Categories
GLOBAL

Trump akur, arah bendera separuh tiang

WASHINGTON, 28 OGOS: Akur dengan tekanan untuk berkabung susulan kematian John McCain, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang.

Arahan itu dibuat selepas Trump mendapati dirinya turut terbabit dalam kontroversi berhubung kegagalan memberi penghormatan kepada McCain yang meninggal dunia Sabtu lalu selepas setahun menghidap barah otak.

Apabila kumpulan veteran melancarkan rayuan memberikan lebih penghormatan kepada McCain, yang pernah dipenjarakan lebih lima tahun di Vietnam, Trump, yang memang tidak menyenangi senator Arizona itu, bertindak sebaliknya.

“Walaupun berbeza pandangan mengenai dasar dan politik, saya hormat khidmat Senator John McCain kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Trump mengarahkan bendera di Rumah Putih dan di tempat lain dikibarkan separuh tinggal sehingga majlis persemadian McCain, pada Ahad ini.

Sebelum ini, bendera di Rumah Putih dikibarkan separuh tiang selepas kematian McCain Sabtu lalu, tetapi dinaikkan semula pagi semalam.

Sikap berdiam diri Trump mengenai McCain menggariskan beliau dipinggirkan dan menyemarakkan kritikan kegagalannya menyatukan negara itu walaupun ketika ia menangisi kematian tokoh yang dilihat sebagai wira AS dan ikon politik.

Di Phoenix, bekas pengurus kempen calon presiden dua kali itu, Rick Davis, mengesahkan Trump tidak akan menghadiri majlis persemadian.

Bagaimanapun, Naib Presiden Mike Pence, dijangka berucap pada majlis menghormati McCain di Capital Jumaat ini. — AFP

Categories
GLOBAL

Bekas peneraju Starbucks mahu jadi Presiden AS 2020

WASHINGTON 6 JUN: Pengerusi Eksekutif Starbucks, Howard Schultz mengumumkan persaraannya daripada syarikat itu, menyemarakkan spekulasi bahawa beliau mungkin merancang menjadi calon Presiden parti Demokrat pada tahun 2020.

Schultz, 64, menjadi pengerusi eksekutif Starbucks selepas meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif pada April tahun lepas dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada Kevin Johnson.

Menurut Starbucks dalam satu kenyataan, Schultz akan meninggalkan syarikat itu pada akhir bulan ini dan menerima gelaran kehormat sebagai pengerusi emeritus.

Pengumuman Schultz pantas mencetuskan spekulasi bahawa bahawa mungkin bercadang menceburi bidang politik sebagai ahli Demokrat dan bertanding untuk ke White House dua tahun lagi.

“Saya belum memutuskan langkah seterusnya, tetapi ketika ini saya sangat prihatin terhadap negara kita, dengan perpecahan yang semakin berkembang di dalam negara serta kedudukan kita di dunia,” katanya kepada akhbar New York Times.

Schultz, yang secara terbuka mengkritik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan, salah satu perkara yang ingin lakukannya adalah mengetahui apakah ada peranan yang dapat dimainkan untuk berbakti kepada masyarakat.

“Saya berhasrat untuk memikirkan pelbagai pilihan, dan ia mungkin merangkumi perkhidmatan awam. Tetapi masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan mengenai masa depan.

“Saya mahu berkhidmat kepada negara kita, tetapi itu tidak bermakna saya perlu bertanding ke pejabat awam untuk melaksanakannya,” kata Schultz.

Schultz yang menyertai Starbucks pada 1982 sebagai pengarah operasi dan pemasaran, berjaya mengubah sebuah syarikat penyedia minuman berasaskan kopi yang kecil berpusat di Seattle itu menjadi gergasi global dengan lebih daripada 28,000 cawangan di 77 negara.

“Saya berusaha untuk membina sebuah syarikat yang bapa saya, seorang pekerja kolar biru dan veteran Perang Dunia Kedua, tidak pernah mempunyai peluang untuk bekerja,” kata Schultz dalam surat terbuka kepada pekerja dan bekas pekerja Starbucks.

Persaraan Schultz diumumkan seminggu selepas syarikat itu menutup lebih daripada 8,000 cawangan di AS mengadakan latihan kesedaran perkauman kepada lebih 175,000 pekerjanya.

Tindakan itu susulan penangkapan dua lelaki kulit hitam di Starbucks Philadelphia yang mencetus kemarahan, protes dan kesedaran mengenai ketegangan kaum yang semakin parah di bawah kepimpinan Trump.

SUMBER: AFP

 

Categories
NASIONAL

Pertemuan Najib umpama menyerah ufti kepada raja

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyifatkan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump seperti seorang ketua negeri jajahan menghadap raja untuk mempersembahkan ufti.

Beliau dalam kenyataannya berkata, pertemuan Trump-Najib di White House memalukan rakyat Malaysia kerana ia tidak menggambarkan pertemuan dua pemimpin negara berdaulat yang berkedudukan setaraf sebaliknya seperti seorang ketua tanah jajahan bertemu raja dengan membawa hadiah seperti Bunga Mas.

“Najib mendakwa jemputan Trump ke White House merupakan pengiktirafan kepada status Malaysia sebagai ‘bintang yang semakin menyinar’.

Lim-Kit-Siang“Adakah dia sedar bahawa 15 daripada 32 pemimpin negara asing yang pernah dijemput Trump ke White House setakat ini adalah negara yang berada di bawah Ranking Demokrasi Global, metrik menilai 112 negara demokrasi di dunia, termasuk negara seperti Arab Saudi yang secara terbuka tidak mengamalkan demokrasi?” soalnya .

Kit Siang turut mempertikaikan tindakan Najib dan rombongannya yang tinggal selama tiga hari di Trump International Hotel selain mempersoal adakah kos penginapan itu bernilai beratus ribu dolar AS.

Menurutnya, Najib mungkin melanggar peraturan di AS yang melarang seorang presiden menerima hadiah atau pembayaran untuk perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan asing semasa berada di negara itu.

Rabu lalu, akhbar berpengaruh AS, The Washington Post berkata tindakan Najib dan rombongannya menginap di sebuah hotel milik Trump di ibu negara AS itu menimbulkan tanda tanya mengenai konflik kepentingan di White House.

Categories
GLOBAL

Trump-Putin setuju gesa genjatan senjata

WASHINGTON, 4 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin bersetuju menggesa gencatan senjata bagi menghentikan perang di Syria.

Kedua-dua pemimpin itu bercakap melalui telefon buat kali pertama sejak Washington melancarkan serangan udara terhadap Syria hampir sebulan lalu.

Rumah Putih dalam satu kenyataan memberitahu, Trump dan Putin setuju bahawa penderitaan melanda Syria berlangsung terlalu lama dan semua pihak perlu berusaha menamatkan keganasan di negara itu.

“Perbualan berjalan dengan baik dan ia termasuk perbincangan untuk mencapai keamanan yang berkekalan terhadap kemanusiaan.

syria“Tujuannya juga adalah untuk mewujudkan keadaan bagi melancarkan proses penyelesaian sebenar di Syria,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, Trump mengarahkan serangan peluru berpandu di pangkalan udara kerajaan Syria susulan kematian lebih 80 orang disyaki akibat senjata kimia di bandar Khan Sheikhoun, 4 April lalu.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TPPA: Apa strategi Malaysia berdepan Trump?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 NOV: Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu Kerajaan Persekutuan memikirkan strategi ke hadapan untuk berunding dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam isu Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Katanya, pendekatan berhati-hati perlu diambil dengan langkah bijak sama ada TPPA akan diteruskan atau tidak.

“Kita harus bersikap neutral atau mempertahankan kebebasan dirantau ini tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

“Pemilihan Donald Trump sebagai Presiden AS sememangnya menolak TPPA. Dalam keadaan negara menubuhkan The Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) yang cenderung kepada kuasa besar China, kita akan ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke 45.

Pada masa sama, Shamsul mahu kerajaan mengambil pendekatan berbeza dalam isu itu selari dengan politik Trump.

tppaTerdahulu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut melahirkan kebimbangan dalam isu perjanjian TTPA .

Katanya, kerajaan perlu melihat perkembangan TPPA supaya semua usaha dibelanjakan untuk perjanjian itu tidak menjadi sia-sia.

“Soalan pertama kami adalah sama ada TPPA akan tetap diteruskan atau sebaliknya, memandangkan Trump komited untuk menghapuskan TPPA, ini adalah kebimbangan kita.

“Jika tidak ada pemantauan daripada kerajaan perjanjian ini akan menjadi sia-sia,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau bimbang dengan perkembangan yang sedang berlaku di AS ketika ini.

“Salah satu demokrasi tertua di dunia hari ini boleh membawa kepada pemilihan Trump sebagai presiden. Kita amat bimbang dengan perkembangan yang sedang berlaku di AS.

“Kita juga bimbang dengan nasib umat Islam di sana memandangkan beliau semasa kempennya sebagai seorang yang anti Islam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata pemilihan Trump menunjukkan perjalanan ekonomi yang sedikit kabur.

“Ketika ini, Yen (matawang Jepun), Pesos (matawang Mexico) dan pasaran inflasi semua semakin berkurangan dan jatuh. Ia menunjukkan kurangnya keyakinan dan hilang sokongan kepada Trump.

“Oleh itu dasar-dasar beliau benar-benar teruji,” katanya.

-nR-