Categories
NASIONAL

‘Jenayah Apabila Berlaku Kepada Rakyat Ia Persepsi, Bila Kena Menteri Ia Realiti’

azmin

KUALA LUMPUR, 10 JULAI : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa menggunakan alasan peningkatan jenayah sebagai sebab untuk mengembalikan semula Ordinan Darurat(EO).

Menurut Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pengakuan Zahid itu muncul berikutan kediaman seorang menteri kabinet dipecah masuk oleh penjenayah baru-baru ini.

Tegas Azmin, sebelum ini setiap kali perkara berkenaan jenayah ini dibangkitkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan jawapan bahawa ia merupakan satu persepsi.

“Namun semalam semasa sesi penggulungan, menteri menegaskan ia bukan lagi persepsi tetapi kadar jenayah sememangnya tinggi di negara ini.

“Apabila berlaku jenayah kepada rakyat, ia dianggap persepsi tetapi apabila berlaku kepada pemimpin atau menteri, ia adalah realiti,” tegas Azmin.

Azmin juga menyoal, adakah dengan pengakuan menteri ini mahu dijadikan alasan untuk kerajaan mengembalikan EO yang telah dihapuskan.

Untuk rekod EO dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan dakwaan ia tidak bersifat demokratik.

Sejak ia dimansuhkan, kira-kira 2,000 tahanan dibebaskan.

Dalam pada itu, Azmin turut menyelar tindakan Kerajaan Pusat dan anggota polis yang didakwa hanya berdiam diri apabila kes jenayah berlaku kepada rakyat di negara ini.

Categories
NASIONAL

Kes KPN Khalid, Menteri Zahid Hamidi Jejas Kredibiliti Kementerian, Polis

keganasan-polis

SHAH ALAM 29 JUN : Kes mahkamah yang melibatkan dakwaan salahguna kuasa Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri telah mengakibatkan kredibiliti kedua-dua institusi itu berada pada tahap yang sangat rendah.

“Kes-kes seperti ini jelas menunjukkan salah guna kuasa sewaktu dalam jawatan am dan tindakan sewajarnya perlu diambil tidak kira siapapun yang terlibat,? kata peguam dan MP Padang Serai N Surendran.

Dengan deretan kes kematian dalam tahanan, terbaru Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula memutuskan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu bertanggungajawab atas kematian A. Kugan ketika di dalam tahanan polis.

Kugan didapati mati akibat didera secara fizikal semasa soal siasat polis empat tahun lalu.

Dalam keputusannya Hakim, Datuk V. T. Singham mengatakan, Khalid yang pada ketika itu merupakan Ketua Polis Selangor, cuai untuk memastikan keselamatan tahanan sewaktu soal siasat dijalankan.

Tidak cukup dengan itu, Mahkamah Rayuan Khamis lalu menolak permohonan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengenepikan kes saman terhadapnya daripada dibicarakan di mahkamah.

Saman tersebut difailkan seorang ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah terhadap Zahid Hamidi yang didakwa menyerangnya di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, Selangor, pada 16 Januari 2006.

“Jika perlu siasatan dan perbicaraan, pihak berkenaan juga harus jalankan tanggungjawab sekalipun yang perlu disiasat ialah seorang Menteri,” tegas Surendran.

Beliau bagaimanapun tidak meletakkan sebarang keyakinan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap kedua-dua individu yang memegang jawatan tertinggi itu.

Ujarnya, berdasarkan rekod-rekod lepas, pihak polis dan kementerian tidak pernah dibiarkan bebas menjalankan tugas sepertimana digariskan perlembagaan. Sebaliknya mereka hanya bertindak mengikut arahan politik.

“Apapun, seperti yang kita katakan sebelum ini, kita minta Ketua Polis Negara meletakkan jawatan kerana gagal memastikan keselamatan tahanan sehingga menyebabkan kematian.

