Categories
NASIONAL

Kekalahan PAKATAN mesej jelas rakyat – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 MAC: Kekalahan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, semalam jelas menyaksikan keputusan rakyat dengan mesej jelas.

Naib Presiden PAKATAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu adalah tuntutan rakyat supaya kerajaan PAKATAN segera bertindak menyelesaikan masalah dan kebajikan tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.

Katanya, kerajaan perlu bertindak secara kolektif dalam satu semangat untuk melaksanakan agenda reformasi dan pembangunan untuk rakyat.

“Menginsafi suara rakyat dalam PRK Semenyih dan Cameron Highlands, PAKATAN akan segera menggarap mesej pengundi dengan mengemukakan inisiatif baharu sebagai langkah pada masa hadapan.

“Kami menjiwai sentimen dizahirkan rakyat dan komited untuk mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu yang sedang membelenggu rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, justeru kerajaan akan segera mengambil inisiatif untuk meringankan beban ekonomi rakyat.

Katanya, Majlis Tindakan Ekonomi akan segera melaksanakan usaha mengurangkan kos sara hidup, memperkukuh pendapatan rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan tahap pemilikan rumah di kalangan rakyat.

“Kerajaan PAKATAN juga akan menggandakan usaha melaksana perubahan sehingga menjadi sumber kekuatan rakyat.

“Kita harus berani dan tidak gundah-gulana untuk segera melaksanakan janji khususnya kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang adalah bagian integral daripada agenda nasional.

“Kita akan melaksanakannya tanpa rasa apologetik atau bimbang terhadap kritikan luar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir: Kerjasama Umno-PAS tidak bimbangkan PAKATAN

PUTRAJAYA, 3 MAC: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak bimbang dengan kerjasama Umno-PAS yang menjadi antara punca kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin gabungan sebegitu hanya akan berlaku pada PRK yang kemenangannya tidak membawa makna besar.

“Dalam PRK menang kalah tidak penting tetapi dalam pilihan raya umum lain, mereka tidak tidak boleh bekerjasama.

“Kalau mereka bekerjasama, PAS tidak akan mendapat apa-apa,” katanya yang juga Pengerusi PAKATAN pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Landskap Negara di Taman Botani di sini, hari ini.

BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih pada PRK yang menyaksikan calonnya, Zakaria Hanafi mengatasi calon PAKATAN, Mohammad Aiman Zanali dan dua lagi calon dengan majoriti 1,914 undi.

Mengakui penggunaan isu agama yang keterluan ketika kempen juga antara punca kekalahan PAKATAN, Dr Mahathir berkata, pihaknya akan segera melakukan ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti punca sebenar gabungan itu gagal mempertahankan kerusi DUN Semenyih dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu.

Beliau berkata, perbezaan majoriti diraih juga menunjukkan pengundi Semenyih sudah berubah fikiran akibat persepsi negatif dan provokasi agama tidak perlu yang berlaku sepanjang tempoh berkempen.

“Ada sesetengah pihak melakukan provokasi tidak perlu seperti melukis kartun Nabi Muhammad sedangkan perkara sebegini tidak menyumbang ke arah kebaikan negara,” katanya.

Berhubung kegagalan menunaikan janji manifesto yang juga dilihat antara faktor menyumbang kekalahan PAKATAN, Dr Mahathir berkata, kerajaan memerlukan masa lebih panjang untuk merealisasikan janji mereka.

Perdana Menteri berkata, ketika pihaknya berusaha menunaikan janji pilihan raya, kerajaan juga pada masa yang sama perlu membayar hutang lebih RM1 trilion ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Menjadikan hutang projek Laluan Rel Pantai Timur sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, kerajaan terpaksa membayar faedah RM200 juta pada setiap enam bulan bagi pinjaman RM55 bilion yang dibuat kerajaan terdahulu untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Bermakna duit kita ada yang sepatutnya diguna untuk membantu rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang ditinggalkan kepada kita,” katanya.

