Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat dakwaan anggota trafik buat gangguan seks di sekatan jalan

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Siasatan ke atas dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita semasa sekatan jalan raya di Jalan Duta melibatkan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sedang dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita mengenai perkara itu yang tular di media sosial hari ini.

“Siasatan sedang dijalankan melibatkan seorang anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya mengesahkan polis menerima satu laporan berkaitan gangguan seksual melibatkan anggota polis semasa sekatan jalan raya dan pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

“Ya, pihak JIPS memang ada terima laporan dan ia sedang disiasat,” katanya ringkas kepada Bernama.

Hari ini, tular di media sosial seorang wanita dalam ciapan Twitternya mendakwa beberapa anggota polis cuba mengugutnya, selain terima gangguan seksual semasa di sekatan jalan raya Jalan Duta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata kejadian berlaku apabila pengadu yang merupakan seorang wanita berumur 23 tahun ditahan oleh seorang anggota polis semasa melalui SJR tersebut pada kira-kira jam 7.30 malam semalam, sebelum diminta mengemukakan lesen memandu.

“Pengadu mendakwa didatangi seorang anggota polis yang memintanya menunjukkan buah dada selain mengugut akan mengeluarkan saman sekiranya pengadu enggan.

“Pengadu juga diminta oleh anggota polis berkenaan untuk memberikan nombor telefon miliknya sebelum dibenarkan beredar setelah ketulenan identiti kad pengadu selesai diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anuar menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita bertindak agresif semasa ditahan dalam Op Mabuk

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Seorang wanita bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama kepada polis semasa ditahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) Op Mabuk di Selangor malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari’at berkata wanita berkenaan merupakan seorang daripada tujuh individu yang ditahan semasa operasi tersebut.

“Enam sekatan jalan raya telah diadakan termasuk di Subang Jaya, Klang dan Ampang dan kesemua suspek di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika meninjau SJR di Lebuh Raya Kajang SILK dekat sini, malam tadi.

Menurutnya, enam lelaki tempatan yang ditahan itu akan disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan manakala wanita tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA