Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Lima individu termasuk Datuk ditahan godam sistem pangkalan data Imigresen

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kegiatan mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu akhirnya berjaya dilumpuhkan selepas lima individu termasuk ketua sindiket bergelar Datuk ditahan dalam operasi besar-besaran yang dilaksanakan awal pagi tadi.

Penahanan individu berkenaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut berjaya merungkai permasalahan yang dihadapi Jabatan Imigresen sebelum ini terhadap sistem PLKS mereka yang telah digodam sindiket berkenaan.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek berusia 33 hingga 43 tahun itu ditahan bersama dua perisian sistem komputer klon dan transmitter (pemancar) yang digunakan sindiket, dalam operasi di 22 lokasi di sekitar ibu kota, hasil risikan suruhanjaya itu bersama Jabatan Imigresen.

“Kegiatan yang dilakukan oleh kesemua suspek telah menyebabkan kerugian sehingga ratusan juta Ringgit kepada kerajaan dalam bentuk levi pekerja asing.

“Sindiket ini turut berkerjasama dengan ‘orang dalam’ dengan mengodam pangkalan data imigresen dengan memasang transmitter bagi membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai dan memasukkan nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapat PLKS secara sah,”kata sumber itu.

Menurutnya lagi, pas berkenaan akan dicetak di pusat operasi sindiket, yang beroperasi di sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail, di sini, sebelum menjualnya dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM8,000 bagi setiap PLKS kepada warga asing yang bekerja di negara ini secara haram.

“Bagaimanapun pusat operasi mereka sentiasa berubah dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk menyasarkan hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sumber berkata selain itu, sindiket juga berupaya membuka dan menutup status ‘senarai hitam’ seseorang individu bagi membolehkan mereka melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang negara ini dengan bayaran tertentu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

“Siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh selain memastikan kesemua ahli sindiket termasuk ‘orang dalam’ dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal laksana saringan Covid-19 pekerja asing, PLKS tidak diperbaharui

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Majikan yang gagal membuat ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja asing sehingga 28 Februari ini boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing mereka tidak akan diperbaharui.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara tersebut dan menggesa majikan yang belum melakukan ujian saringan terhadap pekerja asing untuk segera berbuat demikian.

“Ini memandangkan berlakunya peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini termasuk kluster berkaitan tempat kerja yang membimbangkan. Arahan ini adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Malah, melalui operasi dan pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) turut mendapati masih banyak majikan yang gagal memastikan pekerja asing yang digajikan mereka membuat ujian saringan Covid-19 meskipun arahan telah dikeluarkan untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan majikan yang menanggung kos saringan Covid-19 akan mendapat potongan cukai berganda bagi bayaran kos saringan pekerja yang dibuat sepanjang tahun ini.

Bermula 1 Januari, majikan diwajibkan memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bagi membendung penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA