Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Rangkaian perpustakaan awam Selangor dibuka bermula hari ini

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pustaka Raja Tun Uda di sini dan semua rangkaian perpustakaan awam Selangor dibuka semula kepada pengunjung hari ini.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan waktu perkhidmatan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Menurut PPAS, pengunjung perlu lengkap divaksin serta melebihi 14 hari selepas suntikan dos kedua.

Pengunjung juga diingatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan seperti melakukan saringan suhu, mengimbas kod QR SELangkah, mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka serta kerap mencuci tangan.

Selain itu, PPAS meminta pengunjung mengelak berada di ruangan sempit dan sesak manakala penggunaan lif terhad kepada empat orang sahaja.

PPAS memaklumkan pengguna di kawasan terjejas boleh menggunakan perkhidmatan BooksFly2U iaitu meminjam dan memulangkan buku menggunakan perkhidmatan e-panggilan menerusi talian 010-8491448 atau 03-55197667.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 03-55197667 atau melayari laman web www.ppas.gov.my atau Facebook, Twitter@selangorlibrary.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Menangi RM1,000, peraduan warkah Kita Selangor cetus semangat patriotik

SHAH ALAM, 10 SEPT: Golongan muda di negeri ini dipelawa menyertai pertandingan menulis warkah bertemakan #KitaSelangor 2021 sempena sambutan Hari Malaysia ke-58.

Pertandingan anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bertujuan memupuk semangat patriotik selain memberi peluang meluahkan harapan sebagai anak Selangor.

Perbadanan itu menerusi Facebook memaklumkan penyertaan terbuka kepada dua kategori iaitu remaja berusia 15 sehingga 17 tahun (kategori A) dan belia berusia 18 sehingga 35 tahun (kategori B).

Warkah boleh dihantar melalui e-mel [email protected] dengan melengkapkan butiran seperti nama, nombor kad pengenalan, emel, nombor telefon dan alamat sebelum 30 September ini.

Bertemakan Harapan Anak Muda Buat Nusa Bangsa, pemenang utama bakal membawa pulang wang tunai RM1,000, kedua (RM800), ketiga (RM700) dan 30 hadiah sagu hati berjumlah RM100.

Maklumat lanjut boleh hubungi talian 013-826 0950 / 03-3216 4630 / 019-365 6586 atau layari laman web www.ppas.gov.my dan Twitter @selangorlibrary.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Bukukan tulisan Khoo Kay Kim untuk rujukan masa depan

SHAH ALAM, 31 MEI: Dato’ Menteri Besar mencadangkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) membukukan penulisan mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim untuk rujukan masa depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebanyakan generasi muda tidak mengetahui mendiang banyak berjasa kepada negara terutama mengembalikan perpaduan kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.

“Mendiang antara tokoh penting pembentukan Rukun Negara yang menjadi kunci utama keharmonian kaum dan etnik yang dikecapi sekarang.

“Usaha memartabatkan sejarah sebagai negara majmuk dan kepelbagaian budaya tidak pernah terhenti sehingga akhir hayat,” katanya berucap merasmikan Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian hari ini.

Program kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) menampilkan anak sulung mendiang yang juga Pengarah PUSAKA Eddin Khoo antara lima panel jemputan.

Panel lain Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Ahli Majlis Diraja Johor Dr Kassim Thukiman, ahli ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan wakil Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir

Amirudin berkata Kerajaan Negeri menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim sebagai mengenang jasa mendiang.

Penamaan semula jalan itu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sejarawan dan ahli akademik itu meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru ketika usia 82 tahun pada 28 Mei tahun lepas.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor modenkan 60 pustaka, pikat ramai pengunjung

SABAK BERNAM, 26 MAC: Sebanyak 60 perpustakaan awam di Selangor dinaik taraf sejak 2009 bagi menarik lebih ramai pengunjung, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perubahan kepada konsep moden tidak hanya melibatkan perpustakaan bandar sebaliknya turut meliputi perkampungan.

Jelasnya, usaha tersebut seiring peredaran zaman yang kekal sebagai wadah utama penyimpanan dan gudang ilmu serta sesuai bagi semua golongan.

“Apabila kita naik taraf, orang lebih pandang dan ubah persepsi bahawa perpustakaan bukan hanya tempat ulat buku, antisosial, tempat yang bosan dan ulang kaji pelajaran sahaja.

“Bermula dengan ‘Perpustakaan Rumah Keduaku’, kita terus lebarkan fungsinya menjadi pusat setempat untuk semua golongan, meletakkan elemen kekeluargaan dan teknologi untuk kemudahan semua,” katanya.

Berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor di Dataran Sabak hari ini, Amirudin berkata sebanyak 103 perpustakaan beroperasi di seluruh negeri.

Beliau berkata Sabak Bernam memiliki 26 unit daripada jumlah berkenaan, tertinggi dalam daerah dengan lapan sudah dinaik taraf manakala satu lagi sedang diubah suai.

