Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Perangkaan wujud platform My Local Stats 2020, papar maklumat sosioekonomi terkini

PUTRAJAYA, 7 JAN: Data My Local Stats 2020 yang mengandungi statistik sosioekonomi utama di peringkat negeri dan pentadbiran daerah telah dimuat naik dalam platform visual interaktif hari ini, menurut Jabatan Perangkaan (DoSM).

DoSM dalam kenyataan hari ini berkata platform yang boleh diakses menerusi laman web DoSM atau aplikasi telefon pintar itu mengandungi data dari 2018 hingga 2020, berdasarkan kepada penerbitan My Local Stats 2020 yang diterbitkan pada 26 Okt lepas.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata visual interaktif My Local Stats membantu pencarian data menggunakan platform mesra pengguna dan membekalkan dimensi baharu kepada akses statistik secara visual.

“Visual data dilihat mampu menarik lebih ramai pengguna menghargai hasilan statistik di samping memudahkan pengguna mendapatkan pelbagai data pada platform yang sama,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata visual interaktif itu terdiri daripada 16 bidang dan mengandungi 374 petunjuk ekonomi dan sosial.

Antara penunjuk yang terdapat dalam kedua-dua web dan aplikasi telefon pintar adalah populasi mengikut jantina dan etnik; saiz keluasan tanah; bilangan stok unit kediaman sedia ada, dan bilangan unit kediaman siap.

Terdapat juga bilangan bekalan unit kediaman akan datang dan bekalan unit kediaman yang dirancang; statistik utama tenaga buruh; jumlah hospital dan klinik kerajaan; punca utama kematian yang disahkan secara perubatan dan bilangan ketua isi rumah miskin yang berdaftar.

Mohd Uzir berkata My Local Stats 2020 turut menampilkan tambahan 42 petunjuk baharu, antaranya trend median harga rumah dan jenis rumah; bilangan sekolah, murid serta guru di sekolah-sekolah swasta rendah dan menengah; serta kadar kematian mengikut negeri dan daerah.

“Ketersediaan perangkaan yang lebih terperinci di peringkat tempatan memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan daerah dalam menambah baik dasar, tadbir urus dan keperluan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Mohd Uzir berkata statistik yang disiarkan dalam My Local Stats seperti jumlah penduduk, pekerjaan, kemudahan kesihatan, perkhidmatan kebajikan dan keselamatan awam boleh dijadikan rujukan penting bagi maklumat berhubung pengagihan bantuan kepada ahli isi rumah yang terjejas oleh banjir di daerah pentadbiran masing-masing.

Visual interaktif My Local Stats boleh diakses melalui pautan https://tinyurl.com/dashboardmylocalstats.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

GM Klang sedia platform galak orang ramai belanja dalam talian

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Orang ramai kini berpeluang untuk mendapatkan produk dan promosi barangan dari para pemborong GM Klang dengan mengikuti program ‘Live GM Klang’ di platform digital rasmi mereka, tanpa perlu berkunjung ke pusat borong tersebut.

GM Klang dalam kenyataan hari ini memaklumkan berikutan situasi semasa yang tidak membenarkan rentas negeri dilakukan, program secara langsung itu akan membawa penonton menerokai kedai-kedai di GM Klang dan berkongsi promosi-promosi menarik yang ditawarkan.

“Situasi kini telah mendorong lebih banyak bidang perniagaan tertumpu secara dalam talian dan kini menjadi trend orang ramai untuk mendapatkan barang keperluan dan seiring perkembangan ini, GM Klang mula memvariasikan mesej di platform digital rasmi kami.

“Melalui segmen ulasan produk ini yang bersiaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penonton boleh berinteraksi dengan selebriti-selebriti jemputan pada slot-slot terpilih,” katanya.

Menurut kenyataan itu, platform media sosial ini bukan sahaja tertumpu kepada promosi perniagaan dan produk semata-mata, tetapi juga pelbagai video Tik Tok sebagai hiburan santai kepada pengikut-pengikut media sosial mereka.

“Selain itu, GM Klang juga memaparkan konsep ‘unboxing’ yang diketengahkan dalam segmen On X On GM Klang, dan para penonton pastinya akan lebih teruja untuk melihat barangan yang dibeli di GM Klang dan didemontrasikan dengan lebih terperinci,” menurut GM Klang.

GM Klang juga menjalankan pelbagai kempen dan peraduan untuk para pengunjung dan menawarkan pelbagai hadiah menarik.

-BERNAMA

Invest Selangor : Web baru mampu tarik pelaburan asing


Invest Selangor lancar web baru sebagai platform menarik pelaburan asing dan tempatan. Layari www.investselangor.my