Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor catat 1,420 kemalangan dalam tempoh empat hari pertama Op Selamat 17

SHAH ALAM, 1 FEB: Op Selamat 17 Polis Kontinjen Selangor sempena sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 catatkan 1,420 kes kemalangan dalam tempoh empat hari pertama, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Bagaimanapun beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata jumlah itu merupakan penurunan sebanyak 30.87 peratus atau 634 kes berbanding empat hari pertama Op Selamat 16 pada Tahun Baharu Cina 2020 yang mencatatkan 2,054 kes.

“Sejak dilancarkan pada 28 Jan lepas, daripada jumlah kes kemalangan jalan raya direkodkan, 219 kemalangan berlaku di lebuh raya, 96 kemalangan di jalan persekutuan, 182 kemalangan di jalan negeri, 825 kemalangan di jalan bandaran dan 98 kemalangan di lain-lain jalan,” katanya.

Bagi kes kemalangan maut pula, sebanyak lapan kes telah direkodkan yang kesemuanya melibatkan penunggang motosikal.

“Jumlah ini juga menunjukkan penurunan sebanyak enam kes, di mana dalam Op Selamat 16 tahun 2020, sebanyak 14 kes kematian direkodkan yang melibatkan 11 penunggang motorsikal dan tiga kes pejalan kaki,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 11,464 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan pihaknya yang melibatkan kesalahan melebihi had laju (10,879); tidak mematuhi lampu isyarat (318); menggunakan alat komunikasi semasa memandu (236); memotong barisan (27); memotong garisan berkembar (tiga) dan pandu di lorong kecemasan (satu).

Op Selamat 17 sedang dilaksanakan selama 10 hari sehingga 6 Feb, 2022.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Jurujual muat naik kenyataan kait MySejahtera, program vaksin ditahan

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Polis menahan seorang jurujual peralatan komputer semalam selepas disyaki memuat naik kenyataan berkenaan aplikasi MySejahtera dan program vaksinasi di laman Twitternya yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di Kota Damansara, Petaling Jaya oleh sepasukan polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman kira-kira 12.05 tengah malam.

Menurutnya, lelaki yang juga pemilik akaun Twitter Abah@chairmanGLC itu ditahan hasil maklumat yang diterima daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Sebuah telefon bimbit, router (penghala) dan modem yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini dirampas dan lelaki itu direman satu hari (5 Jun) untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platfom terbabit sehingga mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

461 kes tipu jual kereta dalam talian, kerugian RM5.4 juta

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Sebanyak 461 kes penipuan penjualan kereta dalam talian dilaporkan bagi lima bulan pertama tahun ini dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM5,424,828.67, meningkat 94.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata bagi tempoh yang sama pada tahun lepas sebanyak 237 kes dilaporkan dengan kerugian bernilai RM1,399,926.89.

“Pada 2020 sebanyak 678 kes penipuan jualan kenderaan melibatkan kerugian berjumlah RM5,926,165.05 dilaporkan, meningkat sebanyak 22.8 peratus berbanding 2019 yang merekodkan sebanyak 552 kes dengan kerugian berjumlah RM3,204,360.71,” katanya dalam kenyataan semalam.

Melihat kepada pertambahan kes penipuan berkenaan, Mohd Kamarudin menasihati orang ramai agar sentiasa mengambil langkah pencegahan sebelum membuat sebarang pembelian kenderaan dalam talian.

“Antara langkah yang boleh digunakan ialah membuat tinjauan dan semakan harga semasa kenderaan di pasaran, tidak mudah percaya dengan iklan yang menawarkan kereta terpakai dengan harga yang murah atas alasan pengecualian kastam atau rampasan pihak berkuasa.

“Selain itu pelanggan juga perlu sentiasa menyimpan rekod perbualan dan transaksi pembayaran sebagai bukti dan memastikan urusan perjanjian jual beli dilakukan melalui kaedah yang diperakui selain membuat semakan pengesahan akaun bank dan talian telefon melalui http://ccid.rmo.gov.my/semakmule,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata modus operandi yang sering digunakan oleh sindiket penipuan penjualan kenderaan terpakai berkenaan ialah menawarkan kenderaan import pada harga murah dengan mendakwa kereta berkenaan dari Thailand, Singapura dan Langkawi.

