Categories
NASIONAL

Calon Harapan BN Guna Ijazah Palsu? – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 17042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Lima calon Team Transformasi yang disifatkan yang terbaik pernah Umno-Barisan Nasional tawarkan untuk rakyat Selangor dipercayai tidak mempunyai sijil pendidikan tinggi yang sahih.

2. Kajian yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati sokongan pengundi Selangor terhadap PR menunjukkan peningkatan yang konsisten.

3. Rakyat dinasihatkan supaya tidak panik dengan pelbagai dakwaan akan berlaku huru-hara jika peralihan kuasa berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

4. Ahli keluarga allahyarham Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis memfailkan saman RM50 juta terhadap Polis Diraja Malaysia dan Kerajaan Malaysia.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL

Anwar Jamin PKR Bukan ‘Satu Lagi Umno’ Jika Menang PRU-13

SHAH ALAM, 18 OGOS: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata institusi demokrasi yang kuat seperti badan kehakiman dan agensi penguatkuasa yang bebas akan memastikan Pakatan Rakyat tidak bertukar menjadi ?satu lagi Umno?.

Ini kerana Pakatan telah berjanji di dalam Buku Jingga bahawa institusi-institusi tersebut akan dibebaskan daripada campurtangan politik apabila perikatan itu berjaya memerintah negara.

Anwar memberi jaminan tersebut ketika menjawab satu soalan yang dikemukan di dalam program ‘Borak Bersama Anwar’ yang disiarkan secara langsung melalui portal video web ‘You Tube’ sebentar tadi.

Soalan yang dikemukakan oleh seorang yang dikenali sebagai ?Gunanaiker? melahirkan kebimbangan sekiranya PKR menjadi ‘satu lagi Umno’ selepas menakluki Putrajaya.

?Gunanaiker? berkata kerisauan itu berdasarkan kehadiran ramai bekas pemimpin Umno-BN di dalam PKR.

“Tanpa mengira samada mereka pernah menyertai mana-mana NGO, Umno, MCA atau atau MIC, mereka yang sertai PKR perlu terima budaya politi baru bagi menjayakan agenda reformasi dan menyokong polisi Pakatan Rakyat,” kata Anwar.

PKR merupakan sebuah parti berbilang kaum dan mempunyai ahli dari pelbagai latar belakang termasuk bekas anggota Umno, MCA, MIC dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan.

Anwar berkata peranan institusi tersebut dipesongkan pada masa kini di bawah Umno-BN sehingga tindakan undang-undang tidak dapat diambil terhadap sesetengah pihak.

“Sekiranya badan-badan ini dibebaskan dari cengkaman politik kita tak perlu bimbang, kerana sesiapa sahaja boleh dikenakan tindakan.

“Kita tidak boleh mengambil sikap selektif dalam mengambil tindakan seperti yang berlaku terhadap Rafizi Ramli yang mendedahkan penyelewengan, tetapi membiarkan ‘perompak’ begitu sahaja,” kata Anwar lagi.

Sebelum ini Rafizi, yang merupakan pengarah strategik PKR, di dakwa di bawah satu akta kewangan setelah beliau mendedahkan dokumen-dokumen bank berhubung dengan projek kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan.

Pada masa yang sama, Anwar melahirkan keyakinan yang intergriti institusi polis di negara ini dapat diperbaiki.

Seperti institusi yang lain, kepercayaan rakyat terhadap polis hanya dapat dikembalikan sekiranya ia bebas dari pengaruh politik.

Anwar merujuk kepada kes bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang melakukan keganasan terhadap beliau di dalam tahanan polis pada tahun 1998, sebagai contoh bagaimana polis digunakan oleh pentadbiran sekarang.

“Menteri patut fokus untuk baiki imej polis dan bagaimana hendak mengurangkan jenayah, bukanya campuri tugas polis,” kata Anwar.

Program Interaktif yang dikendalikan oleh Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman dan disiarkan selama sejam itu merupakan satu-satunya program ‘Google Hangout’ yang melibatkan ahli politik Asia Tenggara.

Antara pemimpin dunia lain yang pernah ditampilkan dalam program sama adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Dalam program tersebut, selain menjawab soalan dari laman sosial, beliau turut menjawab soalan-soalan dari enam panelis terpilih dari pelbagai latar belakang.

Categories
SELANGOR

PDRM Didesak Jaga Seluruh Kuala Lumpur

SHAH ALAM 30 JULAI : Pakatan Rakyat Kuala Lumpur mendesak Polis diRaja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperluas operasi mencegah jenayah ke seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Pakatan difahamkan sebanyak 90 anggota PDRM dari Bukit Aman dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerah untuk menjaga keselamatan penduduk di Lembah Pantai.

Anggota tersebut juga diarahkan ke Desa Seri Hartamas dan Taman Tun Dr Ismail yang terletak dalam kawasan parlimen Segambut.

