Categories
AGENDA NASIONAL

Gempa bumi kali kedua landa Sumatera, tiada ancaman tsunami

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter melanda utara Sumatera pada 12.02 tengah hari tadi, susulan gempa bumi kuat di wilayah sama pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Berdasarkan penilaian, gegaran dirasai di Lembah Klang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia memaklumkan gempa susulan daripada gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter pada 9.39 pagi tadi dijangka tidak akan memberikan ancaman tsunami terhadap Malaysia.

MetMalaysia bagaimanapun menasihati orang ramai untuk mencari tempat perlindungan dan keluar dari bangunan apabila merasai gegaran.

“Selain itu perlulah sentiasa peka dengan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat gempa atau tsunami terkini melalui laman sesawang MetMalaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia serta menerusi talian 1-300-22-1638.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak enam tahun lemas di Pantai Seaview, Port Dickson

PORT DICKSON, 7 OKT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun disahkan meninggal dunia akibat lemas di Pantai Seaview, Tanjung Gemok di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata keadaan angin dan ombak yang kuat menyebabkan Muhammad Nurmubien Muhammad Miqdam gagal diselamatkan sebelum mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian pada 6.30 petang oleh anggota penyelamat.

Beliau berkata siasatan awal mendapati keluarga mangsa dari Sendayan datang ke Port Dickson untuk bercuti rehat dan berkelah di pantai.

“Pada 4.15 petang, semasa ayah mangsa sedang duduk di bawah pokok, beliau ternampak dua anaknya berumur 10 dan 8 tahun yang sedang bermain di tepi pantai telah ditarik ombak.

“Kemudian ayah mangsa terus bergegas ke pantai untuk menyelamatkan dua anaknya tanpa menyedari mangsa yang berumur 6 tahun telah mengekorinya dari belakang turut ditarik ombak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata kanak-kanak itu kemudian diberikan rawatan kecemasan sebelum dibawa ke Hospital Port Dickson.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 7.30 petang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akademi Imigresen Malaysia jadi pusat rawatan Covid-19 risiko rendah

SEREMBAN, 28 OKT: Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson yang memiliki kemudahan 200 katil dijadikan sebagai pusat rawatan Covid-19 risiko rendah mulai hari ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ini bagi membolehkan rawatan dapat diberikan secara berkesan kepada semua pesakit Covid-19, dan ketika ini Negeri Sembilan merekodkan 424 pesakit yang sedang dirawat di tiga hospital iaitu Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Hospital Rembau dan Hospital Tampin.

“Yang berisiko rendah (tanpa simptom) kita akan hantar ke AIM manakala yang ada masalah sedikit, kita akan letak di hospital.

“Seperti semua sedia maklum, ini kali pertama kita menghadapi sebanyak 424 kes pesakit di dalam wad,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.

Semalam, Negeri Sembilan merekodkan 155 kes baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan kes berjumlah 1,492 kes.

Mengenai sambutan Maulidur Rasul 2020/1442H yang akan dirai umat Islam esok, Aminuddin menasihati mereka yang masih ingin menganjurkan acara agar mematuhi tatacara operasi piawai yang ditetapkan.

“Saya serah kepada kebijaksanaan (masyarakat) nanti kalau saya kata tak boleh banyak hukum jatuh kepada saya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

31 kompaun langgar SOP PKPP dikeluarkan di Port Dickson

PORT DICKSON, 1 OGOS: Sebanyak 31 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam tempoh seminggu di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata Pasukan Petugas Pematuhan SOP PKPP terdiri daripada anggota polis Ibu Pejabat Daerah Port Dickson, penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan penguat kuasa Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson telah menjalankan pemeriksaan ke beberapa premis sekitar bandar Port Dickson, Lukut dan Teluk Kemang.

