Categories
NASIONAL

‘Gentleman’ sikit wahai Pemuda Umno

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan pemuda parti itu bersifat terbuka dan matang menerima surat jemputan forum ‘Nothing To Hide 2.0’ (N2H2) yang ingin disampaikan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketika diminta mengulas insiden kekecohan di luar perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, beliau berkata, hasrat untuk menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan semua kepimpinan Umno ke majlis itu tidak harus disekat.

“Mereka ini pemuda harapan bangsa dan harus bersikap terbuka. Anggap ini sebagai cabaran, saya menyanjung usaha Pemuda Armada kita.

“Kita harap insiden ini tidak berlaku pada masa akan datang. Beri ruang kepada mereka (Armada) nak serah (jemputan). Saya tak fikir itu sebagai satu ugutan dan patut ‘gentlemen’ sikitlah,” katanya yang juga Presiden PPBM.

Sekitar jam 3 petang semalam berlaku kekecohan di luar PWTC apabila cubaan Pemuda Armada yang diketuai Exconya, Ashraf Mustaqim untuk masuk menghantar surat jemputan disekat Pemuda Umno diketuai Exconya, Datuk Armand Azha.

Insiden itu berakhir apabila polis mengarahkan Pemuda Armada bersurai dari pusat membeli-belah Sunway Putra.

Categories
NASIONAL

PPBM ahli baru PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) sebulat suara memutuskan menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai anggota gabungan komponen parti pembangkang itu.

Menurut kenyataan bersama, Sekreriat PAKATAN akan mengutus surat kepada PPBM untuk memaklumkan perkara berkenaan.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu selepas bermesyuarat di Pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen, di sini.

Selain itu, Majlis Presiden turut bersetuju mendaftarkan PAKATAN dan merangka manifesto bersama selain menggunakan logo baru.

“Mesyuarat bersetuju perbincangan segera dengan keempat-empat parti untuk merangka manifesto bersama dan mewujudkan logo baru,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Isu Korea Utara: PPBM gesa tubuh pasukan rundingan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Persekutuan digesa menubuhkan pasukan rundingan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara seterusnya membawa mereka pulang ke tanah air.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan itu seharusnya dianggotai badan luar yang berkapasiti menguruskan rundingan antara dua negara secara baik.

Katanya, urusan hal berkenaan juga perlu dilaksanakan secara bijaksana bagi mengelakkan peningkatan ketegangan antara Putrajaya dengan Pyongyang.

tsmy-muhyiddin-yassin“Teliti cara sebaik mungkin, mungkin ada langkah segera yang patut diambil untuk cari jalan bagaimana kemelut pertembungan dua pihak ini dapat diredakan dan jangan ditingkatkan lagi ketegangan.

“Adakah pihak lain yang boleh membantu kita, badan antarabangsa seperti Majlis Keselamatan PBB atau yang boleh berperanan untuk itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, di sini, semalam.

Memetik Astro Awani, beliau berkata, sebarang kesilapan langkah bakal meningkatkan krisis dan mendedahkan Malaysia kepada ancaman keselamatan.

“Kita tahu cara Korea Utara menguruskan hubungan antarabangsa yang kadang-kadang tidak mengikut konvensyen biasa. Jadi, kita bimbang kalau tidak berjaga-jaga atau terlepas pandang, maka implikasinya amat besar,” katanya.

Terdahulu, Pyongyang mengeluarkan arahan sekatan terhadap 11 rakyat Malaysia yang berada di negara komunis itu daripada meninggalkan Korea Utara.

Empat daripadanya pegawai dan kakitangan kedutaan bersama lima ahli keluarga mereka sementara dua lagi kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-NFN-

Categories
NASIONAL

Umno yang dulu bukanlah yang sekarang

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai pengkhianat kepada bangsa Melayu dan negara.

Katanya, Umno yang sekarang jauh berbeza dengan dahulu dan tidak lagi dijadikan contoh kepada negara lain dalam aspek pembangunan serta pentadbiran.

“Apabila Muhyiddin mengaku Umno-BN membangun dan memaju negara Malaysia, maka pembodek pun gembira dengan pengakuan ini.

“Kenyataan ini adalah berkenaan Umno-BN dahulu yang memerdekakan dan membangun Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahathir berkata, Umno ketika ini lebih dikenali sebagai kleptokrasi pimpinan penyangak dan pencuri yang memberi nama amat buruk kepada Malaysia di seluruh dunia.

PC (11 of 22)“Sesungguhnya nama baik Umno-BN sudah dicemar sehingga beralih kepada nama dibenci rakyat dan dipandang hina seluruh dunia.

“Penyokong Najib sama ada dibeli atau tidak, tidak kurang daripada mengkhianati bangsa dan negara,” katanya.

Sebelum ini, mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kejayaan kerajaan pimpinan BN dalam memacu Malaysia menjadi negara membangun dan model negara Islam.

Katanya, pembangunan itu diusahakan parti itu menerusi pucuk kepimpinan diwarisi dan tidak boleh dinafikan memandangkan Malaysia bermula sebagai negara yang tidak memiliki apa-apa selepas merdeka.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat tidak terbeban jika kerajaan telus

SHAH ALAM, 10 FEB: Rakyat tidak akan terbeban dengan kos sara hidup tinggi jika bernaung di bawah kerajaan yang telus menjaga kebajikan, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan pemerintah akan lebih berhati-hati dalam menangani kos kenaikan harga minyak di negara ini jika benar mereka prihatin dengan nasib rakyat.

“Saya menerima maklum balas keluhan rakyat ekoran kenaikan harga petrol, pada awal bulan ini ketika kos barang keperluan semakin meningkat.

