Categories
SELANGOR

Polis tahan lelaki tikam adik kembar kerana dadah

SHAH ALAM, 12 MAC: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam mati pasangan kembarnya di rumah sewa mereka di Kampung Seri Cheeding, Banting, Kuala Langat semalam.

Ketua Polis Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas dia dibawa majikan si mati ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada pukul 10.45 malam.

Beliau berkata dalam kejadian semalam, polis menerima panggilan telefon daripada Hospital Banting yang memaklumkan telah menerima seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.58 petang, yang dibawa oleh majikannya ke hospital berkenaan.

Katanya si mati yang bekerja sebagai pekerja kebun sayur pada mulanya telah menghubungi majikannya bagi meminta bantuan untuk ke hospital, setelah dipercayai ditikam oleh kembarnya dalam satu pergaduhan.

“Majikannya itu kemudiannya telah ke rumah mangsa dan mendapati pekerjanya itu terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran dengan rumahnya, dengan kesan darah pada baju, dan lelaki berkenaan masih bernyawa ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata pekerja kebun yang mengalami kecederaan pada bahagian dada akibat tikaman senjata tajam itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting.

Beliau berkata siasatan mendapati pada pukul 4.30 petang semalam pasangan kembar itu bergaduh, dipercayai selepas si adik tidak mahu berkongsi dadah dipercayai syabu dengan abangnya, lalu dia dipercayai ditikam oleh abangnya itu dalam pergaduhan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

12 wanita antara 18 ditahan, disyaki terlibat sindiket pinjaman wang tanpa lesen

SHAH ALAM, 12 MAC: Polis Selangor menahan 18 individu warga tempatan termasuk 12 wanita disyaki terlibat dalam sindiket pinjamanan wang tanpa lesen dalam serbuan di sebuah premis di Kajang dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Azman Ali berkata bertindak atas maklumat, pihaknya telah menyerbu sebuah premis di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua, Kajang pada 10.20 pagi dan bertindak menahan kesemua individu yang berumur lingkungan 18 hingga 52 tahun itu.

Azman berkata sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas.

“Hasil pemeriksaan, pihak kami turut merampas dokumen dan barangan antaranya komputer; fail mengandungi dokumen peminjam; kad ATM pelbagai bank dan wang tunai berjumlah RM21,598,” katanya dalam kenyataan.

Azman berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Polis terima 140 laporan, 37 kertas siasatan dibuka

BATU PAHAT, 12 MAC: Polis Diraja Malaysia menerima sebanyak 140 laporan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula dari 26 Feb hingga Khamis, dengan 37 kertas siasatan telah dibuka.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kes tertinggi yang disiasat adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat kepada poster atau sepanduk parti politik yang melibatkan 13 kertas siasatan.

Antara kes lain yang dilaporkan adalah berkaitan ceramah tanpa permit, pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) dan perbuatan yang boleh merebakkan Covid-19 dan hantaran berbaur fitnah menerusi media sosial.

Bercakap kepada media selepas menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota polis sempena PRN Johor di Dewan Sultan Ibrahim, Univeraiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini malam tadi, beliau berkata sebanyak 17 “kawasan panas” telah dikenal pasti dan menjadi tumpuan pada PRN kali ini antaranya berdasarkan sentimen persaingan politik.

Kamarul Zaman berkata seramai 10,988 anggota dan pegawai melibatkan 5,594 pegawai dan anggota daripada Kontinjen Johor dan 5,394 lagi bantuan luar telah bersiap siaga bagi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negeri ini bagi memastikan kelancaran PRN untuk rakyat keluar mengundi dan proses demokrasi.

Daripada jumlah berkenaan, katanya sebanyak 112 pasukan khas yang dikenali sebagai “Pasukan Cantas PRN Johor” melibatkan 448 pegawai dan anggota telah diatur gerak untuk menjaga keselamatan serta menjalankan risikan.

Hari ini merupakan hari pengundian bagi PRN Johor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis siasat skim pelaburan palsu, tawar keuntungan dalam tempoh dua hari

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terhadap dua skim disyaki pelaburan tidak wujud yang dikenali sebagai Al Kahtifah Trust dan Madinah Mining.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata setakat ini sebanyak 38 kertas siasatan dibuka membabitkan skim pelaburan Al Kahtifah Trust dengan kerugian sebanyak RM468,870 dan 28 kertas siasatan bagi skim pelaburan Madinah Mining melibatkan kerugian berjumlah RM343,282.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua skim pelaburan ini dikesan aktif sejak hujung tahun lepas dengan menggunakan platform media sosial untuk mencari pelabur.

