Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM perlu berani ambil tindakan terhadap orang kenamaan seleweng dana negara

SEGAMAT, 2 MAC: Pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu berani mengambil tindakan terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan yang menyeleweng dana negara.

Menegaskan penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu disiasat secara menyeluruh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenyataan beliau dalam isu itu bukan fitnah sebaliknya bersandarkan keterangan mahkamah Amerika Syarikat.

Ketua pembangkang itu menjelaskan pendedahan wanita lantikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menggunakan dana 1MDB sebanyak RM41 juta untuk membeli rumah di London perlu disiasat.

“Saya tidak akan keluar kenyataan jika tiada bukti sahih, tiada laporan.

“Kalau SPRM tanya, polis hendak siasat, silakan. Tetapi saya bagi syarat, ada bukti ambil tindakan tidak kira dia Tun, Datuk Seri. Kita mesti berani ambil tindakan kerana wang rakyat diambil secara tidak sah.

“Kita marah sebab ambil wang negara, ini kenyataan di mahkamah. Dalam Jabatan Kehakiman Amerika, keluar bukti judi kasino di Los Angeles rugi berbelas-belas juta menggunakan wang 1MDB,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berucap dalam program jelajah di Felda Palong Timur 2 di sini petang tadi yang turut disertai calon KEADILAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap C Subramani.

Semalam, Anwar meminta kerajaan persekutuan memberi penjelasan penuh isu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan skandal 1MDB.

Beliau dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat menegaskan tindakan tersebut perlu disegerakan berikutan pembongkaran kes berkenaan pada peringkat antarabangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tolak pihak timbulkan perpecahan kaum – Anwar

SHAH ALAM, 3 JAN: Pihak yang menimbulkan isu perpecahan dan pertembungan kaum di negara ini harus ditolak, kata presiden Parti KEADILAN.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan pihak itu hanya mahu meruntuhkan kerukunan negara sedia ada.

“Apa yang saya fikir sekarang adalah perpaduan. Bila rakyat miskin, ekonomi meleset dan ini masa subur api perkauman serta sentimen agama sempit.

“Sekarang timbul bab rasis pada kaum lain, suku lain dan golongan pendatang. Ini dianggap kerosakan negara sedangkan kelemahan negara datang daripada pimpinan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang 2021 Bersama Presiden Keadilan hari ini.

Ketua pembangkang berkata politik negara ini perlu ada sikap empati dan kesedaran terhadap nasib golongan miskin dan terpinggir serta penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Justeru, dengan mendukung prinsip murni dan kekal berprinsip, kita tidak boleh menyerah meskipun diserang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Istana tepis dakwaan pelantikan Amirudin tidak mendapat restu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JUN: Istana Selangor menepis dakwaan kononnya pelantikan Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar baharu tidak mendapat restu sama sekali tidak benar.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan pelantikan Amirudin Shari selaku Dato’ Menteri Besar Selangor dengan mengikuti segala peruntukan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959.

Berdasarkan kenyataan di laman Facebook Selangor Royal Office, ia adalah berdasarkan amalan yang biasa dilakukan dalam pelantikan seorang menteri besar di negeri itu.

Dalam kenyataan itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghantar surat dengan mencalonkan tiga orang Anggota Dewan Negeri (ADN) Selangor untuk mendapat perkenan baginda sebagai calon Dato’ Menteri Besar, pada 7 Jun lalu.

Malah, dalam surat itu Dr Wan Azizah turut memohon perkenan baginda bagi menerima mengadap calon yang layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar.

Namun, kenyataan itu berkata, surat bertarikh 7 Jun oleh Dr Wan Azizah secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua parti politik Selangor kepada baginda.

Selepas diteliti kesemua calon dan mendapat pandangan daripada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, maka baginda berkenan dengan pelantikan Amirudin yang juga ADN Sungai Tua.

Kenyataan itu turut menegaskan, baginda mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan seorang menteri besar.

Kuasa itu diperuntukkan sepertimana Artikel 51 dan Artikel 53, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Malah, baginda sentiasa mengambil maklum pra syarat di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, pelantikan hendaklah daripada kalangan ADN, mendapat kepercayaan majoriti Dewan Negeri dan syarat kedua, hendaklah berketurunan Melayu serta beragama Islam.

Terdahulu, ADN Ijok, Dr Idris Ahmad mempersoalkan pelantikan Amirudin malah beliau juga pernah tidak menyokong untuk melantik Mohamed Azmin selaku Dato’ Menteri Besar pada 11 Mei lalu yang dikatakan tidak mendapat restu daripada PAKATAN.

Kenyataan itu berkata, pelantikan Mohamed Azmin bersandarkan tugas dan tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi serta membawa PAKATAN memenangi kerusi yang lebih besar semasa pilihan raya lalu.

Oleh itu, adalah tidak bertepatan untuk Dr Idris mengatakan bahawa beliau dicalonkan untuk memegang jawatan Dato’ Menteri Besar baharu.

Pihak Istana Selangor sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang dan ‘convention’ di dalam apa tindakan dan tidak sama sekali campur tangan dalam isu berkaitan politik.