“Sindiket ini akan menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan dan mangsa kemudian diminta memasukkan sejumlah wang ke akaun bagi tujuan antaranya pembayaran wang proses, cukai jalan dan geran. Setelah wang dimasukkan ke akaun berkenaan kereta yang dijanjikan tidak diterima,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Dua individu ditahan terlibat tipu kiriman wang

SHAH ALAM, 28 APRIL: Polis menahan dua individu di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur semalam kerana terlibat dalam satu kejadian penipuan perkhidmatan kiriman wang di Klang pada Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita yang pergi ke sebuah kedai perkhidmatan kiriman wang di Klang dan telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM11,210 kepada pekerja wanita di kedai itu untuk dihantar ke Indonesia.

“Selepas tiga hari, wanita itu menerima panggilan daripada keluarga beliau di Indonesia dan mendapati wang tersebut masih belum diterima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nurulhuda berkata wanita tersebut telah pergi semula ke kedai tersebut untuk berjumpa dengan suspek tersebut dan suspek telah berjanji akan menghantar wang yang dikirim pada keesokan hari, namun sehingga kini, wang tersebut masih belum dikirimkan.

Beliau berkata suspek wanita itu bersama seorang lagi individu lelaki ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pihak polis menasihati orang ramai supaya membuat semakan secara terperinci mengenai syarikat kiriman wang sebelum melakukan apa-apa transaksi dan pembayaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis terima dua laporan gurauan rogol pelajar

SHAH ALAM, 26 APRIL: Polis mengesahkan telah menerima dua laporan daripada seorang pelajar perempuan yang tular di media sosial mendakwa guru sekolahnya bergurau keterlaluan kononnya menggalakkan pelajar melakukan perbuatan rogol.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata dua laporan tersebut adalah berkaitan pendekatan guru dikatakan tidak sesuai dan gurauan daripada rakan satu tingkatan yang tidak boleh diterima berhubung isu berkenaan.

“Jadi kedua-dua laporan ini telah kita satukan dalam satu siasatan kerana ia melibatkan satu lokaliti. Kita sudah ambil keterangan daripada pengadu (mangsa) dan guru sekolah.

“Sekarang ini kita sedang siasat serta giat mengambil rakaman percakapan daripada rakan-rakan sedarjah (tingkatan) untuk dijadikan keterangan tambahan atau dikemukan kepada pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya selepas sidang akhbar rampasan dadah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan kes seorang guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sebuah sekolah yang didakwa bergurau keterlaluan kononnya menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Pada Jumaat lepas, seorang pengguna TikTok menyatakan kejadian itu berlaku di dalam kelasnya ketika sedang mengikuti mata pelajaran diajar oleh guru lelaki berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata pihaknya mengulangi kemungkinan usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat berada di luar negara susulan diburu pihak penguat kuasa setelah waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Selangor sebelum ini.

Beliau berkata sekiranya Sajat berada dalam negara sudah pasti pihaknya dapat menjejak dan mengesan usahawan tersebut.

“Bagaimanapun, kita tidak berputus asa mengesan disebabkan ia adalah kes Mahkamah Syariah dan pihak mahkamah meminta pertolongan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan dan setiap maklumat itu kita ambil tindakan dengan melakukan pengesahan,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 23 Feb lepas mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Pada 6 Jan lepas, Muhammad Sajjad dituduh berpakaian seperti wanita dalam satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, pada 7.30 malam, 23 Feb 2018.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Dua lagi individu terbabit video promosi judi dalam talian ditahan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Polis menahan dua individu yang disyaki berperanan sebagai ‘pembayar upah’ kepada pelakon yang terbabit dalam dua video mempromosi iklan perjudian secara dalam talian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kedua-dua lelaki berumur 31 dan 34 tahun itu ditahan di Puchong dan Cheras dalam operasi bermula 12 tengah malam dan 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata kedua-dua individu itu bertindak sebagai pembayar upah kepada pelakon video dan permohonan reman terhadap mereka akan dibuat hari ini.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti produksi terbabit susulan kedua-dua video berkenaan dihasilkan oleh dua produksi berbeza,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya semalam telah menahan tiga individu termasuk dua wanita yang berperanan sebagai pelakon dan direman tiga hari hingga esok untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata siasatan mendapati tiga individu yang ditahan berperanan sebagai pelakon dan menerima bayaran RM200.