“Kita juga desak agar siasatan sewajarnya dijalankan ke atas Zahid (Hamidi) lebih-lebih lagi terdapat keterangan dan dokumen sokongan jelas dalam kes ini termasuk laporan kesihatan plaintif dan sebagainya,” tambah Naib Presiden PKR ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid : Umno-Selangor Cuba “Beli Bilik Gerakan Pakatan”, Tabur Wang

BN UMNO SUK

SHAH ALAM 25 Apr : Umno Selangor diminta menghentikan usaha untuk membeli bilik gerakan Pakatan Rakyat Selangor dengan tujuan untuk melumpuhkan jentera PR di Selangor, dakwa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid juga mendakwa terdapat usaha membeli undi oleh pihak-pihak tertentu dengan menabur wang kepada pengundi di Selangor.

?Saya mencabar (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) untuk benar-benar menghormati  Akujanji Integriti yang antara lain untuk tidak mengamalkan kempen merasuah para pengundi.

?Pada masa yang sama, saya menyeru rakyat selangor tampil ke hadapan membuat laporan dan memberi maklumat  jika terdapat mana-mana calon, ejen mahupun penggerak parti politik menawarkan wang tunai ketika berkempen,? Abdul Khalid berkata dalam satu kenyataan media.

Abdul Khalid berkata laporan rasuah pengundi boleh dibuat kepada beliau, Suruhanjaya Pilihanraya dan polis.

?Saya berharap Transparency International memantau isu ini supaya pilihan raya dijalankan secara adil dan bebas.?

Pada masa yang sama, Abdul Khalid berkata satu laporan kecemerlangan pentadbiran PR Selangor akan dibentangkan di Klang pada 1 Mei sempena siri jelajah manifesto yang disertai Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

?Kita menjemput dan mengalu-alukan kehadiran Barisan Nasional untuk menyaksikan pembentangan ini termasuk calon-calon Menteri Besar Barisan Nasional.?

Dalam isu yang berlainan, Abdul Khalid mendakwa Najib tidak menghormati prinsip federalisme apabila Pengerusi Umno-BN itu berkata beliau akan sendiri pantau pentadbiran Selangor jika BN dapat menakluki Selangor.

?(Ini) menunjukkan bahawa Najib bukan sahaja tidak menghormati kedaulatan malah beliau tidak mempercayai calon bakal MB Umno yang dipilih.

?Saya menganggap ini bukan kempen sayangi Selangor tetapi memperbodohkan rakyat Selangor kerana  banyak maklumat salah tentang negeri Selangor,? kata Abdul Khalid.

Wan Azizah : Jadikan Kes Kematian Adik William Iktibar

wan-azizah-wan-ismail1-dec4

KUALA LUMPUR 28 JAN: Masyarakat negara ini disaran menjadikan kes kematian adik Wiliam Yau Zhen Zhon sebagai iktibar agar kejadian sedemikian tidak berulang

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, masyarakat setempat, ibu bapa dan penjaga haruslah lebih berwaspada serta sentiasa bersedia untuk memastikan anak-anak dalam keadaan selamat.

Ia terutamanya di tempat-tempat yang sesak, taman permainan, pusat membeli belah dan sebagainya.

Wan Azizah berkata demikian merujuk tragedi menyayat hati menimpa Wiliam,6, yang ditemui mati di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, 24 Januari lalu selepas seminggu hilang dari rumahnya di Putra Heights, Subang.

“Sebagai seorang ibu, saya amat kecewa dengan apa yang terjadi dalam masyarakat kita,” kata Wan Azizah dalam kenyataan medianya.

Tambahnya, negara pernah bersedih dengan berita kematian Nurin Jazlin (2007), Sharlini (2008) dan terbaru, kematian ngeri Dirang yang dibakar di Johor baru-baru ini.

“Mengenang kepada tiga peristiwa ini, sebak dan sayu pasti menyelubungi kita semua. Sikap prihatin sesama kita adalah tanggungjawab bersama,? katanya.

Ujar Wan Azizah, polis digesa memberi keutamaan kepada agenda keselamatan terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak.

“Keganasan rumah tangga, aktiviti pemerdagangan manusia, penculikan dan pembunuhan adalah kegiatan yang perlu diperhatikan oleh pihak keselamatan dengan serius dan tekad untuk membanteras.

“Marilah kita bersama-sama berpegang tangan, berganding bahu untuk terlibat secara total dalam pembangunan masyarakat khususnya dalam melindungi kanak-kanak,” katanya.

 

Jambatan Ke-Tiga Klang Akan Siap Dalam Dua Tahun – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 18122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 18 DESEMBER 2012 :

1. Pengguna jalan raya tidak perlu lagi meredah kesesakan di tengah bandaraya Klang, selepas jambatan ke-tiga Klang sepanjang 500 meter siap sepenuhnya dalam dua tahun lagi.

2. Lebih 20 ribu kerja kosong di Selangor dibuka untuk diisi segera di mana majoriti peluang ini adalah dalam sektor pembuatan.

3. Kuota Wanita : Sekali Lagi PR Lakukan Apa Yang Umno-BN Tidak Mampu

4. Polis Harus Menjadi Pengerak Utama Bendung Perjudian

5. Benar Mahasiswa Bertanding, KPT Jangan Berat Sebelah

Layari http://www.selangorkini.net

Pondok Polis Bantu Tingkat Keselamatan Kawasan Perindustrian

KLANG, 4 DIS: Kerajaan Selangor melalui Selangor State Investment Center Berhad (SSIC) menyerahkan Pondok Polis Kawasan Perindustrian Bukit Raja Klang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Ia adalah usaha meningkatkan keyakinan dan keselamatan para pelabur dan pekilang dalam negara dan antarabangsa untuk terus menanam modal dan menyumbang aktiviti ekonomi di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, Pondok Polis yang berharga RM150,000 itu adalah sebagai langkah mengurangkan jenayah khususnya di kawasan perindustrian di negeri Selangor.

“Dengan usaha ini maka lebih ramai lagi para pelabur akan datang ke Negeri Selangor dengan adanya jaminan keselamatan yang disediakan polis dan Kerajaan Negeri,” kata Khusrin semasa sidang media.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Pondok Polis Kawasan Perindustrian Bukit Raja Klang oleh Kerajaan Selangor kepada polis.

Tambah beliau, jumlah pelaburan di kawasan Perindustrian Bukit Raja di sini setakat Ogos 2012 adalah RM384 juta yang memberi sumbangan penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Justeru, langkah keselamatan perlu dipertingkatkan di kawasan itu yang juga memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Selangor membantu polis menangani masalah jenayah di kawasan perindustrian.

“Sebahagian kos pembinaan pondok ini dibiayai oleh pekilang-pekilang dan saya ucapkan terima kasih kepada yang menyumbang,” katanya.

Pondok Polis yang pertama dibina di kawasan perindustrian di Selangor itu akan beroperasi 24 jam sehari bertujuan untuk memudahkan para pekilang berhubung terus kepada polis.

 

Replika kunci Pondok Polis itu diserahkan oleh Khusrin mewakili Kerajaan Selangor kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Seramai enam anggota polis akan ditugaskan di Pondok Polis itu yang terletak di hadapan Kilang Nestle Products Sdn Bhd dengan dilengkapi Sistem Laporan Polis (PRS) bagi memudahkan orang ramai membuat aduan.

Cadangan pembinaan pondok itu diutarakan pihak pekilang ekoran telah beberapa kali berlaku masalah pecah kilang dan rampasan kontena yang melibatkan kerugian jutaan ringgit yang mengganggu operasi kilang.

