Categories
AGENDA NASIONAL

Tanjung Piai: Anwar gembira pimpinan terbuka dengar pandangan, mesej rakyat

AYER KEROH, 7 DIS: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira dengan tindak balas positif daripada pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) yang mengambil pengajaran susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan PRK itu perlu dijadikan peringatan supaya tidak terlalu yakin dan terus mendengar isyarat yang diberikan rakyat.

“Saya ucap terima kasih kerana dalam mesyuarat PAKATAN lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengambil pendirian mendengar dan membuat penilaian penuh teliti pandangan oleh semua pimpinan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya rasa lega kerana sikap yang lebih positif, bersedia untuk menerima kenyataan. Perlu diingatkan rakyat di bawah beri mesej jelas, pimpinan di atas dengar baik-baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Kongres Tahunan Nasional KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Kekalahan di Tanjung Piai menyaksikan merupakan kekalahan keempat PAKATAN dalam PRK pasca PRU-14 selain di Semenyih, Rantau dan Camaeron Highlands.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanjung Piai bukti rakyat desak PAKATAN tunai manifesto

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Kekalahan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu adalah mesej rakyat kepada kerajaan supaya menunaikan janji manifesto, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. 

“Apa yang rakyat mahu lihat adalah bahawa kita kena menunaikan janji yang kita telah buat. Oleh itu, saya rasa adalah penting PAKATAN memberi tumpuan untuk menunaikan janji tersebut seperti mana yang digariskan dalam manifesto pilihan raya.

“Saya yakin kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, rakyat akan membuat penilaian sendiri, dan membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan PAKATAN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SME Bank Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd and China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) di sini, semalam.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan menepis dakwaan isu peruntukan belanjawan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) adalah satu-satunya penyebab kekalahan PAKATAN pada PRK Tanjung Piai. 

PRK Tanjung Piai yang berlangsung pada 16 November menyaksikan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng  memenanginya dengan majoriti 15,086 undi. 

Jeck Seng, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, memperoleh
25,466 undi mengatasi calon PAKATAN, Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi, calon Gerakan Wendy Subramaniam (1,707), diikuti  Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Berjasa (850) and dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380) dan  Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Parlimen Tanjung Piai kembali milik BN

PONTIAN, 16 NOV: Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada jam 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Bekas wakil rakyat Tanjung Piai dua penggal daripada MCA itu memperolehi 25,466 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.

Empat calon lain pula hilang wang deposit kerana memperolehi undi kurang dari satu perlapan atau 12.5 peratus daripada keseluruhan undi dikira.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Parti Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi sementara calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, peratusan keluar mengundi keseluruhan bagi PRK Parlimen Tanjung Piai adalah 74.5 peratus, melepasi sasaran 70 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) .

Azhar berkata, peratusan itu adalah yang kedua tertinggi selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan yang mencatatkan peratusan keluar mengundi 79.1 peratus.

“Saya rasa itu adalah pencapaian yang baik dan saya ucapkan tahniah kepada pihak sekretariat kerana berjaya melangkaui sasaran peratusan keluar mengundi.

“Tahniah juga kepada media yang telah membantu kita mengajak (menguar-uarkan) pengundi untuk keluar mengundi,” katanya ketika berlintas langsung bersama Bernama TV mengenai proses pengundian PRK itu di pusat penjumlahan undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, malam ini.

Azhar berkata, proses pengundian juga berjalan tanpa ada insiden-insiden yang serius, walaupun terdapat pergeseran antara penyokong parti politik di sesetengah tempat.

“Alhamdulillah, tidak ada insiden-insiden serius berlaku. Malah tadi dalam perjalanan saya ke sini (Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim), saya nampak ada penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjabat tangan bermaafan sesama sendiri.

Jadi saya rasa agak bangga dengan semangat yang ditunjukkan walaupun terdapat sedikit pergeseran di sana sini tapi pada amnya (keseluruhan) ia baik,” kata beliau.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

43 peratus keluar mengundi setakat 12 tengah hari

PONTIAN, 16 NOV: Sebanyak 47 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menunaikan tanggungjawab setakat 12 tengah hari ini, empat jam setelah semua 27 pusat mengundi dengan 125 saluran dibuka tepat 8 pagi tadi.

