Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Pos Malaysia tutup sementara operasi

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Beberapa cawangan Pos Malaysia terpaksa menutup operasi ekoran banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak Jumaat lepas.

Pos Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan hujan lebat berterusan turut menjejaskan penghantaran dan kutipan susulan beberapa laluan tidak boleh dilalui akibat dinaiki air.

“Laluan-laluan yang tidak dapat diakses disebabkan banjir juga menjejaskan sambungan darat kami,” katanya.

Menurut Pos Malaysia, perkhidmatan akan disambung sebaik sahaja keadaan jalan kembali pulih dan laluan dibuka semula.

Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dilanda banjir sejak semalam susulan hujan lebat tanpa henti pagi Jumaat lepas hingga awal pagi tadi.

Selain Lembah Klang, beberapa negeri lain terutama pantai timur Semenanjung turut terjejas dalam banjir kali ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ beri jaminan stok lesen di seluruh negara cukup

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan pembekalan dan pengedaran stok Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) oleh jabatan itu serta baki stok yang dimiliki oleh rakan strategiknya adalah mencukupi.

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata stok dokumen terkawal yang dimiliki PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Pos Malaysia dan MY E.G. Services Bhd (MYEG) itu turut mampu memenuhi kehendak seluruh pelanggan untuk tempoh sehingga 31 Dis tahun ini.

“Sepanjang Ogos lepas, pihak JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada semua rakan strategik JPJ termasuklah sebanyak 450,000 stok LKM Motokar dan 8,400 stok LKM Motosikal serta 6,600 stok LMM diberikan kepada MyEG.

“Pos Malaysia pula menerima 385,000 stok LKM Motokar, 287,999 LKM Motosikal dan 300,000 LMM, manakala PUSPAKOM diberikan 5,500 stok LKM Motokar,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPJ, sehingga hari ini didapati baki stok dokumen terkawal JPJ adalah masih mencukupi bagi tujuan menampung keperluan untuk urusan pembaharuan atau transaksi LKM dan LMM, di semua lokasi premis rakan-rakan strategik JPJ tersebut.

Di MyEG, masih terdapat 100,827 stok LKM Motokar, 10,843 LKM Motosikal dan 26,648 LMM, manakala Pos Malaysia pula 365,518 LKM Motokar, 142,871 LKM Motosikal dan 789,274 LMM, dan  PUSPAKOM pula 11,950 LKM Motokar.

Kenyataan itu juga memaklumkan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim hari ini membuat lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Sri Kembangan, Selangor bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ dan aspek pengedaran dan pembekalan stok dokumen LKM dan LMM bagi memastikan ia berjalan dengan cekap dan lancar.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada tipu iklan jawatan guna nama Pos Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan telefon, pesanan teks atau e-mel berunsur penipuan termasuk iklan jawatan kosong palsu yang menggunakan nama Pos Malaysia.

Pos Malaysia, dalam kenyataan hari ini, berkata penipuan tersebut menjadi semakin tersebar dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai dan mendapatkan maklumat seperti butiran kad kredit, kata laluan, maklumat akaun atau data peribadi lain.

“Kami menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat tersebut dengan tidak membalas apa-apa permintaan melalui telefon atau perkhidmatan pesanan teks (SMS/WhatsApp), e-mel atau kaedah lain. Paling penting, jangan klik pautan yang dihantar bersama mesej penipuan itu.

“Tidak berkongsi atau memasukkan maklumat sensitif di laman web/portal yang tidak dimiliki Pos Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Pos Malaysia berkata wujud penipuan melalui e-mel dengan menggunakan nama dan logo Pos Malaysia tanpa kebenaran dan dihantar untuk menuntut pembayaran duti atau cukai Kastam untuk pelepasan bungkusan.

Katanya e-mel seperti itu harus diabaikan atau dipadam dengan segera.

Selain itu, ia juga meminta orang ramai berwaspada dengan iklan jawatan kosong palsu yang menawarkan kerjaya di Pos Malaysia serta disaran mengesahkan maklumat dengan sumber yang sah.

Menurutnya kekosongan jawatan hanya diiklankan di laman web pekerjaan yang bereputasi dan sah seperti JobStreet atau di platform media sosial rasmi Pos Malaysia.

