Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Galak kanak-kanak vaksin sempena cuti sekolah, 412 PPV tanpa janji temu dibuka

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Sebanyak 412 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditambah di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) untuk pelaksanaan program itu secara jumpa terus (walk-in).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan di sini hari ini berkata kesemua PPV tambahan itu diwujudkan dengan mengambil peluang sempena cuti sekolah yang bermula sejak 26 Feb lepas.

“Semasa cuti sekolah ini, ibu bapa yang belum mempunyai janji temu vaksinasi untuk anak-anak berusia lima hingga bawah 12 tahun digalakkan membawa anak ke PPV berdekatan secara walk-in untuk menerima vaksinasi.

“Sekiranya kuota vaksinasi untuk kanak-kanak pada hari tersebut telah habis di PPV yang dihadiri, ibu bapa boleh memilih untuk datang semula ke PPV tersebut pada keesokan hari atau boleh mendaftarkan anak untuk dapatkan slot vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata ibu bapa atau penjaga yang mendaftarkan anak untuk menerima vaksin pula akan menerima pautan tempahan janji temu dengan tarikh dan lokasi vaksinasi boleh dipilih mengikut kesesuaian waktu mereka.

Pelaksanaan PICKids secara jumpa terus telah bermula pada 1 Mac lepas di beberapa PPV di Lembah Klang iaitu PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), PPV Axiata, PPV IDCC dan PPV Soka Gakkai.

Setakat semalam, sebanyak 929,733 individu atau 26.2 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids yang dimulakan sejak 3 Feb lepas.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PICKids tanpa janji temu di pusat vaksin terpilih mulai 1 Mac

PUTRAJAYA, 24 FEB: Ibu bapa dan penjaga boleh membawa anak masing-masing untuk mendapatkan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) secara jumpa terus di pusat pemberian vaksinasi (PPV) terpilih bermula 1 Mac ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam satu kenyataan hari ini berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan mengeluarkan senarai PPV berkenaan melalui laman sesawang JKN masing-masing dalam masa terdekat.

“Ibu bapa serta penjaga disaran menyemak terlebih dahulu senarai PPV yang melaksanakan vaksinasi secara jumpa terus ini dan mengambil kesempatan mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka semasa cuti sekolah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C).

PICKids bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun bermula sejak 3 Februari lepas dan sehingga semalam, seramai 661,752 kanak-kanak telah menerima dos pertama vaksin.

Dr Noor Azmi berkata purata vaksinasi kini adalah sekitar 50,000 dos sehari dan sekiranya kapasiti tersebut ditingkatkan sebanyak 60,000 sehari, sasaran 70 peratus kanak-kanak menerima satu dos boleh dicapai pada akhir Mac ini.

Beliau berkata negeri dengan liputan kadar vaksinasi tinggi ialah Sarawak 34.7 peratus, diikuti Melaka 31.6 peratus, Pulau Pinang (25.7 peratus), Perak (24.4 peratus), manakala negeri yang masih belum mencapai liputan 10 peratus ialah Kelantan (6.1 peratus), Terengganu (7.5 peratus) dan Sabah (8.9 peratus).

Menurutnya PICKids menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun menerima vaksin Covid-19 sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi mengurangkan risiko jangkitan serta mencegah kejadian kluster dan kes di sekolah.

Dr Noor Azmi berkata hanya vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech diberikan di bawah PICKids dan mereka akan menerima dua dos vaksin dalam sela masa lapan minggu bagi memastikan perlindungan yang optimum.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengaktifkan sistem tempahan janji temu di dalam aplikasi MySejahtera secara berperingkat hari ini untuk mendapatkan janji temu vaksinasi bermula 7 Mac ini.

“Melalui kaedah ini ibu bapa dan penjaga boleh memilih tarikh, masa dan pusat pemberian vaksin yang bersesuaian,” katanya.

Langkah membuat janji temu boleh diperoleh di pautan https://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19/pickids/semasa/2022/02/langkah-langkah-mendapatkan-janji-temu-vaksinasi-pickids-melalui-mysejahtera.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aduan masalah teknikal dos penggalak boleh dibuat di MySejahtera atau rujuk PPV

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Individu yang mempunyai masalah teknikal berkaitan rekod vaksinasi dos penggalak Covid-19 di aplikasi MySejahtera perlu membuat aduan melalui aplikasi itu atau mengunjungi semula lokasi mereka menerima vaksin bagi mendapatkan bantuan lanjut.

Ketua data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Dr Mahesh Appannan berkata individu yang sudah menerima dos penggalak tetapi paparan MySejahteranya menunjukkan sebaliknya boleh diselesaikan.

“Sebenarnya kalau kita sudah dapat data tersebut, kita akan uruskan secepat mungkin. Itu yang saya sarankan kalau boleh semua yang tiada maklumat booster (penggalak) dalam telefon mereka, mereka boleh pergi ke bahagian Helpdesk (MySejahtera) dan isi ‘option M’.

“Dalam masa lima hari, akan ada (bantuan Helpdesk) tetapi ini tertakluk kepada maklumat yang mereka isi kerana ini adalah sistem blockchain, kalau maklumat disalurkan tidak tepat memang tidak akan diproses,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata maklumat vaksinasi individu di aplikasi MySejahtera akan dikemas kini secara automatik setelah maklumat individu itu dimuat naik secara lengkap oleh pekerja di klinik atau pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurutnya, perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus dan janji temu dos penggalak Covid-19 juga masih mengikut konsep yang sama iaitu individu perlu mengimbas maklumat di kaunter sebelum proses vaksinasi berlaku bagi mendapatkan sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera.

Dr Mahesh berkata dos penggalak diperoleh secara berbayar di klinik tertentu tidak termasuk di bawah pengawasan MySejehtera.

Beliau berkata maklumat akan dikemas kini lewat sedikit dalam MySejahtera setelah mendapat maklumat daripada pihak tersebut.

“Sekarang ramai yang dapat booster secara berbayar jadi mereka menggunakan sistem lain, tidak terus masuk dalam MySejahtera. Buat masa sekarang, klinik-klinik berkenaan haruslah menggunakan program sistem vaksin kebangsaan C0vid-19 iaitu Malaysian Vaccine Administration System (MyVAS).

“Pengurusan (klinik) akan kumpul dahulu data baru akan beri kepada pihak MySejahtera untuk kita memuat naik dalam sistem (MySejahtera). Kalau mereka tidak menggunakan sistem itu memang tidak keluar sijil mereka di MySejahtera,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan mengenai pengguna yang terkejut apabila butiran dos penggalak mereka hilang daripada sijil vaksinasi digital MySejahtera. Ada juga yang menerima janji temu suntikan penggalak sekali lagi walaupun telah menerima suntikan itu.

Seorang pengguna akaun Twitter ‘Armzaniza’ dalam ciapannya memaklumkan bahawa beliau telah mendapat dos penggalak sebulan lepas namun masih belum menerima sijil dos itu walaupun pelbagai usaha bagi menyelesaikan isu berkenaan telah dilakukan.

“Sudah sebulan tidak menerima sijil dos penggalak. Sudah e-mel, sudah pelbagai cara tapi no respond,” katanya.

Sementara itu, Tracy Abdul Gapar, 40, berkata dia mendapat janji temu dos pengalak Covid-19 dan telah mendapatkan suntikan dos itu pada 21 Jan lepas.

Bagaimanapun, katanya, maklumat mengenai suntikan dos itu belum dikemas kini dalam MySejahtera sehingga ke hari ini sebaliknya yang berlaku dia diberi janji temu kedua dalam aplikasi itu semalam.

“Saya sudah buat aduan di Helpdesk namun sehingga kini masih belum ada respons daripada pihak MySejahtera. Saya belum menolak untuk temu janji kali kedua untuk dijadikan bukti yang saya ada menerima (janji temu kedua),” katanya.

Beliau juga risau pergerakannya akan terhad kerana ketiadaan sijil digital dos penggalak berkenaan meskipun dia sudah mengambil dos itu namun maklumat itu belum dikemas kini di aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini dilaporkan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi peringatan agar semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac depan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dapatkan dos penggalak tanpa janji temu di semua PPV mulai esok

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak Covid-19 secara jumpa terus kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, di semua pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara mulai esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagi PPV pengamal perubatan swasta (GP) pula, individu dimohon menghubungi klinik swasta terlibat bagi menentukan masa yang sesuai, untuk mendapatkan janji temu vaksinasi dos penggalak itu.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, kerana mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata individu yang ingin hadir secara jumpa terus, perlu mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tiada telefon pintar, maka dikehendaki membawa kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya sambil menambah jenis vaksin diberikan adalah terhad kepada bekalan yang ada di setiap PPV.

