Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Slim: 41 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari

TANJUNG MALIM, 29 OGOS: Sebanyak 41 peratus daripada 22,749 pengundi biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka setakat 1 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian yang bermula tepat jam 8 pagi berlangsung di 12 pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminuddin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

Sepanjang proses pengundian yang akan berakhir pada 5.30 petang ini, pematuhan garis panduan pencegahan Covid-19 dikuatkuasakan seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru S. Santharasekaran.

SPR menyasarkan 85 peratus pengundi keluar mengundi hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 600 petugas SPR kendali PRK Slim esok

TANJUNG MALIM, 28 OGOS: Seramai 689 petugas dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok, yang melibatkan 12 pusat mengundi dan 54 saluran, kata Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pusat mengundi tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

Abdul Ghani berkata pihaknya berharap keputusan PRK itu dapat diketahui sebelum 9 malam sekiranya tiada bantahan dan gangguan.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 85 peratus daripada 22,749 pengundi biasa keluar mengundi esok, berbanding sasaran 70 peratus sebelum ini dengan mengikut peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.

“Ini (patuh SOP) supaya keselamatan diri dan keluarga terjamin kerana kita masih berada dalam musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Kita takut nanti pengundi apabila pulang, membawa masalah kepada keluarga masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat perjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Ghani turut mengingatkan para pengundi supaya mematuhi peraturan seperti tidak berpakaian yang melambangkan mana-mana parti politik kerana boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi serta dikenakan tindakan.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Sejumlah 96.25 peratus daripada 267 pengundi awal telah menunaikan hak mereka pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan mengingatkan semua parti atau calon bertanding, mereka dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,’’ katanya menjelaskan tempoh rasmi berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan rakam, tular gambar kertas undi pos – SPR

TANJUNG MALIM, 17 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan para pengundi pos Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim supaya tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularnya di laman media sosial.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata individu yang didapati melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman sewajarnya.

SPR telah mengeluarkan sebanyak 78 kertas undi pos bagi PRK DUN Slim, semalam dan daripada jumlah itu 75 untuk petugas pilihan raya dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua untuk pengundi tidak hadir luar negara manakala satu kepada warganegara Malaysia di luar negara.

Beliau berkata proses pengeluaran kertas undi pada jam 2.30 petang di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Slim River turut dihadiri wakil calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan.

“Sebanyak 68 sampul keutamaan diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada para pemohon manakala 10 sampul keutamaan diambil oleh Pegawai Yang Bertanggungjawab PDRM untuk diserahkan kepada anggota terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ikmalrudin mengingatkan semua pengundi pos supaya segera mengembalikan borang yang telah lengkap diisi kepada pegawai pengurus PRK DUN Slim sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 29 Ogos ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi, Amir Khusyairi dan seorang lagi calon Bebas S. Santharasekaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: PRK Slim ikut garis panduan PRK Chini

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan menggunapakai garis panduan PRK Chini dengan beberapa penambahbaikan yang mengikut peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) berkata tatacara operasi piawai (SOP) untuk PRK tersebut dibuat mengikut Akta 342 Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Antara garis panduan yang dipersetujui termasuk bilik gerakan parti dan bilik gerakan kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi SOP SPR.

“Bilik-bilik gerakan ini perlu didaftarkan dengan SPR terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau menjelaskan SPR akan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil parti politik yang bertanding mengenai garis panduan berkenaan.

Ismail Sabri berkata kempen dan ceramah hanya dibenarkan dilaksanakan di kawasan yang tertutup atau di kawasan yang berpagar sahaja bagi memudahkan proses pemantauan dan pemeriksaan suhu badan.

“Jumlah kehadiran pula perlu mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa manakala pemakaian pelitup muka diwajibkan.

“Waktu untuk keluar mengundi adalah digalakkan untuk mengikut ketetapan SPR bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di pusat mengundi,” katanya.

PRK Dun Slim, Perak dijangka berlangsung 29 Ogos ini dengan penamaan calon pada 15 Ogos sementara 25 Ogos untuk pengundian awal.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Slim: PAKATAN runding dengan kumpulan Tun Mahathir

AMPANG, 26 JULAI: Pakatan Harapan (PAKATAN) berunding dengan kumpulan serpihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim di Perak.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya mempunyai senarai calon tetapi perbincangan lanjut perlu dibuat sebelum dimuktamadkan.

“Kita ada berhubung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengelakkan perpecahan undi pembangkang.

“Walaupun Bersatu tidak lagi berada dalam Pakatan tetapi kita tidak mahu ada pihak kata kita ambil tindakan tanpa berunding,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma hari ini.

Namun, ahli parlimen Port Dickson berkata langkah berunding dengan Dr Mahathir bukan bermakna PAKATAN memberi laluan kepada kumpulan bekas perdana menteri bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN Slim pada 29 Ogos dengan penamaan calon pada 15 Ogos manakala mengundi awal pada 25 Ogos.