Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa banjir manfaat masa di Pustaka Raja Tun Uda fokus belajar

SHAH ALAM, 20 DIS: Mangsa banjir terutama pelajar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan berteduh di Pustaka Raja Tun Uda di sini sejak Sabtu lalu untuk mengulangkaji pelajaran dalam suasana selesa.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Syifa Amirah Fauzi, 20, berkata bahan bacaan yang banyak dan suasana kondusif membantunya untuk fokus dalam pembelajaran.

Menurut pelajar dalam bidang forensik itu, dia sebenarnya datang pada Sabtu lalu untuk mengulangkaji pelajaran tetapi tidak boleh pulang ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Hicom kerana jalan telah dinaiki air.

“Bayangkan saya tidak buat sebarang persediaan seperti pakaian tambahan, hanya bawa buku sahaja.

“Mujur ada bantuan pakaian, selimut dan makanan disediakan,” katanya yang menghargai usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menjadikan Pustaka Raja Tun Uda sebagai tempat perteduhan mangsa banjir.

Pelajar universiti swasta Muhammad Bustamam Sohaimi. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

Bagi pelajar perubatan universiti swasta, Muhammad Bustamam Sohaimi, 20, dia mendapatkan perlindungan di bangunan itu kerana bekalan elektrik di rumah sewanya di Seksyen 13 di sini terputus kerana banjir.

“Jadi sukar untuk mengulangkaji kerana komputer riba dan telefon perlu dicaj, jadi saya datang ke sini kerana ada pelbagai kemudahan.

“Boleh saya fokus belajar dan ikut kelas dalam talian,” katanya.

PPAS membuka Pustaka Raja Tun Uda di sini sebagai tempat berteduh kepada mangsa terjejas dalam bencana banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Pustaka Raja Tun Uda buka kafe, jadi tempat berteduh

SHAH ALAM, 18 DIS: Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini dijadikan tempat berteduh kepada mereka yang terjejas akibat bencana banjir.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memaklumkan mereka yang ingin mendapatkan lokasi premis itu boleh menghubungi pihaknya di talian 03 5519 7667.

Menurutnya, kafe perpustakaan itu juga masih dibuka kepada umum.

“Diharap ibu bapa jangan risau. Insya-Allah kami akan menjaga anak-anak anda dengan sebaiknya,” maklumnya di Facebook.

Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa laluan dinaiki air menyebabkan ramai pengguna jalan raya terkandas lama.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pesta buku: Karya sastera, kanak-kanak genre paling laris

SHAH ALAM, 13 DIS: Karya sastera dan kanak-kanak antara genre buku paling laris dibeli dalam Pesta Buku Selangor 2021, kata Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Datin Paduka Mastura Muhamad berkata kedua-dua genre buku berkenaan laris dijual susulan kebanyakan pengunjung hadir adalah ibu bapa yang membawa anak-anak.

“Selain sastera dan kanak-kanak, antara genre yang menjadi pilihan pengunjung ialah buku motivasi seperti pengurusan dan pembaikan kendiri.

“Penjualan buku pada kali ini seimbang dan pempamer juga berpuas hati kerana jualan mereka mencapai sasaran serta mendapat pulangan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Mastura memaklumkan jumlah pengunjung pesta buku juga mencapai sasaran walaupun ditutup sementara sehari untuk proses sanitasi.

“Pengunjung yang datang daripada semua golongan termasuk remaja tetapi majoritinya ibu bapa membawa anak-anak. Malah, ada daripada mereka datang sekali lagi membawa ahli keluarga lain bagi mendapatkan buku.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad (tengah) menyampaikan sijil kepada pempamer gerai terbaik pada Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 12 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita gembira apabila ibu bapa membawa anak-anak ke pesta buku kerana usaha ini dapat memupuk minat membaca sejak daripada kecil lagi,” katanya.

Mastura turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan pihak berkuasa tempatan kerana memberi diskaun sewaan dan iklan digital percuma.

Pesta Buku Selangor 2021 diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini berlangsung selama 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta turut menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jualan pesta buku meningkat meski terikat SOP ketat

SHAH ALAM, 13 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan jualan buku meningkat berbanding penganjuran sebelum ini meskipun terikat tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata peningkatan jualan itu berdasarkan maklum balas yang diterimanya daripada pempamer.

