Categories
AGENDA NASIONAL

PR1MA bakal jadi sebahagian Perbadanan Perumahan Negara

PUTRAJAYA, 8 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang menjadikan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sebahagian daripada Perbadanan Perumahan Negara bagi memastikan industri perumahan terpusat dan standard serta memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin yang menafikan dakwaan PR1MA bakal dibubarkan tidak lama lagi, berkata kerajaan sebaliknya melihat ke hadapan untuk perbadanan itu, antaranya projek perumahan di bawah Kementerian Pendidikan dan Pertahanan serta generasi baharu Felda di bawah PR1MA.

“Kerajaan berharap dapat menggerakkan PR1MA seperti Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan menyelesaikan beberapa masalah PR1MA termasuk unit yang tidak terjual.

Semasa Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 bermula 1 Mac hingga 31 Disember 2019, PR1MA menjual 9,306 unit dan memperoleh 19,170 tempahan katanya.

PR1MA ditubuhkan di bawah kerajaan terdahulu melalui Akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan menyelenggara perumahan berkualiti tinggi dengan konsep gaya hidup untuk isi rumah berpendapatan sederhana di pusat bandar utama dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000.

Apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan Persekutuan, ia meletakkan PR1MA di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Putrajaya janji tidak ditepati, hanya bina 2% Rumah PRIMA?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 6 MAC : Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan didakwa gagal menyiapkan projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, kementerian terbabit hanya menyiapkan sekitar dua peratus daripada manifesto Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan projek berkenaan sekitar 500,000 rumah PR1MA.

“Mengikut jawapan yang diberi Menteri Dalam Negeri dalam sidang Parlimen tahun lalu, hanya sekadar 10,169 unit kediaman Rumah PR1MA disiapkan pada Jun lalu.

“Selepas empat tahun lalu, walaupun ada sasaran 500,000 pada awalnya, cuma dua peratus sahaja disiapkan.

“Bukankah ini menunjukkan bahawa janji itu tidak ditepati, walaupun pada manifesto Barisan Nasional dalam pilihanraya lalu untuk menyediakan satu juta rumah termasuklah 500,000 rumah PR1MA.

“Justeru, bagaiaman Kerajaan Persekutuan boleh laksanakan janji itu?” soalnya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pagi ini.

Bagaimanapun, Menteri bertanggungjawab, Tan Sri Noh Omar dalam jawapan balasnya memaklumkan, proses pembinaan dan perancangan projek PR1MA masih diteruskan untuk tempoh 2018.

“Pembinaan rumah ini melibatkan beberapa kategori dan antara lain temrasuklah projek PR1MA yang kini sudah disiapkan sekitar 25,000.

“Untuk makluman, pembinaan rumah ini mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun, justeru masih ada sekitar 145,000 yang masih dibina dan 114,000 unit lagi dalam perancangan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Keistimewaan PR1MA dan PPA1M batal jika Putrajaya terus ‘bermusuh’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 JUN: Keistimewaan diberikan kepada Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) akan dibatalkan jika Kerajaan Persekutuan terus mengambil sikap berkonfrontasi dengan Kerajaan Selangor dalam isu perumahan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, PR1MA dan PPA1M memiliki keistimewaan sama seperti Rumah Selangorku iaitu peningkatan kepadatan sehingga 120 unit kediaman seekar, sedangkan kepadatan pembangunan biasa sekitar 30 hingga 70 unit kediaman seekar.

Katanya, cadangan pembatalan itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Exco dan permohonan peningkatan kepadatan daripada PR1MA juga PPA1M akan dibekukan sehingga satu keputusan baru dibuat.

“Kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu perumahan tetapi mereka mengambil sikap berkonfrontasi dalam beberapa isu seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang.

“Kerajaan Negeri mahu sentimen politik diketepikan dalam isu membabitkan kebajikan rakyat seperti perumahan tetapi Kerajaan Persekutuan terutama menteri terlibat dilihat lebih suka bermain politik,” katanya.

