Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

MB positif Covid-19, kembali bertugas 8 Mac

SHAH ALAM, 1 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari positif Covid-19 berdasarkan ujian polimeras masa nyata (rt-PCR) yang dijalankan hari ini.

Menurut sekretariat akhbarnya, beliau akan menjalani kuarantin kendiri tujuh hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan sebelum bertugas semula secara rasmi pada 8 Mac.

Amirudin juga memohon maaf atas kesulitan itu dan meminta semua individu yang ada berurusannya dalam tempoh 48 jam terdahulu supaya menjalani saringan segera.

“Marilah bersama-sama kita mendoakan kesihatan beliau sekeluarga dan semua
yang turut terkesan dengan wabak Covid-19,” kata kenyataan itu lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 23,000 polis, keluarga dijangkiti Covid-19

MARANG, 5 DIS: Seramai 23,766 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga mereka telah dijangkiti Covid-19, sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lalu sehingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata daripada jumlah tersebut seramai 1,794 orang merupakan pegawai kanan polis; 10,577 orang pegawai rendah polis; 1,137 orang pegawai awam; manakala 10,258 orang adalah ahli keluarga.

“Bagi jumlah kematian pula, sebanyak 39 kes kematian direkodkan dalam kalangan pegawai dan anggota polis. Ia terdiri daripada empat pegawai kanan dan 35 pegawai rendah. Pegawai awam yang meninggal dunia akibat Covid-19 pula adalah seramai tiga orang dan anggota keluarga polis pula seramai 118 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan Toyota Hilux GS Cargo Kepada Kontinjen Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6, di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mazlan menyerahkan 26 pacuan empat roda jenis Toyota Hilux GS Cargo bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri yang bakal membantu penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir.

Katanya penyerahan pada hari ini merupakan sebahagian daripada 400 Toyota Hilux GS Cargo yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan peruntukan sebanyak RM62 juta.

Sementara itu, Mazlan berkata sebanyak 32 pasukan di Terengganu melibatkan 65 pegawai dan 190 anggota serta pegawai awam bersiap siaga menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh ini.

“Kami telah bersiap sedia dari segi keanggotaan, kursus dan kefahaman tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya banjir berlaku. Kami juga telah menyiapkan aset-aset yang diperlukan terutama bot-bot yang banyak,” katanya.

Pada majlis tersebut Mazlan turut mengumumkan pembinaan 10 unit kuarters bagi pegawai dan anggota polis di Pulau Redang yang memperuntukkan kos sebanyak RM13 juta.

Katanya proses dokumentasi dan tender bagi pembinaan kuarters di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu akan bermula tahun hadapan.

“Sekarang hanya terdapat lapan unit kuarters di Pulau Redang tetapi pegawai dan anggota di sana adalah seramai 28 orang. Kebanyakan mereka tinggal di tanah besar dan terpaksa ulang-alik menaiki bot untuk bertugas. Jadi amat membahayakan keselamatan mereka terutama musim tengkujuh ini,” katanya.

— BERNAMA 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan lagi dikesan positif, saringan ke Dewan Negara

SHAH ALAM, 1 OGOS: Sembilan individu dikesan positif Covid-19 selepas menjalani saringan prapersidangan Dewan Negara pada 30 Julai lalu, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pengesanan itu hasil ujian terhadap 100 individu menggunakan tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR).

Beliau berkata pemeriksaan dibuat susulan dua kes positif yang dikesan sejak 29 Julai sebelum saringan dibuat ke atas 1,183 individu yang mengesan 11 lagi kes, sepuluh daripadanya menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva.

“Bagi pengesahan lanjut, kesemua 10 kes positif RTK Ag telah diambil swab (calitan) bagi ujian pengesahan jangkitan Covid-19 menggunakan rt-PCR. Lapan kes disahkan positif.

“Setakat ini, seramai 48 kontak rapat telah dikenal pasti, namun siasatan dan pengesanan kontak rapat masih lagi diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Razaleigh positif Covid-19, keadaan stabil

GUA MUSANG, 14 JAN: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur.

Beliau menerima keputusan ujian saringan Covid-19 malam tadi dan terus dikejarkan ke PPUM untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Ketika mengesahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, Tengku Razaleigh melakukan ujian saringan pada Selasa lalu.

“Apabila keputusan positif diterimanya malam tadi, Tengku Razaleigh terus dibawa ke PPUM untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, petang tadi.

Mohd Syahbuddin berkata Tengku Razaleigh merupakan kontak rapat dengannya dan ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusoff, yang kedua-duanya disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

Semalam, Pegawai Peribadi Tengku Razaleigh, Mohd Lokman Abdul Ghani juga disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Pada 11 Januari lalu, Mohd Syahbuddin bersama Ab Aziz disahkan positif Covid-19 dan dikejarkan ke HSIP Kuala Krai untuk menerima rawatan.

“Alhamdulillah, kesihatan saya bersama Ab Aziz bertambah baik dan terima kasih atas doa rakyat Gua Musang mohon (kami) cepat sembuh,” kata Mohd Syahbuddin.

