Categories
AGENDA JENAYAH

Pusat kecantikan tawar khidmat pembedahan plastik, botoks tanpa tauliah diserbu

DENGKIL, 21 FEB:  Kegiatan menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan dengan harga lebih murah daripada pusat kecantikan berlesen serta bertauliah terbongkar apabila lapan premis dikendalikan warga asing diserbu oleh Jabatan Imigresen hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang itu, sebanyak 21 individu ditahan terdiri daripada lima wanita warga Indonesia, 15 wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Vietnam berumur 25 hingga 40 tahun.

Beliau berkata kesemua ditahan dipercayai pekerja di premis berkenaan yang beroperasi sejak 2019 dan menawarkan perkhidmatan kecantikan dengan mengenakan caj murah antara RM350 hingga RM8,000.

“Kesemua ditahan didapati bekerja di premis menyediakan perkhidmatan termasuk rawatan kompleks memerlukan penggunaan peralatan perubatan tertentu seperti Rhinoplasty bagi rawatan mencantikkan hidung, rawatan suntikan bagi membesarkan anggota badan tertentu, rawatan pemutihan gigi, suntikan vitamin C dan botoks, selain perkhidmatan menguruskan badan.

“Rata-rata pelanggan tertarik modus operandi mereka yang mengenakan caj seperti suntikan di bahagian mata (eye filler) berharga RM350, suntikan membesarkan payu dara (RM1,900) dan suntikan botoks (RM3,500) manakala pembedahan plastik mengenakan caj RM8,000,” katanya dalam sidang media selepas menyertai operasi berkenaan di Southville City di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata pusat kecantikan berkenaan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial bagi menarik minat pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Mereka menggunakan platform Wechat, Facebook selain Instagram bagi tujuan tersebut dan rata-rata pelanggan adalah warganegara Malaysia seperti suri rumah dan pegawai eksekutif,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kesemua ditahan tidak mempunyai kemahiran profesional serta tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) yang boleh mendatangkan risiko kematian, kerosakan organ dan tubuh badan.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas sah serta tinggal lebih masa selepas tamat tempoh selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada tempat berlindung akibat banjir? Kunjungi premis berikut

SHAH ALAM, 19 DIS: Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang melanda negeri ini sejak Jumaat lalu, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban dan memberi keselesaan kepada golongan berkenaan.

Bantuan bukan hanya tertumpu kepada sumbangan keperluan asas tetapi turut meliputi penyediaan tempat berteduh dan pemindahan sementara.

Berikut bantuan tempat perteduhan dan penempatan sementara yang ditawarkan:

-Masjid Negeri Shah Alam menyediakan ruang untuk menempatkan mereka yang terkandas. Makanan dan minuman turut disediakan

-Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menawarkan Pustaka Raja Tun Uda di Seksyen 13, Shah Alam sebagai tempat perteduhan. Kafe juga dibuka. Hubungi 03 5519 7667

-Surau Al-Munawwarah di Seksyen 13, Shah Alam membuka penempatan untuk mangsa banjir berteduh. Makanan turut disediakan oleh kejiranan perumahan berhampiran

-Gudwara Shah Alam menawarkan kemudahan penginapan di tingkat satu premisnya yang beralamat 10, Jalan 18/49, 40200, Shah Alam. Hubungi 012 379 0124 (Belbir Singh)

-Thompson Hospital Kota Damansara menawarkan wadnya yang tidak digunakan untuk individu memerlukan penempatan sementara. Hubungi 03 6287 1111

-Pusat Sehenti Bencana DUN Lembah Jaya dibuka sebagai persediaan menghadapi banjir. Premis itu terletak di Dewan MPAJ Lembah Jaya. Hubungi 017 879 2399 (Iman)

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKL anjur kempen baharui lesen premis tahun depan

SHAH ALAM, 26 OKT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menganjurkan kempen memperbaharui lesen kilang dan premis bagi tahun depan.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata pemilik premis boleh berbuat demikian mulai 2 November ini, jam 10 pagi di 14 lokasi kaunter bergerak seluruh daerah.

“Bagi lesen kilang, perlu mengemukakan surat lantikan pengurusan sisa pepejal dari KDEB Waste Management Sdn Bhd.