Beliau berkata senarai PPV GP serta ‘Offsite’ boleh disemak melalui laman sesawang ‘ProtectHealth’ iaitu www.protecthealth.com.my dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“KKM menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga akan berlaku, memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Sehubungan itu, KKM amat mengalakkan semua penduduk di Malaysia yang layak, untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” tambahnya.

Sehingga semalam, seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak: Empat pusat pemberian vaksin beroperasi di Lembah Klang

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak empat pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka bermula 15 Januari bagi meningkatkan kadar vaksin dos penggalak, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata PPV tersebut beroperasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, Axiata Arena Bukit Jalil, Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam dan Soka Gakkai Klang.

“Ini akan meningkatkan pemberian dos penggalak di Lembah Klang dan jika ada keperluan serupa di bandar-bandar besar lain, kita akan perluaskan.

“Pemberian dos penggalak dilakukan melalui janji temu yang diberikan menerusi aplikasi MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas,” katanya pada sidang media  hari ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Beri kelonggaran pelajar pilih PPV berhampiran rumah

KUALA SELANGOR, 29 SEPT: Kerajaan persekutuan disaran permudah lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) kepada golongan remaja.

Ahidah Md Din,50, berkata PPV yang ditetapkan dalam program vaksin remaja ketika ini agak jauh dari alamat rumah pelajar.

“Saya tinggal di Ampang tetapi perlu membawa anak ke PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor.

“Sepatutnya pelajar boleh memilih PPV berhampiran rumah masing-masing. Jadual ditetapkan perlu lebih sistematik dan memudahkan ibu bapa membawa anak,” katanya kepada SelangorKini.

Ahidah Md Din, 50. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ahidah berkata pemberian vaksin kepada golongan remaja perlu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Golongan remaja juga terdedah dengan jangkitan dan risau apabila sekolah dibuka tidak lama lagi.

“Malah dengan menerima suntikan kuliah dapat dijalankan secara bersemuka supaya pelajar lebih fokus,” katanya.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor perluas rebat pengangkutan ke PPV untuk remaja bawah 18 tahun

AMPANG, 23 SEPT: Rebat pengangkutan sebanyak RM20 ke pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri diperluas kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Ketua Tanggungjawab Sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata permohonan dibuka sekarang dan boleh digunakan bermula 1 Oktober hingga 30 November.

“Dato’ Menteri Besar bersetuju untuk tawarkan inisiatif ini kepada penerima vaksin berusia 12 hingga 17 tahun serta memanjangkan tempoh yang sepatutnya tamat hujung bulan ini.

“Ibu bapa yang sudah menggunakan kemudahan ini juga boleh membuat permohonan lagi untuk anak-anak mereka,” katanya ketika menyerahkan derma RM50,000 kepada Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor semalam.

Beliau berkata sejak inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 itu diumumkan pada Jun, seramai 14,000 individu sudah menerima manfaatnya.

“Daripada jumlah berkenaan 10,000 orang sudah menebusnya. Untuk inisiatif ini MBI membelanjakan RM100,000 daripada RM1 juta yang diperuntukkan,” katanya.

Sebelum ini inisiatif itu dikhususkan kepada penduduk negeri ini berusia 50 tahun ke atas.

Bagaimanapun pada Julai, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat terbabit dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Categories
AGENSI SELANGOR

Malu insiden menangis berulang, gadis ke PPV bertopeng ‘Anonymous’

PETALING JAYA, 4 SEPT: Seorang gadis sanggup memakai topeng ‘Anonymous’ untuk menutup perasaan malu ketika mengambil suntikan kedua di pusat vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall semalam.

Hadir kira-kira 30 minit sebelum PPV berkenaan ditutup, aksi comel dan selamba Shahira Joharin mencuri tumpuan ramai termasuk petugas dan sukarelawan di situ.

Gadis berusia 29 tahun itu nekad bertopeng kerana enggan insiden menangis semasa menerima dos pertama tiga minggu lalu berulang akibat dia terlalu takutkan jarum.

“Semasa suntikan pertama memang saya menangis teruk sebab terlalu takutkan jarum dan waktu itu malu sangat dengan orang sekeliling yang memerhati ke arah saya, rasa mahu cepat-cepat keluar dari PPV.

“Dengan memakai topeng, kurang sikit rasa malu kerana bimbang kalau menangis lagi tetapi saya bersyukur semua berjalan lancar, malah semakin menjadi tumpuan dengan penampilan seperti ini,” katanya.

Shahira Joharin

Shahira yang berkhidmat sebagai pegawai bank di ibu kota berkata topeng berharga RM9 itu dibeli daripada syarikat e-dagang terkemuka Shopee minggu lalu.

