Categories
AGENDA NASIONAL

Plus nafi beri diskaun tol 50 peratus untuk balik mengundi

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Plus Malaysia Berhad (Plus) menafikan telah mengeluarkan kenyataan media mengenai pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus untuk mereka yang pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Plus dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius perbuatan menggunakan logo syarikat itu untuk mengelirukan orang ramai.

Syarikat konsesi lebuh raya itu turut menyatakan akan bekerjasama dengan pihak berwajib untuk mengambil tindakan terhadap individu dan pihak yang terbabit.

Terdahulu, tular satu kenyataan memaklumkan diskaun sebanyak 50 peratus diberikan bermula pada 12 tengah malam 11 Mac bagi semua perjalanan menghala ke selatan tanah air sempena PRN Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus saran masuk lebuh raya sebelum 9 pagi

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Plus Malaysia Berhad (Plus) menasihatkan pelanggan dari utara dan selatan yang ingin kembali ke Lembah Klang pada 4 hingga 6 Februari ini supaya mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan mula memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

Menurut Plus dalam kenyataan hari ini, jumlah trafik meningkat pada bari kedua sambutan Tahun Baharu Cina (2 Februari) apabila Lebuhraya Utara-Selatan menyaksikan lonjakan trafik dari semua negeri dan ia dijangka berulang pada 5 dan 6 Februari (Sabtu dan Ahad) berikutan orang ramai yang mengambil cuti tambahan sempena cuti sekolah akan memulakan perjalanan kembali ke Lembah Klang.

“Kami menggesa orang ramai supaya merancang perjalanan pulang yang selamat dengan merujuk kepada TTA dikeluarkan,” kata Ketua Pegawai Operasi Plus Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Bagi pengguna yang dalam perjalanan dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan negeri-negeri lain dinasihatkan melakukan perjalanan sebelum 9 pagi di Lebuhraya Utara-Selatan untuk pulang ke Lembah Klang.

Plus membuat persediaan rapi untuk memastikan pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan pulang yang selesa dengan menyediakan pasukan PlusRonda tambahan untuk membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya.

Plus juga bekerjasama dengan Polis Trafik (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di sepanjang lebuh raya, menempatkan pasukan RELA untuk pengurusan trafik di plaza tol dan kawasan rehat serta menyediakan maklumat trafik melalui pelbagai saluran komunikasi Plus.

“Pastikan baki kad Touch ‘n Go atau Touch ‘n Go e-Wallet (untuk transaksi RFID) anda mencukupi untuk menikmati perjalanan yang selesa di plaza tol dan sentiasa mematuhi SOP pencegahan Covid-19 di R&R serta hentian sebelah,” katanya.

Dapatkan maklumat dan keadaan trafik terkini melalui platfom media sosial PLUS seperti Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn, Youtube dan laman web www.plus.com.my atau menerusi Aplikasi Plus untuk membantu anda merancang perjalanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1.6 juta kenderaan penuhi lebuh raya, Plus nasihat rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan, sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina bermula hari ini hingga 6 Februari depan.

Sehubungan itu, Plus mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak, sekali gus sebagai rujukan dan panduan orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata PLUS menggalakkan orang ramai merancang perjalanan berpandukan kepada TTA, bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuh raya apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi, terkumpul di satu-satu lokasi lebuh raya secara serentak.

“Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi-destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak, serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

“Untuk ke destinasi-destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuh raya selepas jam 1 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan, ketika berhenti rehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

“Pada ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R. Pengguna lebuh raya diingatkan memandu dengan lebih berhati-hati dan lebih peka ketika hujan, serta mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan.

“Perancangan perjalanan yang teliti dan penyelenggaraan kenderaan perlu diberi keutamaan bagi meningkatan keselamatan, selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang, serta kerusi keselamatan kanak-kanak,” katanya.

Pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dan boleh dihubungi menerusi talian PlusLine 1800-88-0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari, dengan secara keseluruhan 5,000 kakitangan dari ekosistem lebuh raya akan bertugas dan bersedia, untuk memastikan segala operasi dan perkhidmatan lancar.

