Categories
ADN SELANGOR

40 mangsa banjir Banting masih di pusat pemindahan

KUALA LANGAT, 4 JAN: Seramai 40 mangsa banjir di daerah ini masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) akibat hujan lebat sejak kelmarin.

Wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin berkata mangsa dari 12 keluarga itu ditempatkan di Balai Raya Kampung Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang.

“Hujan agak lebat dan faktor fenomena air pasang menyebabkan kediaman di Kampung Sungai Nangka dan Kampung Kelanang dinaiki air tetapi tidak tinggi seperti sebelum ini.

“Kita mengambil beberapa tindakan antaranya menyediakan pam bagi menyedut air untuk mengurangkan limpahan ke kediaman penduduk,” katanya selepas meninjau mangsa banjir di dua PPS tersebut.

Hasnul menambah sistem perparitan di sebahagian besar kawasannya berada dalam keadaan baik manakala Kampung Kelanang, Kanchong Darat dan Kanchong Tengah perlu ditambah baik.

Semalam, paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi tahap bahaya (merah) apabila mencatatkan bacaan setinggi 4.34 meter melebihi paras normal 4.20m.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 100 institusi pendidikan terkesan bah, jadi PPS belum sedia beroperasi

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terkesan akibat banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) hanya akan dibuka semula setelah ia sedia untuk beroperasi.

KPM dalam kenyataan semalam memaklumkan terdapat 18 sekolah masih dinaiki air, 87 dijadikan PPS serta lapan yang pulih banjir namun masih belum bersedia untuk beroperasi buat masa ini.

“KPM akan terus memantau dan mengemas kini pada setiap hari Rabu senarai institusi pendidikan yang dilanda banjir atau yang dijadikan sebagai PPS.

“Perubahan senarai yang dikeluarkan oleh KPM adalah tertakluk kepada situasi semasa bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Senarai itu boleh diakses melalui laman sesawang KPM di https://www.moe.gov.my/.

Menurut KPM, pengoperasian institusi pendidikan yang telah selesai dibersihkan dan bersedia untuk kembali beroperasi akan bermula pada hari Ahad atau Isnin minggu persekolahan berikutnya.

Institusi pendidikan bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru serta terpakai kepada sekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM.

Tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 3 2021/2022 adalah pada 9 Jan bagi negeri Kumpulan A manakala 10 Jan bagi negeri Kumpulan B.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

42 mangsa banjir di Kelanang, Banting ke dua pusat pemindahan

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 42 individu dari 12 keluarga di Kelanang dan Banting dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir, malam tadi.

Pegawai daerah Kuala Langat berkata jumlah itu merangkumi enam keluarga dengan 26 mangsa di PPS Dewan Kampung Kelanang dan baki di PPS Dewan Kampung Banting.

“Kesemua mereka dipindahkan sekitar jam 11 malam susulan air sungai berdekatan naik kerana hujan lebat. Setakat ini tiada pertambahan mangsa kerana air sungai mulai surut, selain cuaca bertambah baik,” kata Mohd Jusni Hashim kepada Selangorkini.

Beliau berkata kesemua mangsa diberikan makan dan minum yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala pejabat kesihatan daerah memantau tahap kesihatan mangsa.

Pada jam 10.30 pagi tadi, paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi tahap bahaya (merah) apabila mencatatkan bacaan setinggi 4.34 meter.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan itu melepasi paras normal 4.20m disebabkan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Paras air Sungai Langat di Dengkil, Sepang turut melepasi tahap waspada apabila mencatatkan bacaan 6.68m, juga akibat hujan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pusat pemindahan kembali dibuka di Selangor, mangsa banjir lima negeri meningkat

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah terus mencatat peningkatan pagi ini berbanding semalam.

Di Selangor, dua PPS di daerah Kuala Langat menempatkan 40 mangsa kembali dibuka semalam.

Dua PPS tersebut adalah Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat pukul 6.45 pagi tadi melaporkan kawasan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berada pada paras bahaya apabila mencatat 4.29 meter manakala Sungai Langat di kawasan Dengkil, Sepang berada pada paras amaran dengan ketinggian 7.07 meter.

Sementara itu, di Pahang, hujan berterusan menyebabkan pertambahan mangsa iaitu 2,188 masih berada di 51 PPS pada awal pagi ini, melibatkan lapan daerah, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Daripada jumlah itu, 1,421 orang adalah mangsa banjir gelombang kedua dengan daerah Lipis mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 553 orang diikuti Rompin (340 orang) dan Raub (278 orang) dan selebihnya dari daerah lain.

Lapan jalan ditutup akibat dinaiki air antaranya Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Temerloh-Jerantut (Temerloh) dan Jalan Bentong-Gua Musang (Lipis).

Laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan enam sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tanum di Chegar Perah di Lipis, Sungai Pahang di Paya Gintong (Jerantut) dan di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Serting di Pdg Gudang (Bera), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Pukin (Rompin), manakala Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca hujan sepanjang hari di semua daerah terjejas banjir.

Penduduk setempat Mohamad Rusdi Mohamad Khatib, 34, meninjau keadaan stesen siren amaran awal banjir yang masih digenangi banjir ketika tinjuaan fotoBernama di Kampung Kuala Nal pada 2 Januari 2022. Foto BERNAMA

Di Melaka, jumlah mangsa meningkat kepada 2,537 mangsa daripada 656 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,778 mangsa daripada 462 keluarga 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan sembilan di Jasin.

“Seramai 1,015 mangsa daripada 270 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 1,391 mangsa daripada 356 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 131 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Johor pula, jumlah mangsa bertambah kepada 3,841 orang pagi ini berbanding 2,553 orang semalam dengan enam daerah kini terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata Mersing menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan seramai 366 mangsa daripada 90 keluarga ditempatkan di enam PPS.

Sementara di Sabah jumlah mangsa terus meningkat kepada 2,435 daripada 874 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,823 mangsa daripada 599 keluarga malam tadi.

Beberapa rumah penduduk dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Sungai Manjang, Sandakan pada 2 Januari 2022. Foto BERNAMA

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan setakat ini sebanyak 23 PPS dibuka enam daerah di negeri ini sejak Jumaat lepas.

Daerah yang terjejas banjir termasuk Kota Marudu seramai 1,973 mangsa daripada 520 keluarga ditempatkan di 12 PPS, daerah kecil Paitan 97 mangsa daripada 23 keluarga di tiga PPS.

Selain itu di Pitas, 79 mangsa daripada 22 keluarga di dua PPS, Sandakan (197 mangsa daripada 42 keluarga) di dua PPS, Telupid (51 mangsa, lapan keluarga) di dua PPS dan Beluran (38 mangsa, 10 keluarga) di satu PPS.

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan 22 PPS di negeri ini meningkat kepada 2,041 individu daripada 554 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 1,892 individu daripada 505 keluarga malam tadi.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata sebanyak 15 laluan melibatkan beberapa daerah di Negeri Sembilan ditutup untuk semua kenderaan dan hanya tiga dibuka untuk kenderaan berat termasuk di Tampin susulan jalan runtuh dan dinaiki air setakat tengah malam tadi.

Di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 42 keluarga pagi ini di dua PPS di Dungun.

“Dua PPS yang masih beroperasi ialah Dewan Orang Ramai Kampung Shukor yang menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (69 orang, 22 keluarga).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman merekodkan ketinggian melepasi paras amaran pagi ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semua mangsa banjir pulang ke rumah malam tadi

SHAH ALAM, 1 JAN: Semua mangsa banjir telah pulang ke rumah apabila pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar menerusi Twitter hari ini.

“Tepat jam 11.59 malam di hari akhir tahun 2021, kesemua PPS banjir di Selangor telah ditutup dan semua mangsa banjir telah pulang ke rumah. Alhamdulillah.

“Sekalung penghargaan buat para petugas, sukarelawan, agensi kerajaan dan NGO (badan bukan kerajaan) yang banyak membantu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkomunikasi dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor pada 22 Disember 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

Semalam, hanya lima PPS di negeri ini kekal beroperasi menempatkan 134 keluarga dan 479 mangsa.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir di PPS Selangor kekal, lima jalan masih ditutup

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Jumlah mangsa banjir di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan masih kekal, manakala di Melaka mencatatkan penurunan pagi ini.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu setakat pagi ini masih kekal 2,281 individu daripada 563 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

Sementara itu, laman web http://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang mencatatkan bacaan di paras amaran iaitu pada ketinggian 3.61 meter setakat 7 pagi dan kini dalam trend menurun.