“Perkara ini mampu ditangani jika kerajaan lebih bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, namun apa yang berlaku adalah mereka tidak telus, pembaziran melampau serta pengurusan kewangan tidak efisien sehingga mengakibatkan ekonomi negara tidak menentu,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau menyeru rakyat supaya berani bertekad dan bersatu hati melakukan perubahan yang sedang melanda serta merosakkan negara.

MUHYIDDIN“Segala kemungkaran pula harus ditentang supaya kehidupan generasi akan datang lebih terjamin,” katanya yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri.

Harga petrol dan diesel kini berada pada paras tertinggi sejak Januari 2016 ekoran kenaikan terbaru sebanyak 20 sen, mulai 1 Februari lalu.

RON95 kini dijual pada harga RM2.30 seliter, RON97 RM2.60 seliter, manakala diesel pula berada pada harga RM2.15 seliter.

-AA-

Categories
NASIONAL

Penganalisis politik: PPBM sedia bongkar salah laku Kerajaan Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 JAN: Pelancaran rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Sabtu lalu mengambarkan komitmen sebenar parti itu untuk menggerakkan perjuangan sebenar bagi menghadapi pilihan raya umum depan.

Penganalisis Politik, Mohd Sayuti Omar berkata, PPBM menerusi Pengerusinya, Tun Mahathir Mohamad menunjukkan pendirian jelas dan komitmennya terhadap agenda perjuangan bagi menumbangkan Najib dan Umno-Barisan Nasional.

“Dr Mahathir tidak akan menarik brek dan berundur ke belakang lagi, sebaliknya akan terus meluncurkan bahtera dan menggerakan armada perjuangannya hingga jaya.

“Pelancaran secara rasmi parti PPBM menggambarkan yang beliau sudah bersumpah dan berikrar akan melakukan apa sahaja yang diidamkan.

“Dr Mahathir akan memberi gambaran matanya tidak akan tertutup selagi kemungkaran dilakukan Najib dan kerajaanya tidak dibersihkan,” tulisnya pada laman blognya, http://msomelayu.blogspot.my/.

Beliau berkata, iltizam itu sekali gus menjadi wadah baharu buat rakyat Malaysia untuk bersandarkan harapan bersama gabungan parti pembangkang lain.

Walaupun mengharungi keupayaan terhad disebalik usia muda penubuhannya, namun Sayuti menggambarkan obor perjuangan PPBM sudah mula dibakar dan bernyala bagi menghadapi pilihanraya.

“Nyalaan (obor) bakal membakar hangus segala kemungkaran Najib dan kuncu-kuncunya.

“Sesiapa jua yang waras akan teruja dengan suasana di Stadium Melawati diwarani dengan warna merah, warna bunga raya PPBM disulam gema dan jerik penuh bersemangat berjanji dan berikrar untuk menentang kemungkaran,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Manifesto PPBM selaras gagasan reformasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Manifesto yang dibentangkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat senada dengan gagasan reformasi yang diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yakin persamaan dasar itu akan melicinkan lagi kerjasama antara PAKATAN dan PPBM.

“Manifesto Tan Sri (Muhyiddin Yassin), ada sebut dia akan bincang dengan PAKATAN dan sebahagian besar apa yang disebut itu memang sudah menjadi dasar KEADILAN contohnya menghadkan kuasa eksekutif seorang bergelar Perdana Menteri dan juga meletakkan Jabatan Audit terus kepada Parlimen.

AZMIN-500x357“Ini sebahagian dasar yang wujud dalam Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan,” kata beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor ketika menghadiri Majlis Pelancaran PPBM di Stadium Tertutup Malawati, di sini, semalam.

Katanya, kehadiran gabungan pembangkang jika diberi peluang menerajui Putrajaya bukan sekadar menutup kelemahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebaliknya melakukan reformasi dengan menyeluruh melalui dasar dipersetujui bersama.

Sebelum itu, Dr Mahathir dan Muhyiddin dalam ucapan masing-masing membentangkan manifesto PPBM untuk dibincangkan dengan PAKATAN bagi menghadapi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Antaranya, menghadkan kuasa Perdana Menteri, meletakkan Jabatan Audit di bawah Parlimen, melarang BR1M dijadikan manifesto pilihan raya dan diuruskan penjawat awam secara telus, memberi kebebasan kepada media selagi tidak mengancam keharmonian masyarakat, menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan langkah pemulihan ringgit.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PPBM cadang bentuk Barisan Rakyat hadapi BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sentiasa bersikap terbuka untuk membentuk kerjasama dengan semua parti pembangkang di dalam gabungan yang dinamakan Barisan Rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

BERSATU (13)Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesepakatan pembangkang dalam pilihan raya merupakan pra syarat utama untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu membentuk sebuah kerajaan lebih baik.

“Kita telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan saya anggap sebagai satu perkembangan amat positif dalam usaha membentuk sebuah gabungan politik yang mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“Kita juga sedang berunding dengan parti di luar PAKATAN untuk membentuk satu gabungan politik yang mantap dengan matlamat memenangi PRU-14 dan membentuk kerajaan iaitu gabungan politik yang disertai semua pembangkang ini boleh kita namakan Barisan Rakyat untuk menentang BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PPBM yang dirasmikan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad di Stadium Tertutup Malawati, di sini, semalam.

Katanya, terdapat suara sumbang daripada jentera propaganda Umno yang menuduh PPBM menggadai kepentingan Melayu bagi menakut-nakutkan pengundi kaum itu dalam usaha membentuk kerjasama dengan parti pembangkang.

Katanya, ia membuktikan Umno semakin ketandusan idea untuk mempertahankan kuasanya kecuali dengan memainkan isu perkauman.

-NFN-