 

 

 

Categories
NASIONAL

Tangguh Tayang Video BERSIH 3.0 Bukti KDN Hilang Punca

SHAH ALAM, 8 JUN : Kegagalan Kementerian Dalam Negeri(KDN) menyiarkan kompilasi video kononnya berlaku keganasan semasa perhimpunan BERSIH 3.0 membuktikan KDN ada menyembunyikan sesuatu daripada masyarakat.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan yang menyifatkan usaha penyiaran video itu semakin tidak relevan kerana dua bulan kejadian itu berlalu.

Katanya, video itu mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan dan berkemungkinan terdapat unsur-unsur suntingan untuk meletakkan kesalahan di sebelah pihak sahaja.

“Lebih malang apabila desakan SAMM sebelum ini berkenaan rusuhan polis langsung tidak diberi perhatian seolah-olah aksi memukul demonstran itu adalah ‘SOP’ yang betul.

“Rakyat menunggu dengan sabar apakah klip keganasan polis akan dimuatkan dalam siaran tersebut ataupun tidak. Namun sehingga hari ini ‘suntingan’ masih tidak siap dan ia jelas membuktikan KDN hilang punca,” katanya.

Berbanding KDN, katanya, SAMM lebih komited memberi gambaran sebenar terhadap insiden yang berlaku semasa BERSIH 3.0 apabila hanya mengambil masa seminggu untuk menerbitkan dokumentari berdurasi 49 minit.

Jelasnya, dokumentari yang dihasilkan dalam bentuk DVD itu lengkap merangkumi peristiwa BERSIH 1.0, 2.0 dan 3.0, selain memberi fokus kepada tuntutan perhimpunan itu.

Beliau berkata, dokumentari bertajuk “Merdeka Rakyat” itu akan menjelaskan segala punca sehingga lahirnya perjuangan BERSIH sejak kali pertama ia dilancarkan pada 2006 sehingga 28 April 2012.

Tambahnya, tayangan video itu akan disiarkan pada malam Pidato Perdana Merdeka Rakyat peringkat Kelantan di Ketereh hari ini.

“Adalah menjadi peranan anak muda SAMM untuk berdepan dan memintas propaganda penuh helah oleh regim yang zalim. Selain itu, semua pihak juga perlu saling menyebarkan maklumat bagi mengambus penipuan,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

AMK Gesa Polis Siasat Menyeluruh Skandal Jual Rahsia Pertahanan

SHAH ALAM 8 JUN : Polis digesa untuk menyiasat secara menyeluruh isu dakwaan penjualan maklumat rahsia pertahanan negara, tegas Naib Ketua AMK Pusat, Azmizan Zaman Huri.

Azmizam yang juga Ketua AMK Selangor menyeru polis tidak dengan sewenang-wenangnya melindungi mana-mana individu berkepentingan kerana secara jelas, individu-individu terbabit telah menggadai keselamatan dan rahsia pertahanan negara.

“Kejadian ini menimbulkan keraguan mengenai tahap sebenar kemampuan pertahanan negara ini, kerana berdasarkan pendedahan ini , wujud kebarangkalian maklumat-maklumat pertahanan yang lain juga dijual,” kata Azmizam dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau, isu ini dilihat satu titik kemuncak keghairahan untuk mengumpul dana kekayaan buat diri sendiri menjadi pendorong kepada beberapa individu berkepentingan untuk membelakangkan keselamatan rakyat secara keseluruhan.

“Pendedahan terbaru ini menunjukkan nyawa dan nilai keselamatan rakyat negara dan perajurit yang bertugas adalah tidak mempunyai makna sama sekali kepada pengkhianat seperti Razak Baginda dan bapanya,” ujar beliau.

Tambah Azmizam, beliau mempersoalkan tindakan Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Pertahanan waktu itu yang hanya menutup mata kerana ingin mengenyangkan proksi dan kroni beliau.

“Malah saya ingin mempersoalkan, adakah Datuk Seri Najib Razak juga menerima habuan yang lumayan daripada penjualan dokumen sulit ini,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak SUARAM melaporkan bahawa dokumen berkaitan laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijual pada harga 36 juta Euro atau RM142 juta kepada pihak DCNS.

Dipercayai Terasasi (Hong Kong) Limited ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan bapanya Abdul Malim Baginda yang merupakan sekutu kuat dan penasihat utama kepada Najib Razak.

 

Categories
SELANGOR

Banteras Pusat Hiburan Haram Secara Bersepadu

SHAH ALAM, 22 MAC : Operasi pemeriksaan pusat hiburan haram telah dilakukan beberapa kali mengikut keperluan dan juga merancang operasi secara berkala dengan kerjasama daripada agensi-agensi luar seperti Polis, JAIS dan Agensi Dadah Kebangsaaan.

“Operasi penguatkuasaan secara bersepadu merupakan salah satu kaedah terbaik dalam menangani masalah yang melibatkan pusat hiburan haram,”.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Sementa, Abd Rahman Palil berkaitan kekerapan operasi membanteras pusat hiburan haram di Selangor.

Sehubungan itu, ahli Exco dan Adun digalakkan turun padang untuk menyertai operasi penguatkuasaan ke atas pusat hiburan haram yang terdapat di sekitar Selangor.

Akan tetapi, kuasa yang diberikan kepada PBT terhad untuk membanteras pusat hiburan haram kerana ianya perlu melibatkan kebenaran daripada TNB  untuk pemotongan elektrik dan sebagainya.

“Pemotongan air dan elektrik adalah tindakan yang berkesan tetapi pemotongan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana perlu melalui organisasi  tertentu seperti TNB dan lain-lain,” ujar Ronnie ketika menjawab soalan tambahan dari Abdul Rahman berkaitan pemotongan elektrik dan air di pusat hiburan haram.

Selain itu, Ronnie juga menyatakan ahli-ahli majlis PBT boleh menyertai operasi tetapi tidak diberikan kuasa kerana tidak mahu berlaku salah kuasa dikalangan ahli majlis.

Categories
NASIONAL

Polis Nafi Terbabit Dalam Serangan Ceramah Abu-Hindraf

SHAH ALAM 25 JAN : Polis hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan dan bersengkongkol dengan perusuh di ceramah ABU-Hindraf Sabtu lalu.

Ketua Polis Shah Alam, Zahedi Ayob berkata pihaknya tidak dimaklumkan oleh penganjur tentang ceramah tersebut dan hanya mengetahui kewujudan acara tersebut selepas kekecohan antara penduduk setempat dengan peserta ceramah berlaku.

Walaubagaimana pun, Zahedi menjelaskan pihaknya berjaya menahan sekurang-kurangnya enam individu lingkungan antara 17 ke 20 tahun yang didakwa terlibat dalam kejadian rusuhan tersebut bagi membantu siasatan.

Kesemua mereka yang ditahan disiasat dibawah Seksyen 148, Kanun Keseksaan (Kesalahan Merusuh).

“Saya ingin ingatkan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan ke atas kedua-dua belah pihak sekirannya didapati melakukan kesalahan.

“Kita juga ingin menafikan bahawa pihak polis terlibat dan bersubahat seperti yang dikatakan oleh mereka yang tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam hari ini.

Ceramah umum gerakan ABU-Hindraf (Asalkan Bukan Umno-Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu) yang berlangsung di Dewan MBSA, seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Penganjur ceramah mendakwa samseng itu dipercayai penyokong tegar Umno dan bertindak ganas terhadap peserta India di ceramah itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Dewan Penyokong PAS cedera parah apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Sementara itu, seorang pengerak ABU Badrul Hisham Shaharin, mendakwa salah seorang dari kumpulan perusuh itu adalah pegawai polis yang tidak berpakaian seragam selain mengesyaki polis bersubahat dengan kumpulan penyerang terbabit.

Sebuah portal berita melaporkan Badrul Hisham membuat dakwaan tersebut di dalam satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Selain memorandum, Badrul Hisham mengemukakan bukti rakaman video serangan malam kejadian dan gambar penyerang yang dikenal pasti.