“Kami pernah menerima pengunjung sehingga 500,000 orang bagi tempoh 11 hari …tetapi kali ini jumlahnya berkurangan kerana SOP.

“Namun yang uniknya, pempamer memaklumkan hasil jualan ada yang naik hingga 50 peratus berbanding biasa walaupun pengunjungnya tidak ramai. Sampai ada yang perlu menambah stok,” kata Datin Paduka Mastura Muhammad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pesta Buku Selangor 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Pesta berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta turut menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesta Buku Selangor rekod 14,000 pengunjung takat hari kelapan

SHAH ALAM, 10 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 merekodkan kira-kira 14,000 pengunjung setakat hari kelapan penganjuran.

Pengarah pesta buku Mohamed Fadzli Mohd Fauzi berkata jumlah itu memberangsangkan meskipun ketiadaan rombongan pelajar sekolah seperti kelaziman.

“Setiap hari dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung hadir ke pesta ini. Angka ini dinilai berdasarkan cabutan bertuah ditawarkan kepada individu yang membuat pembelian RM30 ke atas.

“Mereka datang bukan sekadar cuci mata tetapi mencari bahan bacaan sekali gus menyokong industri buku yang sudah lama suram akibat pandemik Covid-19,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Beliau berkata buku akademik paling laris dijual secara fizikal dan dalam talian selain bahan bacaan mengikut genre tertentu seperti novel serta komik.

“Walaupun pembukaan sekolah telah dilanjutkan, kita lihat rata-rata ibu bapa membawa anak-anak mereka dan mencari buku akademik.

“Justeru, saya mengajak orang supaya hadir memeriahkan pesta yang berbaki dua hari lagi tetapi diingatkan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan,” katanya.

Pesta berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta turut menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ruang belajar kreatif, bacaan senyap pikat lebih ramai datang perpustakaan

SHAH ALAM, 8 DIS: Pembinaan ruang pembelajaran kreatif dan bacaan senyap di Perpustakaan Raja Tun Uda Fasa 2B mampu menarik minat orang ramai mengunjungi pusat ilmu itu apabila bangunan baharunya siap kelak.

Penuntut tahun pertama jurusan geosains petroleum Universiti Teknologi Petronas Syakirah Irdina Zamri berkata ruang berkenaan boleh dimanfaatkan penggemar industri kreatif untuk mempelajari ilmu baharu.

Syakirah Irdina Zamri

“Walaupun belum dipastikan pengisian dalam ruang tersebut, saya percaya lebih ramai orang akan berminat untuk datang ke perpustakaan jika ruang pembelajaran seumpama itu disedia.

“Pihak pengurusan perpustakaan mungkin boleh mengadakan kelas pembelajaran kreatif setiap minggu dan menyediakan pameran supaya pengunjung dapat belajar perkara baharu,” kata gadis berusia 19 tahun ketika ditemui.

Sementara itu, pegawai bank Ridhwan Ruzlan, 34, berkata kewujudan ruang pembelajaran kreatif di perpustakaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa industri kreatif.

Ridhwan Ruzlan

Beliau yang mengikuti pengajian profesional perakaunan separuh masa mengakui bidang kreatif memiliki potensi besar di Selangor dan wajar diperkasakan.

“Sebab itu saya menyambut baik usaha Kerajaan Selangor mengembangkannya melalui penubuhan ruang pembelajaran kreatif,” katanya yang mengunjungi perpustakaan dua kali seminggu.

Mahasiswa Universiti Teknologi Mara Shah Alam Siti Aisyah Mat Hasan, 24, pula berkata projek pembangunan yang turut menempatkan ruang bacaan senyap memberi peluang kepada pengunjung menelaah pelajaran dengan lebih fokus.

Siti Aishah Mat Hasan

“Selain lengkap dengan bahan rujukan, aspek keselesaan juga penting bagi pelajar yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat mengulang kaji.

“Justeru, dengan adanya ruang bacaan senyap, setidak-tidaknya tumpuan kami tidak terganggu untuk belajar,” kata penuntut semester tujuh jurusan perakaunan.

Pada 26 November lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan pembinaan Perpustakaan Raja Tun Uda Fasa 2B sebagai kesinambungan projek Fasa 1 dan Fasa 2A.