Bagaimanapun, lapan wakil rakyat Pakatan Rakyat mendesak agar PDRM memperluaskan operasi bukan hanya menumpukan dua kawasan parlimen itu sahaja.

Desakan tersebut dikeluarkan MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Tan Sri Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak), Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Tian Chua (Batu), Tan Kok Wai (Cheras) dan  Teresa Kok (Seputeh).

Turut mendatangani kenyataan tersebut Fong Kui Lun (Bukit Bintang) Lim Lip Eng (Segambut) dam Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa.

?Penduduk Kuala Lumpur sudah letih dan jemu mendengar khabar kejadian rompakan, penculikan, dan lain-lain jenayah yang tidak berkurangan walaupun dilaporkan kadar jenayah makin menurun,? kenyataan itu berkata.

MP Bukit Bendera, Liew Chin Tong pernah membangkitkan statistik yang hingga Januari 2011 kurang daripada 14 peratus dari 105,929 orang anggota PDRM ditugaskan untuk siasatan jenayah.

Iaitu 8 peratus di Jabatan Siasatan Jenayah, 4 peratus di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan 1.3 peratus di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Daripada statistik itu, Pakatan turut menggesa PDRM untuk meningkatkan jumlah anggota polis yang ditugaskan untuk siasatan jenayah bukan dengan tindakan menambah jumlah anggota polis secara keseluruhannya.

Anggota itu boleh di latih semula dan memasukkan anggota polis dari jabatan lain ke jabatan siasatan jenayah.

?Ia adalah langkah positif yang sepatutnya dilaksanakan daripada peringkat awal, bagaimanapun kontroversi penurunan statistik telah dijadikan alasan oleh kerajaan BN untuk berlengah-lengah sebelum bertindak.?

Categories
NASIONAL

Polis Dwi Standard Tangani Kes Pemimpin PR

SUBANG JAYA  3 JUL : Adun Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengecam sikap dwi standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes terutama membabitkan pemimpin mereka.

Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata, sepanjang PR mentadbir negeri Selangor dan Pulau Pinang, ramai pemimpin mereka diganggu dan diserang, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Beliau turut menyifatkan tindakan ‘sambil lewa’  polis itu sebagai tidak profesional.

“Contohnya, serangan terhadap Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) yang dipukul individu yang kami kenal pasti daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi tiada tangkapan dibuat sehingga kini.

“Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden PKR) dan Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) juga pernah diserang. Ceramah PR diganggu dengan balingan botol dan batu oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media, di Hotel Grand Dorsett, di sini tengah hari tadi.

Selain serangan fizikal, tambahnya, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mengedarkan risalah berbaur fitnah secara berluasa untuk menjatuhkan PR.

Menurutnya, risalah itu merujuk kepada dakwaan bahawa Malaysia akan dikristiankan dan isu azan akan dihapuskan DAP sekiranya PR memerintah negara kelak.

“Kita desak polis ambil tindakan secara profesional tanpa mengambil kira parti politik sekiranya mereka benar-benar hendak menjaga keamanan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu turut mengemukakan cadangan supaya satu jawatankuasa bersama antara pemimpin PR dan Umno-BN dibentuk bagi menangani isu politik dan keganasan politik.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan PR untuk dipertimbangkan.

“Tindakan ini perlu kerana apabila berlaku pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti, masalah keganasan politik boleh ditangani dan dijalankan secara aman,” katanya.

Categories
NASIONAL

CCTV, Pasukan Ronda Turunkan Indeks Jenayah Pulau Pinang

SHAH ALAM 9 MEI : Usaha Kerajaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memasang 58 Kamera Litar Tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berjaya menurunkan indeks jenayah di Pulau Pinang ke tahap yang paling rendah di Malaysia.

Kejayaan ini juga menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya yang selamat didiami.

“Kejayaan ini adalah berkat usaha dan kerjasama Kerajaan Negeri dengan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana kesemua CCTV dipasang di lokasi yang dikenalpasti oleh pihak polis sebagai kawasan kerap berlaku jenayah.

“Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk meletakkan 129 lagi unit CCTV tambahan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti oleh pihak polis di seluruh kawasan di bahagian pulau,” jelas Guan Eng.

Beliau turut memberitahu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sedang menguruskan pemasangan 18 buah CCTV tambahan melalui Private Finance Initiative.

Selain itu, Guan Eng berkata penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) oleh Kerajaan Negeri turut membantu pihak berkuasa dalam mencegah jenayah dan menjaga keselamatan awam.

“Usaha ini bermula pada tahun 2011 dan sehingga April 2012, sejumlah 114 PPS telah ditubuhkan.

“Kerajaan Negeri akan memastikan sasaran penubuhan enam PPS bagi setiap kawasan DUN tercapai menjelang akhir tahun 2012,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri melalui PBT turut mengambil inisiatif dengan meningkatkan voltan lampu daripada 70 kilowatt kepada 150 kilowatt.