Selain itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Asmawi Fikri Ab Ghani dan Timbalan Ketua Wanita UMNO bahagian, Ruhaida Abdul Hamid juga turut disahkan positif Covid-19.

Mereka juga menerima rawatan di HSIP Kuala Krai dan keadaan dilaporkan stabil.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Kelantan telah membuka kaunter ujian saringan di Dewan Pusat Sivik Gua Musang pada Selasa lalu bagi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pemimpin-pemimpin terbabit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Timbalan menteri komunikasi positif Covid-19

PUTRAJAYA, 13 JAN: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin disahkan positif Covid-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pagi ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh pejabat timbalan menteri itu dalam satu kenyataan yang menyatakan Zahidi menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada Isnin lepas (11 Januari).

Zahidi telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Zahidi kini berada dalam keadaan yang stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul. Beliau juga berdoa agar Allah SWT mempermudah urusan semua yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan pejabatnya, Zahidi menjalani ujian saringan Covid-19 pada 25 Disember lepas yang keputusannya adalah negatif.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan positif Covid-19, Rapid Rail jamin perkhidmatan selamat diguna

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Rapid Rail Sdn Bhd memberi jaminan perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya adalah selamat meskipun seorang pegawai stesen transit aliran ringan (LRT) di Stesen Bandaraya didapati positif Covid-19.

Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tren-tren untuk semua laluan sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi.

Selain itu, katanya kakitangan yang bertugas di semua stesen dan di dalam tren juga sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan rapi khususnya pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan mengelakkan kontak dengan para penumpang.

Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang. Foto Sumber: Facebook Rapid KL

“Staf berkenaan disahkan positif Covid-19 dua hari lepas dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Staf berkenaan bertugas kali terakhir pada 19 Disember lepas dan tidak bekerja sejak tarikh berkenaan.

“Berdasarkan siasatan kami, ini adalah insiden di kawasan tertutup dan pegawai stesen berkenaan tidak mempunyai kontak dengan para penumpang ketika bertugas,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut memaklumkan pihak pengurusan Rapid Rail, selaku operator LRT laluan Kelana Jaya melaksanakan kerja disinfeksi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan pada hari pegawai itu disahkan positif berpandukan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan itu, semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan pegawai stesen itu turut diarahkan menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah SOP KKM.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana, khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas, telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan, khususnya memakai pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hartalega sahkan 35 pekerja diuji positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Hartalega Holdings Bhd mengesahkan 35 pekerjanya positif Covid-19, 20 daripadanya ialah di kilang Bestari Jaya dan 15 di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Sepang.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia menjelaskan pekerja yang terjejas sedang menerima rawatan perubatan di kemudahan kesihatan kerajaan, manakala semua kontak rapat dalam tempoh 14 hari terakhir dikenal pasti dan dikuarantin serta akan menjalani ujian selanjutnya sebelum dibenarkan kembali bekerja.

“Sehubungan dengan itu, beberapa talian pengeluaran dihentikan sementara, dengan kerugian kapasiti dianggarkan kurang 0.5 peratus daripada pengeluaran tahunan,” katanya.

Selain itu, menurut Hartalega pembasmian kuman secara menyeluruh di kawasan individu terlibat berada telah dilakukan oleh penyedia profesional pihak ketiga.

Kumpulan itu berkata ujian Covid-19 dilakukan ke atas seramai 8,772 kakitangan termasuk vendor luar seperti kakitangan keselamatan dan operator kantin pada 7 Disember dan selesai pada 10 Disember, selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara supaya semua pekerja asing menjalani ujian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

38 lagi warga Sekolah Tinggi Islam As Sofa positif Covid-19

SEREMBAN, 24 OKT: Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang hari ini mengesahkan 38 lagi warganya membabitkan tiga kakitangan dan 35 pelajar positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang positif setakat ini 98 orang.

Pengerusi pengelolanya, Abdullah Abdol Razak dalam kenyataan berkata keputusan itu diperoleh hari ini hasil ujian saringan calitan yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas 127 pelajar dan kakitangan STIAS pada Selasa lepas.

“Bagaimanapun, kesemua 38 kes yang positif tidak menunjukkan sebarang gejala kecuali tiga pelajar mempunyai gejala. Kesemua mereka yang positif telah pun dipindahkan ke pusat kuarantin pada jam 4.15 petang tadi.

“Bagi pelajar yang masih menunggu keputusan saringan, mereka ditempatkan di bilik kuarantin asrama manakala individu yang merupakan kontak rapat dengan pesakit diminta untuk melakukan pemeriksaan serta kuarantin kendiri di kediaman masing-masing,” katanya.

Pada Khamis lepas, seramai 33 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19 dan dikuti 27 lagi warganya membabitkan lapan kakitangan dan 19 pelajar pada Jumaat.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan 96 kes baharu Covid-19 yang kesemuanya di Seremban, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,290 kes.

Seremban merekodkan sebanyak 179 kes aktif Covid-19, diikuti Rembau (10), Port Dickson (lima), Tampin (empat) manakala Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol masing-masing tiada kes direkodkan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Zulkifli sah pulih daripada Covid-19

KUALA LUMPUR 14 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Zulkifli dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini berkata beliau dibenarkan keluar dari wad pada petang ini selepas disahkan positif wabak itu pada 5 Oktober lepas.

“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua.

“Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kebangkitan…Segala puji bagi Allah yang mana dengan nikmatnya sempurna segala kebaikan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatinya untuk berehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini sehingga 27 Okt depan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Zulkifli berkata buat masa ini beliau disaran untuk tidak bertemu sesiapa namun memberitahu pihak yang mahu berhubung dengannya boleh berbuat demikian melalui sidang video sahaja.

“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah…Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya,” tambahnya.

Memandangkan PKPB baharu sahaja bermula, Zulkifli seterusnya berkata fokus utamanya pada masa ini adalah untuk menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada kelompok sasar khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu pada masa sama berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli jemaah menteri dan para ulama dunia yang menghantar pesanan mesej kepada beliau selain menghargai setiap doa dititipkan oleh rakyat Malaysia kepadanya.

“Tidak lupa (terima kasih) kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya.

Selain itu, beliau juga berdoa kepada rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 agar segera sembuh seterusnya dapat kembali menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.

“Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan, keberkatan dan keharmonian kepada Malaysiaku yang tercinta….Moga perpaduan kita rakyat Malaysia terus terpelihara…Sentiasa ingat pepatah lama, ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 49 kes baharu di Singapura, keseluruhan 57,406

SINGAPURA, 13 SEPT: Laporan awal Kementerian Kesihatan Singapura hari ini menunjukkan tambahan 49 kes baharu jangkitan Covid-19 di negara republik itu, dengan lapan daripadanya melibatkan kes import.

Menerusi data ringkas yang dikeluarkan hari ini, menurutnya semua kes import telah diberikan Notis Tinggal di Rumah sebaik tiba di Singapura, dan berdasarkan siasatan sehingga kini, hanya satu kes dikesan dalam komuniti yang melibatkan seorang pemegang pas kerja.

Susulan laporan kes baharu, jumlah jangkitan secara keseluruhan kini menjangkau kepada 57,406.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, kementerian itu mengklasifikasikan 983 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,237 sebagai kes komuniti, dan 54,137 melibatkan penghuni asrama.

Menurutnya 56,699 pesakit sembuh sepenuhnya, dan 54 kes disahkan yang masih di hospital, namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi, manakala 577 pesakit dengan simptom ringan atau sihat secara klinikal tapi masih positif Covid-19 diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Tiada kluster baharu dikesan semalam, dan sehingga kini 27 meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan Covid-19 di Singapura.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKP secara pentadbiran dua taman di Kuala Langat tamat

KUALA LANGAT, 16 JUN: Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, Bukit Changgang di sini, ditamatkan hari ini.

Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata ia ditamatkan pada kira-kira 11 pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia selesai melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap semua 4,697 penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan, katanya pada sidang media di pusat operasi kawalan secara pentadbiran itu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman.

Mohd Jusni berkata daripada keputusan saringan yang diperoleh ke atas kesemua penduduk di situ, jumlah individu didapati positif Covid-19 kekal sembilan orang dengan tujuh adalah warga tempatan manakala masing-masing seorang warga Nepal dan Thailand dan mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Pelaksanaan PKP secara pentadbiran dikenakan sejak 2 Jun lepas di kedua-dua taman perumahan itu berikutan wujudnya kes positif Covid-19 membabitkan 20 pekerja pembersihan warga asing yang menginap di kawasan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 1,426 kes baharu di Singapura, keseluruhan kini 8,401

SINGAPURA, 20 APRIL: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) telah mengesahkan tambahan 1,426 kes jangkitan Covid-19, menjadikan peningkatan jumlah kes disahkan di pulau tersebut kepada 8,041.

Kementerian itu menyatakan, majoriti kes baru tersebut merupakan dalam kalangan pemegang Permit Kerja yang tinggal di asrama pekerja warga asing, manakala 16 kes melibatkan warga Singapura/Penduduk Tetap.

“Kami masih berusaha mendapatkan butiran kes tersebut, dan maklumat terkini akan dihebahkan melalui kenyataan media MOH yang akan dikeluarkan malam ini,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga 12 tengah hari Ahad (19 April), Singapura mengklasifikasikan 4,706 kes sebagai penduduk asrama, 305 melibatkan pemegang permit kerja tidak tinggal di asrama, 1,008 kes komuniti dan 569 lagi kes import.

Dengan jumlah terkini, Singapura yang melaporkan kes pertama Covid-19 pada 23 Januari telah mencatatkan kes tertinggi dalam kalangan negara Asean.

Sehingga kini Singapura telah mengazetkan 12 asrama sebagai kawasan pengasingan daripada lebih 20 asrama terbabit, dengan kebanyakan penduduk asrama dijangkiti terdiri daripada warga Bangladesh, India, China dan Myanmar.

-BERNAMA