“Pos Malaysia sentiasa melindungi pelanggan dan komited dalam memastikan semua maklumat peribadi dan transaksi kekal dan terjamin,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan dalam talian, jenis penipuan dan saluran pelaporan dengan melayari https://www.pos.com.my/news-info/online-security-fraud-and-scams.html.

— BERNAMA

Categories
RENCANA

Pos Rider beri kehidupan 1,400 individu hilang kerja akibat Covid-19

Oleh Sakini Mohd Said

SHAH ALAM, 2 OKT: Kehidupan lelaki berusia awal 50-an ini dilihat cukup sempurna. Memiliki syarikat sendiri, mempunyai beberapa buah kenderaan, menetap dalam kediaman sungguh selesa mahupun berbelanja ribuan ringgit setiap bulan!

Pastinya, kesenangan dan kehidupan penuh bergaya yang dinikmati usahawan Chairil Anwar Sabar bersama keluarganya menjadi dambaan serta impian sesiapa sahaja.

Namun begitu, siapa sangka segala kekayaan yang dikecapi lebih satu dekad hasil keringatnya selama ini mengusahakan perniagaan acu tekan logam di Rawang, Selangor, akhirnya ‘ternoktah’ begitu sahaja akibat pandemik Covid-19.

Tidak ada satu pun yang dapat diselamatkannya apabila perusahaan yang dijalankan selama hampir 13 tahun itu terpaksa ditutup operasi berikutan kekangan dana untuk menguruskannya lagi. Menurut Chairil Anwar, semuanya musnah sekelip mata dan apa yang tinggal hanyalah timbunan hutang syarikat bernilai puluhan ribu ringgit.

“Syarikat tidaklah besar, hanyalah SME (perusahaan kecil dan sederhana) dan kami menjalankan proses acu tekan logam untuk penghasilan produk automotif, alatan sukan dan seumpama.

“Permintaan sebelum ini sangat memberangsangkan sehinggalah awal tahun ini perniagaan agak perlahan dan semakin teruk sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Biasanya, perniagaan akan stabil balik, nama pun bisnes ada turun naik.

“Tetapi, kali ini memang tidak dapat diselamatkan lagi. Kilang terpaksa ditutup awal tahun ini sebab sudah tidak ada permintaan dan saya pun tidak mampu bayar gaji lima pekerja serta hutang dengan pembekal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mempunyai anak yang masih belajar dan paling kecil berusia dua tahun, keperitan hidup yang dihadapinya itu bertambah kritikal apabila bapa kepada tujuh orang anak ini gagal mendapat sebarang pekerjaan selain simpanannya mengalir laju untuk perbelanjaan keluarga mahupun membayar hutang.

Tiga bulan menganggur, namun semuanya berubah sebaik lelaki kelahiran Klang ini menyertai program ‘Pos Rider’ pada akhir Mei lepas, iaitu inisiatif pekerjaan di bawah Pos Malaysia, sekali gus memberi ‘sinar baharu’ buat Chairil Anwar meneruskan kelangsungan kehidupan bersama keluarganya.

‘Pos Rider’

Chairil Anwar, antara ejen Pos Rider yang dilantik daripada 1,400 Pos Rider seluruh negara oleh Pos Malaysia sepanjang tempoh PKP, bertujuan bukan sahaja melancarkan kapasiti penyerahan barang kepada pelanggannya.

Tetapi juga, program yang diperkenalkan pada September 2019 ini menariknya berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang mata pencarian khususnya semasa tempoh PKP yang menyaksikan ramai kehilangan sumber pendapatan ketika itu.

Hakikatnya, pandemik Covid-19 yang menyerang seantero dunia nyata memberi kesan sangat hebat kepada kelangsungan ekonomi negara berikutan majoriti besar industri terjejas dengan wabak berkenaan sehingga ada terpaksa mengurangkan jumlah pekerja mahupun menutup operasi.

Ini membuatkan ramai kehilangan pekerjaan dan berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 10 Sept lepas, 79,737 orang hilang pekerjaan bagi 2020.

Manakala kadar pengangguran sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara meningkat daripada 3.3 peratus pada Februari kepada 4.9 peratus Jun 2020.