Setakat ini, polis menahan 25 individu termasuk penerbit, pelakon dan kru produksi bagi membantu siasatan pembikinan empat video mempromosikan judi dalam talian yang tular menerusi laman sosial sejak minggu lepas.

Mohamad Zainal berkata daripada jumlah itu, 12 individu masih direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Mayat bayi dalam kotak ditemukan belakang hentian bas

SHAH ALAM, 7 APRIL: Mayat seorang bayi lelaki di dalam sebuah kotak kadbod ditemukan orang awam di belakang hentian bas Kawasan Perindustrian Batu 22, Ijok, Kuala Selangor, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor DSP Mohd Ambia Nordin dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima makluman berhubung penemuan mayat bayi itu setelah seorang lelaki tempatan membuat panggilan kecemasan pada 10.35 pagi.

“Mayat bayi itu telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, dekat sini. Bedah siasat juga telah dijalankan hari ini dan punca kematian masih dalam siasatan pakar perubatan,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook apabila seorang pemilik akaun “Him Akmal” memuat naik status berhubung penemuan bayi didalam kotak di kawasan itu setelah membuat edaran nasi lemak percuma selama 30 minit bermula 10 pagi semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Arjunaidi dilantik ketua polis Selangor berkuat kuasa 12 April

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan rombakan melibatkan pertukaran pegawai-pegawai kanan di kontinjen negeri dan ibu pejabat polis Bukit Aman berkuat kuasa 12 April.

Senarai pertukaran terbaharu yang dikeluarkan Bukit Aman semalam melibatkan 71 pegawai kanan, antaranya Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah jabatan itu, manakala Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat CP.

ACP Nik Ezanee Mohd Faisal. Foto BERNAMA

Saiful Azly bakal diganti oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Azmi Abu Kassim yang dilantik Ketua Polis Kuala Lumpur baharu dengan memangku pangkat CP.

Supt Komunikasi Korporat PDRM Supt A. Skandaguru dalam kenyataan berkata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal pula dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dengan memangku pangkat SAC.

Beliau menggantikan Datuk Fadzil Ahmad yang ditukarkan ke JPJKK Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa.

“Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pula digantikan oleh Supt Unit Siasatan dan Pendakwaan Zon Tengah Bahagian Kawalan Kredit Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Putrajaya Supt Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dengan memangku pangkat ACP,” katanya.

Turut terlibat dalam pertukaran itu ialah Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor manakala tempatnya digantikan Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah ACP Ahmad Jefferi Abdullah pula dilantik sebagai Ketua JSJN Selangor, menggantikan ACP Abdul Latiff Mehat yang ditukarkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Terancang JSJ Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (D14) serta memangku pangkat SAC.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu dera anak kandung sampai mati bukan pesakit mental – polis

MELAKA, 31 JAN: Suspek wanita berumur 32 tahun yang dipercayai mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun sehingga mati dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya di sini, Jumaat lepas bukan pesakit mental walaupun pernah mendapatkan rawatan psikiatri pada 2019.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata suspek hanya mendapatkan rawatan psikiatri biasa di Hospital Melaka dan bukan disahkan sebagai pesakit mental sebagaimana didakwa kebanyakan pihak.

“Polis tidak memperoleh laporan khusus mengatakan suspek mempunyai masalah mental dan wanita berkenaan juga tidak mempunyai kad orang gila.

“Suspek juga tidak pernah mendapatkan rawatan di mana-mana hospital bahagia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sepasang suami isteri, masing-masing berusia 32 dan 38 tahun direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes dera sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

Kanak-kanak malang tersebut didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, pada Jumaat lepas namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan setakat ini, bedah siasat masih dijalankan ke atas mayat kanak-kanak malang tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tumpas sindiket palsu slip saringan Covid-19

SEPANG, 27 JAN: Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan slip saringan Covid-19 yang didalangi warga Pakistan.