“Pakej yang ditawarkan serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

“Bagi meyakinkan pelabur, penganjur pelaburan ini mendakwa skim ditawarkan adalah patuh syariah dan mempunyai kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, siasatan terperinci berhubung skim pelaburan berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya memberikan perhatian dan membuat semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan serta mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti ‘semak mule’ serta senarai amaran BNM, Suruhanjaya Sekuriti (EC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan.

Semalam, media tempatan melaporkan dua selebriti mendakwa nama mereka digunakan sindiket pelaburan tidak wujud dan sudah membuat lima laporan polis sejak awal tahun ini dengan terbaharu dibuat pada 25 Feb lepas di Balai Polis Kelana Jaya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Penggunaan dron bantu operasi selamat mangsa banjir

PASIR MAS, 28 FEB: Penggunaan dron ketika operasi menyelamat dan tinjauan di lokasi bencana banjir terutama di kawasan yang sukar dimasuki dilihat sangat efektif, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata penggunaan alat itu membolehkan pihak polis mengetahui keadaan sebenar lokasi terbabit termasuk paras air dan laluan di kawasan berkenaan.

“Bencana kali ini agak luar biasa terutamanya di Rantau Panjang apabila terdapat kawasan tertentu yang sebelum ini tidak dinaiki air, tetapi kini turut dilanda banjir sehingga paras air mencapai sedalam lebih satu meter.

“Dengan penggunaan dron ini kita boleh meninjau kawasan berkenaan, sekali gus dapat melancarkan kerja pasukan kami dalam misi menyelamat mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas meninjau dan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lati di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata sehingga kini pasukan penyelamat menerima banyak panggilan kecemasan daripada mangsa banjir dari kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir.

“Walaupun banjir agak luar biasa, keadaan dilihat masih terkawal dan jumlah anggota polis di Kelantan setakat ini mencukupi untuk misi bantuan termasuk mendapat bantuan daripada 55 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) khusus bagi Pasir Mas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu, Kelantan makin buruk, bilangan mangsa pindah meningkat

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) — Keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Terengganu dan Kelantan apabila bilangan mangsa meningkat di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan masing-masing 3,434 orang dan 2,186 orang, setakat 5 petang ini.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 67 PPS dibuka di lima daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Dungun membabitkan 985 keluarga.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan iaitu Jalan Pelantoh (Kampung Pelantoh), Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas), Jalan Air Putih (Masjid Kampung Tebak), Jalan Air Putih (susur keluar Tol Chukai) dan Jalan Air Putih (Kampung Dadong-Sawah Padi) di Kemaman.

Selain itu, Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Duek) dan Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Jerubun), Besut; Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan), Setiu; Jalan Tepus-Kuala Jengai (Kampung Rantau Panjang), Dungun dan Jalan Simpang Gaung-Simpang Sungai Tong (Kampung Kuala Ping) dan Jalan Bukit Diman-Tersat (Kampung Pengkalan Ajal), Hulu Terengganu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, lapan sungai iaitu Sungai Chalok, Sungai Setiu dan Sungai Nerus di Setiu; Sungai Telemong, Sungai Marang (Marang),  Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Hulu Terengganu serta Sungai Dungun telah melepasi paras bahaya.

Di KELANTAN, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, mengingatkan penduduk di negeri ini supaya tidak menjadikan bencana banjir sebagai pesta tahunan, walaupun situasi yang dihadapi ketika ini dianggap sebagai air hujan bertakung.

“Begitu juga warga emas atau orang dewasa yang mahu pergi melihat haiwan ternakan dan sebagainya sekiranya ditenggelami air, kalau boleh pergi ke tempat tersebut biarlah berteman bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, di sini hari ini.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan, sebanyak 30 PPS dibuka masing-masing sembilan di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tujuh di Pasir Mas dan lima di Jeli melibatkan 622 keluarga.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 35.27 meter (m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.69m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (22.04m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.13m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.42m).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan dua lelaki edar dadah nilai lebih RM60,000

PETALING JAYA, 24 FEB: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas ganja bernilai lebih RM60,000 dalam operasi di Damansara di sini dan Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki pertama berusia 34 tahun ditahan di dalam sebuah kereta Proton Satria di parkir kenderaan sebuah pasar raya di Damansara pada 6.30 petang.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemukan sebuah kotak mengandungi 17 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 16.21 kilogram dianggarkan bernilai RM53,493. Polis turut merampas kereta itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat daripada lelaki terbabit, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail dan menahan seorang lelaki berusia 44 tahun, setengah jam kemudian.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik pertama rumah itu menemukan tiga ketulan mampat dipercayai ganja seberat 2.92 kilogram dianggar bernilai RM9,636 di dalam sebuah beg di dalam almari,” katanya sambil menambah polis turut menyita kereta jenis Volkswagen Golf dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit didapati mempunyai rekod jenayah berkaitan pengedaran dadah dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: 233 anggota unit tempur ringan polis siap siaga

MUAR, 24 FEB: Seramai 233 anggota Unit Tempur Ringan (LSF) telah bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya rusuhan kecil sepanjang proses pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata anggota LSF termasuk 15 anggota wanita itu akan ditempatkan di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) di negeri ini.