Seramai 587 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dari Polis Diraja Malaysia, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, St John Ambulance serta Persatuan Bulan Sabit Merah, akan diletakkan dalam keadaan bersedia 24 jam sehari bermula dari 24 Januari hingga 8 Februari depan.

Sebagai sokongan seramai 209 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia akan ditempatkan di Plaza tol dan kawasan rehat bagi membantu kelancaran trafik. Untuk maklumat trafik terkini sila rujuk platform media sosial Plus melalui laman sesawang www.plus.com.my, Twitter PlusTrafik, Applikasi Plus atau hubungi PlusLine di talian 1800-88-0000.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ikut cadangan waktu perjalanan, atasi sesak ketika musim perayaan

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Pengguna lebuh raya digalakkan mengikuti Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan Plus Malaysia Berhad (Plus) kerana jumlah trafik harian dijangka meningkat daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan bagi tempoh 28 Januari hingga 6 Februari sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Operasi Plus Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan hari ini menasihatkan pengguna dari Lembah Klang yang ingin melakukan perjalanan ke utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

“Ini juga terpakai kepada mereka yang menghala Johor ke arah selatan. Bagi destinasi berhampiran dengan Lembah Klang dan negeri lain, pengguna perlu merancang perjalanan mereka dengan memasuki lebuh raya selepas 1 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan negeri-negeri lain yang ingin menuju ke Lembah Klang pula digalakkan untuk keluar sebelum pukul 9 pagi.

Zakaria berkata TTA itu disediakan untuk panduan pengguna bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar sentiasa mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 terutamanya ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah.

“Turut penting adalah pandu dengan selamat dan sentiasa berwaspada ketika keadaan cuaca buruk, justeru rehat dan tidur yang cukup adalah penting sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Zakaria berkata pasukan peronda lebuh raya Plus, PlusRonda juga sentiasa bersedia membantu sekiranya berlaku sebarang kejadian dan boleh dihubungi menerusi PlusLine, 1800 88 0000.

Bagi memastikan perjalanan lancar semasa memasuki dan keluar dari lebuh raya bertol, pastikan kad Touch ‘n Go dan e-dompet Touch ‘n Go RFID mempunyai baki mencukupi setiap masa.

Kemas kini mengenai keadaan trafik terkini boleh didapati daripada fungsi CCTV perancang perjalanan aplikasi Plus, Twitter PlusTrafik dan P.U.T.R.I (Plus Unique Texting Realtime Interface) serta papan tanda elektronik di lebuh raya.

Pengguna lebuh raya juga digalakkan menggunakan aplikasi Waze dan Google Maps untuk navigasi perjalanan mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna boleh ganti pelekat RFID rosak secara percuma

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang mengalami kerosakan pelekat sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) akan menerima gantian pelekat itu secara percuma.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata ketika ini, petugas tambahan diletakkan di plaza tol bagi membantu mereka yang mengalami masalah dengan pelekat RFID mereka.

“Kita ada orang ‘standby’ (tunggu sedia) dengan peranti ‘hand held’ (pegang tangan), kalau RFID tidak dapat ‘detect’ (kesan), kita akan bantu beli satu kupon untuk pergi ke fitment (pusat pemasangan) Touch ‘n Go (TnG) yang terdekat untuk ‘check’ (periksa) RFID. Kalau waktu itu TnG masih tidak dapat ‘detect’, kita akan beri RFID ‘tag’ yang baharu secara percuma,” katanya kepada Bernama TV di sini hari ini.

Isnin lepas, media melaporkan beberapa plaza tol di Lembah Klang termasuk Plaza Tol Putra Mahkota dan Sungai Besi sesak teruk ekoran kegagalan RFID berfungsi pada waktu puncak ketika hujan.

Ini mengakibatkan ramai pengguna meluahkan rungutan dan PLUS telah mengambil tindakan penambahbaikan segera dengan menggandakan kehadiran petugas mereka di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

Dalam pada itu, Syed Mohammed Idid berkata pengguna lebuh raya tidak perlu bimbang kerana kaedah pembayaran menggunakan kad TnG dan Smartag masih terdapat di kebanyakan plaza tol di seluruh negara.