Biarpun demikian, berlainan pula dengan Pos Malaysia yang berjaya mewujudkan peluang pekerjaan pada saat situasi sangat kritikal dengan pemberhentian pekerja dalam pelbagai sektor apabila syarikat ini melantik 1,400 ejen Pos Rider hanya pada musim PKP sahaja.

“Pekerjaan baharu ini jauh berbeza daripada dulu, tidak lagi pakai ‘sut’ dan kerja di bawah penghawa dingin. Tetapi, saya gembira dan seronok apabila dapat bertemu pelbagai karakter orang setiap hari semasa menghantar barang.

“Yang penting, pendapatan sebagai Pos Rider sebenarnya agak lumayan sekiranya rajin. Kalau komited, mula bekerja dari hari Isnin sehingga Sabtu dan buat penghantaran sebanyak 150 barangan sehari, kiranya dalam seminggu sudah boleh dapat RM2,500.

“Jadi, kalau empat minggu bukankah boleh dapat RM10,000? Ia bukanlah pekerjaan bawahan dan saya pun tidak malu jadi Pos Rider,” katanya yang menguruskan penghantaran barangan di kawasan Kota Kemuning dan Bukit Rimau, Selangor.

Dengan pendapatan menarik ini, Chairil Anwar yang sebelum ini hanya melakukan Pos Rider separuh masa kini menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber rezeki utamanya apabila ia berjaya membantunya meneruskan kelangsungan keluarga dan membayar hutang.

Terjamin

Menariknya, keseronokan yang dirasai Chairil Anwar sebagai Pos Rider turut diakui Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 33, sehingga anak muda ini komited menjadikannya sebagai pekerjaan jangka masa panjang kerana yakin ia terjamin dan stabil.

Malah, anak lelaki daripada empat beradik ini sedikit pun tidak menyesal melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta biarpun profesional tersebut biasanya dilihat tinggi kalangan masyarakat.

Bagi bapa kepada seorang anak ini, dia mengakui tidak pernah terlintas suatu hari nanti akan terlibat dengan kerjaya penghantar barangan kerana beranggapan profesion pensyarah sudah cukup stabil.

“Semuanya mula berubah sejak PKP apabila kolej tempat saya mengajar terpaksa memotong hampir setengah gaji menyebabkan baki yang tinggal tidak cukup sara keluarga. Jadi, saya pun ambil keputusan berhenti kerja dan cari pekerjaan lain tetapi tidak berjaya.

“Memang tertekan sebab duit simpanan banyak keluar dan terpaksa juga pinjam dengan emak ayah.

“Tetapi, syukur selepas ternampak iklan Pos Rider di Facebook dan permohonan berjaya, saya kini komited menjadikan Pos Rider sebagai pekerjaan tetap selepas hampir lima bulan bekerja,” katanya yang sebelum ini mengajar bidang kejuruteraan automotif.

Istimewanya, pendapatan yang diperoleh anak lelaki kelahiran Kuala Lumpur ini sebagai Pos Rider adalah dua kali ganda berbanding gaji yang diperoleh sebagai pensyarah sekali gus membolehkannya untuk menghulurkan kembali duit kepada emak ayah serta membantu adiknya yang kesempitan kewangan.

Menurut Muhammad Hafidz, dia kini gembira bekerja sebagai Pos Rider kerana selain daripada kurang tekanan, lebih banyak sebenarnya masa dapat diluangkan bersama keluarga berbanding dahulu.

Komisyen penuh

“Biasalah kerja sebagai pensyarah banyak yang perlu difikir daripada perihal kerja sehinggalah sikap dan masalah pelajar. Perkara ini boleh terbawa sehingga balik kerja dan ketika cuti.

“Tetapi, apabila saya bekerja sebagai Pos Rider memang jauh berbeza perasaannya. Hanya tertekan ketika waktu kerja sahaja kerana hendak kejar masa hantar barang tetapi lama kelamaan kita sudah mahir dan tahu bagaimana menguruskannya.

“Menariknya lagi, pekerjaan Pos Rider memang betul-betul membantu golongan seperti kami yang hilang mata pencarian kerana 100 peratus komisyen diperoleh hasil penghantaran barang dapat kepada kami. Tidak ada peratusan untuk Pos Malaysia,” katanya.