“Manakala bagi kedai dobi yang menggunakan gas, sila dapatkan kelulusan atau lesen dari Suruhanjaya Tenaga,” katanya menerusi hebahan di Facebook.

Tambah MPKL pembaharuan lesen boleh dibuat jika premis terbabit tidak mempunyai sekatan seperti mempunyai notis kesalahan, tunggakan sewa, tunggakan cukai taksiran, sewaan petak khas dan kutipan sampah bagi kedai tomyam.

Senarai 14 lokasi kaunter bergerak seperti berikut:

Categories
EXCO SELANGOR

PBT boleh ambil tindakan premis tak patuh SOP, wajibkan pelitup muka

PUCHONG, 23 JULAI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) termasuk mewajib pemakaian pelitup muka.

Ng Sze Han berkata perkara itu dibenarkan berdasarkan peruntukan yang ditetapkan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Kalau merujuk kepada Akta Kerajaan Tempatan, ada satu klausa yang menyatakan PBT berhak atau berkuasa untuk mengadakan apa-apa polisi atau garis panduan untuk menangani wabak.

“PBT boleh mengambil tindakan kepada pekedai-pekedai yang tidak mengikuti peraturan ini,” kata EXCO kerajaan tempatan ketika sidang media selepas melawat projek tebatan banjir di Puchong Jaya.

Beliau berkata buat masa ini tiada akta mewajibkan pemakaian pelitup muka, namun Kerajaan Negeri menasihatkan orang ramai memakainya di tempat awam bagi mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Lanjut tempoh bayaran premium tanah, pengecualian sewa premis

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Selangor melanjutkan tempoh pembayaran premium tanah dan pengecualian sewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut bagi memulihkan ekonomi serta membantu pelbagai golongan termasuk pemaju dan pelabur yang terkesan dengan impak Covid-19.

“Kerajaan Negeri bersetuju pembayaran premium tanah bagi notis yang telah tamat tempoh dari 1 Januari sehingga 9 Jun dilanjutkan sehingga 30 September tahun ini.

“Selain itu turut diluluskan pembayaran premium tanah secara ansuran selama enam bulan sehingga 31 Mac tahun depan kepada notis 5A dan 7G yang belum tamat tempoh dengan syarat ditetapkan,” kata Dato’ Menteri Besar menerusi kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata penyewa premis perniagaan milik PBT yang diberi pengecualian sewa sebulan pada April lalu, akan menikmati faedah tersebut sekali lagi untuk Mei.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat Borhan Aman Shah mewakili ADN Selangor menyerahkan replika cek sumbangan Tabung Covid-19 Selangor kepada Dato’ Seri Amirudin Shari selepas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Sebelum ini Selangor membelanjakan sejumlah RM400 juta untuk melaksanakan dua Pakej Rangsangan Ekonomi.

Pada 20 Mac lalu Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 diumumkan bagi membantu pelbagai golongan yang terkesan dengan wabak itu.

Peruntukan RM127.78 juta memberi manfaat kepada petugas barisan hadapan, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua diumumkan pada 1 April berjumlah RM272.5 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jual bunga api dalam talian dilarang – polis

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Polis mengingatkan bahawa penjualan bunga api secara dalam talian, adalah tidak dibenarkan dan menjadi kesalahan jika ada pihak melanggar syarat serta peraturan.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pihaknya mendapati terdapat jualan mercun dan bunga api secara dalam talian, yang tular di media sosial.

“Jualan bunga api perlu mendapatkan kebenaran polis, syarat dan peraturan yang dikuatkuasakan hendaklah dipatuhi.

“Sekiranya kegiatan ini (menjual mencun) masih berterusan, kita akan mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, penjualan bunga api di premis dan bazar juga tidak dibenarkan, sehingga arahan kebenaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Jelasnya, larangan bermain mercun diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Februari 1995 dan larangan bermain bunga api pada 15 Mac 1995.

Larangan itu masih berkuatkuasa sehingga kini, dan tertakluk di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ perketat pemantauan premis makanan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 30 JAN: Penguatkuasaan dan pemantauan terhadap premis atau gerai di Majlis Pentadbiran Subang Jaya (MPSJ) akan sentiasa diperketat sepanjang Januari hingga Februari ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas pengusaha premis makanan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan, terutama daripada aspek kesihatan, kebersihan dan keselamatan.

