Categories
SELANGOR

Op Selamat 17: Selangor rekod 1,592 kemalangan setakat semalam

SHAH ALAM, 2 FEB: Sebanyak 1,592 kes kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat 17 Polis Kontinjen Selangor bermula 28 Januari sehingga semalam.

Ketua Polis negeri Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata jumlah itu mencatat penurunan sebanyak 721 kes atau 31.2 peratus iaitu 2,313 kes berbanding Op Selamat 16.

“Statistik tahun ini juga mencatat kes kemalangan rosak yang tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan sebanyak 1,565, kemalangan ringan (15) dan 10 kes masing-masing kemalangan maut serta kematian.

“Setiap hari kajian dilakukan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan tumpuan diberikan di sekitarnya. Setakat ini lapan lokasi tumpuan dikenal pasti,”katanya kepada SelangorKini.

Arjunaidi berkata, seramai 300 pegawai dan anggota trafik ditugaskan sepanjang Op Selamat yang dilaksana selama 10 hari sehingga 6 Februari ini.

“Tujuan ia diadakan bagi menguatkuasakan sepenuhnya peraturan jalan raya, mengambil tindakan saman dan membantu melancarkan aliran trafik yang sentiasa sesak terutama waktu perayaan.

“Oleh demikian, kita menasihatkan pengguna jalan raya terus mematuhi peraturan dan sentiasa bertimbang rasa bagi mengelak berlakunya kemalangan,”katanya.

Polis Selangor menerusi kenyataan semalam memaklumkan sebanyak 1,420 kes kemalangan dicatat dalam tempoh empat hari pertama diadakan Op Selamat 17 Polis Kontinjen Selangor sempena sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2022.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

795 warga polis Selangor terkesan banjir dapat bantuan

SHAH ALAM, 13 JAN: Seramai 795 warga polis kontinjen Selangor yang terkesan banjir bulan lepas menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM427,200.

Sebanyak RM379,500 disumbangkan Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial (TKSS) Selangor manakala selebihnya Persatuan Keluarga Polis (Perkep) serta pelbagai pihak.

Ketua Polis Selangor berkata bantuan kepada pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung mereka.

“Warga polis kontinjen Selangor juga tidak terkecuali menjadi mangsa banjir yang melanda negeri ini pada 18 Disember lalu.

“Diharap pegawai terbabit terus bertambah cekal dalam menghadapi dugaan ini,” kata Dato’ Arjunaidi Mohamed dalam ucapan sempena program penyerahan bantuan berkenaan semalam.

Turut hadir Pengerusi Perkep Selangor Datin Baidzura Su dan Timbalan Ketua Polis Selangor Dato’ Sharul Lalli Masduki.

 

Categories
SELANGOR

Lebih 600 keluarga pegawai, anggota polis Selangor terjejas banjir

SHAH ALAM, 27 DIS: Sebanyak 632 keluarga pegawai dan anggota polis di Selangor terjejas dan menjadi mangsa banjir yang melanda negeri itu minggu lalu, kata Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Ramli Din.

Beliau berkata daripada jumlah itu kawasan pentadbiran polis di Klang Utara, Shah Alam dan Kajang antara yang paling banyak terjejas termasuk Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

“Boleh dikatakan semua daerah di Selangor (pegawai dan anggota menjadi mangsa banjir), sebab warga PDRM ini mereka tinggal merata tempat. Ada yang menyewa dan ada yang membeli rumah sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyampaian Bantuan kepada Mangsa Banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Ramli berkata kesemua pegawai dan anggota polis negeri ini yang terkesan, akan dibantu menerusi penyaluran bantuan beras daripada program tersebut seberat 15 tan daripada empat syarikat dan seorang individu.

Beliau berkata Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) turut memberi sumbangan pakaian baharu kepada mangsa banjir.

Mengulas laporan akhbar mengenai kehadiran pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ yang mula menawarkan pinjaman kepada mangsa banjir di sekitar kawasan bencana di negeri ini, beliau percaya Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed telah mengambil tindakan dalam hal terbabit.