Polis Selangor memaklumkan lima jalan di negeri itu masih ditutup setakat 4 pagi tadi untuk laluan kenderaan iaitu melibatkan jalan di Jambatan FT 31 Dengkil-Banting; Jalan Kampung Kalong Tengah, Ulu Yam Baru dan Jalan Genting Peras-Kuala Klawang.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu kekal kepada 29 individu daripada sembilan keluarga berada di sebuah PPS di Jelebu setakat pagi ini.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri melaporkan sejumlah 5,987 mangsa banjir masih berada di 42 PPS di lima daerah pada pagi ini.

Daerah terlibat ialah Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca hujan di semua daerah terbabit pada pagi ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir kekal 31 orang daripada lima keluarga melibatkan satu PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas, setakat 7 pagi ini.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Manakala di Melaka, jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan kepada 16 orang daripada empat keluarga setakat 8 pagi tadi berbanding 26 orang daripada lapan keluarga pada 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa terlibat ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng di Jasin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Mangsa di empat negeri menurun, Melaka kekal

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Jumlah mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan terus mencatatkan penurunan dengan beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, manakala di Melaka kekal dengan jumlah sama.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan banjir di Bera pulih apabila PPS terakhir di daerah itu ditutup petang ini, selepas semua 32 mangsa terakhir dibenarkan pulang, menjadikan hanya lima daerah masih terjejas iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.

Sementara itu, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 6,351 mangsa masih berada di 48 PPS petang ini, berkurangan daripada 7,319 orang tengah hari tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa tempat di Kuantan dan Pekan pada malam ini, manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan setakat 5 petang tadi, dengan 42 mangsa daripada lapan keluarga berbanding 54 orang daripada 15 keluarga tengah hari tadi, di satu PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di negeri itu berada pada paras bahaya.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM mencatatkan 2,285 mangsa masih ditempatkan 13 PPS setakat 5.03 petang.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diarah mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah berikutan tanah runtuh dan tidak selamat didiami.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini di aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan dua PPS di Jelebu turun kepada 29 individu daripada sembilan keluarga setakat petang ini berbanding 36 individu daripada 12 keluarga tengah hari tadi.

Di MELAKA, jumlah mangsa  kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat 4 petang ini yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng, Jasin, menurut aplikasi Info Bencana JKM.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

223 penyakit berjangkit dikesan di lebih 50 PPS Kelantan

KOTA BHARU, 28 DIS: Sebanyak 223 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di lima daerah di Kelantan sejak kejadian banjir besar pada 17 Dis lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata kesemua kes itu dikesan sejak 17 hingga 26 Dis lepas di lebih 50 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dalam tempoh itu.

“Kes itu dikesan hasil ujian saringan di PPS yang dibuka di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas sebelum ini.

“Antara penyakit yang dikesan adalah penyakit jangkitan kulit (95), jangkitan saluran pernafasan (79), radang usus akut atau gastroenteritis (11), demam yang tidak bersimptom (lapan) dan selebihnya lain-lain penyakit biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Persekutuan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata orang ramai diingatkan supaya mendapatkan bekalan air dan makanan yang bersih bagi mengelak dijangkiti penyakit kencing tikus, kolera, tifoid dan keracunan makanan semasa banjir.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: Jumlah mangsa di Selangor turun, empat negeri kekal

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor terus berkurangan pagi ini manakala di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan tidak berubah sejak malam tadi.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pagi ini, jumlah keseluruhan mangsa di kelima-lima negeri ialah 20,026 orang daripada 6,136 keluarga di 130 PPS  berbanding 21,544 orang  daripada 6,563 keluarga malam tadi.

Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,751 orang di 39 PPS pagi ini berbanding 8,644 orang di 45 pusat PPS malam tadi.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berada pada tahap waspada dengan paras 3.66 meter pada 7.15 pagi tadi dan dalam trend menurun.

Sementara itu, Polis Selangor memaklumkan terdapat enam laluan masih dinaiki air, rosak dan ditutup untuk kenderaan melibatkan seliaan lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu.

Setakat 4 pagi tadi, jalan yang ditutup ialah Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang), Jalan Genting Peras-Kuala Klawang (IPD Kajang) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra yang ditutup susulan berlubang akibat banjir (IPD Sungai Buloh).

Turut ditutup, jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang susulan rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT, Mutiara Damansara (IPD Petaling Jaya) manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja (IPD Hulu Selangor).

Di PAHANG, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan 12,692 orang kekal berada di 90 PPS di enam daerah iaitu Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan, sejak malam tadi.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Kundang di Maran mencatatkan paras 21.17 meter pagi ini iaitu melebihi tahap amaran pada paras 21 meter.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung di Kuantan dan Pekan pada pagi ini manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 152 orang daripada 46 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok, di Pasir Mas, setakat 7 pagi tadi.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Jumlah mangsa banjir di MELAKA pula, pada 8 pagi tadi kekal seramai 26 orang daripada lapan keluarga sejak malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS SK Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa.

Jumlah mangsa banjir turut tidak berubah di NEGERI SEMBILAN apabila Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor memaklumkan 58 orang daripada 19 keluarga masih berada di dua PPS di Jelebu sejak malam tadi hingga pagi ini.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ hargai sukarelawan bantu urus pusat pemindahan banjir

SHAH ALAM, 28 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menghargai bantuan sukarelawan menguruskan bersama 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan pentadbirannya.

Timbalan Datuk Bandar turut berterima kasih kepada pihak yang menjaga kebajikan lebih 5,000 mangsa banjir dan menyeru komitmen itu diteruskan hingga keadaan pulih semula.

“Sesungguhnya dalam mengurus bersama PPS ini amat menuntut pengorbanan, keikhlasan semua sukarelawan dan petugas daripada pelbagai agensi.

“Pengorbanan tanpa mengira penat lelah, masa, tenaga, wang ringgit amatlah dihargai dan kepada Allah kita pohon rahmat yang berterusan,” kata Mohd Zulkurnain Che Ali dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata PPS Sekolah Menengah Kebangsaan USJ23 menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 648 orang, selain membantu menguruskan penempatan di dewan serbaguna, sekolah, masjid dan surau.

Mohd Zulkurnain menambah agihan barangan sumbangan juga dibuat secara adil mengikut tatacara ditetapkan secara telus dan tanpa diskriminasi.

“Tidak timbul isu menidakkan hak kepada semua banjir. MBSJ bersama petugas agensi berkaitan dan sukarelawan sedaya upaya membantu tanpa pilih kasih dan menjaga kebajikan lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

14 PPS di Shah Alam masih dibuka, libat lebih 1,300 mangsa

SHAH ALAM, 27 DIS: Sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka sekitar Shah Alam melibatkan 1,343 mangsa setakat empat petang tadi, kata ketua polis daerah.

Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata PPS yang kekal dibuka turut melibatkan lokasi baharu iaitu Masjid Al Munawwarah Seksyen 27 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah 2.

Jelasnya, terdapat tiga PPS ditutup hari ini iaitu Dewan Kenanga Seksyen 28, Intekma Persiaran Raja Muda dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Masjid Al-Faiizin.

“Hari ini kami turut menerima 726 laporan polis berkaitan banjir menjadikan keseluruhan 12,725 laporan daripada mangsa banjir.

“Untuk memudahkan mangsa kami menerima laporan polis dibuat menerusi balai polis bergerak, kenderaan pelbagai guna, Unit Rondaan Bermotosikal serta Rondaan Cegah Jenayah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Agihan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir bermula Rabu

SHAH ALAM, 27 DIS: Pendaftaran dan pengagihan bantuan sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir di negeri ini akan bermula secara berperingkat mulai Rabu ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan mereka yang layak terima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta individu yang kekal di rumah.

Jelasnya, bantuan diberi secara berperingkat dengan permulaan kepada 9,000 keluarga yang berdaftar di PPS.

“Jangkaan berlaku pertambahan sehingga 15,000 hingga 20,000 keluarga susulan permohonan dari kategori yang tidak berpindah dan sumbangan bermula awal Januari depan,” katanya pada sidang media di bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Beliau berkata segala data penerima akan dikongsi kepada kerajaan persekutuan bagi memudahkan urusan sumbangan yang diumumkan.

“Kerajaan Negeri sedang memperhalusi bantuan lain yang bersesuaian bagi meringankan beban rakyat dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Beberapa inisiatif bagi menyegarakan saluran bantuan:

  • Menubuhkan pusat sehenti untuk permohonan bantuan dengan kehadiran pihak yang dilantik sebagai pengesah antaranya polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Permohonan rumah ke rumah untuk mangsa yang telah kembali ke kediaman masing-masing
  • Bagi mangsa yang tidak berpindah, permohonan kepada Pejabat Tanah dan Daerah / ahli parlimen / ADN/ penyelaras DUN / ahli majlis / penghulu / ketua kampung / pengerusi persatuan penduduk / Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) / ketua komuniti
  • Permohonan melalui kaedah yang ditentukan oleh JPBD dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.