Hakikatnya, program Pos Rider yang diwujudkan bagi melancarkan penghantaran barangan Pos Malaysia telah banyak membantu golongan yang kehilangan sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Pos, Mohamed Rozaidi Md Sharif berkata, rakan penghantaran barangan Pos Rider memainkan peranan penting semasa PKP dengan membantu Pos Malaysia berurusan dengan peningkatan jumlah bungkusan pos.

Jumlah bungkusan pos melonjak tinggi semasa PKP, mendorong Pos Malaysia mendapatkan khidmat rakan penghantaran barangan, Pos Rider, untuk membantu penghantaran barangan kepada pelanggan. Pos Malaysia memproses purata 487,000 bungkusan barangan setiap hari dengan jumlah tertinggi ialah 800,000 bungkusan sehari.

“Ini adalah kenyataan bahawa jumlah rakan penghantaran barangan sepanjang PKP tidak mencukupi untuk memenuhi jumlah bungkusan yang tinggi, tetapi Pos Rider kami terus berusaha dan melakukan tugas dengan baik dalam menyelesaikan penghantaran itu dengan cepat dan selamat kepada pelanggan kami.

“Oleh kerana itu, kami dapat mengatasi kenaikan jumlah bungkusan yang tidak dijangka selama ini,” katanya.

Program Pos Rider adalah salah satu inisiatif di bawah strategi transformasi Pos Malaysia yang dilaksanakan sejak 2019, dengan tujuan untuk mencapai pulangan jangka panjang dan berkesinambungan bagi syarikat dan untuk memberikan penawaran terbaik kepada pelanggan.

Ia juga membolehkan syarikat menjalankan operasi dengan kos tetap yang lebih rendah berbanding jika menggunakan kakitangan sepenuh masa untuk menangani kenaikan jumlah bungkusan.

Bungkusan satu juta

Pos Malaysia hanya melihat kenaikan kos berubah dari komisen yang dibayar kepada rakan kirimannya, yang dapat dikendalikan oleh syarikat dalam jangka masa panjang. Setiap Pos Rider dapat komisen sehingga RM6,000 untuk menghantar bungkusan bagi Pos Malaysia.

“Kami gembira kerana Program Pos Rider memenuhi objektifnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat di sekitar kami dan pada masa sama membantu menjaga kos kami rendah untuk kami terus menawarkan perkhidmatan pos yang dapat diakses kepada pelanggan.

“Keutamaan kami sentiasa kepada rakyat dan kami berkomitmen dalam melaksanakan kewajiban kami kepada negara, mulai dari penciptaan pekerjaan sehingga penyampaian layanan pos dasar, mudah diakses dan terjangkau seperti yang disyaratkan di bawah Kewajiban Perkhidmatan Sejagat (USO),” katanya.

Transformasi Pos Malaysia ke platform digital tepat pada masanya dan telah mempersiapkan syarikat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pengguna semasa wabak ini. Oleh kerana semakin banyak pengguna dan perniagaan beralih ke e-dagang, pelaksanaan rancangan transformasi yang berjaya sangat penting jika Pos Malaysia berusaha untuk memanfaatkan normal baharu.

Pos Malaysia yakin bahawa program Pos Rider dapat membantu mengurangkan kos pengiriman 1 juta bungkusan sehari, yang ingin dicapai oleh syarikat pada akhir 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pos Malaysia keluarkan siri setem ‘Hidupan Marin Ikonik’

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Peminat dan pengumpul setem kini boleh mendapatkan siri setem definitif kebangsaan terbaharu Pos Malaysia yang mengabadikan keindahan dan kepelbagaian hidupan marin Malaysia.

Ketua Pemasaran Kumpulan Pos Malaysia, Schrene Goh berkata pantai dan perairan Malaysia kaya dengan spesies marin dan sumber semula jadi, dan menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk melindungi dan memulihara khazanah bagi diwarisi generasi akan datang.

“Siri setem definitif ‘Hidupan Marin Ikonik’ yang baharu ini menampilkan keindahan khazanah lautan kita dan bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara khazanah dan warisan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siri Definitif Kebangsaan: Hidupan Marin Ikonik yang menawarkan lima reka bentuk setem – Penyu Karah (RM1.30), Lumba-Lumba Putih (RM1.40), Yu Paus (RM1.50), Kima Besar (RM1.70) dan Dugong (RM1.90) – boleh didapati melalui stor dalam talian Pos Malaysia di www.eziemall.com dan pejabat pos di seluruh negara, mulai hari ini.