Dr Mahathir juga mempertahankan dakwaan PAKATAN terhadap PAS kerana yakin dengan kebenarannya termasuk janji tidak menyokong Umno di Semenyih serta pembayaran RM1.4 juta kepada Editor Sarawak, Clare Rewcastle-Brown untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dr Mahathir berkata, pihaknya mempunyai bukti jelas berkenaan pembayaran terbabit dan perkara itu tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

Katanya, beliau tidak menyalahkan individu (Rameli Musa) yang dikaitkan dengan pembayaran wang oleh Abdul Hadi kepada Rewcastle-Brown namun ‘marah dengan cara PAS yang berbohong’.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Projek istimewa buat rakyat Semenyih kekal – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 3 MAC: Projek istimewa buat rakyat Semenyih akan tetap diteruskan walaupun Pakatan Harapan (PAKATAN) kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek istimewa berkaitan pembinaan rumah itu masih lagi berlangsung dan menunggu masa untuk dilaksanakan berdasarkan jadual ditetapkan.

“Pengumuman ini langsung tidak berkait dengan PRK Semenyih, perancangan sudah lama dibuat, jika kalah pun, kita bukan hendak menghukum Semenyih.

“Perancangan ini sudah dibuat dalam kerangka Belanjawan Negeri sebelum ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Acara Malaysia Women Marathon (MWM) 2019 edisi ke tujuh di Padang Timur, di sini, hari ini.

Terdahulu pada 27 Februari lalu, Amirudin ketika berkempen pada PRK Semenyih mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengumumkan satu projek besar untuk penduduk Semenyih tidak lama lagi.

Katanya, pengumuman itu adalah sebagai komitmen Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan penduduk di situ.

Namun Amirudin tidak membuat sebarang pengumuman mengenainya bagi menjaga etika pilihan raya.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk membawa kemudahan bas percuma Smart Selangor ke Semenyih bagi memastikan sistem perhubungan di sana lebih sistematik dan cekap.

Categories
NASIONAL

Dzulkefly: Pembinaan klinik di Semenyih tetap diteruskan

PETALING JAYA, 3 MAC: Rancangan pembinaan sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih akan diteruskan seperti dicadangkan biar pun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia perlu direalisasi bagi memastikan penduduk di kawasan itu mendapat kemudahan perubatan kesihatan yang baik.

“Apa yang disebut oleh calon kami sebelum ini adalah sesuatu yang mustahak memandangkan Klinik Kesihatan di pekan Semenyih dan Beranang sudah uzur dan sesak.

“Saya yakin kami akan dapat lokasi tanah dan peruntukan daripada Kerajaan Negeri untuk menjayakan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Acara ‘Run For Rare’ di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan anggaran masa berkaitan pembinaan klinik itu.

Sebelum ini, calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali dilapor menjadikan pembinaan hospital di Semenyih sebagai agenda utama jika menang PRK itu memandangkan ia adalah permasalahan paling banyak diutarakan masyarakat setempat.

Bagaimanapun pada 25 Februari lalu, Dr Dzulkefly mencadangkan pembinaan sebuah lagi klinik ​​​​​​​kesihatan ​​​​​​oleh kerana dua klinik di pekan Semenyih dan Beranang tidak boleh diperluaskan ​​​​​​​kerana kekangan tempat ​​​​​​​selain penambahbaikan fasiliti Hospital Kajang yang mana ia hospital terdekat di Semenyih.

Semalam, keputusan PRK Semenyih menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya ​​​​​​​menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan Muhammad Aiman yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon Bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56 (725 undi).

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

BN rampas DUN Semenyih

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 2 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih selepas calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi menang dengan majoriti tipis 1,914 undi.

Beliau memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi.

Dua lagi calon, Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 847 undi manakala Kuan Chee Heng atau lebih dikenali Uncle Kentang yang mewakili BEBAS sekadar memperoleh 725 undi.

Jumlah undian pemilih 39,218 daripada 120 peti undi diterima, sebanyak 650 kertas undi ditolak manakala 50 lagi tidak dikembalikan dengan peratus pengundian 73.24 peratus.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.24 Semenyih, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar di Pusat Penjumlahan Rasminya di Dewan Seri Cempaka, Kajang.

PRK DUN Semenyih diadakan apabila wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Pada PRU-14, Allahyarham Bakhtiar mengetepikan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN); Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau menang dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

KEPUTUSAN RASMI PRK DUN N.24 SEMENYIH

BN – 19,780
PAKATAN – 17,866
PSM – 847
BEBAS – 725
Undi Ditolak – 650
Undi Tidak Dikembalikan – 50
Majoriti – 1,914

Categories
SELANGOR

Peratusan keluar mengundi melebihi sasaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAJANG, 2 MAC: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih melebihi sasaran iaitu mencecah 73.35 peratus.

Maklumat rasmi itu dimaklumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun pada jam 8 malam tadi.

Jumlah peratusan itu sekali gus melepasi sasaran ditetapkan SPR sebelum itu iaitu sebanyak 70 peratus sahaja.

DUN Semenyih mencatatkan sejumlah 53,411 pengundi biasa layak untuk mengundi pada PRK kali ini selepas kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 11 Januari lalu.

Jumlah itu berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Januari lalu.

Categories
SELANGOR

50 peratus keluar mengundi PRK Semenyih sehingga jam 1 tengahari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 2 MAC: Sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan 54,503 pemilih berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, setakat jam 1 tengahari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menyasarkan 70 peratus keluar mengundi dalam PRK kali ini dan berharap orang ramai dapat keluar melaksanakan tanggungjawab itu.

“Kita berharap sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus dapat dicapai. Tetapi di Cameron Highland kita cuma dapat 68.9 peratus.

“Kita harap pengundi (dan) pihak parti dapat menyeru penyokong masing-masing untuk keluar mengundi. Daripada segi trendnya itu juga diharap dapat diperbaiki,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rinching, di sini.

Sementara itu, Azhar berkata, perjalanan proses pengundian juga berjalan lancar setakat ini dengan masa menunggu hanya 20 hingga 30 minit jika dibandingkan pada PRU14 lalu.

Ketika diminta mengulas berhubung kekecohan berlaku antara penyokong parti di Kampung Sesapan sebentar tadi, Azhar berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden terbabit.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus apabila terdapat individu yang meletakkan kain rentang memaparkan imej isteri mantan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan turut tertera tulisan mengatakan ‘Dia adalah Boss’.

“SPR tak dapat laporan berkaitan isu ini. Apapun, kita harap kalau ada ia dapat dihentikan kerana boleh menimbulkan masalah ketenteraman orang awam,” katanya.

Categories
SELANGOR

SPR tiada kuasa halang pemimpin berjalan, bersalaman

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 2 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pemimpin mana-mana parti untuk berada di kawasan Dewan Undangan Negeri Semenyih walaupun tempoh berkempen sudah tamat pada jam 12.00 malam tadi.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ini termasuk membabitkan pemimpin sebuah parti dikatakan melakukan ‘walkabout’ di sebuah pasar pagi, pagi tadi.

“SPR tak boleh halang mana-mana pihak termasuk pemimpin parti untuk berjalan dan bersalaman dengan orang ramai.

“Orang berjalan dan bersalaman itu perkara biasalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Rinching di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu mematuhi peraturan yang tidak membenarkan kempen selepas jam 12.00 tengah malam pada hari terakhir kempen.

Sementara itu mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil Semenyih, Azhar menjangkakan keputusan akan dapat diketahui selewat-lewatnya pada jam 10.00 malam nanti.

Categories
SELANGOR

Cacat kekal tak halang Kandayah jadi pengundi OKU terawal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 2 MAC: Cacat kekal di kaki sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda tidak menghalang P Kandayah, 68, melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, hari ini.

Menjadi antara pengundi Orang Kelainan Upaya (OKU) terawal tiba di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, sekitar jam 8.15 pagi, beliau kelihatan begitu bersemangat untuk membuang undi.