Proses pengundian yang akan berlangsung sehingga 5.30 petang ini melibatkan 52,471 pemilih berdaftar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daripada jumlah itu akan keluar mengundi hari ini.

Dua daripada enam calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen itu, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, 66, dan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck, 55, selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kerang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1 & 2 seawal 8.05 pagi tadi.

Sementara itu, empat calon lain yang bertanding merupakan pengundi berdaftar di luar Parlimen Tanjung Piai.

Sejak awal pagi, Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dilihat meninjau perjalanan pilihan raya kecil itu di empat lokasi pusat mengundi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, SJKC Cheow Min, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup dan SJKC Pei Chiao.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dilihat meninjau proses pengundian di beberapa pusat mengundi lain seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunian, SMK Sri Kukup, SJKC Bin Chong dan SJKC Yu Ming 1 & 2.

Di SK Serkat, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub dilihat antara orang kenamaan yang turut menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Dari segi cuaca, sepanjang pagi tadi, cuaca baik hampir di keseluruhan kawasan pusat mengundi dengan beberapa kawasan dilihat mendung.

Semalam, Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung pada waktu pagi manakala ribut petir di kawasan Parlimen Tanjung Piai pada sebelah petang nanti.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru yang turut melibatkan calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPR: Proses pengundian PRK Tanjung Piai lancar

PONTIAN, 16 NOV: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, yang bermula 8 pagi tadi, berjalan lancar tanpa sebarang insiden serius berlaku, setakat ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata beliau belum menerima sebarang aduan berhubung sebarang insiden dan suasana pengundian berlangsung dengan aman.

“Sebanyak 13 peratus pengundi keluar mengundi setakat 9 pagi tadi. Saya menyeru para pengundi supaya keluar awal sebelum tengah hari kerana Jabatan Metreologi Malaysia meramalkan berlaku ribut petir pada sebelah petang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, di sini hari ini.

Pusat mengundi itu mempunyai seramai 2,247 pengundi dengan lima saluran.

Azhar berkata pihaknya menjangkakan 70 peratus daripada keseluruhan 52,471 pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai, menunaikan tanggungjawab mereka hari ini sebelum pusat pengundian ditutup 5.30 petang.

Beliau berkata SPR yakin peratusan itu mampu dicapai malah para penganalisis turut meramalkan peratusan keluar mengundi antara 65 peratus dan 70 peratus.

“Berdasarkan tinjauan di saluran empat dan lima (di SMK Dato’ Mohd Yunos Sulaiman), ramai juga pengundi dalam kalangan orang muda di mana kita tidak boleh simpulkan bahawa orang tua sahaja keluar mengundi.

“Ramai juga para pengundi didapati turut membawa kad mengundi dan SPR juga berusaha menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengundi,” katanya menambah bahawa SPR turut menyediakan kenderaan buggy bagi kegunaan pengundi.

Azhar menyeru semua calon, parti politik dan para penyokong supaya tidak menjalankan aktiviti meraih undi hari ini dan SPR, katanya, akan menguatkuasakan undang-undang serta peraturan pilihan raya mengikut yang ditetapkan.

Setakat ini juga tiada aduan berhubung pembukaan barong panas kecuali pemerhatian mendapati ada penyokong bersorak di luar pusat pengundian tetapi suasana amat terkawal, katanya.

“Setakat memakai baju dengan logo di luar 50 meter dari pusat mengundi tanpa tindakan aktif meraih undi, itu tidak mengapa tetapi jika aktif meraih undi, itu memang tidak boleh.

“Kita akan berusaha memantau setakat mungkin, kalau ada mereka lakukan aktiviti meraih undi secara aktif, kita akan ambil tindakan,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakil Barisan Nasional, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Tugas tidak halang tunai tanggungjawab

PONTIAN, 16 NOV: Dalam kesibukan membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, beberapa petugas media masih sempat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini.

Meskipun sibuk dengan tugas mereka, hak dan tanggungjawab sebagai pengundi tetap dilaksanakan dengan mencuri sedikit masa untuk hadir di pusat mengundi sekali gus memilih wakil rakyat pilihan mereka.

Wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Najihah Harun, 25, mengakui berasa teruja kerana buat pertama kali dapat mengundi setelah bergelar pengamal media dan berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pekan Nanas di sini sejak pukul 6 pagi.

“Satu pengalaman baharu sebab ini kali pertama mengundi dan pada masa sama bertugas membuat liputan PRK yang mana sebelum ini saya mengundi sebagai orang awam (bukan media) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Proses mengundi yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga baik, tak sampai lima minit dah selesai mengundi. Saya datang awal untuk mengundi sebelum kembali bertugas selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas mengundi.

Sementara itu, jurugambar Malaysia Gazette, Mohd Hazrol Zainal, 25, menzahirkan rasa teruja untuk mengundi biarpun sibuk menjalankan tugasnya.

Hazrol yang turut mengundi di SK Pengkalan Raja menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang menarik walaupun melaksanakan dua amanah besar, melaporkan berita dan mengundi, namun beliau tetap bersemangat untuk melunaskan tanggungjawab yang tertunggak ketika PRU14 kerana bertugas.

“Saya rasa sangat teruja kerana ini baru pertama kali dapat mengundi kerana semasa PRU14 saya tidak dapat mengundi akibat tersangkut dalam kesesakan jalan raya kerana membuat liputan di Muar.

“Saya tidak mahu mengundi melalui pos kerana saya ingin merasa suasana secara fizikal di kawasan saya sendiri dan saya ingin rasa jari dicelup,” katanya yang sudah membuat lapan liputan pilihan raya termasuk PRK dan PRU14.

PRK Parlimen Tanjong Piai menyaksikan sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Karmaine, Jeck Seng selesai mengundi

PONTIAN, 16 NOV: Dua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih berdaftar di Parlimen tersebut, dengan menjadi antara yang paling awal mengundi.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Karmaine Sardini yang memakai kemeja putih tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kerang, dekat sini, kira-kira pukul 7.45 pagi dan beliau ditemani adik lelakinya Safeei Sardini.

Sejurus tiba di lokasi, Karmaine terus memasuki bangunan sekolah itu dan menuju ke saluran 2 untuk menunaikan tanggungjawabnya mengundi.

Calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mencelup jarinya ke dalam dakwat kekal ketika mengundi di SJK (C) Yu Ming 1 & 2, Pekan Nanas hari ini.
Foto BERNAMA

Ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi kira-kira pukul 8.05 pagi, Karmaine berkata sebagai calon, perasaannya amat berdebar menunggu keputusan PRK itu yang akan diumumkan malam ini.

Sementara itu, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1 dan 2 di Pekan Nanas, pada pukul 7.40 pagi.

Beliau yang mengundi di Saluran 4 dan isteri, Datin Seri Lim Joo Hon (Saluran 6) selesai mengundi pada pukul 8.10 pagi.

Katanya beliau bangun seawal 5 pagi bagi mempersiapkan diri untuk hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, selain mengakui perasaannya teruja sama seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lepas.

Hari ini, seramai 52,471 pengundi dalam Parlimen Tanjung Piai akan menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu, selepas kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik daripada Bersatu yang mewakil Pakatan Harapan (PH) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pilihan raya itu menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine, Wee, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Empat lagi calon bukan pengundi bagi kawasan Parlimen Tanjung Piai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanjung Piai memilih

PONTIAN, 16 NOV: Sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai memilih wakil rakyat baharu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu.

Seramai 52,471 pengundi akan menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu hari ini, selepas kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik daripada BERSATU yang mewakil Pakatan Harapan (PAKATAN) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan antara calon PAKATAN Karmaine Sardini melawan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK berkenaan merupakan pilihan raya kesembilan sejak Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu.

Calon PAKATAN Karmaine Sardini mengundi di SK Telok Kerang hari ini. Foto BERNAMA

Daripada keseluruhan pusat mengundi yang dibuka, sebanyak 11 adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kudus, SK Tanjong Ayer Hitam, SK Parit Haji Adnan, SK Melayu Raya, SK Kampong Sawah, SK Seri Bunian, SK Pengkalan Raja, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, SMK Pekan Nanas, SK Pekan Nanas dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yung Ming 1 dan 2.