Bagi Lembaran Mini yang dikeluarkan, ia hadir dalam reka bentuk potongan unik Penyu Karah dengan teknik cetakan spot UV dengan nilai muka RM5.

Peminat setem dan pencinta hidupan marin juga boleh mendapatkan koleksi lengkap berharga RM102.80 setiap satu yang terdiri daripada lima helaian setem dengan 10 setem pada setiap helaian, lembaran mini, sampul surat hari pertama dengan lima setem dan sampul surat hari pertama dengan lembaran mini, brosur maklumat dan folder.

Koleksi lengkap itu dikeluarkan dengan kuantiti terhad hanya 1,500 set.

Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedang dikuatkuasakan, Pos Malaysia juga melanjutkan tempoh pembelian iaitu selama tiga hari, dari 18 hingga 20 Jun, untuk pelanggan mendapatkan sampul surat hari pertama dan cop pembatalan.

Sempena pelancaran siri setem definitif kebangsaan itu, Goh berkata Pos Malaysia menyertai usaha konservasi penyu melalui pemeliharaan 10 sarang penyu bagi memastikan lokasi inkubasi yang selamat bagi kira-kira 1,000 telur penyu.

Kawasan penetasan dikendalikan oleh dua organisasi konservasi penyu iaitu Lang Tengah Turtle Watch di Tanjong Jara, Terengganu dan Juara Turtle Project di Pulau Tioman, Pahang.

“Kami menjemput orang ramai untuk menyertai kami dalam usaha konservasi ini. Derma boleh disalurkan terus kepada Lang Tengah Turtle Watch di www.langtengahturtlewatch.org dan Juara Turtle Project di www.juaraturtleproject.com ,” kata Goh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ekonomi digital dipercepat tangani impak Covid-19 – Alibaba

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pandemik Covid-19 mempercepatkan langkah syarikat terutamanya mikro, kecil dan sederhana (MSME) ke arah ekonomi digital, kata Alibaba Group.

Naib Presiden Global Initiatives Global Brian Wong berkata syarikat teknologi yang mahir dalam digital, platform super dan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) masih boleh memberikan perkhidmatan kepada MSME dan pengguna semasa wabak Covid-19.

“Rantaian bekalan menjadi lebih kepelbagaian dan diperkemas, dan ekonomi digital termasuk e-dagang, pembayaran tanpa tunai dan penghantaran tanpa sentuhan menjadi ekonomi arus perdana,” kata Wong pada sesi webinar e-Dagang Expo (eDX), di sini, semalam.

Beliau berkata lebih banyak syarikat akan menerapkan persekitaran kerja yang pintar, sementara pendidikan dan latihan akan terus bergerak dalam talian pada masa yang terdekat.

Wong berkata strategi perniagaan Alibaba dalam peperangan melawan Covid-19 akan turut merangkumi memanfaatkan ekosistem Alibaba dan membantu perniagaan mengatasi krisis tersebut.

Ia juga akan menumpukan perhatian kepada menyelamatkan nyawa dan memberikan perkhidmatan perubatan kritikal, menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan menyokong keperluan penting dalam masyarakat serta membawa tenaga positif kepada masyarakat.

Sementara itu, dalam sesi webinar berasingan hari ini, Pos Malaysia Bhd memperkenalkan penyelesaian e-dagang terbaharu kepada pengguna dalam persekitaran Covid-19 – “SendParcel by Pos Laju”, platform dalam talian prabayar untuk memeriksa kadar pembayaran Pos Laju dan memesan penghantaran.

Pos Laju SendParcel ialah sebuah platform online prabayar untuk memeriksa kadar bayaran Pos Laju dan menempah penghantaran.

Terdapat lapan pakej tersedia disertakan dengan kadar berpatutan dan faedah menarik.

Pengguna hanya bayar secara langsung atau tambah nilai melalui perbankan internet atau kad kredit, tempahan termasuk pengambilan atau penghantaran di touch point yang berdekatan.

Selain itu, Nota Kiriman Digital (Digital Consignment Note) akan dikeluarkan sebaik pesanan dalam talian dan bayaran dibuat, pengguna hanya perlu cetak nota kiriman itu dan lekatkan di parcel.