Kandayah yang menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu ditemani isterinya yang turut mengundi di situ.

“Ini kali kedua saya mengundi di sini selepas Pilihan Raya Umum ke-14 di pusat pengundian yang sama.

“Saya bangun seawal jam 5 pagi untuk buang undi (dan) ini adalah tanggungjawab penting saya sebagai pengundi untuk menentukan wakil rakyat yang kita mahu tadbir urus di Semenyih dapat dibuat sebaiknya,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau yang menetap di Taman Desa Perdana dan juga anak tempatan Semenyih, berharap sesiapa sahaja wakil rakyat dipilih dapat memberikan yang terbaik, khususnya dalam memelihara kebajikan serta kesejahteraan penduduk.

Categories
SELANGOR

Agenda Semenyih Sihat, Terhubung langkah pertama Aiman jika menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 2 MAC: Agenda Semenyih Sihat dan Semenyih Terhubung adalah dua isu pertama menjadi sasaran calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali untuk diselesaikan sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N24 Semenyih.

Muhammad Aiman berkata, agenda itu adalah dua daripada Lima Agenda Aiman diumumkan beliau pada 27 Febuari lalu.

“Sekiranya menang, langkah pertama saya adalah untuk menyelesaikan agenda Semenyih Sihat dan Semenyih Terhubung kerana ini antara keutamaan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain di sini, hari ini.

Agenda Semenyih Sihat adalah usaha menaik taraf klinik kesihatan dan mewujudkan Smart Selangor Mobile Clinic yang dapat memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk.

Manakala Agenda Semenyih Terhubung pula bertujuan memanjangkan perkhidmatan bas Smart Selangor dan menaik taraf terminal bas serta teksi di Semenyih.

Tiga agenda lain meliputi Semenyih Lestari, Semenyih Maju dan Semenyih Selamat.

Categories
SELANGOR

Aiman mengundi di SMK Engku Husain

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 2 MAC: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Engku Husain kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Ketibaan beliau di pusat mengundi itu disambut penyokong dan peraih undi PAKATAN.

Beliau yang ditemani isteri, Nurul Filzah Bakhtiar; ibu dan bapanya, turut meluangkan masa untuk menyantuni pengundi yang berada di pusat mengundi terbabit.

Muhammad Aiman juga sempat beramah mesra dengan calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul yang bertembung di pintu masuk utama sekolah terbabit.

Menjawab pertanyaan media, Muhammad Aiman berharap proses pengundian berjalan lancar sehingga pusat pengundian ditutup pada jam 5.00 petang nanti.

“Alhamdullilah, saya ucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berjaya mengawal proses pengundian dengan lancar pagi ini.

“Saya harap kelancaran ini berterusan sehingga semua pusat pengundian ditutup,” katanya.

Pada PRK DUN Semenyih kali ini seramai 53,520 pengundi biasa akan mengundi membabitkan 24 Pusat Pengundian semuanya.

PRK keenam diadakan selepas Pilihan Raya Umun Ke-14 ini diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia pada 11 Januari lalu.

Categories
SELANGOR

PRK Semenyih bermula

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 2 MAC: Pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sudah mula dibuka pada jam 8 pagi bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing, hari ini.

Difahamkan, sehingga jam 8.45 pagi tadi, lebih 2,000 pengundi sudah mula membuang undi pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK Semenyih.

Bagi memudahkan urusan proses mengundi, SPR turut menambah 31 saluran baharu menjadikan 119 saluran di pusat mengundi, sekali gus mencatatkan bilangan pengundi tinggi.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali dan tiga calon lain, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) serta Bebas, Kuan Chee Heng.

Muhammad Aiman akan membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain manakala Zakaria dan Nik Aziz Afiq masing-masing di Kampung Sesapan Kelubi serta Dewan Serbaguna Orang Ramai Semenyih 1.

DUN Semenyih diisytiharkan kosong selepas penyandangnya daripada PAKATAN, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kajang, pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Allahyarham Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM).