Categories
NASIONAL

Tun M sahkan PAS tidak sokong Umno dalam PRK Semenyih

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan PAS tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac hadapan.

Beliau berkata, perkara itu merupakan antara perincian yang dinyatakan dalam pertemuan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, semalam.

“(Pertemuan itu) berkenaan dengan politik. Tentang pihak parti PAS dalam PRK ini tidak akan menyokong pihak UMNO

“Tapi ada juga pengakuan secara bertulis dan ditandatangani,” katanya yang ditemui media selepas Majlis Pesta Demokrasi Malaysia 2019 anjuran FORSEA Kuala Lumpur di Publika.

Semalam, Abdul Hadi dan Dr Mahathir mengadakan pertemuan yang berlangsung hampir sejam.

Ahli Parlimen Marang itu dalam kenyataannya menyatakan pertemuan itu membincangkan soal pentadbiran khususnya melibatkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Sebelum itu, Dr Mahathir turut melawat ‘Black Box’ yang menempatkan beberapa karya seni berkisar perkembangan demokrasi Malaysia sehingga berlakunya perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam ucapannya Dr Mahathir menyifatkan walaupun demokrasi merupakan sebuah sistem yang tidak sempurna tetapi ia masih terbaik yang perlu diamalkan.

 

Categories
NASIONAL

Abdul Hadi sedia disiasat SPRM

MARANG, 8 FEB: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin parti itu.

Beliau berkata, terpulang kepada SPRM menyiasat mana-mana individu atau PAS dan pihaknya bersedia memberi kerjasama bagi melancarkan proses siasatan sekali gus menjadikan PAS sebuah parti yang bersih daripada isu rasuah.​​​​​​​

Bagaimana pun beliau berkata, siasatan itu perlu dilaksanakan secara adil dan mendesak SPRM turut menyiasat sumber kewangan yang diterima parti-parti lain khususnya pada pilihan raya umum yang lalu.​​​​​​​

“Jangan pelik dari mana PAS dapat duit…jelas ia dari poket kami sendiri…orang kami sendiri yang bertungkus lumus kerja untuk menyumbang derma (kepada parti),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Anggota Parlimen Marang itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan SPRM membuka kertas siasatan dan memanggil beberapa individu bagi menyiasat dakwaan itu.​​​​​​​

Sebelum ini, artikel yang dilapor oleh Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta ‘dipercayai’ dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pimpinan KEADILAN ziarah Presiden PAS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluangkan masa menziarahi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini sedang berehat selepas menjalani pembedahan malam semalam.

Beliau menemani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Naib Presiden KEADILAN, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

“Alhamdulillah, Tuan Guru Ustaz Haji Hadi Awang semakin pulih dan bertambah sihat.

“Atas nasihat doktor, beliau sedang berehat untuk seketika,” kata Timbalan Presiden KEADILAN itu.

Mohamed Azmin dan Abdul Hadi turut berkongsi gambar pertemuan berkenaan di laman sosial masing-masing.

Categories
NASIONAL

PAS tidak terlibat usul undi tidak percaya MB Terengganu

OLEH: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: PAS tidak terlibat dengan usul undi tidak percaya ke atas Menteri Besar Terengganu yang dibawa bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu juga akan melihat terlebih dahulu relevan usul undi tidak percaya itu dibuat sebelum memberikan sokongan.

Hadi PAS“PAS tidak akan terlibat dan akan lihat isu (sama ada) muhasabah (atau tidak) bukan isu rebut jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu dikejutkan selepas Adun Kijal itu bangkit mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Namun, usul itu ditolak Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong.

-nR-

JURNAL BERITA – Selangor dan Pusat tandatangani MOU penstrukturan air Selangor

1. MB dan PM tandatangani MOU penstrukturan air Selangor

2. MB: Syabas gagal bentang 4 kali pelan penjadualan bekalan air

3. Syabas akui ingkari arahan kurangkan pelepasan air ketika air empangan menyusut

4. ‘Tunggu hujan’ cara Syabas tangani masalah ammonia di Sungai Langat

5. Umat Islam disaran lakukan Solat Minta Hujan

6. Najib Razak tersenarai 5 pemimpin dunia berbelanja boros

7. ‘Sibuk mengata Selangor, Negeri Sembilan pun ada masalah air’

8. Lawatan penuh bermakna, jumpa Menteri Besar Selangor

9. Exco: Usaha dipergiat tangani wabak denggi

10. Rakyat boleh dapat BR1M RM1,200 jika MAS tidak rugi RM4.1 bilion

11. Dasar penswastaan, liberalisasi Kerajaan BN cipta ‘Mubarak’ Malaysia

12. MPSJ hasrat kembang projek Nyamuk Toxo perangi wabak denggi

13. 18 ahli majlis MPSJ angkat sumpah pikul amanah

14. PKR: Kes saman RM2 juta Presiden PAS tidak perlu diteruskan

Categories
SELANGOR

Jentera PAS Selangor sedia gempur Sungai Limau

PRK DUN Sungai LimauSHAH ALAM 22 OKT : PAS Selangor berkeyakinan tinggi untuk menggempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, berkata jentera PAS Selangor sudah tiba di Sungai Limau sejak pengumuman calon yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam.

Katanya, seramai 15 orang ditempatkan di setiap kawasan DUN berkenaan mulai semalam sehingga tarikh pembuangan undi, awal bulan hadapan.

“Jentera PAS Selangor sudah mula tiba semalam di Sungai Limau dan kita sudah buat jadual untuk mereka sepanjang tempoh tertentu bagi membantu jentera PAS Kedah dalam mengekalkan kemenangan di DUN berkenaan,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.

Abdul Rani berkata, beliau yakin PAS dapat mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abu Bakar, yang meninggal dunia, pada 26 September lalu.

PAS mempertaruhkan bekas guru, Azam Samad, sebagai calonnya bagi berdepan dengan calon BN iaitu bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi Lazim.

Mengikut rekod, DUN Sungai Limau mempunyai 27,287 pengundi yang majoritinya adalah Melayu dengan 40 peratus adalah pengundimuda.

Empat daripada 19 buah pusat daerah mengundi yang dianggap kritikal bagi BN adalah Bukit Besar, Matang Buloh, Sungai Dedap dan Bukit Choras kerana majoriti undi lebih memihak PAS.

Pada PRU13, Azizan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru yang turut membabitkan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL

Siaran langsung pembentangan ringkasan Belanjawan Pakatan Rakyat pagi ini

belanjawanKUALA LUMPUR 21 OKT: Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang media pembentangan ringkasan Belanjawan Pakatan Rakyat dari Parlimen melalui portal ini, pagi ini.

Pembentangan itu dijangka dilakukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar jam 11.30 pagi.

Turut dijadual hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Waktu siaran tertakluk kepada situasi semasa di lokasi sidang media dan siaran ulangan dijangka dimuat naik malam ini.

Untuk menonton, klik petak hitam sebelah kanan bahagian atas tertera TV Selangor Live.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Belanjawan Alternatif PR fokus pertahan hak rakyat

Anwar, Kit Siang, Hj hadi

SHAH ALAM, 20 OKT : Belanjawan Alternatif 2014 yang dibentangkan Pakatan Rakyat (PR) akan memberikan fokus kepada usaha mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Belanjawan Alternatif itu akan dibentangkan pada Isnin (21 Okt) di Parlimen sebelum Bajet 2014 dibentang Perdana Menteri pada 25 Oktober ini.

“Kita menjangka, negara akan mengalami krisis ekonomi dengan kadar hutang semakin meningkat, pelaburan berkurangan, harga barang meningkat dan beban kepada rakyat juga bertambah,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Bengkel Persediaan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Menerusi Bengkel Belanjawan tadi, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat rancak membincangkan draf belanjawan 2014 secara teliti.

“Ia kemudiannya dibentangkan kepada kami selaku pimpinan utama ketiga-tiga parti untuk membuat keputusan muktamad,” kata Anwar.

Anwar berkata, PR merancang untuk mengadakan sesi dialog dengan Kerajaan Pusat untuk membincangkan isu kepentingan rakyat.

“Kita mengusulkan Perdana Menteri dan kepimpinan BN tumpu tadbir negara, urus ekonomi dan tangani isu besar demi kepentingan rakyat yang terabai sekian lama sejak PRU-13 Mei lalu.

“Perlunya perbincangan dan dialog dalam isu ekonomi, perbalahan kaum dan agama, peningkatan kadar jenayah dan isu pengurusan kerajaan termasuk rasuah seperti yang dilaporan ketua audit negara,” kata Anwar.

PR sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian sebelum satu belanjawan bayangan dibentangkan sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mendapatkan satu formula terbaik untuk dimasukkan dalam belanjawan bayangan Pakatan Rakyat sekaligus mencabar Belanjawan 2014 yang dijangka akan dibentangkan Najib Razak.

Jawatankuasa yang dikordinasikan Institut Rakyat itu dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang diketuai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdasarkan kementerian tertentu dan bidang kepakaran masing-masing.

Sembilan kumpulan tersebut, kajian isu nasional dan antarbangsa; ekonomi dan kewangan; keselamatan; pendidikan dan pekerjaan; pertanian, perladangan dan pembangunan luar bandar; pengangkutan dan pembangunan bandar; pengurusan sumber dan kelestarian; masyarakat, kebajikan dan gender serta polisi berkaitan Sabah dan Sarawak.

Categories
NASIONAL

Calon PR PRK DUN Sungai Limau diumum 21 Okt

PRK DUN Sungai Limau

PETALING JAYA 17 OKT: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau akan diumum Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 21 Oktober ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, berkata majlis pimpinan Pakatan Rakyat mempersetujui calon itu dan yakin dapat mempertahankan kerusi yang disandang sebelum ini oleh mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Kita punya calon yang sudah diputuskan oleh PAS dan dah dikemukakan pada pimpinan Pakatan Rakyat dan dipersetujui dan akan diumumkan pada 21 haribulan ini,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, jentera PAS di Kedah akan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, PAS sentiasa bersiap sedia dan bekerja keras untuk menangkis setiap hujah yang akan dimainkan oleh Umno-BN sepanjang tempoh berkempen PRK itu.

Pada PRU-13 lalu, Allahyarham Ustaz Azizan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,774 undi menerusi pertandingan empat penjuru.

Sementara itu, PRK DUN Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tragedi Mesir: Masjid, surau di Selangor adakan Qunut Nazilah

04

KUALA LUMPUR 18 OGOS: Masjid dan surau di Selangor disaran mengadakan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Mesir yang kini berdepan kekejaman tentera negara mereka sendiri.

Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Sallehen Mukhyi mengesyor masjid dan surau mengadakan solat hajat agar pembunuhan beramai-ramai tentera Mesir dihenti, sekaligus meredakan pergolakan di negara itu.

Katanya, nazir masjid juga boleh mewujudkan tabung kutipan derma untuk disalur kepada Ikatan Lepasan Universiti Al-Azhar, sebuah alumni mahasiswa sebelum diagih rakyat Mesir.

“Kita terpanggil untuk membantu rakyat Mesir menuntut hak mereka memiliki sebuah negara yang aman dan kerajaan yang adil terhadap rakyatnya sendiri.

“Pembunuhan yang dilakukan tentera Mesir menyebabkan ramai kehilangan tempat bergantung, suami, anak, ibu dan sebagainya,” katanya kepada TV Selangor.

Qunut Nazilah sunat dibaca ketika umat Islam ditimpa bencana atau musibah seperti peperangan, wabak, kemarau dan sebagainya. Ia boleh dibaca setiap kali solat lima waktu.

Sallehen antara pemimpin Pakatan Rakyat yang menyertai Perhimpuan Munajat Perdana Untuk Mesir di Padang Merbok yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Solat hajat, solat jenazah ghaib dan pidato pemimpin Pakatan dan badan bukan kerajaan (NGO), antara pengisian program perhimpunan itu.

Ia turut dihadiri antaranya, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Perhimpunan itu juga disertai 25 NGO termasuk Tamil Foundation, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MPMA-BKHST) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Dewan perhimpunan dan pertubuhan Cina dari beberapa negeri, antaranya Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Negeri Sembilan (NSCAH), Bandar Cina Pulau Pinang (PGCTH), juga hadir.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Konsisten Bantu Perjuangan Rakyat Palestin

Sallehen Mukhyi

SHAH ALAM 1 JULAI : Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor berterusan dalam memberikan sokongan moral dan material kepada pejuangan rakyat Palestin.

Exco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi berkata, Negeri Selangor akan menjadi bumi dan tempat bernaung orang-orang yang dizalimi daripada kekejaman regim Zionist Israel.

“Saya merasa yakin dengan kebangkitan Islam di negeri Selangor ini dengan pertemuan dan pengajian serta pengajian untuk melahirkan ummah yang akan memberikan sokongan kepada umat Islam di Palestin dan seluruh dunia.

“Dataran Kemerdekaan Shah Alam ini sudah menyaksikan sokongan terhadap kebangkitan ummah dalam membebaskan bumi Palestin daripada kekejaman regim Zionist,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dihadapan kira-kira 1,000 orang semasa Majlis Munajat Pembebasan Ummah yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini.

Kata Sallehen, beliau yakin akan perjuangan umat Islam di Palestin akan mendapat kejayaan dalam masa terdekat.

Munahat Palestin

“Kami mengharapkan agar hati dan sanubari rakyat Selangor akan terus bersama dengan golongan umat Islam di mana-mana sahaja dan kita bersedia untuk berhimpun pada bila-bila masa sahaja.

“Dan kita akan bersedia untuk membantu mereka yang dizalimi di mana-mana sahaja,” kata beliau.

Dalam majlis itu turut dihadiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Ahli Majlis Pemegang Amanah Yayasan Al-Quds. yang turut memimpin solat hajat dan munajat untuk pembebasan ummah.

Hadi dalam ucapannya menyeru umat Islam yang mencecah 3 bilion orang perlu mempunyai kekuatan dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan melaksanakan sepenuh ajarannya.

Tambahnya, hanya melalui perjuangan bersama Islam maka bumi Palestin dan dunia Islam dapat dibebaskan dengan tidak terpengaruh kepada perjuangan berasaskan nasionalisme yang di bawa penjajah untuk memecah belahkan umat Islam.

Malam Palestin

“Kita jangan kehilangan punca, perjuangan umat Islam untuk membebaskan Palestin adalah teras untuk menyatupadukan seluruh umat Islam,” tegas  Hadi.

Turut sama hadir anak kepada As-Syahid Ahmad Yasin, Abdal Ghani A.I Yasin dan adik kepada As-Syahid Dr Nizar A.M Rayyan, Abdal Alatif A.M Rayyan.

Categories
NASIONAL

PAS Tempatkan 100 Peguam Di Kawasan Parlimen

PAS-for-All

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Lajnah Undang-undang PAS Pusat menyediakan 100 orang peguam yang akan ditempatkan di semua kerusi Parlimen yang ditandingi PAS bagi membantu kelancaran Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

95 peratus peguam ini terdiri daripada golongan anak muda profesional bakal ditempatkan di bilik gerakan dan lapangan kempen.

Setiausaha Lajnah Undang-undang PAS Pusat, Abang Ahmad Kardee Abang Masagus, berkata, gabungan peguam anak muda dan profesional akan bertanggungjawab sebaiknya bagi membantu calon yang bertanding.

“Tujuan kami adalah memastikan PRU-13 menurut batas undang-undang.

“Kami menolak sebarang huru hara dan akan memastikan pilihan raya berlangsung aman,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung parti itu hari ini.

Secara keseluruhan PAS bakal bertanding 76 kerusi Parlimen dalam PRU- 13.