SendParcel menawarkan harga yang telus, tiada caj terselindung, sistem dalam taliannnya mesra pengguna, ia beroperasi 24 jam sehari.

“Tidak perlu menulis, hanya menaip di borang secara dalam talian, bayar dan cetak, tiada kontrak dan tiada komitmen dan jumlah minimum. SendParcel mempunyai ciri-ciri Track and Trace serta Insurans, kata seorang jurucakap Pos Malaysia.

Sementara itu, perkhidmatan Drop Off Service SendParcel memberikan pengguna kesesuaian apabila memerlukannya.

eDX adalah inisiatif adalalah yang pertama seumpamanya bertujuan untuk melibatkan diri dengan perniagaan di seluruh negara.

eDX akan menganjurkan satu siri sesi webinar secara percuma dan panelis akan menyentuh topik utama, petua dan tunjuk ajar dalam perdagangan e-dagang dan kisah kejayaan yang memberi inspirasi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: 600,000 bungkusan setiap hari, Pos Malaysia minta pelanggan sabar

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menerima secara purata 600,000 bungkusan setiap hari semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Para pelanggan yang dihargai, Pos Malaysia telah menerima secara purata lebih 600 ribu parcel setiap hari semasa tempoh PKP.

“Kakitangan kami tekun menjalankan tugas untuk memastikan semua parcel diserah kepada penerima. Namun, waktu operasi kami adalah tertakluk kepada garis panduan dan pematuhan PKP.

“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk menghantar barangan anda dan berharap agar anda dapat bersabar. Kerjasama anda amat kami hargai,” kata Pos Malaysia ketika menjawab pertanyaan pengguna berkenaan kelewatan dan status penghantaran barangan mereka di Twitter hari ini.

Pos Malaysia sebelum ini mengeluarkan kenyataan kepada pelanggannya supaya menjangkakan kelewatan dalam proses penghantaran bungkusan semasa tempoh lanjutan PKP.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pos Malaysia catat perolehan rendah RM1.68 bilion bagi tempoh 9 bulan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Pos Malaysia Bhd mencatatkan perolehan yang rendah sebanyak RM1.68 bilion untuk tempoh sembilan bulan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 daripada RM1.76 bilion pada tahun sebelumnya.

Kerugian bersih naik kepada RM215.58 juta daripada RM24.64 juta, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Syarikat itu telah menukar tempoh berakhirnya tahun kewangan daripada 31 Mac kepada 31 Disember. Sehubungan itu, penyata kewangan tahunan kumpulan itu yang telah diaudit akan meliputi tempoh selama sembilan bulan berakhir 31 Disember 2019.

Syarikat itu berkata perkhidmatan posnya menyaksikan kemerosotan struktur yang berterusan dalam jumlah mel tradisional sebahagian besarnya berikutan penggantian digital.

Sementara itu, segmen kuriernya mencatatkan perolehan yang rendah berikutan jumlah yang rendah daripada pelanggan susulan serangan malware pada Oktober 2019 dan persaingan sengit untuk menawarkan harga lebih rendah untuk mendapat bahagian pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syed Md Najib Syed Md Noor berkata pengumuman baru-baru ini mengenai semakan semula kadar pos akan menyumbang kepada peningkatan kewangan Pos Malaysia untuk menyokong kenaikan kos dalam memenuhi Obligasi Perkhidmatan Universal (USO).

“Pos Malaysia bersedia untuk menerima pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan untuk mengambil lebih banyak kurier dan meningkatkan pengalaman pelanggan; memenuhi pasaran e-dagang yang berkembang pesat.

“Strategi transformasi kami memerlukan pelaburan dalam rantaian nilai perniagaan kami untuk terus menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik untuk kekal berada di hadapan pesaing kami,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pos Malaysia lancar kempen akhir tahun Pos Laju SendParcel

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Pos Malaysia Bhd melancarkan kempen jualan akhir tahun untuk tempahan penghantaran pada platform dalam taliannya, Pos Laju SendParcel.