ISKANDAR SAMADIskandar berkata, langkah itu bukan bertujuan menghalang PR1MA atau PPA1M daripada melaksanakan projek di Selangor, sebaliknya berpunca daripada tindakan Kerajaan Persekutuan yang lebih berminat menyerang berbanding menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, Kerajaan Negeri mengalu-alukan projek pembangunan perumahan Kerajaan Persekutuan di Selangor, asalkan mematuhi syarat digariskan dalam Rancangan Tempatan (RT) pihak berkuasa tempatan masing-masing.

“Untuk PPR itu, Kerajaan Persekutuan bertegas ingin mengambil alih pembangunan terbabit dan enggan melayan tuntutan kos Kerajaan Negeri membaik pulih serta menyelenggara yang sudah dibelanjakan,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

PR1MA sudah menyimpang landasan asal

Pengumuman kerajaan baru-baru ini yang meningkatkan kelayakan permohonan PR1MA sehingga RM15 ribu dan memendekkan moratorium kepada 5 tahun adalah tindakan yang telah menyimpang dari sasaran PR1MA itu diwujudkan khusus kepada isi rumah sederhana dan bawah.

Kesan daripada tindakan ini akan mengakibatkan persaingan lebih tinggi yang tidak setara diantara kelas ekonomi dan tindakan memendekkan moratorium ini akhirnya akan membuka pintu kepada spekulasi serta tidak akan mengurangkan unsur spekulasi hartanah.

PR1MA jelas ditubuhkan bagi isi rumah berpendapatan sederhana (M40), kini dengan meningkatkan kelayakan sehingga RM15000 menunjukkan bahawa PR1MA tidak lagi buat golongan sasar (M40) tapi telah tersasar landasannya kepada kategori berpendapatan tinggi (T20) yang mana median pendapatan T20 adalah sehingga RM11,610.

Sehingga November 2016, permintaan berdaftar bagi rumah PR1MA bagi mereka berpendapatan sederhana telah mencecah 1,325,386 rakyat Malaysia, ini menunjukkan bahawa defisit penawaran rumah PR1MA terlalu tinggi.

Pelebaran kepada golongan yang berpendapatan lebih tinggi hanya akan meruncingkan situasi tersebut.

Jelas, pasaran perumahan Malaysia berada dalam keadaan yang defisit penawaran dan nilai hartanah yang dipandu oleh “fake demand” berbanding realiti ekonomi rakyat pada hari ini.

Justeru, Pemuda AMANAH menegaskan bahawa PR1MA yang dibina atas duit rakyat perlu dikembalikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan agar subsidi ini sampai kepada golongan sasar dan sejajar dengan pendapatan M40 dari aspek harga dan jumlah yang dibina.

“Membina Negara Berintergriti”
#PemudaBerkerja

MOHD AMMAR ATAN
Exco Pemuda AMANAH Nasional

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PR1MA, tolonglah berkata benar!

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OGOS: Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) didakwa tidak bercakap benar berkenaan dakwaan kononnya badan itu gagal membina perumahan di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata alasan PR1MA tidak boleh diterima memandangkan tiada bukti menunjukkan projek perumahan tertangguh akibat premium tinggi.

“Kita minta PR1MA memberikan kes spesifik. Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mana tertangguh akibat premium atau benarkah birokrasi pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti didakwa?

“Atau berapa banyak permohonan Kebenaran Merancang (KM) untuk PPR dihantar ke PBT tetapi masih belum mendapat kelulusan? Jawapannya tiada,” katanya kepada SelangorKini.

Iskandar berkata demikian mengulas kenyataan PR1MA yang mendakwa perumahan itu tidak dibina ekoran Kerajaan Negeri mengenakan premium tanah tinggi.

PR1MA juga mendakwa karenah birokrasi dalam kalangan PBT menjadi punca perumahan terbabit tidak dibina di Selangor ditambah projek aliran transit ringan (LRT) disediakan Kerajaan Persekutuan menyebabkan Kerajaan Negeri menaikkan harga tanah di sekitar.

Sebaliknya, Iskandar berkata, PR1MA gagal mengotakan janji untuk memajukan tapak LRT Pandan Jaya, Pandan Indah dan Chempaka sejak dua tahun lalu.

ISKANDAR SAMADLebih teruk, katanya, pihak terbabit masih belum menghantar permohonan KM.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan PR1MA pada Mei lalu, namun sehingga hari ini mereka belum lagi memohon KM,” katanya.

Beliau berkata, PR1MA juga sebelum ini bersetuju membina 500 unit rumah dengan harga RM42,000 hingga RM250,000.

“Walaupun hanya 500 unit bukan jumlah besar tetapi ia dapat memenuhi keperluan penduduk setempat,” katanya.

Jun lalu, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju PRIMA mengambil alih projek Rumah Selangorku dari pemaju swasta supaya badan itu dapat mencapai sasaran mereka.

Projek itu adalah di Cyber 11, Cyberjaya membabitkan 1,932 unit Rumah Selangorku dengan mematuhi beberapa syarat.

-AA-

Categories
SELANGOR

MB: PR1MA perlu patuh dasar Kerajaan Negeri

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 18 APR: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menafikan Kerajaan Negeri enggan memberi tanah untuk pembangunan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Negeri sedia bekerjasama untuk sebarang projek pembangunan rumah mampu milik dengan syarat PR1MA perlu mematuhi dasar dan garis panduan yang ditetapkan.

“Itu tidak betul (tidak mahu beri tanah) . Beri bukti kita tolak permohonan PR1MA.

Shuaib - 22“Masalahnya, PR1MA membangunkan rumah terlalu mahal untuk rakyat iaitu RM400,000. Itu rumah mampu tengok,” katanya selepas Majlis pecah tanah Karya Residensi, di Kampung Jawa, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beberapa syarikat swasta tidak berhadapan masalah untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi membangunkan rumah mampu milik sebelum ini.

Katanya, setakat ini PR1MA tidak menunjukkan sebarang kejayaan dan hanya membeli projek daripada pemaju swasta menyebabkan harga rumah terlalu mahal.

Shuaib - 04“Kelebihan Kerajaan Negeri iaitu kita ada bank tanah yang besar. Sebab itu kos tanah minimal dan boleh membangunkan rumah mampu milik berkualiti dengan penyertaan syarikat swasta.

“Kalau PR1MA mahu terlibat dengan Kerajaan Negeri, maka harus patuh pada dasar ditetapkan. Kalau Sime Darby Property, IJM Land dan WCT Holdings Berhad boleh kenapa PR1MA mengambil pendirian untuk tidak patuh dengan garis pandauan dan dasar Kerajaan Negeri?

“Kita tidak benarkan rumah mampu milik terlalu mahal kerana membebankan rakyat atas faktor GST dan kos sara yang hidup tinggi,” katanya.

-NFN

Categories
SELANGOR

Isu perumahan, Menteri BN masih enggan jumpa Exco Selangor

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 JUN: Barisan Nasional (BN) dialu-alukan untuk membina projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Selangor bagi memastikan rakyat pelbagai peringkat berpeluang memiliki kediaman sendiri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Negeri tidak mempunyai masalah untuk menjalin kerjasama bersama Kerajaan Pusat jika membabitkan kepentingan rakyat.

“Ada satu permohonan daripada PR1MA untuk membeli tanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Bernam Jaya dan kita (Kerajaan Negeri) setuju.

rumah mampu milik sept 2012 04“Kalau BN hendak beli tiada masalah kerana demi kepentingan rakyat kita boleh bekerjasama,” katanya ketika mengulas isu berkenaan rumah mampu milik yang dibangkitkan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), baru-baru ini.

Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka berkata, namun Kerajaan Pusat perlu mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan jika berhasrat untuk membeli tanah PKNS.

“Semua perlu ikut peraturan, begitu juga dengan PR1MA. Kita tidak akan halang hanya kerana ia projek Kerajaan Pusat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap supaya pertemuannya bersama Menteri Perumahan dapat berlangsung dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu perumahan di Selangor.

iskandarKatanya, isu perumahan adalah perkara serius yang perlu diberi perhatian memandangkan kebanyakan masyarakat tertumpu kepada Selangor untuk memiliki kediaman sendiri.

“Sudah tiga kali saya minta untuk jumpa Menteri Perumahan kerana isu perumahan adalah isu nasional, namun malangnya sehingga kini masih tiada jawapan.

“Kita terpaksa tanggung pekerja yang bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang ingin memiliki kediaman di Selangor,” katanya.

-NFN-