Beliau berkata projek perintis sistem RFID ini dilihat lebih menjimatkan kerana ia sifar penyenggaraan dan lebih selamat serta bayaran dihubungkan dengan akaun e-dompet yang boleh dibayar secara debit automatik.

Menjawab mengenai rungutan netizen mengenai harga pelekat RFID yang dikatakan tinggi, beliau berkata harga RM35 itu telah ditetapkan oleh pihak TnG.

Transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan lepas.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan e-dompet Touch ‘n Go tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai,

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus gandakan pasukan bantu pelanggan guna RFID di plaza tol

KUALA LUMPUR, 18 JAN: PLUS Malaysia Berhad (Plus) menggandakan pasukan petugasnya di plaza tol untuk membantu melicinkan pergerakan pengguna lebuh raya Utara-Selatan yang berhijrah menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

PLUS dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pihaknya juga meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.

“Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.

“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan. Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini media melaporkan pengguna jalan raya meluahkan kekecewaan selepas terperangkap dalam kesesakan di beberapa plaza tol, dipercayai berikutan kegagalan sistem RFID untuk mengesan tag yang dipasang pengguna.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Plus memaklumkan perlaksanaan RFID sejak 15 Jan lalu mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan iaitu sebanyak 10 peratus transaksi di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan pada hujung minggu.

Plus turut berharap peningkatan peralihan kepada pembayaran tol menerusi RFID yang sejajar dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh dan e-Dompet, akan membawa pengalaman perjalanan lebih lancar kepada pengguna.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RFID: Plus perlu selesai isu kesesakan di plaza tol

DENGKIL, 17 JAN: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan Plus Malaysia Bhd (Plus), mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Menurutnya RFID itu sedang dilaksanakan secara rintis oleh syarikat konsesi PLUS dan ia dibekalkan oleh syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnG).

“Saya telah hubungi mereka (Plus dan TnG) selepas mendapat aduan, dan meminta mereka jelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian…penyelesaian kepada segala isu berbangkit kepada pelaksanaan (RFID) ini,” katanya.

“Apabila ia projek rintis, ada beberapa perkara akan lalui dan perlu selesaikan,” kata Fadillah ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 di sini hari ini.

Media dalam talian dan warga net melaporkan keadaan trafik di beberapa plaza tol seperti di Bandar Seri Putra, Bangi dan Sungai Besi dikatakan sesak, didakwa berpunca daripada penggunaan RFID.

Pada 16 Disember 2021, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Januari 2022.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet, tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.

Fadillah berkata pelaksanaan RFID itu adalah projek rintis iaitu dengan bilangan tol terhad dipasang teknologi RFID, manakala lorong kad TnG dan SmartTAG masih lagi dikekalkan.

“Kita belum wajibkan untuk gunakan RFID dan ia terserah kepada orang ramai untuk gunakan,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa KKR akan sentiasa memantau perkara tersebut dan mengambil serius aduan, supaya ia tidak menyusahkan pengguna sebaliknya kemudahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Plaza tol, persimpangan Shah Alam terus ditutup

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Plaza Tol dan persimpangan Shah Alam masih ditutup berikutan banjir kilat yang berlaku pada Sabtu.

Menurut PLUS Malaysia Bhd dalam satu kenyataan, setakat 7 pagi tadi, PLUS Malaysia Bhd telah menyelaraskan usaha untuk menyelamat dan memberi bantuan bersama-sama PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berjaya mencapai lebih 226 mangsa sebelum menempatkan mereka di lokasi selamat di sepanjang lebuh raya termasuk di ibu pejabatnya dan di Persada PLUS.

Ketika ini, trafik masih dialihkan ke Persimpangan Subang dan Persimpangan Seafield.

PLUS akan terus memantau keadaan, kakitangannya juga sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas. Orang ramai yang merancang untuk bergerak pergi dan keluar dari lokasi-lokasi ini dinasihatkan untuk menangguhkan rancangan mereka sehingga notis selanjutnya atau mencari laluan alternatif, katanya.

Pelanggan juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di laman web PLUS, www.plus.com.my dan media sosial termasuk Twitter PLUSTrafik, Facebook PLUS Malaysia serta Aplikasi PLUS.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus tutup sepenuhnya Plaza Tol Shah Alam susulan banjir

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Plus Malaysia Berhad (Plus) menutup sepenuhnya Plaza Tol Shah Alam dan jalan susur persimpangannya mulai 2 petang tadi akibat banjir susulan hujan lebat sejak 24 jam lepas.

