Categories
AGENDA NASIONAL

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

KUANTAN, 18 OGOS: Polis akan memanggil penganjur perhimpunan anti-Lynas di Taman Gelora di sini hari ini, kerana tidak mematuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, beliau dimaklumkan perhimpunan anjuran Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) itu tidak menerima kelulusan pemilik premis Taman Gelora.

Katanya, perkara itu disahkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin semasa ditanya pada petang semalam, walaupun mengesahkan MPK menerima permohonan daripada penganjur.

“Perhimpunan ini tidak menepati peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012. Saya hairan mengapa mereka masih meneruskan perhimpunan sedangkan semua keperluan yang diperlukan telah diterangkan dengan jelas.

“Kita akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang selepas merujuk kepada pucuk pimpinan polis negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata, keperluan mendapatkan kelulusan pemilik premis telah diterangkan pada pertemuan selama sejam dengan lima wakil SMSL termasuk Pegerusinya, Tan Bun Teet pada 7 Ogos lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Katanya, setakat ini, pihak penganjur hanya menenuhi syarat memberikan notis kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.

Sementara itu, perhimpunan selama dua jam bermula 7.30 pagi sekadar menarik kehadiran kira-kira 300 orang, dengan kebanyakan mereka membawa sepanduk menyatakan bantahan kepada operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng, di sini.

Selain sepanduk, mereka juga membawa poster gambar pemimpin negara yang didakwa gagal menunaikan janji untuk menutup Lynas pada manifesto pilihan raya umum lalu, selain turut melibatkan aktiviti ‘flash mob’.

Turut kelihatan di Taman Gelora ialah Ahli Parliman Bentong, Wong Tack dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang iaitu Semambu, Lee Chean Chung dan Teruntum, Sim Chong Siang.

Tan berkata, mereka sedang mempertimbangkan membuat permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan melanjutkan lesen operasi Lynas yang sepatutnya tamat bulan hadapan, kepada enam bulan dengan syarat tertentu.

“Kita bukan membantah Lynas, tetapi cara mereka mengendalikan sisa operasi itu. Kita puji tindakan kerajaan haramkan Lynas daripada terus melakukan penyelidikan dan pembangunan sisa Water Leach Purification (WLP) untuk condisoil.

“Apa yang kita lakukan bukan untuk kepentingan sendiri, tetapi untuk penduduk Kuantan termasuk pekerja Lynas yang paling dekat dan berkemungkinan terdedah kepada bahaya sisa radioaktif itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Reman lelaki terbabit pergelutan maut di lebuh raya disambung

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Tempoh tahanan reman lelaki yang terbabit pergelutan berpunca daripada kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan seorang lelaki lain maut yang tamat hari ini, disambung lima hari lagi sehingga Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berkata, isteri suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang pada 10 Ogos lepas, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Akibat kemalangan itu, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Rugi RM12,500 akibat ‘majistret’ palsu

KUANTAN, 17 OGOS: Panik dihubungi ‘majistret’ menyebabkan seorang peniaga pasar malam kehilangan wang simpanan berjumlah RM12,500 selepas memindahkannya ke akaun individu tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa ‘majistret’ bernama Suraya, kononnya berkhidmat di Terengganu menghubunginya pada 3 petang, Khamis lepas.

‘Majistret’ itu mendakwa mangsa mempunyai kes tunggakan kad kredit berjumlah RM10,000 di mahkamahnya dan perlu membuat bayaran jika mahu menyelesaikan kes tersebut segera.

“Selang beberapa jam kemudian, suspek sekali lagi menghubungi mangsa bagi memberi arahan untuk ke bank berhampiran bagi mendepositkan wang sebanyak RM2,500.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk menunggu panggilan pada Jumaat, yang mana suspek sekali lagi memberi arahan melalui telefon untuk memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga apabila ‘majistret’ itu terus memutuskan panggilan setelah transaksi perbankan tamat, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dekat sini, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Lima lelaki geng Ah Long tawar pinjaman tidak wujud ditahan

GEORGE TOWN, 6 OGOS: Polis berjaya menumpaskan geng Ah Long yang turut menawarkan pinjaman tidak wujud yang aktif di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu sehingga menyebabkan mangsa kerugian hampir RM100,000 selepas menahan lima lelaki dalam serbuan di sebuah kondominium di Lebuh Kudin, Gelugor di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, polis menyerbu kondominium itu pukul 8.30 pagi dan menahan lima lelaki berumur 23 hingga 32 tahun berkenaan susulan laporan polis dibuat oleh seorang mangsa pada April lalu.

“Hasil siasatan mendapati geng itu akan mengiklankan pinjaman wang dengan tawaran faedah yang rendah melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa secara rawak dan mereka yang berminat dikehendaki membayar sejumlah bayaran pemprosesan,” katanya di sini hari ini.

Katanya bagaimanapun, pinjaman itu sebenarnya tidak wujud dan mangsa akan menyedari mereka tertipu apabila wang pinjaman yang mereka mohon tidak dimasukkan ke akaun mangsa.

Beliau berkata setakat ini, geng itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya dalam lapan kes di Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu membabitkan kerugian mangsa hampir RM100,000 sejak awal tahun ini namun pihaknya percaya mereka terlibat dalam banyak lagi kes di negeri ini serta beberapa negeri lain.

Anbalagan berkata selain menawarkan pinjaman wang tidak wujud, geng itu turut menjalankan pinjaman wang tidak berlesen atau Ah Long dengan mengenakan faedah yang tinggi selain mengugut akan mencederakan mangsa jika gagal membayar dalam tempoh ditetapkan.

Katanya mangsa yang membuat laporan polis pada April lepas itu mendakwa suspek telah menghantar iklan pinjaman wang dengan kadar faedah yang rendah kepada mangsa sehingga menyebabkan mangsa tertarik.

“Mangsa kemudiannya berminat untuk membuat pinjaman berjumlah RM1,000 dan memberi butiran seperti nombor kad pengenalan serta akaun bank kepada suspek sebelum geng itu memasukkan wang berjumlah RM500 ke dalam akaun mangsa tanpa persetujuan serta pengetahuan mangsa dan kemudian suspek mendesak mangsa membuat pembayaran semula pinjaman sebanyak RM1,200,” katanya.

Beliau berkata oleh kerana bimbangkan keselamatan dan sering didesak oleh suspek, mangsa kemudiannya memasukkan wang berjumlah RM3,000 ke dalam akaun suspek sebelum membuat laporan polis.

“Susulan penahanan lima lelaki itu, polis merampas 21 telefon bimbit dan 26 kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang dipercayai milik peminjam namun disimpan oleh geng Ah Long berkenaan untuk mengambil wang gaji mangsa,” katanya.

Menurutnya kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja Ireland hilang: Operasi SAR memasuki hari ketiga

NILAI, 6 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang kini memasuki hari ketiga, diteruskan pagi ini dengan kekuatan seramai 159 orang anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, operasi SAR hari ini, bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang di The Dusun, Pantai, dekat sini, sejak Ahad lalu, bermula pukul 7.30 pagi tadi.

“Agensi keselamatan yang terlibat antaranya polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praak, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan negeri, Sapura, serta penduduk tempatan termasuk orang orang asli,” katanya di sini, hari ini.

Satu sidang media akan diadakan pukul 4.30 petang ini, di Balai Polis Pantai berhubung perkembangan semasa operasi SAR.

Ahad lalu, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan kes itu sebagai kes penculikan seperti dilaporkan media asing.

Katanya tiada sebarang unsur jenayah dikesan, justeru kes itu masih diklasifikasikan sebagai orang hilang. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan lima lelaki main judi atas talian

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Lima lelaki termasuk penjaga premis judi atas talian ditahan sepasukan polis dalam serbuan di dua premis di Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam serbuan pertama, tiga lelaki ditahan termasuk penjaga premis kerana menjalankan perniagaan pusat snuker tanpa mempunyai lesen yang sah serta disyaki menjadi agen dalam menjalankan perjudian atas talian.

“Serbuan oleh cawangan Perjudian, Anti Maksiat dan Kongsi Gelap D7 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu turut menahan dua lagi lelaki yang ketika itu sedang leka bermain judi melalui telefon bimbit. Ketiga suspek yang ditahan berusia unmur antara 43 dan 69 tahun.

“Dalam kes kedua, dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun ditahan di depan sebuah kedai snuker di Taman Tenaga, Cheras, pada pukul 8.00 malam kerana kesalahan yang sama, dan mereka didapati positif ujian saringan awal air kencing,” katanya kepada Bernama.

Tegasnya, kesemua lima suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1982 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Peranti IED di Bukit Damansara, ancaman bom palsu di KL Sentral, Kedutaan Rusia

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Polis menemui satu peranti letupan di laman sebuah rumah di Bukit Damansara, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) mendapati objek yang ditemui orang awam pada 5 petang dan memaklumkan mengenainya pada 10 malam itu adalah ‘Improvised Explosive Device’ (IED) yang tidak sempurna.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap objek itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, polis juga mengesahkan ancaman bom di KL Sentral dan Kedutaan Rusia di ibu negara malam tadi sebagai palsu.

Ancaman bom di kedua-dua tempat itu diterima melalui ciapan akaun Twitter yang menggunakan nama iMais-Uma Agencia Sincera, yang dikatakan telah digodam oleh ‘limzhengyan’ pada 7.21 malam tadi.

Ciapan itu menyebut sebuah beg berjenama dengan bom telah diletakkan di concourse KL Sentral serta bom turut diseludup masuk ke Kedutaan Rusia, Jalan Ampang, di sini.

Mazlan berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang menerima maklumat pada pukul 9 malam daripada pihak Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang menguruskan KL Sentral telah mengerahkan UPB dan Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang objek mencurigakan ditemui dengan operasi tren dan perniagaan di KL Sentral tutup pada 11 malam.

“Di Kedutaan Rusia, Jalan Ampang pula, siasatan telah dibuat dan juga didapati negatif. Dipercayai maklumat yang diberi juga maklumat palsu,” katanya.

Jelas Mazlan, pasukannya sedang menjalankan siasatan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun Twitter berkaitan.

Menurutnya lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau Pusat Kawalan IPD Brickfields (03 22979268). – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Kingpin antara 18 ahli sindiket dadah ditahan, rampas dadah lebih RM6 juta

SEMENYIH, 29 JUL: Raja Dadah, atau juga dikenali sebagai ‘Kingpin’ adalah antara 18 ahli sindiket dadah yang ditahan dalam beberapa serbuan polis di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Jumaat dan Sabtu lepas, yang turut menyaksikan polis merampas lebih 70 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggar bernilai lebih RM6 juta dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dalam kes pertama, lima suspek ditahan dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor antara pukul 5.10 petang dan 6.20 petang.

Beliau berkata, antara yang ditahan dalam serbuan yang melibatkan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu adalah kingpin berkenaan.

“Semua mereka ini berusia antara 32 dan 48 tahun dan seorang daripada mereka positif dadah. Menerusi lima serbuan itu, pelbagai jenis dadah dirampas termasuk syabu seberat 64.5kg, ketamin seberat 2.7kg dan 77,500 pil ekstasi dengan nilai keseluruhan RM5.8 juta,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas lima kenderaan mewah, wang tunai pelbagai mata wang dan barang-barang kemas bernilai lebih RM400,000 dalam sebuan itu.

Bagi kes kedua, Mohd Khalil berkata, polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah disyaki ketamin di Melaka dan hasil daripada itu, empat serbuan dijalankan di Kuala Lumpur.

“Kami menahan 13 ahli sindiket warga tempatan berusia antara 19 dan 51 tahun yang terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita. Tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah manakala sembilan didapati positif dadah.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin seberat 13.4kg, 57 pil ekstasi dan syabu seberat 592 gram dengan nilai keseluruhan RM836,000,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita tujuh kenderaan, tiga jam tangan berjenama, wang tunai RM3,200 dan pelbagai jenis barang kemas serta barang-barang elektronik bernilai RM320,000. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

2,063 individu ditahan dalam Op Icebreaker

SEMENYIH, 29 JUL: Seramai 2,063 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah, ditahan dalam Op Icebreaker yang bermula tengah malam tadi, yang menggempur 117 sarang penagihan dadah di seluruh negara.

Operasi besar-besaran sehingga 4 Ogos itu adalah dalam fasa pertama, dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran, penyeludupan dan penagihan dadah dalam negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Mohd Kader berkata, kesemua mereka ditahan kerana pelbagai kesalahan dadah termasuk membekal, memiliki dan positif dadah.

“Seramai 152 individu didapati mengedar dadah, 407 orang memiliki dadah, 1,392 orang positif dadah, 30 orang mempunyai waran tangkap dan 82 orang di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya syabu (319.56 gram); ketamin (0.9 gram); ganja (77.95 gram); heroin (613.15 gram); dan air ketum (106.97 gram).

Sementara itu, Mohd Khalil menyuarakan harapan agar masyarakat turut memainkan peranan dalam membanteras gejala dadah, dan sehubungan itu pihaknya melancarkan talian hotline yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah.

