Categories
SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Sambutan kempen menggalakan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 JULAI: Sepanjang tiga hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 Sungai Kandis berlangsung, calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni melahirkan keyakinan undi rakyat akan berpihak kepadanya.

Beliau berkata, ia dapat dilihat menerusi penerimaan baik masyarakat setempat ketika program turun padang diadakan setiap hari.

“Sepanjang kempen selama tiga hari ini, sambutan diterima amat menggalakan.

“Ia merupakan petanda baik apabila saya pergi ke mana sahaja, ramai yang menegur dan mahu berswafoto,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media PRK N49 Sungai Kandis, di Bilik Gerakan Utama Sungai Kandis, di sini, hari ini.

PRK N49 Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional, Datuk Lokman Noor Adam dan BEBAS, Murthi Krishnasamy.

 

Categories
SELANGOR

Mohd Zawawi yakin undi PAS berpihak padanya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 JULAI: Calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni optimis anggota PAS akan mengundinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, pada 4 Ogos ini.

Beliau berkata, keyakinan itu timbul ekoran anggota parti berkenaan mahu pemimpin yang mempunyai pemikiran Islam dan sahsiah baik untuk menjadi ketua mereka.

“Saya yakin 7,000 pengundi PAS akan mengundi saya,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan PAS akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) untuk menarik pengundi Melayu, Mohd Zawawi berkata, ia terserah kepada parti berkenaan dan beliau tidak tercabar.

“Sama ada mereka mahu bergabung atau tidak, itu terserah kepada mereka kerana itu hak parti terbabit,” katanya.

Terdahulu, calon BN PRK Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam dilaporkan mahu mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS di kawasan berkenaan sebagai salah satu usaha mengajak parti itu bersama mendekati pengundi Melayu.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu tidak membuat perbincangan mahupun perancangan, termasuk dalam soal membantu calon BN selaku pembangkang.

PRK DUN Sungai Kandis ditetapkan pada 4 Ogos ini ekoran kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

PRK itu akan menyaksikan perlawanan tiga penjuru antara Mohd Zawawi, Lokman dan seorang calon Bebas, K. Murthy.

Categories
SELANGOR

Zawawi fokus pembangunan awam Sungai Kandis

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 23 JUL: Pembangunan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menjadi antara fokus terpenting Mohd Zawawi Ahmad Mughni sekiranya diberikan peluang menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil N.049 Sungai Kandis itu berkata, penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan kemudahan awam di Sungai Kandis dibangunkan secara holistik.

“Isu fasiliti dan infrastruktur ini sebenarnya sudah dilaksanakan dengan baik oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) sebelum ini.

“Namun selepas wujudnya beberapa penambahan beberapa kawasan yang baru dimasukkan ke dalam Sungai Kandis, kita merasakan wujud keperluan untuk meneliti beberapa perkara yang menjadi keluhan rakyat.

“Ini termasuklah isu-isu seperti masalah banjir, longkang sumbat, perparitan dan pembaikan jalan-jalan kampung yang perlu dibaiki segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan Utama KEADILAN N.049 Sungai Kandis di Jalan Bukit Kemuning, semalam.

Selain itu katanya, pembangunan kerohanian membabitkan aspek kemasyarakatan Sungai Kandis turut menjadi keutamaan baginya.

Zawawi yang juga tokoh agama setempat itu berkata, fokus itu tertumpu kepada usaha berterusan memastikan amalan istiqamah terus dipraktikkan dalam urusan kemasyarakatan.

“Pembangunan masyarakat yang berteraskan kepada prinsip agama tanpa mengira sebarang fahaman agama juga perlu diberi perhatian.

“Keutamaan ini kerana prinsip kemanusiaan itu harus dibangunkan secara holistik tanpa mengejar kepada keduniaan dan kebendaan semata-mata,” katanya.

Categories
SELANGOR

PRK Sungai Kandis: Polis Selangor siap sedia anggota

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JULAI: Polis Selangor akan menggunakan sepenuhnya anggota kontinjennya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, pada 4 Ogos ini.

Ketua Polis Selangor, Dato’ Mazlan Mansor berkata, pihaknya tidak berhasrat mengambil anggota tambahan daripada kontinjen lain untuk menjalankan tugas sempena pilihan raya berkenaan.

“Setakat ini, jumlah anggota saya sudah mencukupi sepanjang berlangsungnya PRK itu.

“Bagaimanapun, jumlah keanggotaan kini sedang dinilai dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat, selain memberi fokus keselamatan pengundi, turut diberi keutamaan adalah kelancaran lalu lintas ekorann kawasan berkenaan agak sempit,” katanya dalam kenyataan.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia ekoran kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan penamaan calon, pada 21 Julai ini sementara pembuangan undi, pada 4 Ogos.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 9 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari mengundi, manakala penamaan calon akan diadakan pada 21 Julai (Sabtu) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis, Selangor.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR selepas mempengerusikan mesyuarat khas, pagi ini.

“Bagi PRK kali ini, tempoh berkempen ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, pada 3 Ogos 2018.

“Bagi urusan permohonan undi pos luar dan dalam negara, tarikh buka adalah 9 Julai 2018 dan tarikh tutup pada 21 Julai 2018,” katanya.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad pula dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN N49 Sungai Kandis dan dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus.

Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, Shah Alam akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Seramai 865 petugas dalam kalangan orang awam dilantik mengendalikan proses PRK dengan 19 premis bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 109 saluran mengundi.

Dianggarkan RM1.4 juta peruntukan diperlukan bagi menjalankan PRK N49 DUN Sungai Kandis.

PRK ini akan menggunakan Daftar Pemilih sehingga Suku Pertama 2018 yang dikemaskini sehingga 2 Julai 2018.

“Daftar Pemilih itu mengandungi 51,230 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 51,217 pengundi biasa dan 13 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya akan mula dijual pada 16 Julai 2018,” katanya.

Sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR bersetuju menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-PRK) bagi memantau semua aktiviti kempen.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.

SPR juga sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu daripada Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, sehari kemudian.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).