Ramli berkata pihaknya juga akan menggunakan semua sumber dan bantuan dari segi nasihat serta keselamatan dalam membanteras sindiket itu.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Anggota polis pukul wanita dalam lif dipindah tugas

SEPANG, 20 NOV: Anggota polis yang tular dalam insiden memukul wanita di dalam lif sebuah bangunan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Selasa lepas telah dipindahkan ke bahagian pentadbiran sementara proses siasatan dijalankan, kata Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata anggota berumur 35 tahun itu adalah detektif koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan dipindahkan kepada tugas pentadbiran susulan kes tersebut.

“Selain siasatan dari segi perlakuan jenayah, siasatan dari segi tatatertib turut dijalankan terhadap anggota terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Sepang, di sini semalam.

Tular di media sosial baru-baru ini satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi seminit mengenai kejadian pukul di dalam lif melibatkan seorang penjawat awam yang bertindak memukul seorang wanita kerana kegagalan wanita terbabit mencarikan jodoh setelah dibayar sebanyak RM2,500.

Dilaporkan bahawa mangsa yang dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras itu mengalami pendarahan di kepala.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis tahan lima lelaki disyaki bakar kereta anggota Kastam

SEPANG, 19 NOV: Polis menahan lima lelaki di sekitar Klang malam tadi bagi membantu siasatan kes khianat terhadap kereta milik anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Pelabuhan Klang, Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata kesemua yang berumur antara 30 dan 60 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

“Kesemua individu ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini.

Dilaporkan sebuah kereta Proton X70 milik anggota JKDM terbakar 90 peratus ketika berada di pusat mencuci kereta di Taman Pandamaran Permai, Klang pada kira-kira 11 pagi semalam.

Menurut Arjunaidi, pihak polis telah menerima laporan daripada pengadu berusia lingkungan 50-an pada 16 Nov lepas dengan mendakwa kereta Proton X70 miliknya disimbah cat dan dua hari kemudian (18 Nov), polis menerima satu lagi laporan daripada pengadu yang mendakwa keretanya dibakar di pusat cuci kereta ketika dihantar untuk membersihkan kesan simbahan cat.

Susulan daripada laporan itu, Arjunaidi berkata pihaknya berjaya mengesan lima lelaki berkenaan yang kini direman bagi membantu siasatan.

Mengenai motif kejadian, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat unsur khianat terhadap mangsa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rempuh kanak-kanak: Pemandu disyaki tiada permit van sekolah

SHAH ALAM, 13 NOV: Pemandu merempuh kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi Sepang semalam dipercayai tiada permit van sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata ia berdasarkan warna kenderaan itu yang tidak menepati ketetapan, lapor Kosmo!

“Ia berikutan kenderaan berkenaan berwarna putih dan bukannya kuning seperti yang sudah ditetapkan.

“Selain itu, van tersebut tidak tertera perkataan van sekolah sekali gus dipercayai tidak mempunyai permit yang dibenarkan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad mengesahkan pemandu berusia 31 tahun itu dibebaskan selepas ditahan semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari itu mangsa Nur Alisha Safiya Mohd Azlin maut selepas dirempuh van dinaikinya di hadapan tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi.

Siasatan mendapati mangsa yang dikatakan turun dari van itu berjalan di hadapan kenderaan itu sebelum dirempuh.

Categories
SELANGOR

Polis kesan empat lelaki bantu siasatan kes bunuh

SHAH ALAM, 10 NOV: Polis sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh di hadapan sebuah kopitiam di Bandar Bukit Tinggi 2, Klang, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mereka adalah Low Chee Boon, 41, beralamat terakhir di nombor 87, Jalan 14, Kampung Idaman, Pelabuhan Klang dan Lim Chee Hau, 39, beralamat terakhir di nombor 586, Lorong 23, Jenjarom.

“Turut dikesan adalah Tan Kok Pin, 34, beralamat terakhir di nombor 8, Jalan Bacang 7, Sri Jarom, Jenjarom dan Yap Chin Hock, 58, beralamat terakhir di nombor 40, Jalan Melati 21, Taman Melati, Jenjarom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata setakat ini pihaknya telah menahan enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pembunuhan terhadap seorang lelaki berusia 47 tahun itu.

Beliau berkata kesemuanya sedang direman hingga 13 Nov ini dan pihaknya sedang mengesan saki-baki suspek lain.

“Sehingga kini pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci mengenai punca dan motif mangsa dibunuh,” katanya.