“Setiap tahun kita mempunyai perancangan untuk naik taraf semua perpustakaan ini supaya ia menjadi lokasi pilihan semua golongan,” katanya yang juga pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

PPAS sumbang 1,200 buku untuk kegunaan 12 pusat jagaan

SHAH ALAM, 18 FEB: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyumbang 1,200 buku untuk kegunaan 12 pusat jagaan sementara yang menempatkan anak petugas barisan hadapan.

Pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhamad berkata kebanyakan bahan bacaan disediakan di pusat itu berkonsepkan biblioterapi yang mampu membuka minda dan menyentuh hati kanak-kanak.

“Kita mengikuti perkembangan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan yang digerakkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan bersetuju menghantar 100 buku ke setiap pusat jagaan.

“Sumbangan kecil ini bagi menggalakkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak selaras hasrat Kerajaan Selangor untuk melahirkan lebih ramai masyarakat berilmu meskipun dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turut serta pada program menyantuni anak-anak kecil barisan hadapan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek di Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini.

Sementara itu, Mastura berkata pihaknya sentiasa menambah baik jenis sumbangan untuk dimanfaatkan anak-anak kecil petugas barisan hadapan di pusat asuhan berkenaan.

“Mungkin kita boleh beri alat permainan seperti siri koleksi Lego selain menyediakan buku keibubapaan supaya sukarelawan terlibat dapat mengurus dan mengasuh anak-anak kecil,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

BooksFly2U terus beroperasi, mudahkan peminjam buku – PPAS

SHAH ALAM, 17 JAN: Orang awam masih boleh menggunakan khidmat BooksFly2U sekiranya mahu meminjam buku di mana-mana perpustakaan awam Selangor.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata khidmat berkenaan juga boleh digunakan untuk proses pemulangan buku.

“Terdapat dua pilihan sama ada menggunakan khidmat e-panggilan seperti Grab atau Lalamove atau ambil sendiri buku yang sudah dipesan,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Program BooksFly2U dilancarkan pada 16 Julai tahun lalu hanya memerlukan pengguna membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mendapatkannya dan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan dengan kos termasuk pemulangan semula buku ditanggung peminjam.

Categories
AGENSI SELANGOR

PPAS semarakkan sains, teknologi dan inovasi

SHAH ALAM, 2 OKT: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyemarakkan bidang sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat dengan menganjurkan 33 program khas sepanjang September sehingga Disember.

Agensi itu berkata penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada individu berusia 13 tahun ke atas dengan keutamaaan kepada berpendapatan rendah (B40).

Antara pengisian program adalah pendidikan dan kerjaya masa depan: robotik, bina dan reka: inovasi baharu lego, era baharu e-perdagangan, latihan percetakan 3D, kreatif di hujung jari: Adobe Photoshop (Mobile) dan latihan mengendalikan dron.

Pendaftaran boleh dibuat dipautan shorturl.at/cozBW atau menghubungi 019-3053 836 atau 019-4775 818.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam; Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Komunikasi Strategik; Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna turut menjayakan program berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

MB galak tabiat membaca guna BooksFly2U

SHAH ALAM, 20 OGOS: Khidmat pinjaman buku BooksFly2U yang dilancarkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat awam.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu selari dengan norma baharu tanpa perlu mengorbankan tabiat membaca orang awam.

“PPAS telah mengambil pendekatan proaktif menggalakkan budaya membaca dengan menyediakan perkhidmatan meminjam buku secara e-panggilan.

“Ambil peluang ini dengan WhatsApp di talian 010-8491488 atau telefon 03-55197667 untuk maklumat lanjut. Dengan ilmu pengetahuan, kita mampu membangunkan Selangor lebih jauh dan maju,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitternya hari ini.

Melalui program yang dilancarkan pada 16 Julai lalu, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor berkenaan di mana ia beroperasi setiap hari kecuali cuti umum dari 9 pagi hingga 5 petang.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan manakala kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.

PPAS sebelum ini berkata novel fantasi Harry Potter karya J. K. Rowling dan buku kanak-kanak penulis termasyhur Enid Blyton antara naskhah paling popular dipinjam melalui BooksFly2U.

Pengarahnya, Mastura Mohamad berkata kanak-kanak 12 tahun menjadi peminjam buku paling muda di mana jumlah peminjam kini direkodkan lebih 200 orang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Siri pencerahan Selangor: 39 karya agung sudah diterjemah

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak 39 karya agung sudah diterjemah menerusi Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’ sejak 2017 sehingga tahun lalu, kata pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Mastura Muhammad berkata program inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan PPAS bertujuan mengangkat karya besar dunia termasuk falsafah, islamik, sastera dan biografi.

“Sehingga kini 29 judul buku sudah berada di pasaran dan dijual pada kadar berpatutan iaitu RM100 dan ke bawah.

“Antara tajuk yang sudah berada di pasaran ialah Dari Pesantren ke Istana, Imam di Kota Paris, Riwayat Politik Suharto, Athens dan Kelahiran Demokrasi, Jagat Kehidupan dan Pemikiran Einstein dan Tunas Pemodenan Politik Turki,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Mastura berkata orang ramai perlu mengambil peluang membeli buku terjemahan berkenaan kerana harga asalnya mencecah lebih RM200.