Sebanyak 16 lagi adalah di DUN Kukup merangkumi SK Jeram Batu, SJKC Bin Chong, SJKC Cheow Min, SK Rimba Terjun, SK Sungai Bunyi, SK Rambah, SK Parit Rambai, SK Belokok, SK Telok Kerang, SK Penerok, SK Sungai Boh dan SJKC Pei Chao, SMK Sri Kukup, SK Sungai Durian, SK Serkat dan SK Andek Mori.

Karmaine dijadualkan mengundi di SK Telok Kerang dan Wee di SJKC Yu Ming 1 dan 2 manakala empat lagi calon lain bukan merupakan pengundi Parlimen Tanjung Piai.

Selasa lalu, sebanyak 91 peratus daripada 280 pengundi awal terdiri daripada anggota dan pegawai polis telah pun melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menugaskan seramai 1,019 orang petugas untuk membantu melancarkan proses pengundian kali ini manakala polis pula meletakkan seramai 1,341 pegawai dan anggotanya untuk menjaga keselamatan dan kawalan lalu lintas.

SPR menyasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi dengan keputusan rasmi pengundian dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam.

Pusat penjumlahan undi rasmi yang ditetapkan bagi PRK Tanjung Piai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini.

Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi laman sesawangnya meramalkan hari ini mendung dengan suhu antara 23 dan 27 darjah Celcius pada sebelah pagi manakala ribut petir pada sebelah petang dengan suhu antara 25 dan 28 darjah Celcius.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tahan serangan pembangkang, PAKATAN konsisten beri penjelasan

OLEH NOR BAIZURA BASRI dan MOHD FAIZAL HASSAN

PONTIAN, 15 NOV: Walaupun hanya tinggal beberapa jam lagi sebelum pengundi di Tanjung Piai memilih wakil rakyat mereka, gerak kerja kempen daripada calon yang bertanding semakin intensif dan agresif menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok.

Masuk hari ke-14 dan terakhir kempen hari ini, pelbagai isu diutarakan oleh keenam-enam calon yang bertanding dengan isu kos sara hidup dilihat mendominasi perbincangan di kedai kopi, warung malahan di kaki lima di seluruh pelosok kawasan parlimen berkenaan.

Apa yang jelas, Pakatan Harapan (PAKATAN) sebagai kerajaan sering menjadi mangsa serangan terutama oleh Barisan Nasional (BN) dalam pelbagai isu, namun jentera dan pemimpin PH yang turun berkempen ternyata konsisten dan senada dalam memberikan penjelasan.

Malah, tempoh 18 bulan membentuk kerajaan tidak sepatutnya dilihat terhadap perkara yang tidak dibuat dengan mengetepikan pelbagai usaha yang telah dibuat dan banyak lagi yang dalam perancangan.

Daripada enam calon, nama wakil PAKATAN Karmaine Sardini paling meniti di bibir para penduduk di Tanjung Piai apatah lagi PAKATAN kelihatan selesa dengan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu yang yang dilihat sebagai seorang yang mempunyai ciri-ciri pemimpin yang baik dan mempunyai perwatakan baik selain latar belakang yang seimbang antara bidang keagamaan dan profesional.

Karmaine, 66, bapa kepada empat anak itu bagaimanapun dari awal menjadi ‘mangsa’ serangan peribadi daripada pihak tertentu yang menyindir anak kelahiran Peradin, Pontian, itu sebagai calon tua dan mempunyai sijil kelayakan palsu sebagai arkitek tetapi ramai pihak yang berjaya mempertahankan kelayakan beliau itu.

Bagaimanapun, Karmaine tidak membalas segala tohmahan itu dengan ‘serangan peribadi’ kepada pihak lawan, malah meningkatkan keupayaannya untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat seberapa banyak yang mungkin, setiap hari.

Ini dapat dilihat beliau kelihatan makin selesa dan lebih yakin berdepan dengan kamera dan menjawab soalan wartawan selepas seminggu berkempen berbanding mula-mula berkempen dahulu.