Beliau berkata penugasan anggota LSF terbabit akan bermula pada hari penamaan calon Sabtu ini hingga hari pengundian pada 12 Mac depan.

“Mereka akan turut melakukan tugasan rondaan ketika tempoh berkempen bagi memastikan setiap kawasan berada dalam keadaan terkawal selain sebagai pasukan terawal tiba di lokasi sekiranya berlaku rusuhan kecil.

“Anggota LSF ini antara 3,000 anggota dan pegawai polis yang bertugas sepanjang proses PRN Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Asas LSF Kontinjen Johor 2022 di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri dekat sini hari ini.

Ditanya mengenai bantuan anggota tambahan sepanjang PRN Johor, Kamarul Zaman berkata bantuan daripada kontinjen-kontinjen lain sememangnya ada namun untuk penamaan calon Sabtu ini, jumlah anggota sedia ada sudah mencukupi.

“Kontinjen Johor juga telah menubuhkan beberapa pasukan pemantau bagi memastikan kelancaran PRN terutama untuk memantau semua pihak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Semua pihak diminta supaya mematuhi setiap peraturan yang dikeluarkan pihak berkuasa termasuk pasukan polis supaya ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan wujud kartel polis tidak dapat disahkan, kata Suruhanjaya Integriti

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Dakwaan wujud ‘kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak dapat ditentusahkan, menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Pengerusi EAIC Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata keputusan itu adalah dapatan siasatan badan itu berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh.

“Dapatan siasatan dan keputusan EAIC itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya sambil memberitahu siasatan berhubung dakwaan itu telah selesai.

Beliau berkata siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM terlibat kegiatan sindiket jenayah dan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta PDRM terhadap pegawai-pegawai terbabit.

“Bagaimanapun, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai terlibat dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan keterangan diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat selain pertukaran diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti serta mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi selain dicampur tangan oleh pihak luar.

Selain itu, Sidek berkata Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan berhubung pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan PDRM perlu mendapat persetujuannya.

“Kedudukan Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara juga tidak dapat digugat kerana pelatikan itu adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lepas, Abdul Hamid membuat pendedahan mengenai wujudnya gerakan sekumpulan pegawai PDRM yng ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Suspek kes bunuh wanita di Serdang Perdana serah diri

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang A. A Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berumur 33 tahun yang juga teman lelaki mangsa menyerah diri pada pukul 11.30 pagi dan motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu.

Anbalagan berkata ujian air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu lori adalah negatif dadah dan pihak polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, seorang wanita berusia 29 tahun maut dipercayai dikelar dalam pergaduhan di premis perniagaannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Kira-kira 3,000 anggota polis bertugas pada hari penamaan calon

MERSING, 20 FEB: Kira-kira 3,000 anggota dan pegawai polis akan ditugaskan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu depan bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya akan menambah anggota ketika tempoh berkempen mengikut keperluan.

“Semua pihak diminta mematuhi peraturan dan mengikuti nasihat serta arahan yang diberikan pasukan polis yang bertugas supaya ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas program Dialog Ketua Polis Johor bersama Warga Felda Tenggaroh di Tanjung Leman di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada 12 Mac manakala 8 Mac ditetapkan untuk pengundian awal.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata 58 individu disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan dalam Op Tapis yang dijalankan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Mersing di sekitar Felda Tenggaroh di sini.

“Dalam operasi selama dua hari berakhir semalam, kebanyakan mereka terdiri daripada generasi kedua dan ketiga FELDA, disyaki mengambil dadah jenis syabu atau ‘Ice’ dan hasil siasatan kita mendapati terdapat penagih tegar dan juga penagih baharu,” katanya.

Menurutnya polis juga mengesan kegiatan penagih dadah yang mencuri kelapa sawit berikutan kenaikan harga komoditi itu bagi membeli dadah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita maut dikelar dalam pergaduhan di premis niaga

SERDANG, 20 FEB: Seorang wanita maut dipercayai dikelar dalam pergaduhan di premis perniagaannya di Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A Anbalagan berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terdapat pergaduhan di premis perniagaan berkenaan pada 7.25 malam.

“Setibanya anggota polis di lokasi kejadian menemukan mayat wanita berusia 29 tahun itu dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah akibat kesan kelar. Mangsa telah meninggal dunia akibat dikelar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bernama difahamkan mangsa yang mengusahakan perniagaan peti besi keselamatan bagi kediaman dan pejabat itu bergaduh dengan teman lelakinya berkaitan urusan wang.

Menurut Anbalagan, pihaknya sedang mengesan suspek terlibat serta motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA