Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Prestasi kewangan MBPJ tahun lepas kukuh, berjaya catat lebihan

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merekodkan prestasi kewangan kukuh pada tahun lalu dengan mencatat lebihan sebanyak RM21.233 juta.

Datuk Bandar berkata pencapaian itu berdasarkan perbandingan dengan cadangan belanjawan defisit iaitu RM18.054 juta selepas jumlah kutipan hasil (RM355.941 juta) yang ditolak dengan jumlah perbelanjaan mengurus (RM268.073 juta) dan perbelanjaan pembangunan (RM66.634 juta).

“Prestasi dan kedudukan kewangan MBPJ masih lagi kukuh dan stabil serta mampu bertahan ketika berdepan kekangan pandemik (Covid-19).

“Berdasarkan usaha strategik dan berterusan sedang dilaksanakan, adalah dijangkakan trend positif ini akan terus kekal sehingga tahun ini,” kata Mohamad Azhan Md Amir.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPJ Bil. 1/2022 di Ibu Pejabat MBPJ semalam.

Katanya, kawalan perbelanjaan berhemah diunjurkan untuk terus diguna pakai bagi memastikan kedudukan kewangan majlis sentiasa baik dan dapat mendepani unjuran belanjawan defisit pada tahun ini.

Mohamad Azhan menambah, prestasi kutipan keseluruhan hasil MBPJ sehingga 31 Disember tahun lalu juga masih stabil walaupun mencatat RM355.941 juta atau 96.56 peratus berbanding anggaran hasil disemak sebanyak RM368.609 juta.

“MBPJ terus berusaha meningkatkan kutipan hasil seperti memudah dan menggalakkan pembayaran secara dalam talian, serta membuka kaunter bergerak di luar ibu pejabat.

“Selain itu, termasuk kaedah mengurangkan tunggakan dengan melaksanakan operasi bersepadu secara berjadual, sentiasa mengeluarkan notis peringatan mesra bayaran tetap diteruskan dengan kerjasama pelbagai jabatan mengutip hasil,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

AirAsia Group rugi RM803.85 juta suku pertama 2020

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Pandemik Covid-19 menjejaskan prestasi kewangan AirAsia Group Bhd, menyebabkan kumpulan syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2020, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.09 juta pada suku tahun sama tahun lepas.

Perolehan merosot kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion sebelum ini.

“Kebimbangan mengenai penularan virus tersebut, serta sekatan perjalanan dan kawalan sempadan yang diumumkan oleh kerajaan pelbagai negara menyebabkan permintaan terhadap perjalanan udara merosot pada Februari dan Mac 2020,” menurut kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

Walaupun industri penerbangan menghadapi cabaran yang besar dengan kapasiti dan pengurusan kos yang proaktif selain prestasi kukuh daripada perniagaan bukan syarikat penerbangan, AirAsia Group mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang pulang modal.

Bagi perniagaan syarikat penerbangan, jumlah perolehan kumpulan pada suku pertama 2020 susut 18 peratus kepada RM2.16 bilion tahun ke tahun dengan sekatan perjalanan yang meningkat dan tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan Covid-19.

Kumpulan memberi respons proaktif dengan pengurusan kapasiti, menunjukkan keputusan dengan suku pertama 2020 melaporkan faktor muatan yang baik sebanyak 77 peratus.

Pengurangan kapasiti sebahagian besarnya dari Malaysia dan Filipina, masing-masing sebanyak 17 peratus dan 1.0 peratus berikutan laluan domestik dan antarabangsa ditangguhkan pada pertengahan Mac.

Indonesia, bagaimanapun, meningkatkan kapasitinya sebanyak 10 peratus dengan mengatur lebihan kapasiti laluan antarabangsa kepada pasaran domestik.

Sementara itu, segmen bukan syarikat penerbangan menyaksikan Teleport mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 49 peratus kepada RM150.4 juta berikutan ia berjaya menyelesaikan penggabungan kargo dalam syarikat operasi syarikat penerbangan Asean kumpulan itu.

Big Pay mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 161 peratus berikutan ia mendapat tarikan dengan pengembangan koridor pengiriman wang termasuk India, Bangladesh dan Nepal, manakala perolehan AirAsia.com naik 118 peratus berikutan ia melancarkan tawaran baharu, promosi, pakej penerbangan dan hotel.

Saham syarikat penerbangan itu di Bursa Malaysia digantung pagi ini. Ia kali terakhir diniagakan pada 85.5 sen.

-BERNAMA