Anak kedua daripada lima beradik itu juga mengakui bangga menjadi antara peserta terakhir menerima vaksin di PPV berkenaan berikutan terlepas tarikh janji temu dos kedua pada 1 September.

“Sebaik selesai tugas di pejabat, saya terus ajak rakan sekerja untuk teman tanpa janji temu. Alhamdulillah, sekarang rasa lega kerana lengkap vaksin dan berharap mampu kembali menjalani kehidupan normal,” katanya.

Gadis yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur itu turut menggesa orang ramai yang belum divaksin supaya segera berbuat demikian bagi mengelak sebarang kesulitan pada kemudian hari.

“Seperti sedia maklum ke mana sahaja kita pergi akan ada syarat yang memerlukan seseorang itu lengkap vaksin, jadi seseorang itu tidak boleh bebas selamanya jika tidak disuntik,” kata Shahira.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penyanyi Ara Johari bangga jadi petugas Selvax, seronok bantu orang

PETALING JAYA, 4 SEPT: Peluang berkhidmat sebagai salah seorang petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall menjadi detik manis buat penyanyi Ara Johari.

Meskipun tiada pengalaman dalam aktiviti kesukarelawanan, namun pelantun lagu Bunga itu bangga dapat bersama petugas hadapan lain menjayakan program Vaksin Selangor (Selvax).

Dia yang bertugas lebih sebulan di situ mengakui takut pada mulanya dan hampir berputus asa akibat terlalu penat kerana terpaksa berdepan lebih 5,000 peserta pada hari pertama.

“Sebenarnya sudah enam tahun saya tidak bekerja bawah orang dan rasa takut sekiranya tidak boleh buat kerja seperti orang lain, namun saya bersyukur sukarelawan lain banyak bantu dan beri tunjuk ajar sehingga saya rasakan kerja ini sebenarnya mudah.

“Kalau ikutkan penat memang semua kerja penat tetapi saya tetap bangga dan seronok,” katanya yang ditemui pada acara penutupan PPV itu semalam.

Penyanyi, Ara Johari, 24, menghiburkan petugas dan sukarelawan sempena penutupan pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 24, turut berkongsi pelbagai ragam lucu sepanjang bertugas sebagai pembantu jurusuntik sejak pertengahan Julai lalu.

“Paling tidak boleh dilupakan apabila ramai kaum lelaki yang dari segi fizikal nampak seperti gangster dan ‘sado’ dan tetapi rupa-rupanya mereka takut jarum…mengalahkan perempuan.

“Itu semua kenangan bagi saya dan jika ada peluang mahu menyertai lebih banyak aktiviti sukarelawan pada masa akan datang, tidak semestinya program vaksinasi,” katanya yang berdaftar bawah unit sukarelawan DOC2US.

Naib juara Anugerah Juara Lagu ke-33 itu juga melahirkan rasa syukur apabila ramai rakyat negara ini mula sedar kepentingan vaksin untuk mengurangkan gejala serius Covid-19.

Sebelum ini, beberapa selebriti lain pernah terlibat sebagai sukarelawan di PPV antaranya Daiyan Trisha, Fizo Omar, Isma Yusoof, Nazim Othman, Sherry Alhadad, Amelia Henderson dan Nadiya Nissa.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kru kabin pilih sari tonjol semangat merdeka di PPV

SHAH ALAM, 1 SEPT: Demi menghayati semangat kemerdekaan, seorang kru kabin mengenakan sari ketika bertugas sebagai salah seorang sukarelawan di pusat vaksin (PPV) Hotel De Palma di sini.

Mira Atiqah Razak, 29, mengakui tidak pernah memakai busana tradisional masyarakat India itu sehingga terpaksa bangun seawal jam 6 pagi untuk menonton tutorial di YouTube.

Bagaimanapun, dia yang bertugas di ruang penyimpanan vaksin tetap teruja apabila berpeluang menggayakan pakaian tersebut bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 semalam.

“Pada mulanya saya terfikir untuk pakai baju kurung selepas penyelaras PPV maklumkan kami perlu memakai pakaian kebangsaan tetapi saya terdetik untuk cuba pakai sari dan terus hubungi kenalan.

Mira Atiqah Razak, 29

“Saya bersemangat walaupun tidak tahu cara memakainya. Tidak salah kalau pakai baju kaum lain, sekurang-kurangnya dapat belajar benda baharu,” katanya yang berkhidmat bersama AirAsia.

Norasikin Mustapa, 47, pula mengambil masa dua hari sebelum memilih baju kurung dilengkapi selempang dan pelitup muka bercorak Jalur Gemilang untuk digayakan pada Hari Kebangsaan.

Dia yang juga ketua pramugari Malaysia Airlines berkata busana tradisional harus dibanggakan bagi membuktikan kecintaan terhadap tanah air.

“Sejak awal Ogos lagi PPV ini menyemarak kempen bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu kebangsaan bersama-sama.

“Apa yang penting sebaik waktu operasi PPV tamat semalam, kita semua (petugas PPV) gembira dan dapat menikmati erti kemerdekaan itu sendiri,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jurusuntik nasihat elak baju ketat ketika cucuk vaksin

PETALING JAYA, 1 SEPT: Orang ramai dinasihati mengenakan pakaian sesuai dan longgar ketika mengambil pelalian bagi melancarkan proses suntikan.

Jurusuntik Mohd Haniss Zulkifli, 32, berkata pakaian terlalu ketat atau berlapis-lapis menyukarkan petugas selain akan mengambil masa lama.

“Ingin saya tekankan kepada orang ramai supaya pakai baju sesuai dan tidak ketat kerana tindakan sedemikian hanya akan menyusahkan petugas.

“Kita tidak mahu selak sendiri baju ke pangkal bahu sebab bimbang terlalu terdedah. Bagi wanita disarankan pakai baju yang boleh buka zip, maknanya aurat masih terjaga,” katanya ditemui di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya di sini semalam.

Wong Seon Li, 27

Bekas jururawat Hospital Sungai Buloh itu turut meminta orang ramai hadir mengikut janji temu bagi mengelak kesesakan di pusat pemberian vaksin (PPV).

“Elak datang saat akhir kerana akan menimbulkan suasana kelam-kabut dan pastikan bawa dokumen diperlukan,” katanya yang berdaftar bawah unit sukarelawan Covid-19, DOC2US sejak awal Mei.

Sukarelawan Wong Seon Li, 21, berkata banyak pengalaman ditimba sepanjang bertugas di ruang pemerhatian PPV terbabit meskipun baru sebulan bertugas.

Penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman jurusan perubatan itu juga sanggup mengorbankan cuti semester demi menyumbang khidmat kepada masyarakat.

“Banyak benda saya belajar khususnya cara berkomunikasi dengan masyarakat berbilang kaum dan bangsa kerana ramai juga dalam kalangan mereka (penerima vaksin) tidak fasih berbahasa Melayu.

“Saya seronok bekerja dalam pasukan, masing-masing mempunyai semangat kerjasama dan saling bantu antara satu sama lain. Kami tidak mengharapkan bayaran tetapi syukur masih diberi upah,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PPV Kompleks Sukan PKNS sasar suntik 10,000 dos

PETALING JAYA, 1 SEPT: Pusat pemberian vaksin (PPV) Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya di sini, sudah menyuntik kira-kira 3,000 dos kedua kepada penduduk sekitar sejak 17 Ogos lalu.

Pengurusnya Mohd Noor Hafiz Md Zamri berkata pemberian suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) diteruskan sehingga 3 September ini bagi mencapai sasaran suntikan 10,000 dos.

“Setakat ini kita telah mengeluarkan lebih kurang 3,000 dos tidak termasuk 2,000 dos hari ini (semalam), manakala selebihnya akan disuntik pada hari berikutnya sehingga PPV ini ditutup secara rasmi pada 3 September.

“Jika penerima vaksin tidak hadir ke PPV seperti dijadual, mereka perlu mengambil suntikan tersebut di Klinik Selcare berhampiran rumah masing-masing tetapi mesti ada alasan seperti masalah kesihatan, kontak rapat atau dijangkiti Covid-19,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, beliau berkata hanya lima peratus daripada 3,000 individu yang menerima dos kedua setakat ini berdepan isu teknikal membabitkan keciciran maklumat dan sijil vaksinasi tidak dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera.

“Kebanyakan masalah ini terjadi ke atas individu yang hadir tanpa janji temu semasa menerima dos pertama, mungkin disebabkan aplikasi di telefon pintar mereka tidak berfungsi atau kesilapan pasukan kami.

“Bagaimanapun, masalah sedemikian dapat diatasi dan berjalan lancar. Alhamdulillah, nama serta sijil vaksinasi individu berkaitan sudah dikemaskini dalam aplikasi MySejahtera malah Selvax menyediakan salinan sijil vaksin,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.