“Orang ramai boleh menghubungi talian hotline 012 2087222 atau melalui mesej WhatsApp berserta dengan maklumat lengkap bagi melaporkan segala gejala dan aktiviti yang disyaki berkaitan dadah,” katanya. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Simpanan lesap selepas kongsi maklumat perbankan

KUANTAN, 28 JUL: Bimbang nama disenaraihitamkan menyebabkan seorang warga emas kerugian RM103, 950 selepas memberikan butiran perbankannya kepada sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa lelaki yang berusia 63 tahun itu juga mengaktifkan perbankan dalam talian mengikut arahan suspek.

Katanya, mangsa yang merupakan pesara syarikat telekomunikasi dihubungi suspek pada 10 pagi, Jumaat lalu mendakwa nombor telefonnya akan disekat kerana mempunyai tunggakan RM4,000.

“Mangsa diminta untuk bercakap dengan anggota polis berpangkat sarjan yang meminta butiran nombor akaun dan nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) dua akaun miliknya untuk pembekuan akaun.

“Sarjan itu juga didakwa telah memberi arahan kepada mangsa menerusi WhatsApp untuk dia mengaktifkan perbankan online salah satu akaunnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas pergi ke bank untuk mendapatkan pengesahan dan membuat semakan akaun yang dia mendapati terdapat terdapat 12 transaksi pemindahan wang dilakukan secara online.

Dia mendakwa tidak mengenali pemilik akaun tersebut dan semakan di satu lagi akaunnya mendapati wang simpanannya juga telah dikeluarkan tanpa pengetahuan.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pesara wanita ditipu RM123,500 oleh ‘pegawai Bank Negara’

KUANTAN, 27 JUL: Seorang pesara wanita kehilangan kesemua wang simpanannya berjumlah RM123,500 dalam tempoh seminggu, selepas mendakwa diperdayakan oleh seseorang yang mengaku sebagai ‘pegawai Bank Negara’, sejak April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an mendakwa dihubungi suspek lelaki kononnya ‘pegawai polis’ dari Bukit Aman pada 24 April lalu.

Suspek mendakwa nama mangsa dikaitkan dengan sindiket judi haram dan perlu bercakap dengan ‘wakil’ Bank Negara dikenali sebagai Razak bagi membantu siasatan.

“Razak didakwa telah mengarahkan mangsa untuk memindahkan semua wang simpanannya di tiga bank termasuk simpanan Tabung Haji ke akaun sementara yang dibuka Bank Negara supaya wang itu tidak dirampas dalam siasatan.

“Mangsa yang bimbang akan kehilangan duitnya telah melakukan 24 transaksi pemindahan wang dari 26 April hingga 2 Mei lalu ke empat akaun yang diberikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir menambah mangsa menyedari ditipu selepas gagal menghubungi Razak, namun hanya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam, kerana masih berharap akan menerima panggilan daripada Razak.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang guru, 43, mendakwa kerugian RM2,200 selepas menyertai pelaburan tidak wujud yang mencari mangsa di laman sosial, sejak 2 Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa berminat untuk menyertai pakej pelaburan berjumlah RM700, yang dibayar menerusi transaksi perbankan online pada 20 Julai lalu, sebelum diarahkan membuat bayaran tambahan, kononnya sebagai yuran pelaburan.

“Mangsa mendakwa sekali lagi dihubungi wakil syarikat itu semalam, meminta dia memasukkan wang kerana pelaburan itu akan dikenakan yuran antarabangsa kerana melibatkan transaksi kewangan luar negara.

“Bagaimanapun mangsa berasa ditipu selepas mendapati nombor telefonnya disekat oleh wakil syarikat itu selepas tidak menunaikan permintaan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di IPD Lipis dekat sini, semalam. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

483 laporan polis berhubung kenyataan hina Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 483 laporan polis setakat ini berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman sosial Facebook.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata, kenyataan berbentuk penghinaan dibuat pemilik akaun itu di laman Facebook Kiub Batu Itu Berhala, yang dianggotai kumpulan tertutup.

“Pihak polis mendapati posting (hantaran) yang dibuat oleh Wendy Loong telah dipadam dan polis telah memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti serta menjejaki pemilik akaun Wendy Loong untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang komen yang menyentuh sensitiviti agama atau kaum, di mana-mana jua platform atau rangkaian komunikasi.

“Suka diingatkan, sebagai warga Malaysia, setiap daripada kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk terus mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara ini,” katanya. – BERNAMA