Sempena kempen itu, Pos Malaysia menawarkan RM5 bersih untuk barangan kurang daripada 5kg kepada pelanggan semasa dan berpotensi dengan nilai tambah tertinggi RM1,000 dan ke atas untuk penghantaran sebelum 31 Disember di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, Pos Laju SendParcel menyediakan lebih banyak pilihan produk kepada orang ramai terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), PKS mikro serta penggiat e-dagang.

“Promosi SendParcel akhir tahun bertepatan dengan tempoh perayaan Krismas dan sambutan tahun baharu. Inilah masa yang sesuai untuk pelanggan terutama eDagang untuk menikmati kadar yang baik dalam penyerahan pesanan dalam talian mereka, sambil menikmati manfaat yang kami tawarkan,” katanya dalam kenyataan.

Pos Laju SendParcel adalah sebahagian daripada usaha berterusan Pos Malaysia untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menawarkan kemudahan dalam menguruskan penghantaran pukal pada harga terbaik, sebut harga segera, perkhidmatan pengambilan percuma dan nota penghantaran yang dijana secara automatik termasuk kemudahan pelaporan dan pengesanan penghantaran.

Untuk mula menggunakan SendParcel, pelanggan dikehendaki membuka akaun dan memilih satu daripada lapan pakej tambah nilai yang didatangkan dengan kadar serta manfaat menarik, di www.sendparcel.poslaju.com.my

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pos Malaysia lancar setem edisi khas ‘Star Wars’

SHAH ALAM, 20 DIS: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan setem edisi terhad bertemakan Star Wars dengan kerjasama The Walt Disney Company Malaysia pada 18 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, kesemua setem itu mula ditawarkan untuk pra pembelian di dalam talian Pos Malaysia menerusi www.eziemall.com, manakala pembelian secara ‘walk in’ bermula 2 Januari depan di 13 Pejabat Pos Besar seluruh negara.

“Menariknya, setiap siri itu memaparkan 10 setem khas dengan watak ikonik Star Wars antaranya Rey, Lando Calrissian dan watak kegemaran sepanjang masa, Chewbacca serta C-3PO.

“Manakala, kenderaan Star Wars dan robot yang popular juga dipaparkan seperti ‘Poe Dameron’s X-Wing’, ‘the Imperial TIE Fighter’ dan ‘fastest hunk of junk in the galaxy – the Millenium Falcon’,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Syed Md Najib berkata, koleksi itu dijual pada harga RM120 dengan set lengkap terdiri daripada dua keping setem bertebuk ‘The First Order’ dan ‘The Resistance’.

Katanya, turut terdapat pek khas yang memaparkan lembaran mini tiga keping setem robot Star Wars yang popular.

“Pek khas itu dilengkapi dengan poskad yang boleh dikoyakkan dan satu sampul ‘Millennium Falcon’ juga ditawarkan pada harga RM10 sahaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan butiran lanjur berkenaan setem itu boleh menghubungi Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia di talian 03-2267 2267 atau e-mel [email protected].

Categories
AGENDA NASIONAL

Prestasi kewangan Pos Malaysia meningkat jika tarif perkhidmatan dinaik

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Tujuh kesatuan pekerja Pos Malaysia Berhad yakin syarikat itu dapat meningkatkan prestasi kewangan serta perkhidmatan sekiranya tarif perkhidmatan pos dinaikkan dan digugurkan daripada penyeliaan kerajaan.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad Semenanjung Malaysia (UPUS), Ismail Ali yang mewakili tujuh kesatuan itu berkata, dalam satu kenyataan bersama bahawa pendapatan yang diperoleh selepas tidak mendapat kenaikan tarif selama 10 tahun tidak dapat mengimbangi kos operasi yang tinggi.

“Jadi semua pihak kesatuan merasakan kini adalah masa yang tepat dan wajar bagi kerajaan memberi kelulusan tarif yang baharu kepada Pos Malaysia serta menggugurkannya daripada pengawalseliaan agar syarikat dapat bersaing seiring dengan perubahan landskap dunia perniagaan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan Pos Malaysia dapat meningkatkan prestasi kewangannya melalui penjanaan pendapatan tambahan bagi mengimbangi kerugian yang berlaku disebabkan perubahan pesat teknologi dalam industri.