Mengumumkan perkara itu semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2022, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pembinaan itu terdiri daripada Galeri Diraja, Galeri Menteri Besar dan Ruang Pembelajaran Kreatif.

Menurutnya pembangunan sama menempatkan ruang dwifungsi sebagai ruang pameran dan bacaan senyap.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pertandingan e-sukan, tradisional tarikan Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 4 DIS: Pertandingan e-sukan PUBG dalam Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, menarik minat enam sahabat untuk hadir ke program berkenaan.

Mohd Izzamil Qayyum Mohd Mazelan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kelana Jaya Mohd Izzamil Qayyum Mohd Mazelan berkata dia bersama lima sahabat baik mempunyai minat sama dalam permainan video dalam talian itu.

“Permainan video antara tarikan utama selain berkunjung ke pameran pelbagai jenis buku ” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai penganjur turut mengadakan pertandingan sukan tradisional batu seremban dan congkak dengan tawaran wang tunai melebihi RM8,000.

Sementara itu penyelaras kokurikulum Maahad Tahfiz Sains dan Teknologi Darul Ehsan berkata kunjungan ke pesta buku itu menjadi acara tahunan sekolah sejak 2018.

Nur Ayuni Muhammad Azmi berkata pada tahun ini seramai 27 pelajar dari tingkatan satu hingga lima dibawa membeli peralatan dan keperluan sekolah.

Nur Ayuni Mihammad Azmi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kami gunakan kenderaan guru sahaja. Rugi rasanya jika tidak pergi kerana buku dijual pada harga murah dan banyak pilihan. Harap program seperti ini diteruskan tiap tahun,” katanya.

Bagi Siti Ruzila Abu Bakar,46, berkata dia membawa anak berusia enam hingga 15 tahun untuk membeli komik dan buku cerita.

“Saya bawa anak-anak ke pesta buku sebab di sini banyak ada macam-macam pilihan jenis buku dan ada diskaun” katanya.

Pesta buku berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember depan dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan. Pesta buku itu menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai salah satu daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung turut berpeluang memenangi cabutan bertuah hadiah wang tunai RM500 setiap hari.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

BooksFly2U dapat sambutan, lebih 3,000 naskhah dipinjam tahun ini

SHAH ALAM, 1 DIS: Jumlah pinjaman buku melalui perkhidmatan BooksFly2U meningkat kepada lebih 3,000 naskhah tahun ini berbanding 2,653 tahun lalu.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata buku kanak-kanak dan dewasa paling banyak dipinjam sejak 2020 berbanding remaja.

“Perkhidmatannya mudah sahaja iaitu peminjam hanya perlu membayar kos penghantaran ke kediaman mereka dan buku dicari adalah di perpustakaan berhampiran,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad.

Beliau bercakap pada program Bual Bicara: PPAS Nadi Ilmu Selangor yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV malam tadi.

Khidmat pinjaman buku BooksFly2U dilancarkan PPAS pada 16 Julai tahun lalu bagi memudahkan orang ramai meminjam buku untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat awam.

Beroperasi setiap hari kecuali cuti umum dari jam 9 pagi hingga 5 petang, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mengatur penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan dengan kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pustaka Selangor cadang anjur pesta buku daerah tahun depan

SHAH ALAM, 12 NOV: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bercadang menganjurkan pesta buku di setiap daerah di negeri ini mulai tahun depan, kata pengarahnya.

Datin Paduka Mastura Muhamad berkata penganjuran itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat di pedalaman menyertai pesta buku berhampiran kawasan mereka.

“Insya-Allah Pesta Buku Selangor 2021 yang utama kita laksanakan pada bulan Disember setiap tahun manakala Januari hingga Oktober kita akan jelajah ke setiap daerah untuk menganjurkan pesta buku peringkat daerah.

“Malah, Kerajaan Negeri juga telah memberi bajet besar kepada kita setiap tahun untuk menaik taraf beberapa perpustakaan di setiap daerah dan ini masa terbaik untuk kita promosi dengan menganjurkan pesta buku,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, masih terdapat beberapa perpustakaan di setiap daerah yang sedang dinaik taraf dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

“Apabila siap semua perpustakaan itu kita akan menganjurkan pesta buku peringkat daerah bagi memudahkan penduduk tidak perlu ke Shah Alam di samping memupuk minat membaca,” katanya.

Pesta Buku Selangor akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) mulai 2 hingga 12 Disember depan bermula jam 10 pagi hingga 9 malam manakala bagi Sabtu dan Ahad dilanjutkan hingga jam 10 malam.

Pesta tersebut menawarkan hadiah cabutan bertuah hampir RM50,000 secara keseluruhan iaitu pembeli bertuah bakal membawa pulang RM500 secara tunai pada setiap hari.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya pertandingan e-sukan, asah kreativiti bermain lego, cara mengguna dron, seminar menulis, seminar keibubapaan dan terapi ucapan bagi anak autisme atau lambat bertutur.

Categories
AGENSI SELANGOR

Diskaun RM10 buat 500 pembeli buku terawal seluruh negeri

SHAH ALAM, 2 NOV: Lima ratus pembeli terawal di kedai buku terpilih sekitar Selangor boleh mendapatkan diskaun RM10 melalui Baucar Buku Semarak Membaca sehingga 15 November.

Inisiatif bawah program Semarak Seni Budaya khusus buat pembelian buku terbitan tempatan bernilai sekurang-kurangnya RM20, maklum Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor di Facebook.

Berikut kedai buku tersenarai:

1) Pustaka Rakyat (M) Sdn. Bhd. (Ampang)
2) Galeri Buku Jejak Tarbiah (Bangi Gateway)
3) Pustaka Rakyat (Bangi) Sdn. Bhd. (Bandar Baru Bangi)
4) Pustaka Rakyat (Gombak) Sdn. Bhd.
5) Pustaka Seri Maju, Prima Sri Gombak (Gombak)
6) Anaasa Publication (Kajang)
7) Pustaka Shiny Jaya (Klang)
8) Ma-Tu Buku Sdn. Bhd. (Dataran Sunway)
9) Pelita Dhihin Bookstore (Petaling Jaya)
10) GerakBudaya Bookstores (Petaling Jaya)
11) Dakwah Corner Bookstore (Petaling Jaya)
12) SBL Books Sdn. Bhd. (Petaling Jaya)
13) Pustaka Seri Maju (Petaling Jaya)
14) University Bookstore (M) Sdn. Bhd. (Petaling Jaya)
15) Kedai Buku Maju Edar Sdn. Bhd. (Sabak Bernam)
16) Kedai Buku Maju Edar Sdn. Bhd. (Sungai Besar)
17) Pustaka Rawang (Bandar Baru Rawang)

Untuk alamat penuh kedai buku berkenaan, orang ramai boleh merujuk laman web
https://semarakmembaca.com/senarai-kedai-buku/

Categories
AGENSI SELANGOR

Pesta Buku Selangor bermula 2 Disember, tawar diskaun dan cabutan bertuah RM500

SHAH ALAM, 1 NOV: Orang ramai dijemput memeriahkan Pesta Buku Selangor yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember depan.

Pesta anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor itu bermula jam 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga jam 10 malam.

“Jualan buku, diskaun menarik dan pelbagai aktiviti akan berlangsung di sana nanti.

“Anda juga berpeluang menjadi salah seorang daripada sembilan pemenang cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari,” katanya di Facebook hari ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Maszlee dilantik timbalan pengerusi perpustakaan awam Selangor

SHAH ALAM, 28 OKT: Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilantik sebagai timbalan pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Ahli parlimen Simpang Renggam itu berbesar hati menerima kepercayaan Kerajaan Selangor dan akan memberi sepenuh daya menggalas amanah terbabit.

Menyifatkan PPAS yang diterajui Pustaka Raja Tun Uda sebagai rangkaian perpustakaan paling aktif dan kreatif, Maszlee ia juga memiliki ciri moden.

Selain itu, katanya, ia mesra orang kelainan upaya, keluarga dan anak muda cetusan idea Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Saya yakin dengan naungan dan sokongan berterusan DYMM Tuanku Sultan, isu pendidikan dan usaha memandaikan rakyat Selangor akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selaku pengerusi PPAS dan juga pendukung kuat pendidikan dan industri perbukuan di Selangor,” katanya di Facebook hari ini.

Selain bekas ahli akademik, Dr Maszlee juga adalah penulis buku antaranya Memori Bukan Memoir, Orkes Masyarakat Manusiawi , Hamas Pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis, dan Be Eshme Elohim.