Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSepang selenggara pokok besar, elak insiden tidak diingini

SEPANG, 28 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan menyelenggara pokok besar di seluruh kawasan pentadbirannya bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata bagaimanapun perkara itu perlu diteliti dengan mengambil kira lokasi penanaman semula pokok berkenaan.

“Jika tiada pilihan, pokok bahaya kita akan buang, (tetapi) kalau boleh selamatkan kita akan laksanakan pemulihan memandangkan ada dua pihak berkuasa yang mengurus perkara ini selain majlis iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Di Sepang masih terdapat tanah pertanian yang mana pokoknya bersempadan dengan jalan JKR. Jadi, kita harap tiada konflik selain dapat duduk bersama dan cari penyelesaian sewajarnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih dekat sini semalam.

Pada 21 Februari lalu, sebanyak 18 kenderaan di kawasan parkir di Cyber Valley, Dengkil rosak selepas dihempap pokok tumbang ketika kejadian hujan lebat dan angin kuat.

Insiden jam 5 petang menyebabkan beberapa batang pokok besar di kawasan terbabit tumbang, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat berserta ribut, 20 kenderaan rosak dihempap pokok

DENGKIL, 21 FEB: Kira-Kira 20 buah kenderaan di kawasan parkir di Cyber Valley di sini rosak selepas dihempap pokok tumbang ketika kejadian hujan lebat dan angin kuat hari ini.

Insiden pada kira-kira 5.30 petang itu menyaksikan beberapa batang pokok besar di kawasan parkir tumbang namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Muhammad Harith Che Jusoh, 36, berkata ketika kejadian, beliau sedang membaiki kereta pelanggan apabila pokok besar di hadapan bengkelnya tumbang secara tiba-tiba.

“Memang masa itu hujan lebat dan angin pun kuat… dalam sekelip mata sahaja, pokok besar hempap kereta-kereta yang diletakkan di kawasan parkir ini.

“Kira-Kira lima buah kereta pelanggan saya rosak akibat kejadian ini… kali pertama kejadian teruk macam ini berlaku sejak tujuh tahun saya berniaga di tempat ini,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau berharap Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berlaku seperti memotong pokok besar di sekitar kawasan parkir itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis pula berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam pada 5.36 petang.

“Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Tinjauan Bernama mendapati setakat 8.30 malam, kerja-kerja memotong pokok yang tumbang masih dilakukan oleh pihak bomba dan MPS.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor rancang tanam sejuta pokok, sedia beri dana

KLANG, 26 SEPT: Selangor merancang tanam sejuta pokok dalam tempoh lima tahun ini demi memulihara kelestarian alam sekitar, kata EXCO pelancongan.

Hee Loy Sian berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama semua pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan alam sekitar supaya matlamat menjaga ekosistem dapat direalisasi.

“Kerajaan Negeri sedia beri dana menerusi tabung hasil kutipan bayaran caj beg plastik 20 sen bagi membolehkan program berunsur alam sekitar dijalankan.

“Peruntukan boleh dimohon sama ada dari Kerajaan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), Ahli Dewan Negeri atau EXCO. Kita akan umum berkenaan permohonan ini nanti,” katanya.

Beliau berucap ketika majlis penutup Program PRO500 Trees Sentosa di Pusat Khidmat DUN Sentosa hari ini.

Menurut Loy Sian, Kerajan Selangor sangat mengutamakan isu alam sekitar dan tindakan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada awal bulan ini sebagai bukti jelas.

“Selangor satu-satunya negeri yang mempunyai undang-undang ketat. Setiap kawasan yang dinyahwarta akan diganti supaya hutan tidak berkurang.

“Selangor juga adakan sesi pendengaran awam sebelum nyah warta (hutan). Kita ambil pandangan masyarakat, NGO barulah buat keputusan,”katanya.

Ketika pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor Ogos lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah kewajaran mengekalkan keluasan hutan simpan tidak kurang 30 peratus daripada tanah negeri dalam melaksanakan agenda hijau.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah setakat ini 31.47 peratus keluasan negeri melibatkan 250,000 hektar kawasan hutan simpan sudah diwartakan selain menyasar pewartaan 32 peratus lagi kawasan hutan kekal simpan pada 2025.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Lindungi hutan imbangi ekosistem alam semulajadi

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 19 MAC: “Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, Dia dicemar manusia, yang jahil ketawa….”