Beliau sehubungan itu memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Mohamad Syahrir Zabidi di talian 012-6650895.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Selangor pantau SOP di lokasi tumpuan ramai

SHAH ALAM, 13 OKT: Polis Selangor memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di lokasi tumpuan ramai susulan kebenaran rentas negeri mulai Isnin.

Ketuanya Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pemeriksaan dibuat setiap hari dengan tumpuan pada hujung minggu melalui operasi khas ‘snap check’, lapor Sinar Harian.

“Disebabkan kerajaan telah memberi kebenaran rentas negeri, jadi kita telah bersiap sedia untuk melakukan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan yang dikenal pasti,” katanya.

Perdana menteri dalam sidang media pada Ahad mengumumkan kebenaran rentas negeri termasuk pelancongan kepada individu lengkap vaksin berkuat kuasa kelmarin.

Keputusan itu dibuat selepas kadar vaksinasi populasi dewasa negara mencapai 90 peratus, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor pantau kebajikan 29 pelajar jadi yatim akibat Covid-19

SHAH ALAM, 8 OKT: Polis Selangor akan membuat pemantauan setiap tiga bulan sekali terhadap 29 orang pelajar daripada 14 keluarga yang dikenal pasti menjadi yatim piatu akibat Covid-19 setakat ini; dari segi kebajikan, pendidikan dan sahsiah, bagi memastikan masa hadapan mereka terbela.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata Inisiatif Prihatin Pelajar Yatim Piatu Covid-19 itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan dan Majlis Hindu Sangam Selangor.

Beliau berkata pihak berkenaan akan bekerjasama dalam program ini dari aspek penyaluran maklumat, dana serta bantuan secara berterusan kepada penjaga dan pelajar-pelajar yatim piatu yang terlibat.

“Inisiatif ini boleh dianggap pendekatan telus Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi yang terbabit dalam usaha meningkatkan tadbir urus yang lebih baik serta memenuhi jangkaan serta harapan masyarakat terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan,” katanya semasa melancarkan program itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Katanya program ini memberikan fokus kepada isu berterusan ataupun kelangsungan hidup pelajar yatim piatu akibat Covid-19 agar masyarakat sedar mengenai kepentingan tanggungjawab semua pihak dalam usaha untuk menyantuni golongan ini.

Arjunaidi berkata sumbangan yang diberikan mereka hari ini adalah dalam bentuk wang tunai dan bakul makanan dari setiap jabatan dan persatuan yang terlibat dalam inisiatif berkenaan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Selangor tumpas dua sindiket edar dadah, tahan 17 individu

SHAH ALAM, 17 OGOS: Polis Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah disyaki jenis methamphetamine dengan penahanan 17 individu termasuk tiga wanita di sekitar Gombak dan Ampang, dekat sini serta Pulau Pinang, awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata methamphetamine yang dirampas hasil penahanan kesemua individu berusia 26 hingga 65 tahun itu bernilai RM3.89 juta dengan berat keseluruhan 108.09 kilogram (kg).

Beliau berkata pada 3 petang, 6 Ogos lepas, pihaknya menahan tiga lelaki dalam serbuan di kawasan perumahan di sekitar Batu Caves sekali gus merampas 97 bungkusan hijau berisi dadah disyaki methamphetamine dianggar seberat 100.74 kg.

“Kita turut menahan empat lagi lelaki di empat lokasi lain di sekitar Gombak, Selayang dan Cheras untuk tindakan lanjut dan polis turut menyita aset mereka antaranya wang tunai RM114,750, empat akaun berjumlah RM93,670 dan empat kenderaan dengan nilai sitaan bagi kumpulan ini sebanyak RM448,420,” katanya menerusi sidang media secara dalam talian hari ini.

Arjunaidi berkata pada 8 Ogos pula, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua lelaki dan dua wanita pada 11.15 pagi susulan penahanan dua kenderaan di lot parkir kereta di sebuah pasar raya di Ampang.

“Hasil pemeriksaan merampas tujuh bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi methamphetamine seberat 7.35 kg dan susulan itu lima lelaki dan seorang wanita turut ditahan di enam lagi lokasi berlainan sekitar Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Arjunaidi, antara aset yang disita daripada kesemua individu itu adalah tujuh kenderaan berjenama bernilai RM495,000, barang kemas bernilai RM37,570 dan wang dalam 20 akaun berjumlah RM346,180 dengan nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM976,720.

