Categories
NASIONAL

Peguam: Bebaskan segera Pasukan Peronda Sukarela tanpa syarat

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 1 SEPT: DAP menuntut pembebasan lebih 200 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan tanpa syarat oleh sepasukan anggota polis ketika sedang menyertai perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Padang Kota, Pulau Pinang semalam.

Setiausaha Biro Guaman DAP, Gobind Singh Deo, berkata penahanan ahli PPS berkenaan memberi imej buruk kepada Polis dan menjadikan seruan kerajaan supaya orang ramai bersama-sama memerangi jenayah sebagai karut semata-mata.

PPSKatanya di sebalik tugas polis yang sepatutnya memberi tumpuan kepada peningkatan keselamatan, mereka dilihat lebih ‘berminat’ untuk bertindak ke atas rakyat yang komited membantu mereka dalam memerangi jenayah.

“Apa yang dapat dicapai dengan membuat tangkapan secara besar-besaran terhadap rakyat yang secara sukarela ingin menjaga keamanan negara?

“Bentuk jenayah apakah yang telah mereka lakukan sehingga pihak polis layak untuk membuat tangkapan dan penahanan tanpa syarat?” katanya dalam satu kenyataan.

BwasGVjCMAAt7J-Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata isu ini turut menjadi perhatian awam terutama di kawasan perumahan yang memiliki pengawal keselamatan untuk menjaga keselamatan rumah mereka.

Beliau mempersoalkan sama ada kumpulan pengawal ini turut berhadapan risiko penangkapan dan penahanan sekiranya masih meneruskan tugas menjaga keselamatan di kawasan kediaman.

“Ini adalah satu lagi contoh malang bagaimana Malaysia dan pentadbiran Najib sekali lagi akan menjadi bahan ketawa kepada dunia antarabangsa kerana kita mungkin satu-satunya negara yang membuat tangkapan ke atas rakyat yang secara sukarela membantu dalam memerangi jenayah,” katanya lagi.

Anggota PPS ditahan kira-kira jam 10.15 pagi berdekatan bulatan di Jalan Lebuh Pantai sebelum melintasi pentas utama ketika sedang menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan.

Mereka ditahan di Balai polis Lebuh Pantai sebelm dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk proses dokumentasi.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata PPS dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana tidak berdaftar dengan ROS.

EZY

Categories
NASIONAL

KM Pulau Pinang: “Kenapa PPS dihukum hanya perbuatan salah seorang?”

GEORGE TOWN, 1 SEPT: Kerajaan Pulau Pinang menyediakan khidmat dan pembiayaan guaman mempertahankan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditahan secara salah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, khidmat itu disediakan kepada anggota PPS bukannya atas sebab salah laku jenayah, tetapi kerana menjaga kepentingan orang ramai.

PPS“PPS tidak pernah menyimpang daripada objektif memberi perkhidmatan kepada orang ramai,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Guan Eng berkata, Exco Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh bertanggungjawab memastikan bahawa anggota PPS yang melakukan salah laku dihukum.

“Jika terdapat sebarang kejadian jenayah yang melibatkan anggota PPS, kerajaan Pulau Pinang akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis untuk mengambil tindakan,” kata Guan Eng.

Tambahnya, Kerajaan Pulau Pinang berulangkali menjelaskan bahawa PPS tidak didaftarkan sebagai pertubuhan di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan, tetapi oleh kerajaan negeri.

Katanya lagi PPS berfungsi sama seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditubuhkan kerajaan negeri dan JKKK (Persekutuan) yang ditubuhkan oleh kerajaan Pusat melalui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

“Jika JKKK dan JKKK (P) tak salah, kenapa ada pilih kasih oleh Ketua Polis Negara untuk mengisytiharkan PPS yang ditubuhkan oleh kerajaan Pulau Pinang sebagai tidak sah?

“Mengapa seluruh 10,000 anggota PPS dihukum hanya kerana perbuatan salah seorang anggota PPS?” soal Guan Eng.

“Jika demikan, apakah KPN boleh menjawab bahawa 120,000 polis terpaksa dihukum hanya kerana perbuatan jenayah beberapa anggota polis yang melakukan jenayah, memukul orang sehingga menyebabkan kematian sama ada dalam lokap atau semasa soal siasat,” kata Guan Eng.

Categories
NASIONAL

Anwar: Dakwaan hasutan & tangkapan PPS trend sekat pengaruh Pakatan

SHAH ALAM 1 SEPT: Tindakan Kerajaan Umno-BN mengenakan dakwaan hasutan ke atas ahli politik pembangkang dan tangkapan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang sebagai satu trend menyekat Pakatan Rakyat di negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya sengaja mencari kesalahan sesiapa sahaja yang mempunyai kesan terhadap masyarakat.

10646909_891280597568709_3633257808555321636_n“Jelas sekali itu trendnya. Siapa sahaja yang nampak berkesan menyampaikan pandangan, mereka akan kena,” katanya dipetik The Malaysian Insider.

Anwar berkata demikian selepas merasmikan upacara pecah tanah sebuah sekolah agama di Guar Jering, Permatang Pauh, yang dibina dengan pembiayaan RM1.59 juta dari kerajaan Pulau Pinang.

Mereka yang didakwa menghasut baru-baru ini termasuk Rafizi Ramli, N Surendran dan Tian Chua dari PKR, RSN Rayer dan Teresa Kok dari DAP, dan Khalid Samad (PAS).

Katanya, sesuatu yang hipokrit apabila pemimpin pembangkang didakwa di bawah satu kes yang “rapuh” sementara penyokong Umno dan Barisan Nasional yang membuat kenyataan yang jelas berunsur perkauman tidak dikenakan sebarang tindakan.

EZY

Categories
NASIONAL

SAMM: “Jika PPS ‘haram’ bagaimana dengan JKKK?”

SHAH ALAM 31 OGOS: SAMM Pulau Pinang mengutuk tindakan Polis membuat tangkapan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) pada sambutan hari Kemerdekaan selepas aktiviti dijalankan.

Penyelaras SAMM Pulau Pinang, Aidil Fitri Ibrahim berkata SAMM  mempertahankan ‎PPS‬ yang di tubuh di bawah bidang kuasa kerajaan negeri bertaraf agensi negeri.

PPSKatanya, penahanan mereka membuktikan sekarang ini polis tidak peka kepada mereka yang banyak membantu dalam semua hal ehwal keselamatan di kampung-kampung serta taman perumahan dalam membantu Polis mengawal jenayah serta kebajikan penduduk setempat.

“Bahkan untuk pengetahuan Datuk Seri Ketua Polis Negara, Jawatankuasa Keselamatan Kebajikan Kampung (JKKK) juga pertubuhan yang tidak berdaftar, adakah mereka juga pertubuhan haram?,” soal Aidil dalam kenyataan media.

Katanya, SAMM Pulau Pinang mendesak supaya polis membebaskan mereka segera tanpa syarat.

PPSHari ini, lebih 200 PPS ditahan sepasukan anggota polis ketika sedang menyertai perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Padang Kota, pagi ini.

Mereka ditahan kira-kira jam 10.15 pagi, berdekatan bulatan di Jalan Lebuh Pantai sebelum melintasi pentas utama.

EZY

Categories
NASIONAL

Lebih 200 anggota PPS ditahan polis

GEORGETOWN 31 OGOS : Lebih 200 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditahan sepasukan anggota polis ketika sedang menyertai perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Padang Kota, di sini, pagi ini.

10646909_891280597568709_3633257808555321636_nMereka ditahan kira-kira jam 10.15 pagi, berdekatan bulatan di Jalan Lebuh Pantai sebelum melintasi pentas utama.

Semua anggota PPS dilihat memberi kerjasama dengan baik dan dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai untuk siasatan lanjut lapor BH Online.

Sehingga kini, wakil media masih menunggu di hadapan Balai Polis Lebuh Pantai untuk perkembangan terbaharu.

PPS