Lirik lagu ‘Hijau’ nyanyian Zainal Abidin Mohamad ini terngiang-ngiang di fikiran penulis tatkala kaki melangkah ke Denai Salleh, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) sambil menikmati keindahan kehijauan sekeliling.

Denai Salleh ini mengambil nama Ketua Pengarah FRIM yang pertama, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor yang menyandang jawatan tersebut dari 1985 hingga 1995. Terdapat spesies pokok yang ditanam seawal tahun 1925 di Denai ini seperti pokok kapur, keladan, gaharu, merbau dan rotan.

Kunjungan ke FRIM pada pagi Rabu itu membuatkan penulis terkesima dengan persekitaran kawasan hutan yang terpelihara rapi setelah sekian lama ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.

“Sebelum PKP, daun kering akan terkumpul di tepi lorong dan dahan kecil pokok memang tidak akan kelihatan sepanjang lorong pejalan kaki,” kata jurupandu FRIM, Edi Hermi Muhammad Ramli, ketika penulis asyik meneliti laluan jejak Denai Salleh yang dipenuhi hamparan daun kering.

Ketua Pengarah FRIM, Dr Khali Aziz Hamzah yang turut serta dalam sesi trekking itu bersama kami turut bersetuju dengan kenyataan tersebut, sambil memperkenalkan kepada penuilis spesies pokok hutan hujan yang ada di sekitar Denai Salleh itu.

Dr Khali Aziz Hamzah (kiri) menunjukkan pokok yang terdapat di FRIM ketika ditemui baru-baru ini sempena Hari Hutan Antarabangsa 2021. Foto: BERNAMA

“Hikmah PKP, hutan simpan dan penyelidikan jarang dikunjungi orang ramai menyebabkan ia dapat ‘berehat’ seketika, sekali gus menarik kunjungan hidupan liar dan pelbagai jenis burung yang mampu mengekalkan ekosistem,” katanya kepada Bernama.

Menariknya, sepanjang kira-kira 20 minit perjalanan, kami disajikan dengan fenomena crown shyness yang terhasil daripada silara (rimbunan daun pada atas pokok) pokok kapur (Dryobalanops aromatica) yang tidak bersentuhan antara satu sama lain, seakan-akan mengamalkan penjarakan sosial.

Menurut Edi Hermi, pemandangan seperti teka-teki jigsaw di langit ini merupakan salah satu tarikan yang paling terkenal dalam FRIM dan menarik perhatian Saluran Televisyen Amerika, National Geographic (NatGeo) untuk mengabdikannya di dalam portal berkenaan.

“Pokok kapur mempunyai batang berbentuk silinder yang lurus dan boleh mencapai ketinggian sehingga 60 meter yang disokong dari bawah oleh banir yang kadangkala mencapai beberapa meter tinggi,” jelasnya.

Permit rentas hutan

Biarpun ketika itu jarum jam sudah menunjukkan jam 12 tengah hari, kami tidak berasa bahang terik matahari kerana terdapat ratusan pohon besar memayungi sebahagian hutan.

Bagi yang tidak biasa merentas atau mendaki hutan, denai hutan ini sudah memadai sebagai aktiviti permulaan kerana laluannya begitu teratur, dibina tangga dan lengkap dengan penunjuk arah.

Terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong di Kepong, sebelum PKP dikuatkuasakan, orang ramai sering menjadikan FRIM sebagai kawasan rekreasi terutamanya pada hujung minggu.

Menurut Khali, sebarang pendakian bukit ataupun merentas hutan, tidak kira ke FRIM mahupun mana-mana hutan-hutan simpan atau rekreasi haruslah mendapatkan permit kebenaran masuk daripada pihak berkaitan.

Malah kakitangan FRIM sendiri, kata beliau, perlu memohon permit masuk untuk menjalankan penyelidikan dalam hutan simpan atau rekreasi dari Jabatan Perhutanan Negeri.

“Semua jenis lawatan ke FRIM juga sebenarnya memerlukan kebenaran sama ada dalam bertulis ataupun tiket, meskipun hanya untuk rekreasi ataupun berjoging.

“Prosedur ini penting bukan sahaja untuk melindungi persekitaran alam semulajadi, tetapi bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya sambil memberi contoh kejadian seorang pengunjung tersesat ketika melakukan aktiviti jungle trekking di denai alam FRIM, dua tahun lepas.