Beliau berkata kesemua individu itu sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengenai kejadian seorang lelaki maut ditembak ketika memandu kereta mewah Range Rover di Jalan BRP 2/1, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, semalam, Arjunaidi berkata didapati mangsa memiliki enam rekod jenayah.

Menurutnya semakan mendapati antara rekod jenayah itu adalah berkaitan samun dan ugutan jenayah dan pihaknya masih menyiasat penglibatan mangsa dalam mana-mana aktiviti yang berkemungkinan menyebabkan berlakunya insiden itu.

“Rekod ‘wanted’ (dikehendaki polis) ada, kita cari dia (mangsa tembak) sebelum ini, sekarang tidak ada,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, suspek telah melepaskan empat das tembakan semasa mangsa yang berusia 42 tahun melalui jalan tersebut.

Sementara itu, Arjunaidi berkata seramai 59 anggota polis kontinjen Selangor ditahan kerja manakala seramai 16 anggota digantung kerja sejak 2017 hingga tahun lepas susulan penyalahgunaan dadah.

“Kita memandang serius isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pegawai dan anggota dan mengambil tindakan tegas atas semua salah laku,” katanya mengulas kes seorang ketua balai polis yang terbabit parti liar di sebuah balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan turut positif dadah serta telah diambil tindakan tahan kerja.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata pihaknya telah mengemukakan kertas siasatan kes itu kepada pihak pendakwa raya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sembilan anggota polis Selangor maut akibat Covid-19 sejak pandemik

SHAH ALAM, 16 OGOS: Sejak 16 Mac tahun lepas sembilan anggota termasuk seorang pegawai kanan polis di Selangor meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dalam tempoh itu juga tiga ahli keluarga polis di kontinjen Selangor meninggal dunia akibat pandemik berkenaan, manakala 331 anggota serta pegawai dikuarantin kerana positif Covid-19 dan 312 lagi diarahkan menjalani kuarantin kerana disyaki kontak rapat.

“Keseluruhan pegawai kanan, anggota dan ahli keluarga yang disahkan positif sejak 16 Mac tahun lepas hingga semalam adalah seramai 910 orang dan mereka yang diarahkan kuarantin adalah 4,332 orang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau berkata setakat Sabtu lepas pihaknya mengeluarkan 2,063 kompaun berkaitan usaha memerangi pandemik, dengan kesalahan utama adalah rentas negeri, gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan tiada penjarakan fizikal sepanjang Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara di Selangor.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Selangor terima 35 unit pacuan empat roda baharu

SHAH ALAM, 26 JULAI: Polis Selangor hari ini menerima 35 unit kenderaan baharu pacuan empat roda Toyota Hilux Single CAB 2.4 jenis GS Cargo (4WD GS Cargo) yang akan diserahkan kepada setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi tujuan penugasan pihaknya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kenderaan yang mampu memuatkan 10 anggota untuk sekali penugasan itu adalah bersesuaian bagi pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR), light strike force (LSF), membawa mayat, mengangkut barang dan sebagainya.

Jelasnya, polis Selangor merupakan kontinjen pertama menerima pacuan empat roda model berkenaan yang saiznya lebih besar daripada model kenderaan yang dimiliki pihaknya sekarang.

“Sebenarnya kita buat (perolehan) 400 pacuan empat roda GS Cargo merangkumi semua kontinjen. Untuk kontinjen Selangor kita bekalkan lebih (dari negeri lain) sebanyak 35 buah kerana ia kontinjen yang besar dan mempunyai daerah yang banyak.

“Dalam tempoh dua minggu lagi insya-Allah serahan kenderaan pacuan empat roda GS Cargo ini akan dilakukan di Kontinjen Kuala Lumpur…(buat masa ini serahan) di sekitar Lembah Klang untuk memudahcarakan operasi,” katanya kepada Bernama dan RTM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas sesi penyerahan kenderaan pasukan Toyota Hilux GS Cargo hari ini.

Sehingga kini, Mazlan berkata Kontinjen Selangor menerima agihan 37 kenderaan bagi 2020 dan 2021 untuk kegunaan di IPD serta balai polis antaranya melibatkan 18 lori model Hino; tiga pacuan empat roda Toyota Hilux D/C 2.8 Black EDI dan dua pacuan empat roda Toyota Triton 2.4 VG Premium.

-BERNAMA