Categories
NASIONAL

KM dakwa dalang hasut penduduk PPR Taman Manggis demo

GEORGE TOWN, 8 MAC: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mendakwa ada pihak menghasut penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, sekali gus mengeruhkan lagi keadaan yang turut menjejaskan usaha membantu mereka yang berkenaan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan membantu penduduk yang diarah mengosongkan unit sewaan mereka itu.

“Mungkin proses untuk kita meyakinkan penduduk itu tidak mudah kita capai kerana (ada) parti-parti lain masuk untuk menyebarkan maklumat yang tidak berasas maka penduduk merasa khuatir dan tidak mahu bekerjasama,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan sekumpulan penduduk yang diarah mengosongkan unit sewaan di taman perumahan itu mengadakan demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan arahan berkenaan.

Mengulas lanjut, Chow menegaskan tindakan pengosongan itu tidak ada kaitan dengan perkauman tetapi berasaskan undang-undang sedia ada selain penduduk juga diberikan tempoh yang mencukupi untuk mereka berbuat demikian.

Beliau berkata, susulan pengeluaran notis itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan kediaman sementara bagi yang terlibat, namun sebilangannya terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu sehingga mengadakan demonstrasi tersebut.

Katanya, sebanyak tujuh daripada 22 unit yang terbabit dalam arahan itu dapat diambil balik Kerajaan Negeri selepas penyewanya menyerahkan unit berkenaan secara sukarela.

“Mungkin proses bagaimana kita hendak menguatkuasakan sesuatu keputusan ini, kalau perlu ditambah baik lagi kita akan bersedia untuk mengkaji semula,” katanya.

Sebelum ini, Chow dilaporkan berkata, penyewa PPR Taman Manggis diarah mengosongkan unit sewaan masing-masing selepas didapati mereka melanggar syarat mendiami PPR itu.

Antaranya tinggal melebihi tempoh ditetapkan iaitu lima tahun selain ada yang menerima pendapatan melebihi kelayakan.

Beliau berkata majoriti penduduk yang diarah keluar adalah mereka yang telah tinggal di situ antara 10 hingga 11 tahun.

Sebanyak enam penyewa mebabitkan kira-kira 40 anggota keluarga bertindak ‘menumpang’ di Komtar sejak Rabu selepas diarah mengosongkan unit sewaan masing-masing.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pegawai PM sediakan laporan isu PPR Taman Manggis

GEORGE TOWN, 8 MAC: Sekumpulan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diarahkan mengosongkan unit sewaan mereka baru-baru ini cuba menghalang seorang setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, daripada meninggalkan lokasi pertemuan mereka malam ini.

Setiausaha politik itu, Abu Bakar Yahya, terpaksa menunggu di dalam keretanya hampir 20 minit selepas kumpulan penduduk itu menghalang laluan kenderaannya keluar dari bangunan Komtar di sini di mana mereka berkumpul sejak semalam.

Bagaimanapun, kehadiran beberapa orang pegawai dan anggota polis ke lokasi itu berjaya meredakan keadaan kecoh itu bagi membolehkan Abu Bakar meneruskan perjalanannya.

Ketua Pemuda BERSATU Pulau Pinang, Shameer Sulaiman turut dikepung sekumpulan penduduk yang tidak berpuas hati dengan penjelasannya juga terpaksa meninggalkan ruang legar bangunan itu dengan bantuan anggota polis.

Sebelum itu, Abu Bakar  tiba di bangunan Komtar itu kira-kira pukul 7.00 malam, semalam untuk bertemu penduduk terlibat bagi mendengar sendiri isu yang dihadapi mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Abu Bakar berkata, beliau membuat pertemuan itu atas arahan Tun Dr Mahathir yang mahukan beliau mendapat gambaran sebenar berhubung isu dihadapi penduduk terbabit serta penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, di Butterworth.

Beliau juga mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Perumahan Negeri dan menurutnya, jabatan itu memang bersedia membantu penduduk di sini mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Saya menyediakan laporan yang akan diberikan kepada Tun (Mahathir).

“Diharap rakyat tidak mudah menerima perkara tidak sahih yang disebarkan pihak yang tidak bertanggung jawab,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kumpulan penduduk yang diarah mengosongkan unit kediaman di PPR Taman Manggis itu kerana mereka melanggar beberapa syarat mendiami kawasan berkenaan.

Antara pelanggaran syarat itu ialah mendiami perumahan itu melebihi lima tahun di mana ada di kalangan mereka yang sudah menetap di PPR itu sehingga 11 tahun.

Katanya, tindakan mengeluarkan notis pengosongan itu terpaksa diambil kerana ingin memberi peluang kepada pihak yang lebih layak untuk mendapatkan kemudahan tersebut.

– BERNAMA