Kegiatan itu terbongkar apabila dua lelaki warga Pakistan ditahan pada 20 Jan lepas ketika mengemukakan slip saringan Covid-19 mencurigakan di kaunter daftar masuk bagi penerbangan ke Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, yang membawa kepada penahanan individu lain serta dalang sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman berkata sindiket yang dikenali sebagai “Geng Habib” itu dipercayai beroperasi sejak Ogos lepas dan hanya membabitkan kira-kira 50 pelanggan warga Pakistan.

Beliau berkata warga asing itu mengambil jalan mudah untuk mendapatkan slip saringan yang dijamin negatif walaupun terpaksa membayar RM300 semata-mata untuk balik ke negara asal.

“Mereka ambil jalan mudah kerana takut jika keputusan (saringan) positif dan tidak dapat balik ke negara masing-masing,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Susulan penahanan dua warga Pakistan berumur 28 dan 37 tahun di KLIA pada 20 Jan itu, polis menahan antaranya seorang lelaki warga Pakistan di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru berkaitan kes berkenaan dan siasatan lanjut membawa kepada penahanan dalang berumur 27 tahun di Sri Petaling, Kuala Lumpur, Isnin lepas.

Menurut Imran, dua lagi lelaki warga Pakistan turut ditahan di KLIA pada 23 Jan lepas ketika mendaftar masuk di kaunter penerbangan dengan slip saringan Covid-19 mencurigakan.

“Ditegaskan hasil siasatan setakat ini kita tidak jumpa penglibatan daripada klinik swasta atau kerajaan,” katanya.

Semakan terhadap slip saringan palsu yang menggunakan nama dua makmal ujian dan sebuah hospital swasta mendapati makmal dan hospital berkenaan wujud tetapi tiada rekod slip saringan Covid-19 dikeluarkan mereka kepada pelanggan sindiket itu.

Menurut Imran, antara barangan yang dirampas ekoran penahanan beberapa warga Pakistan sejak 20 Jan lepas adalah wang tunai RM13,500, 12 slip saringan palsu, dua mesin cetak, satu komputer riba dan tiga rantai emas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 465/471 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Imran meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang cuba memalsukan slip saringan agar dapat menyalurkan maklumat kerana ia boleh membahayakan penumpang dan petugas lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Unit berkuda FRU sesuai jaga sempadan negara – polis

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Penempatan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi membantu penugasan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis adalah relevan dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan negara.

Ini bukan kali pertama pasukan berkuda ditugaskan di kawasan sempadan itu, malah mereka telah ditempatkan di situ sejak 1995, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar.

Beliau berkata kawasan di sempadan mempunyai pelbagai bentuk muka bumi dan sesuai untuk Unit Berkuda ini digerakkan, terutama di kawasan yang tidak sesuai untuk dilalui kenderaan.

“Peranan Unit Berkuda adalah sebagai elemen sokongan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan memberi fokus kepada langkah-langkah pencegahan penyeludupan di kawasan yang bersesuaian seperti di jalan-jalan keselamatan yang mempunyai kawasan lapang dan perumahan antara sempadan Malaysia-Thailand.

“Posisi anggota Unit Berkuda berada dalam ketinggian kira-kira 10 kaki ketika berada di atas kuda, memudahkan anggota untuk mengesan sebarang pergerakan yang mencurigakan dari kawasan perumahan yang berada di seberang sempadan,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata selain itu, Unit Berkuda ini juga menjalankan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seperti lokasi perniagaan di sekitar Padang Besar, Perlis.

“Penugasan ini bertujuan sebagai elemen ‘Show Off Force’ dan ‘Omni Presence’ bagi menambah kayakinan masyarakat dengan menunjukkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.

Abdul Rahim berkata setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai lebih 50 ekor kuda bagi penugasan di seluruh negara. Unit itu berpangkalan di FRU Cheras.

Unit Berkuda PDRM digerakkan untuk membantu penugasan di kawasan sempadan negara susulan insiden berbalas tembak antara kumpulan penyeludup dengan dua anggota PGA November tahun lepas yang menyebabkan seorang anggota PGA Senoi Praaq maut manakala seorang lagi cedera.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Rahim menafikan dakwaan yang mengatakan anggota PGA Senoi Praaq tidak menerima layanan sama seperti unit lain.