Setakat ini, Plus memaklumkan bahawa satu-satu jalan keluar yang dibuka untuk dilalui ialah di Plaza Tol Subang dan Seafield untuk laluan ke arah selatan dan utara, sementara laluan masuk di Bukit Raja serta laluan Setia Alam ramp ke Shah Alam juga ditutup.

Pemandu yang dapat melalui jalan antara Setia Alam ke Shah Alam dan Subang menghala Shah Alam/Elite dikehendaki membuat pusingan U kecemasan melalui akses sementara yang disediakan oleh Plus.

Ketua Pegawai Operasi Plus Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata kakitangan Plus sedang bekerja untuk menguruskan keadaan dan membantu melancarkan aliran trafik.

“Kami kesal dengan kesulitan yang timbul akibat banjir ini susulan hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam lepas. Plaza tol Plus akan dibuka semula sebaik sahaja kami mengesahkan ia selamat,” kata Zakaria dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi papan tanda amaran dan arahan pihak berkuasa di lokasi.

Plus juga telah memaklumkan kepada semua pengguna lebuh raya melalui Sistem Pemesejan Berubah (VMS) mengenai penutupan itu dan akan menyebarkan maklumat lanjut sebaik sahaja ada.

Maklumat yang dikemas kini juga akan dimuat naik di laman web Plus www.plus.com.my dan platform media sosial termasuk Facebook dan Twitter Plus Malaysia, katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kenderaan ringan lalui Plus guna transaksi RFID mulai 15 Januari

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bermula 15 Jan depan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan memaklumkan pelaksanaan itu akan menjadikan lorong RFID tersedia di seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di pantai barat Semenanjung selaras dengan kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya.

“Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKR, transaksi tol menggunakan RFID adalah langkah kementerian itu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol dan pelaksanaan tersebut selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong.

KKR sehubungan itu mengajak pengguna lebuh raya untuk beralih kepada RFID dan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau mana-mana 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai, menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus jangka trafik meningkat apabila rentas negeri dibenarkan

Categories
AGENDA NASIONAL

11 lagi R&R dan hentian sebelah Plus dibuka semula

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Sebanyak 11 lagi medan selera di pusat Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di Lebuhraya Plus Malaysia Berhad (Plus) dibuka semula semalam.

Menurut Plus dalam kenyataan, pembukaan itu adalah susulan arahan keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan pengoperasian pada kapasiti penuh atau 100 peratus berikutan 80 peratus kakitangan dan rakan niaga syarikat itu telah lengkap vaksinasi.

Lokasi-lokasi terbabit ialah R&R Tapah (Arah Selatan dan Arah Utara), Rawang (Arah Utara), Dengkil (Arah Selatan dan Arah Utara) dan Pagoh (Arah Selatan).

Sementara itu, R&R Ulu Bernam (Arah Selatan) akan mula beroperasi Isnin ini, manakala R&R Seremban (Arah Selatan dan Arah Utara), Hentian Sebelah Nilai (Arah Utara) dan Serdang (Arah Utara) dijangka dibuka pada Selasa.

Medan selera di Hentian Sebelah Simpang Pulau (Arah Selatan), Mambau (Arah Timur dan Arah Barat), Sungai Buloh (Arah Selatan) dan Restoran Jejantas Sungai Buloh telah mula beroperasi pada Jumaat.

“Bagi verifikasi untuk makan di dalam premis, pelanggan yang telah menerima vaksinasi sepenuhnya dikehendaki menunjukkan status vaksinasi MySejahtera Covid-19 masing-masing semasa memesan makanan di premis yang dikendalikan oleh rakan niaga kami,” menurut kenyataan itu.

Pelanggan lebuh raya yang belum menerima vaksinasi penuh boleh memilih untuk membungkus makanan atau ‘take-away’ selain memesan makanan menggunakan fungsi Pre-Order di aplikasi Plus atau melalui https://orderdisini.plus.com.my/ bagi meminimumkan kontak fizikal.

– BERNAMA