“Usaha ini bertujuan untuk menerangkan jalan-jalan raya di Pulau Pinang kerana keadaan yang gelap juga mampu mengundang jenayah,” akhiri beliau sambil menjelaskan penggantian tersebut akan dijalankan secara berfasa dan keutamaan diberi kepada lampu yang rosak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PDRM dan Media UMNO-BN Berat Sebelah Berkaitan Peserta BERSIH 3.0

SHAH ALAM, 5 MEI : Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan media pro Umno-BN menunjukkan sikap berat sebelah dengan hanya menyiarkan gambar-gambar peserta BERSIH 3.0 yang disyaki menimbulkan kekacauan pada himpunan itu.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah, pihak polis cuba menyembunyikan kekerasan yang dilakukan mereka terhadap orang awam serta petugas media pada himpunan itu.

“Jika PDRM adil, kenapa mereka tidak siarkan gambar-gambar anggota polis yang terbukti menggunakan kekerasan pada himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu?,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Akhbar-akhbar milik Umno-BN hari ini menyiarkan 42 gambar orang awam yang disyaki mencetuskan keadaan huru-hara serta mengkasari anggota polis yang ditugaskan mengawal himpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu.

Perhimpunan menyaksikan sekitar 250,000 orang berhimpun sekitar kawasan Dataran Merdeka bagi menuntut agar kerajaan pusat memperbaiki kelemahan sistem pilihanraya.

Di dalam blog-blog serta klip pendek di youtube jelas memaparkan tindakan ganas polis memukul peserta himpunan yang juga dihadiri oleh warga tua serta kaum wanita dan ini bercanggah dengan konsep negara demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

“Pihak polis juga mengambil bukti daripada paparan di youtube dan kenapa pihak polis yang memukul peserta himpunan tidak dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya lagi.

Maria menambah, polis juga membuka tanda nama mereka ketika menangkap dan menyuraikan peserta himpunan itu dengan kekarasan. Ini membuktikan PDRM tidak telus dalam menjalankan tugas serta takut dibawa ke muka pengadilan.

“Polis memakai tanda nama sewaktu perhimpunan berlangsung dan mengapa tanda nama mereka dibuka sewaktu mereka melakukan kekerasan dan tangkapan?,” soalnya lagi.

Selain itu, beliau menegaskan ahli Panel Penasihat Bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat perhimpunan BERSIH 3.0 mestilah dijalankan secara adil demi mencari keadilan dan pembelaan terhadap pelbagai insiden yang terjadi.

“Sewaktu BERSIH 2.0 ditubuhkan panel bebas namun tiada keputusan berjaya dicapai walaupun terbukti berlaku insiden kasar dan provokasi waktu itu,” jelasnya.

Dalam isu yang berkaitan, Maria berkata sehingga kini Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) masih berdiam diri berkaitan lapan tuntutan yang dibawa BERSIH 3.0 untuk penambahbaikan sistem pilihanraya.

Lima Siber Cafe Haram di Serbu MPSJ

PUCHONG, 1 MAC : Dengan berselindung di sebalik cermin gelap dan tidak mempamerkan papan tanda perniagaan, ada kafe siber di kawasan ini yang bukan saja menyediakan perkhidmatan internet, malah turut menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Biarpun pernah diberi amaran oleh polis dan Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pengusaha premis terbabit tetap berdegil meneruskan aktiviti haram mereka.

Dalam operasi bersepadu bersama Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan MPSJ di Pusat Perdagangan Kinrara di sini baru-baru ini, lima kafe siber di sekitar kawasan itu yang menjalankan aktiviti perjudian haram diserbu dan 100 set peralatan komputer disita.

Penolong Pengarah Penguatkuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd berkata, kesemua premis berkenaan disita mengikut Undang-Undang Kecil 3 Pusat Siber MPSJ 2007 iaitu menjalankan perniagaan kafe siber tanpa lesen.

“Kita berjaya menahan 12 orang pengunjung berusia antara 20 sehingga 40 tahun di mana dua daripada mereka merupakan warga asing. Selain itu, kita juga sempat menahan dua penjaga premis berkenaan yang merupakan warga tempatan dan asing berusia lingkungan 20-an.

Atas kesalahan itu, pengusaha boleh dikenakan denda maksimum RM1,000. Mereka akan didakwa di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Mengulas lanjut, Mazrul berkata, operasi itu diadakan bersama kekuatan lebih 30 pegawai penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan aduan orang ramai dan penduduk setempat.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu adalah bertujuan mengelakkan pengusaha pusat perjudian haram terus menjalankan aktiviti perjudian selain mengurangkan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja dan kaki judi yang sering berkunjung ke premis perjudian haram.

Ditanya mengenai jumlah kos rampasan, menurutnya, setakat ini pihaknya masih belum mentafsirkan jumlah tersebut.

“Pihak polis dan penguatkuasa MPSJ akan terus giat menjalankan pemantauan bagi mengelakkan premis tersebut daripada beroperasi semula. Kita juga akan mengambil tindakan secara berkala dan komprehensif menangani isu berkenaan,” tegasnya.