“Operasi pematuhan turut tertumpu di kawasan pantai yang kerap dikunjungi pelawat yang dibuka kepada orang awam sejak 13 Jun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pasukan petugas juga mengeluarkan dua kompaun terhadap dua lelaki yang minum minuman keras sehingga mabuk di tepi pantai Sunshine Bay, Jalan Pantai Port Dickson, Sabtu lepas, katanya sambil menambah pihaknya secara berterusan mendidik masyarakat agar mematuhi SOP PKPP sehingga 31 Ogos, nanti.

Katanya, operasi pematuhan diperhebatkan pada hujung minggu dengan tumpuan dilakukan di sepanjang pantai Port Dickson dan orang ramai juga diingatkan bahawa sebarang aktiviti selepas pukul 12 malam, adalah dilarang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih dua bulan ‘mati’, Port Dickson kembali ceria

PORT DICKSON, 15 JUN: Pantai peranginan Port Dickson yang sebelum ini suram tanpa sebarang aktiviti susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lepas kini kembali “hidup” dengan kehadiran pengunjung.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun yang menyusuli pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai yang nyata “rindukan” angin pantai setelah lebih dua bulan “terkurung” di rumah.

Gabungan Penjana yang antaranya memberikan pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan pelancongan dalam negara sehingga 31 Disember 2021 berserta kebenaran merentas negeri menerusi PKPP mendorong pemain industri perhotelan di sini menawarkan diskaun penginapan sehingga 50 peratus bagi menarik pengunjung.

Pengusaha Nur Banglo Homestay dan Nur Arowana Homestay Port Dickson, Muhamad Ammar Farhan@Brorey berkata sebaik kerajaan mengumumkan PKPP menggantikan PKP Bersyarat yang berakhir pada 9 Jun, beliau menerima tempahan penginapan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Setakat ini saya menerima 10 tempahan daripada pelanggan di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur untuk menginap di rumah inap saya,” katanya kepada Bernama di sini.

Bagaimanapun, bagi Pengurus Hotel Klana Beach Resort Port Dickson Che Dzaruddin Che Omar, tempahan yang diterima pihaknya masih rendah, namun percaya angka akan meningkat apabila kerajaan melonggarkan sekatan terhadap aktiviti lain seperti kebenaran menggunakan kolam renang dan gim.

“Pelanggan paling jauh yang kami terima ialah dari Selangor manakala selebihnya adalah dari negeri ini,” katanya.

Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Kevin Joo Kok Wai, 34, berkata dia memilih Port Dickson sebagai destinasi percutian pertamanya selepas PKP kerana lokasi itu paling dekat dan paling mudah diakses olehnya.

“Saya sudah lama tidak bercuti dan kebenaran yang diberikan kerajaan akan digunakan sebaiknya. Bagaimanapun, kita perlulah menjaga diri kita sendiri dan mengamalkan normal baharu seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) pada Jumaat memaklumkan seluruh pantai awam di kawasan itu dibuka kepada pengunjung mulai Sabtu namun hanya lima aktiviti dibenarkan iaitu perkelahan tidak melebihi 10 orang, berjoging, berbasikal, mandi laut serta kemudahan tandas awam dan surau.

Aktiviti-aktiviti lain termasuk perkhemahan bermalam di kawasan pantai, program keramaian seperti hari keluarga dan perkahwinan serta kegiatan air lain dan sebarang aktiviti penggambaran masih tidak dibenarkan.

Muhyiddin ketika membentangkan Penjana berkata bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas akibat Covid-19, kerajaan memperkenalkan insentif cukai seperti pengecualian cukai pelancongan mulai 1 Julai sehingga 30 Jun 2021 dan lanjutan pengecualian cukai perkhidmatan untuk hotel sehingga 30 Jun 2021.

Kerajaan turut melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara sehingga 31 Disember 2021 dan lanjutan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai sehingga 31 Disember.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan kemudahan pembiayaan sektor pelancongan Penjana berjumlah RM1 bilion untuk membiayai inisiatif transformasi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor berkenaan agar terus berdaya maju dan berdaya saing dalam era normal baharu.

-BERNAMA