“Kita menyasarkan setiap premis makanan berlesen supaya diperiksa sekurang-kurangnya sekali setahun.

“Sepanjang tempoh pemantauan itu, semua premis atau gerai di kawasan pentadbiran MPSJ akan diperiksa dan digredkan. Jika kami dapati premis berkenaan mendapat gred C atau D, maka arahan serta notis tutup dikeluarkan serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.1/2019, di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Noraini berkata, pihaknya juga komited untuk terus menjalankan pemeriksaan susulan sekitar pertengahan tahun ini.

“Jika premis atau gerai terbabit masih mendapat gred C atau D, kita akan membatalkan penyewaan pengusaha premis makanan dan penyewaan akan dibuka kepada penyewa baharu yang berminat serta mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL sita premis makanan langgar peraturan kebersihan

OLEH AFIX REDZUAN

BANTING, 7 SEPT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyita sebuah premis perniagaan dalam satu operasi, semalam susulan kegagalan mematuhi peraturan kebersihaan penyediaan makanan selepas menerima aduan daripada orang awam.

Serbuan terhadap tiga premis yang diketuai Noor Hayati Ibrahim dilakukan bersama sepasukan anggota Bahagian Kesihatan dan Penguatkuasa MDKL, bermula jam 7 petang itu turut mengeluarkan empat kompaun atas pelbagai kesalahan.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu kebersihan dan penyediaan makanan di daerah itu serta mengingatkan peniaga supaya mematuhi semua syarat seperti yang terkandung dalam kelulusan lesen perniagaan.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, anggota kita mendapati pemilik premis makanan ini menyewakan lot gerai kepada peniaga yang membayar sewa bulanan kepada pemilik berkenaan.

“Tambah mendukacitakan, pemilik premis dan peniaga ini melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memakai apron, penutup kepala dan kasut, tidak menyediakan perangkap makanan hingga menyebabkan sisa makanan serta minyak terus masuk ke dalam longkang.

“Selain itu, peti sejuk penyimpanan makanan rosak, sisa makanan di sekitar premis dibiarkan terbiar dan peralatan makanan disimpan di tempat berhabuk ,” katanya.

Justeru, MDKL mengambil tindakan tegas dengan menutup dan memateri premis itu di bawah Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007.

Pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan dan penambahbaikan seperti diarahkan.

Dalam operasi sama, kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menyelenggara premis menjual makanan dalam keadaan baik dan bersih di bawah Seksyen 15, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan 3 di bawah Seksyen 9 (f), Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 kerana tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPK, Jabatan Kesihatan Selangor keluar 62 kompaun

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengadakan operasi bersepadu premis makanan membabitkan 67 gerai dan 52 restoran, baru-baru ini.

YDP MPKYang Di Pertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, empat kompaun dikeluarkan MPK dan 58 kompaun dikeluarkan JKNS.

Katanya, 14 premis diarahkan tutup selama dua minggu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 atas beberapa kesalahan daripada jumlah itu.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ketika operasi dijalankan ialah terdapat tikus, premis berada dalam keadaan kotor, tiada suntikan TY2, pekerja tidak menghadiri ceramah kesihatan, tiada tong sampah dan tidak menyediakan ‘gris trap’.

“Operasi yang dijalankan bertujuan memastikan premis makanan bersih dan selamat untuk dikunjungi orang ramai serta mengelakkan kes keracunan makanan.

“MPK tak akan berkompromi dalam soal kebersihan kerana ia melibatkan nyawa orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

ops-kotor-1Pada masa sama, Yasid meminta semua pihak peka dengan isu terkini ekoran terdapat ancaman kegiatan penipuan pemberian sijil premis bersih gred A kepada operator premis makanan khususnya di kawasan terbabit.

Katanya, kegiatan penipuan itu melibatkan penyamar yang mendakwa mereka dari jabatan kesihatan dan menawarkan sijil itu dengan kadar bayaran tertentu.

“Pengusaha premis makanan diingatkan berwaspada dan berhati-hati jika ada orang ingin membuat pemeriksaan di premis mereka.

“Setiap kakitangan MPK dilabelkan dengan kad kuasa yang tertera nama mereka dan ditandatangani saya sendiri. Tambahan pula tiada caj dikenakan untuk sijil premis bersih,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Gagal patuhi undang-undang, MBSA tutup 3 premis makanan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak tiga premis makanan ditutup dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sekitar Seksyen 32, hari ini.

Operasi yang diketuai Pengarah Kesihatan dan Persekitaran, Dr Roslan Fadzil itu membabitkan tujuh premis makanan di kawasan terbabit.

Roslan berkata, 12 notis dikeluarkan dan dua kompaun dikenakan terhadap premis yang gagal mematuhi undang-undang.

“Premis ini dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Establisment Makanan MBSA 2007 dan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

MBSA01“Kita mahu memastikan premis di sekitar Shah Alam dalam keadaan baik dan tidak menimbulkan unsur keracunan makanan. Seperti yang dilihat, premis ini tidak mengikut prosedur penyediaan makanan yang betul.

“Ada tikus, ada lipas dan bahan mentah seperti ayam diletakkan ditempat yang tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui dioperasi itu.

Roslan bekata, operasi itu bertujuan memastikan premis menepati aspek kebersihan dan pengendalian makanan yang ditetapkan MBSA.

Katanya, MBSA mengambil langkah menguatkuasakan undang-undang serta mengeluarkan notis kompaun kepada premis yang gagal mematuhi peraturan.

“MBSA tidak akan berkompromi dengan menutup premis makanan sekiranya terdapat urungan lipas dan tikus atau mempunyai rating kebersihan di bawah 50 peratus,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Lesen tamat tempoh, MDKS bertindak tegas

SHAH ALAM, 4 OKT: Tindakan tegas akan diambil terhadap premis yang mengundang gangguan kepada penduduk di Kampung Api-Api, Kuala Selangor atas kesalahan lesen tamat tempoh.

Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Azahari Sairin, berkata siasatan mendapati wujud premis yang beroperasi di atas tanah persendirian namun pemilik gagal memperbaharui lesen perniagaan.

logo-mdksKatanya, lesen perniagaan premis yang mengusahakan ternakan lembu itu tamat tempoh pada 13 Januari 2014 dan ia akan dibawa ke dalam mesyuarat untuk tindakan selanjutnya.

“Kawasan premis terbabit dizonkan sebagai pertanian di dalam Blok Perancangan Kecil (BPK) 2.4 Sungai Buloh dan adalah ladang ternakan lembu berhawa dingin.

“Kita dapati ternakan dilepaskan di dalam kawasan berpagar di ladang kelapa sawit, manakala najis dikumpulkan di dalam kolam takungan najis yang disediakan.

“Jarak premis terbabit dengan kawasan perumahan penduduk dianggarkan kira-kira satu kilometer,” katanya dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu aduan bau busuk penduduk Kampung Api-Api.

TerusTerang Manikavasagam picSementara itu, Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR, S Manikavasagam, berkata penduduk sering merungut berhubung limpahan najis lembu di kawasan perparitan kampung itu, sejak enam bulan lalu.

“Jarak kilang terbabit begitu hampir dengan perkampungan India dan tiada tindakan diambil walaupun aduan didakwa sudah dibangkitkan.

“Kita juga tidak pasti sama ada mereka ada permit yang sah atau tidak,” katanya yang juga Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Melawati.

Categories
SELANGOR

Tiga premis kotor diarah tutup

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 SEP: Tiga premis makanan diarahkan tutup oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila didapati berada dalam keadaan kotor akibat mengabaikan aspek kebersihan.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Shahrin Ahmad, berkata arahan diberi ketika MBSA menjalankan Operasi Bersepadu Premis Makanan di sekitar kawasan Alam Avenue, Seksyen 16, di sini, baru-baru ini.

DSC_0766“Sebanyak 10 notis dan lima kompaun dikeluarkan atas kesalahan kebersihan premis, tiada perangkap minyak, gagal membuktikan suntikan TY2 dan sijil pengendali makanan.

“Notis dikeluarkan atas kedegilan pengendali makanan yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan,” katanya dalam kenyataan media.

Shahrin berkata, notis dan kompaun dikenakan mengikut Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007.

“Operasi itu akan terus dilaksanakan daripada masa ke masa untuk memastikan premis makanan mematuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Kesihatan.

“Pemilik premis dinasihatkan sentiasa membersihkan kawasan penyediaan dan perlu mengikuti latihan pengendali makanan serta menjaga kebersihan diri,” katanya.

-NFN-