Categories
AGENDA NASIONAL

Dua lelaki maut kereta rempuh pam stesen minyak

JOHOR BAHRU, 4 JAN: Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pam minyak di sebuah stesen minyak di Kampung Melayu Pandan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata mereka yang maut adalah pemandu kereta, Prem Jayapal, 32, dan penumpang hadapan, S. Katiravan, 33, manakala wanita yang cedera adalah penumpang belakang, Lim Wei Si, 21 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda City berwarna hitam dari arah Pandan menghala ke Kota Tinggi itu terbabas ketika melalui satu selekoh dan melanggar tembok pembahagi jalan di susur masuk stesen minyak itu.

“Kereta itu kemudian berpusing dan melanggar tembok tiang pam minyak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahurinain berkata akibat dari kemalangan itu, Prem Jayapal terpelanting keluar dan tersepit di bawah kereta berhampiran pintu hadapan sebelah pemandu manakala Katiravan masih berada di dalam kereta berkenaan, di tengah-tengah antara kedudukan bahagian pemandu dengan penumpang hadapan.

Beliau berkata kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan.

“Wanita berkenaan pula cedera di kepala dan kini menerima rawatan di zon kuning Hospital Sultan Ismail (HSI), namun, masih boleh bercakap ketika ditemui,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini waris mangsa belum tampil membuat laporan kematian dan kemalangan berkenaan kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abd Aziz menerusi kenyataan berkata Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 6.26 pagi ini dan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT (Fire Rescue Tender) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang terbabas dan melanggar pam stesen minyak,” katanya dengan menambah bomba kemudian membantu mengeluarkan mayat Katiravan.

Beliau berkata operasi menyelamat kemudian ditamatkan kira-kira jam 7.40 pagi ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hina institusi diraja: Khalid dibebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath yang ditahan semalam berhubung dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial, akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 29 tahun itu dibebaskan selepas keterangannya diambil pagi ini dan tiada permohonan reman dibuat.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dengan beberapa individu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Media melaporkan Khalid ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di rumahnya di Klang, Selangor pada 10.30 malam tadi.

Khalid dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan telefon bimbitnya dirampas untuk siasatan.

Sebelum ini, media melaporkan Tunku Azizah telah menyahaktif akaun Twitter rasmi milik baginda dan akaun Twitter baginda diaktifkan semula pagi ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

BERSIH Sokong Himpunan ‘Blackout 505’ 15 Jun – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 04062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pengerusi Bersama Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil, Ambiga Sreenevasan, menyokong hak Pakatan Rakyat menganjurkan himpunan aman Black 505 di ibu negara, 15 Jun ini.

2. Kemeterian Dalam Negeri dan Polis Di-Raja Malaysia tidak akan berkompromi dengan pegawai polis yang terlibat dengan kes kematian dalam tahanan.

3. Perlantikan empat wanita bagi portfolio penting dalam jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor atau exco, mendapat reaksi yang positif daripada khalayak umum.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Artikel Berniat Jahat, Nurul Izzah Ambil Tindakan Undang-undang Ke Atas NST

Nurul Izzah-SAMM

SHAH ALAM, 21 MAC : Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar New Straits Times (NST) ekoran penyiaran artikel yang mendakwa beliau memperlekeh usaha anggota keselamatan di Lahad Datu.

Nurul Izzah menyifatkan rencana yang bertajuk “Nurul Izzah hits out at police” adalah berniat jahat kerana didakwa memutarbelit ucapan ceramah beliau di Jemapoh, Negeri Sembilan pada 19 Mac lalu.

Rencana tersebut diterbitkan di dalam NST hari ini.

“Integriti kewartawanan yang bertanggungjawab adalah mercu tanda demokrasi di negara kita.

“Sedang kita melalui krisis yang mengancam keselamatan negara, saya berpendapat bahawa laporan yang tidak tepat dan menyeleweng itu harus ditarik balik.

“Saya menuntut New Straits Times memohon maaf dalam masa 24 jam melalui media digital dan cetak sebagaimana rencana berbaur fitnah itu telah disebarkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan, isu sebenarnya yang diketengahkan di dalam ceramahnya adalah tindakan ahli-ahli politik di Putrajaya dalam menangani masalah keselamatan di Lahad Datu, Sabah.

Katanya, beliau bersependapat dengan Lt Gen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid yang menyatakan kegagalan risikan mencegah pencerobohan Lahad Datu berlaku kerana risikan difokuskan ke arah pengintipan perkembangan politik negara sejak tahun 2000.

Beliau turut mengulangi pendirian konsisten Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar, di samping kertas putih bagi mendalami krisis di Lahad Datu demi keselamatan negara.

“Ingin saya nyatakan di sini bahawa saya menyokong sepenuhnya pihak keselamatan, khususnya anggota-anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pada waktu ini sedang berjuang di perbatasan mempertahankan kedaulatan negara di bumi Sabah.

“Saya tidak pernah sekali-kali memperlekeh usaha anggota-anggota keselamatan yang berkorban dan memenuhi ikrar taat setia yang telah dilafazkan,” katanya lagi.