederhana yang sebelum ini dilihat ‘menjauhi’ e-dagang dan pendigitalan. Kita berikan insentif baucar pendaftaran serta geran padanan.

“Dari segi pencapaian juga agak baik, program e-Bazar Raya dan Tahun Baharu Cina merekodkan kesan ekonomi RM2.3 bilion,” kata Dato’ Teng Chang Khim mengulas ulang tahun ketiga pentadbiran Amirudin pada Sabtu lalu.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei pula menyifatkan inisiatif Amirudin dalam bidang pendigitalan membuka pandangan baharu masyarakat terhadap Selangor sebagai sebuah negeri pintar.

“Bila berlaku pandemik Covid-19, Dato’ Menteri Besar agak agresif. Hasilnya penjaja dapat berniaga manakala kami wakil rakyat boleh terus menjalankan tugas, ini benar-benar dikatakan negeri pintar.

“Saya gembira Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mengambil inisiatif membuat penerangan tiga bahasa dalam aspek pendigitalan sekali gus lebih ramai audien dicapai,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Empat langkah mudahkan peniaga bazar daftar saluran e-dagang

SHAH ALAM, 16 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengajak peniaga bazar Ramadan negeri ini mendaftar perniagaan mereka di saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS) untuk kemudahan pelanggan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka hanya perlu melengkapkan pendaftaran dengan empat langkah mudah secara percuma menerusi www.plats.com.my .

“Buat peniaga bazar Ramadan Selangor, daftarkan perniagaan di PLATS supaya penduduk kawasan setempat atau berdekatan mudah menjejaki perniagaan serta membeli daripada anda,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Selain melayari laman sesawang PLATS, tiga langkah seterusnya ialah klik ‘Daftar Kedai Anda PLATS E-Kitchen’, lengkapkan butiran diri serta perniagaan dan hantar permohonan.

Saluran e-dagang tersebut dimulakan tahun lalu dengan pelancaran PLATS e-bazar iaitu bazar Ramadan digital pertama di negara ini berikutan ketiadaannya akibat penularan Covid-19.

Program itu ditambah baik menerusi PLATS 2.0 pada 11 April lalu dan Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai peniaga menyertai program e-Dapur seiring perkembangan era pendigitalan serta berjalan sepanjang masa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga raih pendapatan lumayan, harap e-dapur diteruskan

SHAH ALAM, 27 JUN: Peniaga e-Dapur Selangor berjaya meraih keuntungan lumayan sepanjang Ramadan lalu dan mahu platform itu diteruskan.

Menurut pemilik Sambalchips Mohd Izzudin Maarof, beliau berjaya meraih keuntungan RM1,000 pada hari pertama berniaga.

“Keuntungan saya cecah hingga RM1,500 sehari dan jumlah itu konsisten. Saya harap e-dapur diteruskan kerana membantu malah memberi kemudahan kepada peniaga.

“Terima kasih kepada PLATS (Platform Selangor) dan Dato’ Menteri Besar kerana beri peluang peniaga tonjolkan diri,” katanya melalui rakaman video yang dikongsikan Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Sementara itu, pemilik Restoran Adam Boy, Mohd Saiful Abdullah berkata sekiranya e-dapur tidak dilaksanakan, perniagaannya mungkin ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bukan dari keluarga senang. Perniagaan jadi teruk akibat Covid-19. Bantuan yang dipohon juga tak lulus.

“Muncul PLATS e-dapur. Saya cuba..(e-dapur) bantu saya banyak. Pendapatan mula-mula RM300 naik ke RM500 dan kemudian cecah antara RM700 ke RM800 sehari,” katanya.

Pada 18 April lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan e-Dapur Selangor susulan pembatalan bazar Ramadan pada tahun ini ekoran penularan Covid-19.

Sebanyak 77 pusat pengumpulan dipilih meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan dan 67 restoran menyediakan juadah Ramadan di seluruh negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jom tempah juadah berbuka di Plats dan Grab Selangor

SHAH ALAM, 23 APRIL: Ketiadaan bazar Ramadan tahun ini bukan masalah bagi orang ramai untuk berbelanja mendapatkan juadah berbuka puasa pada setiap hari.

Ini kerana keadaan luar biasa dihadapi berikutan penularan wabak Covid-19 diatasi apabila Kerajaan Negeri memperkenalkan dua saluran e-dagang khas iaitu Platform Selangor (Plats) dan Grab Selangor untuk kemudahan semua membuat tempahan dalam talian.

Rakyat negeri ini boleh menempah pelbagai juadah menarik mulai esok dengan melayari http://www.plats.com.my/

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Yayasan Hijrah Selangor di talian 03-5519 1692.

Bagi memenuhi permintaan, 77 pusat pengumpulan disediakan meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor.