Categories
SELANGOR

MB: Keputusan positif buat KEADILAN, sokongan rakyat terus kekal

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 OGOS: KEADILAN berpuas hati dengan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis walaupun memperoleh majoriti 5,842 undi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata perkara paling penting adalah sokongan rakyat masih kekal kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) di Negeri Selangor serta keputusan positif buat KEADILAN.

“Secara asas kita berpuas hati dengan prestasi semasa sebab ini PRK dan majoriti undi akan ditentukan dengan peratusan keluar mengundi.

“Kadar (peratusan) keluar mengundi rendah berbanding PRU-14 kerana tempoh masa terlalu hampir.

Sumber Grafik: BERNAMA

“Paling penting tiada semangat daripada pengundi untuk menjatuhkan Kerajaan berbanding sebelum ini (PRU-14),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengumuman rasmi keputusan PRK di Pusat Penjumlahan Rasmi PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam.

Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada semua jentera KEADILAN yang bertungkus-lumus sepanjang 14 hari tempoh berkempen termasuk kehadiran rakan komponen PAKATAN yang menjayakan siri kempen dan ceramah.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengekalkan kerusi Sungai Kandis di bawah penguasaan KEADILAN selepas menang dengan majoriti 5,842 undi.

Beliau yang memperoleh 15,427 undi menewaskan dua lagi calon, Datuk Lokman Noor Adam mewakili Barisan Nasional yang mendapat 9,585 undi manakala seorang lagi calon, K Murthy mewakili BEBAS, sekadar memperoleh 97 undi.

Categories
SELANGOR

Isteri doa Zawawi terpilih ADN Sungai Kandis, bela nasib rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 OGOS: Hazlina Razak berharap suaminya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, akan memperoleh kemenangan bagi meneruskan perjuangan membela rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya menyokong perjuangan suami. Apa boleh dibantu, saya akan bantu dan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya kepada media selepas mengundi bersama Mohd Zawawi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun di sini, hari ini.

Aktivis Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah itu berkata, beliau bersedia berkongsi jadual padat Mohd Zawawi bersama masyarakat sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) di DUN berkenaan.

“Ini kerana saya sudah terbabit dalam aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan bersamanya hampir 25 tahun lalu bermula dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ketika di universiti.

“Saya rasa dari dulu lagi sudah bersedia sekiranya beliau terpilih sebagai wakil rakyat, ” katanya.

Hazlina, 48, berkata, selain menjalankan tanggungjawab menguruskan keluarga, beliau masih meneruskan aktiviti sebegitu walaupun suaminya beralih ke bidang politik.

Mohd Zawawi, calon PAKATAN dari KEADILAN berdepan saingan dua calon lain iaitu Datuk Lokman Noor Adam (Barisan Nasional) dan K Murthy (BEBAS) dalam PRK DUN Sungai Kandis, hari ini.

Ia diadakan ekoran kematian mantan ADNnya, Allahyarham Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

Categories
SELANGOR

PRK Sg Kandis: Zawawi dan isteri hadir mengundi di SK Jalan Kebun

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni hadir menjalankan tanggungjawabnya mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Beliau tiba di pusat pembuangan mengundi itu pada kira-kira jam 9 pagi bersama isteri, Hazlina Razak dan sekumpulan penyokong KEADILAN dan PAKATAN.

Kehadiran Mohd Zawawi, calon daripada KEADILAN mendapat perhatian warta media yang merakamkan detik itu kerana beliau adalah calon tunggal yang mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kali ini.

PRK DUN itu diadakan ekoran kematian mantan Ahli Dewan Negeri (ADN)nya, Allahyarham Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

Mohd Zawawi menghadapi saingan daripada dua calon lain iaitu Datuk Lokman Noor Adam (Barisan Nasional) dan K Murthy (BEBAS).

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

51,217 pengundi DUN Sungai Kandis pilih ADUN hari ini

SHAH ALAM 4 OGOS: Tepat jam 8 pagi tadi semua 19 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka bagi membolehkan 51, 217 pemilih biasa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Selepas berkempen selama 14 hari bermula 21 Julai lalu, pengundi memilih antara Datuk Lokman Noor Adam dari Barisan Nasional (BN), calon Bebas, K Murthy atau Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mewakili PKR.

Antara ketiga-tiga calon berkenaan, hanya Mohd Zawawi yang akan mengundi di kawasan ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun pada jam 9 pagi nanti manakala Lokman dan Murthy adalah pengundi luar.

Pengundi di Sungai Kandis dibolehkan mengundi sehingga jam 5.30 petang ini berbanding jam 5 seperti kebiasaannya.

Pada masa sama, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, sebelum ini turut mengumumkan pertambahan jumlah saluran daripada 88 kepada 109 manakala dua saluran dibuka untuk pengundi berusia 60 tahun ke atas.

Hari ini juga dijangka akan berlaku ribut petir pada jam 8 pagi dan 3 petang nanti, selain langit berawan sepanjang pagi hingga jam 1 tengah hari manakala cuaca mendung sepanjang petang sehingga selesai waktu pengundian.

Justeru ramai pihak termasuk SPR dan polis menasihatkan pengundi keluar awal untuk mengelakkan mereka daripada gagal mengundi.

Keputusan PRK Sungai Kandis dijangka diumumkan seawal jam 10 malam ini,

Categories
SELANGOR

Nama calon PRK Sungai Kandis dihantar ke Anwar untuk dimuktamad

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 15 JUL: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bakal bertemu Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Turki bagi memuktamadkan nama calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN), Sungai Kandis, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari.

“Kita bukan ada dua atau tiga calon sahaja, tetapi lebih daripada itu, ini kerana ada yang mengemukakan calon masing-masing daripada Cabang, Pusat dan Negeri. Kesemua nama yang diberikan ini bertujuan mendapatkan kemenangan di akhirnya.

“Tetapi apa yang saya pasti ialah semua calon ini mempunyai kredibiliti tersendiri dan mampu membawa perubahan yang baik kepada Sungai Kandis,” katanya kepada media.

Dalam masa yang sama Amirudin turut menyatakan kesiapsagaan jenteranya bertemu mana-mana parti pada PRK kali ini.

Katanya, beliau sendiri sudah turun padang bertemu masyarakat bagi mengetahui isu semasa serta bertemu jentera pilihan raya.

“Jentera kami juga sudah bersiap sedia awal, KEADILAN tidak ambil mudah walaupun ada yang menjangkakan kemenangan mudah,” katanya selepas Acara Selangor Industrial Ride 2.0.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Guna logo Umno, BN berdepan krisis formula

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 13 JULAI: Hasrat Umno yang mahu menggunakan logo parti itu pertama kali dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis menunjukkan Barisan Nasional (BN) kini berhadapan krisis dan semakin tidak relevan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, strategi Pakatan Harapan (PAKATAN) yang menggunakan satu logo sebelum ini membuktikan kaedah mereka lebih relevan dan diterima pengundi.

“Bagi saya, ini membuktikan formula gabungan BN tidak begitu relevan. Justeru, kaedah digunakan PAKATAN lebih diterima dan kental menempuh dugaan serta cabaran.

“Kita berdepan beberapa pilihan raya sebagai pembangkang dan akhirnya kita mencadangkan beberapa kaedah sebelum ini dengan menggunakan logo masing-masing.

“PAKATAN juga berdepan pelbagai cabaran di saat BN memerintah ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Solat Jumaat dan Majlis Perdana Penyampaian Insentif Muassasah Selangor Darul Ehsan 1439H/2018, di Masjid Al Amaniah, hari ini.

Amirudin berkata, bagi menghadapi PRK DUN Sungai Kandis, Majlis Presiden PAKATAN sebelum ini sudah memilih KEADILAN untuk bertanding, memandangkan ia kerusi tradisi mereka serta menggunakan logo parti.

Katanya, PAKATAN juga sudah memenangi kerusi berkenaan selama tiga penggal dan pastinya logo KEADILAN sinonim dalam kalangan pengundi.

Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari mengundi, manakala penamaan calon akan diadakan pada Sabtu, 21 Julai ini bagi PRK DUN N.49 Sungai Kandis.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Categories
SELANGOR

KEADILAN kenal pasti calon PRK DUN Sungai Kandis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JUL: KEADILAN Selangor telah mengenal pasti senarai calon untuk pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis dan berharap pimpinan pusat akan memutuskannya dalam tempoh terdekat.

Pengerusi KEADILAN Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Biro Politik KEADILAN Negeri akan mengadakan perbincangan mengenainya hari ini dan akan mengemukakan senarainya selepas itu.

“Kita telah mengenal pasti sesetengah nama untuk dipertimbangkan sebagai calon dan Biro Politik KEADILAN Selangor akan melalui proses perbincangan biasa dengan nama calon diputuskan akan dicadangkan kepada pimpinan KEADILAN Pusat untuk dimuktamadkan.

“Saya juga telah membincangkannya dengan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan jentera parti telah menjalankan gerak kerja bagi menghadapi PRK,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Silaturahim Eidul Fitr Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, pihaknya tidak memutuskan sesuatu perkara berdasarkan spekulasi tetapi merujuk kepada keputusan dibuat melalui proses perbincangan parti.

“Dengan prestasi cemerlang Allahyarham Shuhaimi Shafiei, saya yakin KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu mempertahankan DUN Sungai Kandis,” katanya menambah lebih daripada satu nama calon akan dikemukakan kepada pimpinan KEADILAN Pusat.

Penamaan calon bagi PRK Sungai Kandis akan diadakan pada 21 Julai dan hari mengundi, 4 Ogos ekoran kematian penyandang, Shuhami akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

Categories
SELANGOR

Amirudin: Calon DUN Sungai Kandis diumum selepas SPR umum PRK

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JUL: Calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hanya akan diumumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman mengenai pilihan raya kecil (PRK) bagi kawasan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya belum menyentuh perkara itu dan kepimpinan tertinggi parti akan membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Belum lagi (berkaitan calon) kerana saya perlu membuat laporan kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Saya akan membuat pengumuman selepas SPR membuat pengumuman mengenai PRK DUN Sungai Kandis,” katanya kepada media.

Beliau berkata, sememangnya KEADILAN bersedia untuk menghadapi PRK nanti walaupun masih bersedih dengan kehilangan Allahyarham Shuhaimi Shafiei, 2 Julai lalu.

Shuhaimi, 50, meninggal dunia pada jam 11.10 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat penyakit kanser limfoma.

Jenazah Allahyarham diuruskan di masjid sama dan disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 di sini selepas solat Asar.

Beliau sebelum ini adalah ADN Seri Muda selama dua penggal selepas memenangi PRU12 dan 13 serta meneruskan kecemerlangan di DUN Sungai Kandis pada PRU14.