Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Hina Agong di laman sosial, dua lagi ditahan

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Dua lagi individu ditahan kerana disyaki memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini tiga individu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata dua lelaki itu, masing-masing ditahan di Sandakan, Sabah dan Sungai Buloh, Selangor semalam.

“Mereka ini akan direman (untuk siasatan) dan keputusan sama ada mereka ini akan dituduh (di mahkamah) atau tidak akan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.

“Pihak polis akan terus ambil tindakan untuk mengelak perkara ini (perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong) berterusan,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seorang pemilik akaun Twitter yang memuat naik status mempunyai unsur-unsur hasutan akan dipanggil untuk memberi keterangan esok.

“Polis tidak mahu ketenteraman awam terganggu dan akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Semalam, Huzir dilapor berkata polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun kerana memuat naik status menghina Al-Sultan Abdullah di laman sosial Facebook.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung satu perhimpunan haram yang diadakan berdekatan sebuah pusat beli-belah di ibu negara semalam.

“Polis sedang kenal pasti siapa yang hadir dalam perhimpunan itu dan akan jalankan siasatan sewajarnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Siasatan helikopter polis terhempas di Tawau dijalankan hari ini

TAWAU, 28 FEB: Siasatan berhubung helikopter jenis Agusta Westland AW139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas semalam di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Jalan Air Panas, di sini, akan dijalankan hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah akan ke lokasi kejadian hari ini.

Menurut Peter, pusat kawalan di tempat kejadian juga diaktifkan serta-merta bagi mengawal lokasi kejadian dan ianya dikendalikan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

“Lokasi terhempas sudah dikawal pihak kita,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, katanya, helikopter itu dipercayai cuba mendarat di kawasan helipad pada 7.30 malam namun hilang kawalan sebelum melanggar atap bangunan unit pentadbiran K9 di kem berkenaan.

Terdahulu, Bernama melaporkan enam anggota PGU Kota Kinabalu menaiki sebuah helikopter yang berlepas dari Lapangan Terbang Tawau, terhempas sewaktu cuba mendarat di Helipad Kem Batalion 14 PGA Tawau, Jalan Air Panas di sini pada 7.40 malam semalam.

Anggota terlibat menjalankan operasi rutin dan bergerak menaiki helikopter dari Lahad Datu ke Lapangan Terbang Tawau untuk singgah mengisi minyak helikopter, sebelum ke Kem PGA yang kemudian hilang kawalan lalu terhempas

Komander PGU Sabah Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi ketika dihubungi Bernama berkata seorang anggota yang cedera tersepit merupakan seorang pemerhati udara, bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama kesemua anggota PGU yang terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu, menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, anggota yang terlibat dalam kejadian helikopter terhempas itu dikenali sebagai Sarjan Mohamad Radzie Radaie, 40, ASP Shaike Faiqzal Johari, 34, DSP Norhashim Ahmad, 44, Harry Joinin, 36, Sarjan Wedrich Sindih, 34, dan Koperal Andyrian Shah Mohd Saufi, 33 tahun.

Dalam pada itu, seorang saksi, Wong, 60, yang ditemui berhampiran lokasi kejadian berkata Helikopter Agusta Westland AW139 itu berpusing beberapa kali dipercayai mengalami masalah enjin sebelum terhempas di kem PGA.

Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah di Jalan Muhibbah Raya sebelum terdengar bunyi kuat di udara.

“Saya baru lepas makan kira-kira pukul 7 malam, helikopter biasa lalu di kawasan rumah saya, tapi hari ini bunyi kuat lain macam,” katanya dan menambah helikopter itu terbang rendah dan berpusing-pusing sebelum hilang daripada pandangan mata.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Adib: 12 individu dipanggil semula jika ada petunjuk baharu

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Polis akan memanggil semula individu yang pernah ditahan berhubung siasatan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, sekiranya mendapat petunjuk baharu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, pihaknya menahan 12 individu sebelum ini untuk membantu siasatan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Pihak polis akan teruskan siasatan dan jika ada keterangan lain yang menyokong (siasatan kes itu), polis akan panggil mereka semula,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Ditanya kemungkinan 12 individu itu melarikan diri, beliau berkata, tiada sebab untuk mereka melarikan diri.

“Saya tak nampak isu mereka ingin larikan diri kerana polis telah jalankan siasatan dan mendapati tiada keterangan jelas untuk kaitkan 12 individu ini dengan kejadian itu.

“Jadi tiada sebab untuk mereka melarikan diri ke luar negara dan saya minta semua pihak untuk tidak keluarkan sebarang kenyataan kerana siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Pada Jumaat, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, tahun lepas, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kematian Muhammad Adib.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki serang bekas isteri, mentua dibebas

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Seorang lelaki yang ditahan kerana didakwa menyerang bekas isteri dan bapa mentua yang tular di media sosial sejak semalam, telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Suspek berusia 34 tahun itu, dibebaskan pada Isnin lepas atas faktor kesihatan selepas mengemukakan surat rujukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada bekas isteri suspek pada 4 September lepas yang mendakwa diri serta bapanya dipukul suspek.

Beliau berkata, suspek telah hadir memberi keterangan pada Isnin lepas dan dibebaskan pada hari yang sama selepas mengemukakan surat rujukan perubatan berkenaan.

“Hasil laporan penuh perubatan yang dikemukakan suspek telah diterima oleh pihak saya dan laporan kes ini akan dirujuk kepada kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafa’aton berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Semalam, tular satu video berdurasi satu minit setengah memaparkan seorang individu didakwa memukul bekas isteri serta bapa mentuanya selain paparan gambar menunjukkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan di bahagian kepala.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki ditahan terlibat kes bunuh wanita dibungkus selimut

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Polis menahan seorang lelaki tempatan, disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui berbungkus dalam selimut di sebuah pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek ditahan pada kira-kira 1.30 pagi tadi selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berumur 40 tahun itu diperoleh di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Rabu lepas, mayat seorang wanita ditemui berbungkus dalam selimut yang diletakkan di dalam timbunan bantal di pangsapuri berkenaan.

Hasil bedah siasat polis sebelum ini mendapati wanita itu dipercayai mati akibat sesak nafas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hina institusi diraja: Polis tahan Ketua Pemuda PSM

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath kerana dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, suspek ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut butiran kes itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata​​​​​​, pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kes itu.

Berikutan itu, PDRM telah membuka siasatan di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948, oleh USJT, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan ekoran kejadian itu, Tunku Azizah telah menyahaktif akaun Twitter rasmi milik baginda, sehingga menjadi tular di media sosial.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelakon lelaki disyaki tipu penerbit ditahan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Seorang pelakon lelaki ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan melibatkan seorang penerbit wanita bergelar Datuk.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, kira-kira 12 tengah hari.

“Lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, permohonan reman lelaki tersebut akan dibuat di Mahkamah Ampang, esok.

Difahamkan, penerbit itu membuat laporan polis berhubung kehilangan wang pelaburan pada Jun lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek ugut bunuh Exco Perak dibebas dengan jaminan polis

IPOH, 23 OGOS: Seorang lelaki yang ditahan Isnin lalu kerana disyaki membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Howard Lee, dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadapnya selesai sehari sebelum tempoh reman empat harinya berakhir hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata suspek berusia 35 tahun itu dibebaskan petang semalam.

“Sepatutnya suspek direman sehingga hari ini namun siasatan ke atasnya telah selesai jadi kita beri jamin semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Polis menahan lelaki itu susulan laporan polis yang dilakukan pegawai Lee selepas Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak itu menerima ancaman yang diterima melalui tangkap layar satu kumpulan WhatsApp dan dihantar kepadanya.

Lelaki itu kemudian ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ditanya mengenai satu lagi ugutan bunuh menerusi mesej yang dihantar oleh individu tidak dikenali di akaun Instagram milik Lee, beliau berkata tiada tangkapan lain melibatkan dakwaan itu.

Razarudin berkata, polis tidak menerima laporan daripada pihak Lee berhubung perkara berkenaan.

Lee dilaporkan berkata, beliau memaafkan secara peribadi kepada individu yang melakukan ugutan bunuh dan menyerahkan kepada pihak polis untuk ambil tindakan.

Mesej yang dihantar menerusi instagram milik Lee tertera dengan perkataan ‘saya akan panggang kamu’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dadah bernilai jutaan ringgit dirampas di Puncak Alam

SHAH ALAM, 19 OGOS: Polis mengesahkan terdapat satu rampasan dadah bernilai jutaan ringgit dalam satu serbuan di sebuah premis di Pusat Perdagangan Alam Jaya di Puncak Alam, Kuala Selangor dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, rampasan berkenaan dijalankan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Rampasan dan siasatan dijalankan oleh JKDM, oleh itu kami hanya mengesahkan ada satu laporan polis di Balai Polis Jeram, Kuala Selangor dibuat berhubung rampasan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Difahamkan menerusi serbuan itu, JKDM telah menemui 11 guni putih mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 500 kilogram (kg) di premis berkenaan.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 23,230 ketulan mampat mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain dengan berat dianggarkan mencecah 3,230kg.

Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM676 juta.

Sementara itu, jurucakap JKDM ketika dihubungi enggan mengulas lanjut penemuan dadah berkenaan dan memaklumkan satu sidang media akan diadakan esok berhubung kes tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis nafi bawa keluarga Nora Anne jumpa kumpulan agama

SEREMBAN, 19 OGOS: Polis hari ini menafikan laporan media antarabangsa kononnya pihaknya telah membawa ibu bapa Nora Anne Quoirin, berjumpa dengan kumpulan agama selepas menemui jalan buntu ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland itu dijalankan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pegawai untuk berbuat demikian.

“Tiada keperluan pun (untuk berbuat sedemikian),” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di sini, hari ini.

Media antarabangsa Daily Mail United Kingdom dalam laporannya hari ini melaporkan bahawa polis telah membawa ibu bapa Nora Anne, 15, untuk berjumpa dengan kumpulan agama selepas menemui jalan buntu dan tertekan selepas beberapa hari SAR dijalankan.

Laporan itu mendakwa ia dilakukan pada Isnin minggu lepas iaitu sehari sebelum mayat Nora Anne ditemui.

Nora Anne, bersama-sama ibu bapanya, Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 3 Ogos, sehari sebelum kehilangannya.

Mayat Nora Anne, gadis istimewa itu ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan sejak 4 Ogos lepas.

Laporan bedah siasat pada Khamis lepas mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada Jumaat selepas proses dokumentasi selesai.

Sementara itu, Mohamad turut menjelaskan bahawa keluarga Nora Anne telah pun keluar daripada resort penginapan mereka di Pantai, dekat sini pada Sabtu lepas dan telah meninggalkan negara ini untuk pulang ke negara mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Kertas siasatan kes kematian Syed Muhammad Danial diserah DPP

SHAH ALAM, 19 OGOS: Polis telah menyerahkan kertas siasatan membabitkan kematian seorang pemandu, Syed Muhammad Danial Syed Shakir, 29, kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan dan kini menunggu arahan daripada pihak DPP untuk tindakan lanjut.

“Selepas arahan diterima daripada DPP kita akan menjalankan tindakan selanjutnya dan keputusan terpulang kepada pendakwa raya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, Datuk K Kumaran.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama di antara Polis Selangor dan syarikat teksi, PicknGo Sdn Bhd.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang pada 10 Ogos lepas, Syed Muhammad Danial maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Akibat kemalangan itu, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.

Pada 17 Ogos lepas, tahanan reman terhadap suspek lelaki dalam kes berkenaan disambung sehingga Khamis ini sementara suspek perempuan yang juga isteri suspek lelaki itu dibebaskan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif PicknGo Sdn Bhd, Valeri Chan berkata, kerjasama ini antara inisiatif PicknGo bersama pihak polis dalam membanteras jenayah secara berterusan.

“Pembangunan aplikasi tempahan teksi ini yang pertama di negara melaksanakan penggunaan butang SOS untuk keselamatan penumpang dan pemandu di mana keupayaannya berhubung secara terus dengan Pusat Kawalan Berpusat Polis (CCC).

“Satu lagi inisiatif yang dilaksanakan ialah pembayaran tanpa tunai di mana kami bekerjasama dengan beberapa penyedia kemudahan e-pembayaran untuk memastikan penumpang boleh membuat pembayaran melalui e-dompet mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khoo hadir di Balai Polis Jelapang berhubung kenyataan terhadap ATM

IPOH, 19 OGOS: Pengasas Gamuda Bhd, Khoo Yew Yin hadir di Balai Polis Jelapang di sini hari ini berhubung kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dianggap sesetengah pihak sebagai menghina.

Beliau tiba di perkarangan balai polis berkenaan dengan menaiki kenderaan jenis BMW yang dipandu seorang wanita pada pukul 2.55 petang.

Wanita itu ketika ditemui pemberita selepas menurunkan Khoo di pintu masuk balai enggan memberi kenyataan, sebaliknya hanya mengucapkan terima kasih kepada lebih 10 pengamal media yang menunggu kehadiran mereka sejak 2.30 petang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng yang juga seorang peguam turut dilihat tiba pada pukul 3.10 petang.

Bagaimanapun pengamal media tidak dapat memasuki balai polis itu berikutan pintu pagar dikunci oleh pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, Khoo dipanggil pihak polis susulan laporan yang diterima terhadap ahli perniagaan itu kerana kenyataan yang didakwa menghina ATM pada 14 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Khoo telah membuat permohonan maaf setelah menerima tekanan pelbagai pihak termasuk daripada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

– BERNAMA