Categories
BERITA UTAMA

Kisah politikus angkuh dengan setengah kilo geran

OLEH NAZLI IBRAHIM

Teh tarik yang diminta sudah lama terhidang, namun masih tidak disentuh. Pada raut wajah, jelas hatinya sedang bergolak dengan perasaan hiba, sedih, marah dan bermacam lagi apabila mengenangkan nasib yang menimpa datuk dan bapanya suatu masa dahulu.

Anak jati Sungai Besar itu merenung jauh seolah-olah membayangkan betapa kecewanya datuk dan bapanya apabila tanah yang diusahakan dengan tulang empat kerat tiba-tiba menjadi milik orang lain.

344A4211 Akhirnya dia memulakan cerita. Masih terngiang-ngiang di telinga Majid Mohd Yusoff, 43, betapa angkuhnya ahli politik tempatan pro Kerajaan Negeri pada masa itu. Tanpa sedikit pun rasa bersalah dengan angkuhnya mendabik dada mengumpamakan geran tanahnya sahaja mencecah berat sehingga setengah kilogram.

“Kalau gerannya sahaja sudah setengah kilogram, sudah tentulah dia mempunyai tanah yang berhektar-hektar luasnya,” getus hati Majid.

Kata-kata angkuh politikus tempatan itu ditelannya sahaja dengan perasaan yang kelat kerana dia sedar tidak mampu berbuat apa-apa lantaran dia dan rata-rata masyarakat di Sungai Besar sedia maklum dalam apa keadaan yang melibatkan hak milik tanah sudah tentu sentiasa memihak kepada ahli politik pada masa itu.

Kalau tidak, masakan ahli-ahli politik itu begitu berani berlumba-lumba mengumpul tanah selagi boleh. Lagi besar kedudukannya lagi banyak tanah yang dimiliki.

Tindak tanduk ahli politik rakus pada masa itu menyebabkan sistem urus tadbir di kebanyakan pejabat tanah menjadi semakin rosak dan caca marba apabila terlalu kerap dicemari dengan campur tangan politik terutama melibatkan pengagihan tanah sesama mereka.

Majid bukanlah cemburukan kekayaan yang dimiliki pemimpin politik yang rata-ratanya adalah pemimpin Umno pada masa itu, tetapi apa yang memilukan hati Majid kerana terkenangkan nasib petani yang bersusah payah seperti datuk dan bapanya yang kehilangan tanah mereka terokai dengan tulang empat kerat, keringat dan air mata.

“Mereka adalah peneroka di satu kawasan di Sungai Panjang. Bila mereka bercucuk tanam, tanah pun dah cantik, tiba-tiba Kerajaan Negeri yang ketika itu di bawah BN membuat perancangan untuk melakukan penstrukturan atas alasan nak beri geran dan sebagainya.

“Bila orang kampung seperti atuk dan bapa saya dengar, mereka akur. Yalah, bila dengar nak beri geran siapa tak gembira tetapi bila sistem ukur tanah itu dijalankan, ramai peneroka ini hilang hak mereka. Tanah yang mereka teroka dahulu berpindah ke tangan orang lain. Ada juga orang yang meneroka lebih lima ekar, contohnya 10 ekar, tanah mereka hilang. Tinggal tiga ekar sahaja.

“Akhirnya kita dapat tahu, kerajaan jual tanah yang mereka teroka itu kepada kakitangan kerajaan dan pihak lain yang lebih mampu dan berada. Generasi di zaman atuk dan bapa kita bukan golongan berpelajaran, mereka dipermainkan tetapi generasi sekarang sudah bijak,” luah Majid pada satu pertemuan dengan SelangorKini di Pekan Sabak Bernam, baru-baru ini.

Mengimbas lanjut pengalaman hidup di era pentadbiran BN, Majid berkata ahli politik ketika itu seolah-olah terlalu gilakan tanah bagi meraih kekayaan dan alat untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam parti.

grafik politikus“Saya lihat daripada sudut pentadbiran negeri, kalau dahulu pasal tanah ini seolah-olah ahli politik memang gila. Seolah-olah, hal tanah ini dikuasai mereka. Mereka boleh kumpul harta dengan memiliki tanah sampai ada yang bersikap angkuh, mengaku geran sampai ada setengah kilogram.