Kesatuan berkenaan mengalu-alukan keprihatinan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo yang dilaporkan sedang memberi perhatian kepada cadangan itu dan berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Pihak Kesatuan amat berterima kasih kepada menteri yang mengambil langkah proaktif terhadap masalah tarif yang tidak diberi kenaikan sejak kira-kira 10 tahun yang lalu.

“Kenaikan tarif yang terakhir kepada harga 60 sen adalah pada tahun 2010 dan sepatutnya selepas itu Pos Malaysia diberikan sedikit kenaikan setiap tiga tahun, namun ia tidak pernah berlaku,” menurut kenyataan itu.

Selain UPUS, warga kerja Pos Malaysia diwakili oleh Kesatuan Pekerja Perkeranian Pos Malaysia Semenanjung (UPCW), Kesatuan Penolong Eksekutif Pos Malaysia (PMJEU), Kesatuan Pekerja Perkeranian Pos Malaysia Sabah (KKPPS), Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Sabah (KEPPSES), Kesatuan Pekerja Perkeranian Pos Malaysia Sarawak (POCSUS), dan Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Sarawak (UPUS Sarawak).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khidmat hantar surat merosot setiap tahun

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menyifatkan penggunaan setem masih relevan walaupun pendapatan perkhidmatan surat-menyurat semakin merosot saban tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, walaupun penghantaran surat-menyurat mencatat penurunan, alamat pos di seluruh Malaysia meningkat daripada tujuh juta kepada sembilan juta alamat.

“Ini bermakna Pos Malaysia masih berada di seluruh pelusuk negara untuk menghantar surat-surat. Cabaran kita adalah kos pengendalian dan cara untuk memuaskan kehendak pelanggan.

“Setem masih relevan buat masa ini walaupun dijangka berlaku penurunan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Ulang Tahun ke-50 Hari Pos Sedunia di Ibu Pejabat Pos Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith yang melancarkan setem ‘Pos Silang’ siri kedua.

Dalam pada itu, Syed Md Najib berkata, jumlah pengeluaran setem pada tahun lepas adalah 650 juta berbanding 1.5 bilion dicatat 10 tahun lalu.

Jelasnya, penurunan lebih daripada 10 peratus setiap tahun itu berpunca daripada penggunaan teknologi terutamanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkhidmatan kurier semakin mendapat tempat sehingga menyumbang pendapatan sehingga 60 peratus walaupun pendapatan surat-menyurat menurun 40 peratus.

“Pos Malaysia adalah organisasi besar, kita ada di seluruh Malaysia, lebih 13,000 lokasi termasuk penghantaran parcel (bungkusan) menerusi kapal terbang dan kapal laut, ditambah dengan 7,000 kakitangan yang berdedikasi untuk menghantar bungkusan dan surat-menyurat.

“Pusat pemprosesan bungkusan pula sebanyak 500,000 bungkusan sehari, jadi kecekapan perlu ditingkatkan dengan teknologi yang ada dan perkhidmatan yang perlu ditambah baik agar pelanggan terus mempercayai perkhidmatan diberikan,” katanya.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata, kementerian sentiasa terbuka untuk berbincang mengenai penambahbaikan perkhidmatan kurier dan surat-menyurat Pos Malaysia agar lebih berdaya saing.

Beliau berkata, kurier Pos Malaysia tidak akan terjejas namun masih perlu penambahbaikan dilakukan supaya setanding perkhidmatannya dengan syarikat kurier lain.

“Saya tidak lihat kewujudan kurier lain menjadi ancaman kepada Pos Malaysia sebab Pos Malaysia adalah satu perkhidmatan yang didukung oleh kerajaan.

“Pada waktu ini, kita berpuas hati dengan ‘framework’ yang digunakan oleh Pos Malaysia tetapi untuk industri, kita perlu menambahbaik. Kita akan melihat perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, ulang tahun Hari Pos Sedunia disambut meriah dengan kehadiran lebih 100 posmen dan kakitangan Pos Malaysia.

“Peranan yang diambil Pos Malaysia ini dijalankan dengan begitu baik sekali dan saya berharap organisasi ini akan terus kekal melaksanakan tanggungjawab lebih efektif.

“Kita juga berterima kasih kepada kakitangan Pos Malaysia walaupun banyak isu timbul mengenai gaji dan sebagainya, mereka tetap terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia,” kata Eddin Syazlee.

– BERNAMA