“Tetapi Kerajaan Negeri menawarkan pada harga amat rendah, inisiatif ini dilakukan kerana mahu rakyat Selangor membaca serta memahami isi kandungan yang disampaikan menerusi karya agung ini.

“Bagi memperhebatkan lagi promosi jualan buku terjemahan terbabit, orang ramai boleh melayari YouTube PPAS untuk mendengar ulasannya. Bagi memudahkan pembelian, kita akan menyediakan laman portal bagi tujuan itu,” katanya.

Pada 21 Ogos 2018, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’ dengan IBDE berperanan menerbit dan menterjemahkan karya besar dunia, manakala Nusantara Audiobook menterjemahkan buku cetak ke dalam bentuk digital audio.

Usaha terbabit mula digerakkan sejak 2017 dengan 15 karya diterjemahkan diikuti 14 (2018) dan 10 (tahun lalu).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PPAS lancar khidmat hantar buku ke rumah, pertama di Malaysia

SHAH ALAM, 17 JULAI: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyediakan perkhidmatan penghantaran buku ke rumah, pertama kali seumpamanya di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buku boleh dipinjam, maksimum 10 naskhah, menerusi inisiatif Booksfly2u berikutan perbadanan itu bekerjasama dengan syarikat penghantaran yang menghantarnya dalam masa antara tiga hari hingga seminggu.

“Mereka (peminjam) hanya perlu menanggung kos penghantaran sahaja manakala pemulangan buku boleh dibuat menerusi syarikat berkaitan atau hantar ke mana-mana 103 cawangan PPAS di seluruh negeri,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan Booksfly2u di Bangunan Annex di sini hari ini.

Amirudin berkata inisiatif tersebut selaras dasar Kerajaan Negeri yang meletakkan pendidikan sebagai antara fokus utama ke arah mencapai taraf Negeri Pintar 2025.

“Perkhidmatan syarikat penghantaran lebih sinonim dengan sektor makanan dan minuman. Usaha PPAS ini adalah selangkah ke hadapan dan perlu dicontohi sektor lain,” katanya.

Booksfly2u adalah perkhidmatan pesanan pinjaman buku dalam talian yang menjimatkan masa dan tenaga dengan PPAS mengambil senarai pilihan peminjam lalu menghantarnya ke rumah.

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui talian 03-55197667 atau WhatsApp (010-8491448) pada setiap hari kecuali cuti umum.

Pada 23 Mac lalu, PPAS melancarkan perkhidmatan e-Buku untuk dimanfaatkan orang ramai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PPAS lancar Booksfly2u, mudahkan pinjaman buku

SHAH ALAM, 18 JUN: Orang ramai boleh meminjam buku secara e-panggilan melalui Booksfly2u bermula esok di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), kata pengarahnya.

Mastura Mohamad berkata kaedah pinjaman baharu beroperasi setiap hari kecuali cuti umum dari 9 pagi hingga lima petang dengan tiga langkah mudah.

“Peminjam hanya perlu menghubungi PPAS melalui panggilan telefon atau WhatsApp di talian 010-8491488 atau 03-55197667, senaraikan buku yang ingin dipinjam dan ia akan dihantar.

“Kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam,” katanya kepada SelangorKini.

PPAS dibuka semula Isnin lalu selepas lebih dua bulan ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19.

Perpustakaan daerah, cawangan, pekan dan desa pula dibuka Isnin hingga Jumaat mulai 9 pagi hingga 6 petang manakala Sabtu pada minggu kedua dan keempat setiap bulan dari 9 pagi hingga 5.30 petang.

Categories
AGENSI SELANGOR

PPAS dibuka semula Isnin ini – Mastura

SHAH ALAM, 13 JUN: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan membuka semula semua perkhidmatan kepada pengunjung bermula Isnin ini, kata pengarahnya.

Mastura Muhamad berkata pengoperasian semula adalah selaras Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan kerajaan sejak kelmarin.

“Kita menghadkan jumlah pengguna mengikut kesesuaian saiz ruang perpustakaan dan mereka perlu mendaftarkan diri di kaunter perkhidmatan.

“Bagaimanapun, kanak-kanak serta golongan berisiko dinasihatkan untuk tidak berada di premis PPAS,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti memeriksa suhu badan, mengimbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), penjarakan sosial satu meter, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

Pada masa sama, Mastura berkata peminjam buku atau bahan rujukan yang tidak sempat memulangkannya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi tempoh sehingga 31 Julai tanpa dikenakan denda.

Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam; PPAS Gombak, PPAS@PJKita Kampung Lindungan, PPAS Kajang dan PPAS Sungai Udang akan beroperasi pada setiap Isnin hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 7 malam.

Waktu operasi bagi perpustakaan daerah, cawangan, pekan dan desa adalah Isnin hingga Jumaat mulai 9 pagi hingga 6 petang manakala Sabtu pada minggu kedua dan keempat setiap bulan dari 9 pagi hingga 5.30 petang.