“Ini memang berlaku, mereka duduk di kedai kopi masa itu dengan berlagak mengaku gerannya sahaja dah setengah kilo, tiga keturunan, empat keturunan tak habis makan. Ini perkara biasa pada mereka di ketika itu, memang cukup angkuh.

“Ada pula sesetengah yang lain pula, kita lihat seolah-olah mereka tak ada tanah tetapi sebenarnya mereka gunakan strategi lain dengan gunakan proksi untuk melindungi nama mereka. Ini sudah perkara biasa,” katanya.

Segalanya berubah selepas 2008 (sub title)

Bagaimanapun, beliau gembira apabila segalanya berubah selepas Pakatan mula mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 2008 dengan menyaksikan nasib rakyat menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri hari ini bekerja keras memastikan golongan yang dinafikan hak mereka sebelum ini mendapat hak milik tanah yang mereka usahakan sejak bergenerasi lamanya.

“Walaupun ada yang belum selesai, kita faham isu tanah adalah isu yang rumit tetapi apa yang saya dengar ramai yang kata setakat ini Kerajaan Negeri sentiasa respon tentang isu tanah melibatkan rakyat bawahan dan ramai juga peneroka tanah yang berpuluh tahun berusaha akhirnya dapat hak milik mereka,” katanya.

Kini, Majid juga boleh tersenyum lega tatkala terbaca laporan akhbar jaminan Menteri Besar selepas era BN yang sentiasa bertegas bahawa tiada mana-mana ahli politik pro Kerajaan Negeri boleh meminta habuan tanah.

Selain isu tanah, Majid turut menyaksikan perubahan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar seperti Sungai Besar yang sentiasa mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

“Fasiliti untuk masyarakat luar bandar seperti jalan raya, peparitan dan seumpamanya. Ini perbezaan yang paling jelas kita boleh nampak,” katanya.

“Dulu, susah betul nak merasa hasil negeri” (sub title)

Selain itu, Majid seperti kebanyakan masyarakat di Sungai Besar turut merasa beruntung apabila dapat menikmati hasil Kerajaan Negeri terutama melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Kalau dulu, jangan harap orang di Sungai Besar ini nak merasa seperti yang diberikan Kerajaan Negeri sekarang, memang susah betul tetapi kini tak payah meminta-minta.

Kalau layak, daftar sahaja semua orang boleh dapat walaupun kamu tinggal di hulu kampung, tak kenal siapa wakil rakyat atau kamu adalah penyokong tegar Umno juga boleh dapat bantuan yang disediakan dalam program MES,” katanya.

Bukan Majid sahaja yang merasakan angin perubahan sejak 2008 tetapi beberapa penduduk lain yang sempat ditemui SelangorKini turut melahirkan pendapat sama.

344A4227Pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Aina Nabiha Mohd Ghalib, 20, pula memberitahu, beliau rasa beruntung membesar di era pentadbiran Kerajaan Negeri yang baru ekoran pelbagai manfaat disediakan untuk generasi muda.

“Dulu, memang tidak ada program seperti pusat tuisyen percuma yang ada sekarang. Sekarang bukan tuisyen sahaja percuma, masuk universiti pun dapat hadiah duit. Kahwin pun dapat lagi.

“Memang memang tak terfikir orang biasa macam kita juga boleh dapat bermacam bantuan secara terus daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

344A4221Kerani Swasta, Norsuhaila Ismail, 38, pula berkata bantuan kepada rakyat seperti baja lebih mudah, cepat dan bersistematik berbanding dahulu yang didakwanya terlalu banyak kerenah birokrasi.

“Penduduk kampung di tempat saya lebih mudah dapatkan bantuan benih ikan keli, benih pisang dan kelapa. Mereka yang berminat untuk berniaga boleh buat pinjaman HIJRAH. Tak perlu lagi kenal kenal orang dalam atau kenal Yang Berhormat baru boleh dapat bantuan macam dulu-dulu,” katanya.