Beliau menambah, sebarang kegiatan jungle trekking perlu ada jurupandu alam (nature guide) bertauliah bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan daripada vandalisme berlaku di dalam hutan.

“Berikutan Covid-19 dan PKP, jumlah pendaki perlu dihadkan dan syarat wajib untuk menggunakan khidmat jurupandu juga boleh ditetapkan bukan sahaja untuk keselamatan, tetapi juga memberi pendedahan dan pendidikan kepada pendaki mengenai kepentingan ekosistem hutan kepada manusia,” katanya.

Khali berkata, pemasangan CCTV adalah antara langkah bagi memastikan keselamatan pengunjung di hutan pendidikan dan rekreasi, selain mengelakkan vandalisme harta benda awam.

“Walau bagaimanapun, pendidikan alam sekitar sangat penting bagi memberi kesedaran kepada pengunjung tentang penjagaan hutan, terutamanya terhadap pengambilan hasil hutan kerana ia akan merosakkan ekosistem.

“Kesalahan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran itu adalah tertakluk kepada Subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Hutan simpan penyejuk suhu bandar

Pembangunan bandar dan penempatan secara tidak langsung mengurangkan kawasan hijau dan hutan sebagai penyimpan khazanah alam semulajadi.

Khali yang menegaskan perkara ini berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan terus berusaha mewartakan kawasan hijau dan hutan rimba sebagai hutan simpan kekal bagi mengekalkan ekosistem dan menurunkan haba bandar akibat pembangunan pesat.

“Secara keseluruhannya, kira-kira 12.7 juta hektar hutan simpan diwartakan di seluruh negara. Bagi hutan pendidikan pula sebanyak 128 kawasan merangkumi 123 Taman Eko Rimba dan lima hutan taman negeri,” katanya.

Beliau menambah, suasana persekitaran hutan simpan yang dikelilingi pokok hutan hujan tropikal turut berupaya menurunkan haba dan menyerap gas karbon yang dihasilkan oelh kenderaan dan kilang di sekitarnya.

“Pokok dari kawasan hutan simpan dan pendidikan di bandar juga mampu menyerap bau serta gas tercemar, serta menapis partikel terampai yang melekat di daun dan batang pokok.

“Menurut kajian, dalam 0.4 hektar pokok yang matang berfungsi menyerap karbon dioksida yang dikeluarkan oleh 26,000 batu kereta secara puratanya dan sebatang pokok yang matang mampu menyerap 21.8 kilogram karbon dioksida setahun,” katanya.

Khali berkata selain pemeliharaan hutan simpan, kerajaan juga menggerakkan usaha penghijauan negara melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan selama lima tahun bermula tahun 2021.

“Kewujudan kawasan hijau di bandar berupaya menyumbang kepada kesejahteraan bandar, selain berperanan sebagai lokasi untuk aktiviti riadah dan rekreasi, serta medium aktiviti kemasyarakatan.

“FRIM menyokong sepenuhnya tindakan PBT dan kerajaan negeri bagi menjayakan kempen penanaman pokok di jalan-jalan dan bangunan bandar, seiring dengan prinsip asas dalam arborikultur iaitu ‘Tanam pokok yang sesuai di tempat yang sesuai’ (Plant a right tree at a right place),” katanya.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 20 spesies pokok teduhan dan hiasan yang berpotensi dijadikan sebagai pokok ameniti pilihan untuk ditanam di dalam kawasan bandar.

“Antara pokok yang sesuai ditanam di kawasan bandar termasuklah jemerlang (Yellow flame), penaga lilin (Mesua ferrea), bunga tanjung (Mimusops elengi), dan geronggang (Cratoxylum formosum).

“Penanaman pokok di bandar adalah bagi mengindahkan jalan-jalan dan bangunan, memberi teduhan, mengurangkan silauan matahari, merendahkan suhu dan mengurangkan pencemaran udara,” katanya.

Beliau berkata, peranan Arborist atau ‘doktor pokok’ juga penting dalam memastikan pokok yang ditanam di sekitar bandar mendapat penjagaan rapi dari segi pemindahan pokok, pemangkasan, pengurusan risiko, pencegahan kerosakan akibat cuaca dan kesuburan pokok.

“Ia juga bagi mengelakkan daripada pokok tumbang akibat terlalu tua dan cuaca tidak menentu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Kempen tanam 100 juta pokok libat hingga 80,000 hektar kawasan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Kempen Penanaman 100 juta Pokok pada sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 bakal melibatkan kawasan seluas 20,000 hingga 80,000 hektar di seluruh negara.

Diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), kempen itu akan menyaksikan kira-kira 20 juta batang pokok akan ditanam setiap tahun bermula 2021 hingga 2025.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang berkata penanaman pokok akan meliputi kawasan darat, pesisiran pantai, paya laut dan kawasan gambut.

“JPSM juga akan menumpukan penanaman di kawasan bekas penerokaan haram, hutan terosot, kawasan banjir besar, hutan miskin yang tidak banyak pokok tumbuh secara semula jadi serta hutan yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang dibenarkan seperti bekas kawasan penempatan kayu balak atau matau,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat JPSM baru-baru ini.

Antara pokok yang akan ditanam ialah merbau, meranti tembaga, merawan siput jantan serta spesies pokok nadir.

Beliau berkata peruntukan kempen sebanyak RM20 juta itu akan digunakan untuk penyediaan anak pokok, kerja penanaman, rawatan dan penyelenggaraan, menaik taraf tapak semaian serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Bagi memastikan sasaran tercapai, kerajaan turut menggalakkan penglibatan orang ramai termasuk sektor swasta, katanya.

Pemantauan terhadap pelaksanaan kempen yang bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” itu akan dibuat menggunakan aplikasi Penghijauan Malaysia yang boleh dimuat turun melalui aplikasi telefon mudah alih atau capaian melalui laman web www.100jutapokok.gov.my .

Aplikasi dan capaian ini akan berfungsi sebagai penghitung yang merekodkan jumlah pokok yang ditanam sepanjang kempen.

“Jadi, orang awam yang menanam apa jenis pokok berkayu, tidak kira sama ada pokok landskap atau pertanian, boleh melaporkan tanaman mereka untuk direkodkan bagi tujuan pengiraan sekali gus meyumbang kepada jumlah sasaran sepanjang kempen,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ridza berkata penanaman 100 juta pokok itu bagi mendukung komitmen yang dibuat oleh negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro 1992 dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan.

Setakat 2019, seluas 18.27 juta hektar atau 55.3 peratus daripad keluasan tanah negara adalah kawasan berhutan dan seluas 4.81 juta hektar di Semenanjung Malaysia merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Mohd Ridza berkata kempen tersebut juga merupakan usaha menangani fenomena perubahan iklim di peringkat global yang semakin membimbangkan.

“Para saintis mengenal pasti hutan sebagai elemen penting dalam menangani sebarang perubahan iklim kerana proses fotosintesis pokok yang menyerap karbon dioksida di atmosfera mampu mengurangkan kesan rumah hijau,” katanya.

Sejak kempen dilancarkan pada 2010, sebanyak 72,167,890 batang pokok telah ditanam, melibatkan kawasan seluas 90,000 hektar di seluruh negara.

“JPSM berharap semua pihak termasuk badan bukan kerajaan, individu dan seluruh rakyat Malaysia dapat turut serta dalam menjayakan kempen ini bagi membantu mencapai sasaran menanam 100 juta pokok sekali gus menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

PEKA: Perbanyakkan pokok demi lestari alam sekitar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 OGOS: Selangor diharap tidak terbuai dengan arus pembangunan pesat sehingga mengabaikan kepentingan penjagaan alam sekitar.

Presiden Petubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Aki berkata, pembangunan terlalu pesat di Malaysia menyaksikan alam sekitar diketepikan sehingga membawa kesan negatif kepada kehidupan di muka bumi.

Katanya, Kerajaan Negeri boleh mengambil iktibar berkenaan dan memastikan usaha ‘memberi balik’ kepada alam dilaksanakan, seterusnya mengimbangi kepentingan pembangunan dan alam sekitar.

“Banyak yang Selangor boleh lakukan seperti menanam lebih banyak pokok dan mengadakan pertandingan di antara daerah, yang mana lebih banyak pokok dan kawasan teduh.

“Pokok yang banyak bukan sahaja mencantikkan pemandangan, malah ia memberi udara segar, cuaca lebih sejuk, kurangkan jerebu dan sebagainya,” katanya kepada SelangorKini.

Sabrina berkata, sesebuah kerajaan sama ada di peringkat persekutuan dan negeri juga perlu memperbanyak usaha membina taman riadah rakyat.

“Kita dapat lihat kita kurang taman riadah untuk anak-anak bermain dengan selamat dan melakukan aktiviti sihat.

“Jadi, kita sangat berharap Selangor dapat bina lebih banyak taman, bukan sahaja untuk kanak-kanak, tetapi untuk semua peringkat umur agar dapat memperbanyak aktiviti bermanfaat,” katanya.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR

3,000 anak pokok sempena ‘Shah Alam tress for life’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 MEI: Kira-kira 600 peserta menanam 3,000 anak pokok sempena program ‘Shah Alam tress for life’ ke arah inisiatif hijaukan bandar raya.

MBSA POKOKProgram dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd itu diadakan di kawasan bersebelahan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen U8, Bukit Jelutong.

Pada program kali ini, Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd menyumbang RM30,000 kepada MBSA.

Antara anak pokok yang ditanam adalah pokok renek seperti Jastica, Rulia, Dracena, Ligostremia, pokok teduhan/pokok buah-buahan seperti kemboja, kuinin, cempaka dan melinjau.

Majlis itu dihadiri Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (Malaysia), Andrew Koh.

Program itu membabitkan penyertaan 600 peserta termasuk 440 warga kerja Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, 100 kariah masjid dan penduduk sekitar,serta sukarelawan dan warga kerja MBSA.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar tanam sejuta pokok wujud karbon rendah

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 12 NOV: Sebanyak 1 juta pokok disasar ditanam di seluruh negeri tahun depan selaras hasrat Kerajaan Negeri bagi mewujudkan suasana persekitaran rendah karbon, menghijaukan dan memelihara alam sekitar.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, sebanyak 900,000 pokok berjaya ditanam sejak 2010.

Katanya, Kerajaan Negeri secara konsisten menggalakkan sektor korporat dan perniagaan mengamalkan ‘Good Corporate Citenship’ khususnya membantu meningkatkan kualiti hidup.

“Sejak 2010, program seperti ini diaktifkan Kerajaan Negeri diseluruh Selangor.

“Setakat ini kita berjaya menanam lebih 900,000 pokok. Jadi kita berharap tahun depan kita berjaya mencecah 1 juta pokok,” katanya ketika ditemui di Program ‘Pledge and Plant A Tree’,” di TamanTasik Cempaka, di sini.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Md Nazri Noordin dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Sayuthi Bakar.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Bangi, Shafei Ngah.

Pada masa sama, Elizabeth berkata melalui Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018, Kerajaan Negeri menyediakan subsidi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi lain untuk melaksanakan sekurang-kurangnya satu program seperti itu.

“Pelan ini merupakan usaha Kerajaan Negeri ke arah pembangunan ekonomi lestari dalam mencapai status negeri mahu.

“Disamping menyumbang kepada pengurangan 45 peratus intensiti pelepasan gas karbon kepada KDNK pada 2030,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

‘Shah Alam Trees For Life 2016’ realisasikan bandar dalam taman

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 OGOS: Sebanyak 500 batang pokok ditanam di sekitar Lembah Bukit SUK sempena program ‘Shah Alam Trees For Life 2016’.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad, berkata program berkenaan memberikan wajah baru berkonsepkan teduhan hijau kepada kawasan yang terletak di Seksyen 5 itu.

Katanya, ia sekaligus merealisasikan matlamat menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya dalam taman.

160822 site c-02“Antara pokok yang ditanam adalah Filicium Decipens (kiara payung) dan Salix Babylonica (janda merana) serta pokok buah seperti kuini, rambutan juga mangga chokanan.

“Kita juga mahu menerapkan budaya kerja secara sukarelawan kepada peserta khususnya golongan muda,” katanya dalam kenyataan.

Program dengan kerjsama UMW Corporation Sdn Bhd itu disertai 350 peserta termasuk 100 kakitangan UMW, badan bukan kerajaan dan kakitangan MBSA.

Selain itu, program tanggungjawab sosial korporat itu turut disertai Timbalan Datuk Bandar, Shukri Mohamad Hamin dan Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kumpulan UMW, Muzafar Munzir.

Shahrin berkata, UMW menyumbang RM10,000 sebagai sokongan dan komitmen terhadap program berkenaan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Seorang maut dihempap pokok, tiga cedera

SHAH ALAM 29 FEB: Seorang lelaki maut selepas dihempap pokok yang tumbang ketika dia dan tiga rakannya berteduh di sebuah pondok di kelab golf, Seksyen U1, Shah Alam petang semalam.

Pokok itu tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang.

Lim Tat Thuan, 68, beralamat di Subang Jaya, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian tulang rusuk, pinggang dan dada.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik Mohd Firdaus Zainudin berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian pada pukul 5.30 petang dan mengerahkan tujuh anggota dengan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

bomba 1“Mangsa dapat dikeluarkan dalam masa 15 minit selepas pokok yang menghempapnya dialihkan dengan menggunakan forklift,” katanya dipetik BERNAMA.

Katanya, tiga rakannya yang terdiri daripada lelaki tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga Korea Selatan hanya cedera ringan.

“Mereka berempat berteduh di dalam pondok itu selepas bermain golf.

“Pada waktu itu, berlaku angin kencang dan hujan lebat sebelum sebatang pokok berhampiran tumbang dan menghempap pondok berkenaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Klang untuk bedah siasat.

EZY

Categories
SELANGOR

Hijaukan alam, lebih 80,000 pokok disasar ditanam sekitar Shah Alam

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 27 APR: Sebanyak 80,000 pokok disasarkan ditanam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekitar bandar raya Shah Alam.

Pengarah Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, sebanyak 1500 anak pokok berjaya di tanam sempena program ‘Shah Alam Trees For Life 2015’ untuk kali kedua bagi 2015 di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 26 Shah Alam pada 25 April lalu.

Pokok“Terdapat tiga jenis anak pokok ditanam iaitu ‘Cassia Biflora’, pokok Doa atau ‘Bucida Molinetii’, Syzigium Oleana dan Euginia.

“MBSA turut menggalakkan badan korporat dan syarikat swasta yang ingn mengamalkan ‘Corporate Social Responsibilities’ (CSR) menyertai program ini,” katanya dalam kenyataan media.

Shahrin berkata, lebih 300 sukarelawan golongan anak muda daripada pelajar IPTA dan IPTS terlibat dalam program itu.

“Antaranya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sunway College, Universiti Malaya dan badan bukan kerajaan (NGO), Eco Worriors.

“Secara tidak langsung, ia dapat memupuk nilai murni mencintai alam sekitar khususnya kepada generasi muda,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Sasar 26 juta pokok ditanam pulihara alam

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 SEPT: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) komited dalam usaha pemantauan dan pemuliharaan hutan paya laut di Selangor bagi mencapai objektif pengurusan hutan secara berkekalan demi kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Pengarah JPNS, Dr Mohd Puat Dahalan berkata, dalam usaha berkaitan, pihaknya menjalankan beberapa aktiviti dirancang dan dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Pelajar Jepun Tanam Pokok MPSP 01Katanya, projek penanaman pokok bakau dan spesies di pesisiran pantai Selangor mencapai jumlah 438,738 pokok berjaya ditanam dengan keluasan 171 hektar yang mana ianya termasuk dalam program Kempen Menanam 26 juta pokok dimulakan sejak 22 April 2010.

Beliau berkata, JPND juga giat menjalankan rondaan secara agresif dan bekrala khususnya di kawasan ‘hotspot’.

“Kaedah rondaan sebegini iaitu ‘showing our presence’ membuatkan pihak terbabit sukar untuk melaksanakan penebangan dirian bakau secara haram dan menyalahi undang-undang.

“Rondaan bersepadu dengan agensi-agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga sering dilakukan. Ia adalah pendekatan terkini berkonsepkan Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy”,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Daut berkata, JPNS juga secara berterusan menjalankan aktiviti kesedaran awam membabitkan program menanam pokok yang menyaksikan penyertaan golongan pelajar, sekolah, institusi pengajian tinggi, jabatan dan angensi kerajaan serta sektor swasta.

“Sehingga 31 Ogos lalu sejumlah 6,225 pokok telah berjaya ditanam dengan pembabitan seramai 1,120 orang.

“JPNS turut mengekalkan “moratorium” di mana tiada sebarang lesen mengusaha hasil di dalam hutan Simpanan Kekal (HSK) dikelaurkan bagi hutan paya laut semenjak 2010,” katanya.

Mohd Puat berkata, pihaknya komited dalam melaksanakan pengurusan hutan paya laut berdasarkan Rancangan Kerja Hutan Paya Laut (2009 – 2019).

EZY