“Tidak timbul isu layanan yang tidak sama kerana PGA mementingkan semangat setia kawan sama ada semasa bertugas mahupun dalam kehidupan seharian. Pucuk pimpinan PDRM sentiasa mengambil berat hal-hal berkaitan kebajikan dan kemajuan kerjaya anggota Senoi Praaq,” katanya.

Abdul Rahim berkata sebahagian besar pasukan Senoi Praaq dianggotai masyarakat Orang Asli, namun terdapat sejumlah kecil pegawai dan anggota dalam batalion itu yang terdiri daripada kaum-kaum lain.

“Pasukan ini memang dikhaskan untuk Orang Asli kerana kemahiran ilmu hutan yang dimiliki golongan ini. Namun, jika seseorang anggota Senoi Praaq itu boleh digerakkan ke mana-mana jabatan (lain dalam PDRM) dengan kelulusan (pendidikannya) maka kita akan buat (pindahkan ke unit atau jabatan lain),” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, pasukan Senoi Praaq mempunyai kekuatan anggota seramai 782 orang di seluruh negara, terdiri daripada 452 orang daripada Batalion 3 PGA di Bidor, Perak dan 330 anggota di Batalion 18 PGA di Pengkalan Hulu, Perak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Salah guna dadah: 327 pegawai, anggota polis ditahan

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 327 tangkapan anggota pasukan keselamatan itu termasuk pegawai yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi Op Duri bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata menerusi maklumat risikan serta aduan, tangkapan itu menunjukkan trend penurunan selepas 566 individu ditahan pada tahun lepas.

Beliau berkata antara kes penyalahgunaan dadah itu ialah membekalkan, memiliki, keputusan ujian air kencing positif dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Pihak JSJN sentiasa melaksanakan pelbagai operasi termasuk Op Duri yang sebelum ini dikenali sebagai Op Blue Devil bagi mencegah penglibatan anggota dan pegawainya dengan penyalahgunaan dadah.

“Daripada jumlah itu, 18 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 74 individu kerana memilki dadah, 225 positif air kencing sementara 10 individu melalui LLPK setakat ini tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Tahun lepas, 40 individu ditahan kerana membekalkan dadah, 99 kerana memiliki dadah, 424 positif air ujian kencing serta tiga di bawah LLPK.

Razarudin berkata trend penurunan tangkapan yang turut dilakukan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membuktikan bahawa PDRM tidak mengambil mudah pembabitan anggota dan pegawainya dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata sekiranya pegawai serta anggota yang ditahan tidak terlibat dalam isu integriti dan hanya mempunyai masalah disiplin diri serta dilihat tidak sesuai bertugas di JSJN, mereka akan ditukarkan bertugas di jabatan lain.

“Saya tidak boleh nafikan bahawa ada pegawai dan anggota polis yang terlibat penjualan ketum yang dilarang di bawah Akta Racun, kami ada terima laporan berhubung perkara ini,” katanya.

Razarudin berkata pihaknya akan mengambil tindakan sama ada mendakwa mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat di mahkamah atau menukarkan mereka.

“Selain itu, saya kena menunjukkan teladan bahawa saya dulu betul (menjadi contoh baik kepada anak buah), baru anak buah saya tengok saya adalah ketua yang betul. Jika saya hidup bermewah-mewah, pegawai dan anggota saya akan nampak saya tidak betul dan gaji saya tidak setara dengan kehidupan mewah.

“Saya minta kepada pegawai dan anggota polis saya yang terlibat sindiket ini agar kembali ke pangkal jalan, apabila ada pegawai dan anggota yang dibuang kerja selepas berkhidmat 10 tahun, ia akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian berjuta ringgit,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan terhadap semua rampasan dadah yang dilakukan PDRM, beliau berkata ia menjadi barang kes sehingga perkara itu diputuskan mahkamah.

“Apabila dadah tersebut dikembalikan kepada JSJN, JSJN akan melaksanakan pelupusan mengikut kaedah yang diluluskan Jabatan Alam Sekitar berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kebiasaannya, pelupusan dilaksanakan dengan membakar barangan terbabit dan ada syarikat dilantik Jabatan Alam Sekitar itu sendiri,” katanya.

Razarudin berkata pelupusan dadah terbabit turut dihadiri wakil bahagian lain dalam PDRM termasuk Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard dan media.

– BERNAMA