Daripada berjanji yang bukan-bukan, imam Masjid Al-Muttaqin, Taman Sutera, Johor Bahru itu, turun ke bawah bersama para pemimpin PH menjelaskan mengenai pelbagai isu dan rancangan kerajaan sama ada yang telah berjalan, mahupun yang bakal dilaksanakan, selain mempertahankan kerajaan PH dalam beberapa isu yang dimainkan pembangkang.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAKATAN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu berkata secara keseluruhan, berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, kempen menembusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) kategori hitam atau kelabu semakin bertambah baik dari segi respons melalui strategi rumah ke rumah, ceramah kelompok untuk semua jenis kaum, agama dan bangsa selain penggunaan poster menarik.

Tegasnya, kempen itu perlu bagi memberi penjelasan dan kepentingan untuk keluar mengundi serta perlunya balik mengundi kalau ada di luar kawasan khasnya kepada pengundi muda.

Setiausaha Agung Bersatu Senator Datuk Marzuki Yahya pula berkata PAKATAN sangat konsisten sepanjang kempen dengan pelbagai program yang telah diatur dan dikemaskini dalam mendekati setiap pengundi di Tanjung Piai ini.

Itu tegasnya bakal menyuntik kemenangan pada pilihan raya kecil itu apabila diterjemahkan kepada kertas undi dengan memilih Karmaine.

Seorang lagi pemimpin PAKATAN, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pendekatan rumah ke rumah masih diperlukan khasnya kepada pengundi di kalangan ahli keluarga dan rakan taulan dalam menerangkan kepentingan memilih calon PH.

“Kita hanya berbaki dua hari sahaja lagi dan saya sangat yakin dan percaya sokongan yang diperoleh oleh PAKATAN semakin meningkat dan dalam tempoh berapa jam sahaja lagi saya menjadi semakin yakin melalui sentuhan tangan kepimpinan,” katanya.

Norma Mohamed, ibu kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, wakil rakyat PAKATAN yang meninggal dunia 21 September lalu, pula berkata kekuatan calon PAKATAN, pastinya menjadi penentu untuk dipilih pengundi Tanjung Piai dalam meneruskan legasi dan kesinambungan ditinggalkan Allahyarham.

Tegasnya, sepanjang permulaan kempen lagi, calon PAKATAN fokus dalam meneruskan perancangan yang dimulakan Allahyarham seperti pembangunan infrastruktur sekali gus pilihan tepat pucuk pimpinan pada PRK ini.

Ternyata, kekuatan PAKATAN terletak pada calon PH sendiri, terpulang kepada masyarakat Tanjung Piai untuk menilainya sendiri.

Meskipun begitu, proses kempen turut tercalar dengan sentimen perkauman yang dimainkan oleh parti pembangkang dalam usaha menawan hati pengundi pada saat-saat terakhir ini.

Selain itu, prestasi kerajaan PAKATAN selama 18 bulan turut dijadikan ‘serangan’ sesetengah pihak kononnya parti pemerintah gagal melaksanakan janji yang pernah diutarakan pada PRU14.

Bagaimanapun, kematangan pemimpin kerajaan PAKATAN turun ke padang sedikit sebanyak dapat membantu dalam menjelaskan pelbagai isu yang menjadi persoalan masyarakat yang sering kali menjadi ‘bahan’ pihak pembangkang ketika kempen mereka.

Bagi Presiden Amanah Mohamad Sabu, adalah tidak adil apabila PAKATAN dinilai berdasarkan prestasi 18 bulan sahaja, sedangkan tempoh kerajaan yang ada adalah untuk lima tahun.

“Memang kita akui rakyat marah dengan kita…malah saya dengan diri saya sendiri pun saya marah sebab saya menteri dalam kerajaan, tetapi banyak perkara tak boleh buat kerana banyak perkara yang dibuat kerajaan dahulu kita kena perbetulkan. Dalam kabinet setiap masa kita bincangkan tentang nak tunaikan manifesto,” katanya.

Pada PRK kali ini, BN menurunkan bekas ahli parlimen Tanjung Piai selama dua penggal iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, yang tewas dengan Dr Md Farid pada PRU lalu dengan majoriti 524 undi.

Calon lain adalah Wendy Subramaniam mewakili Gerakan, yang bertanding untuk kali pertama bersendirian bagi menguji kemampuan sebenar parti itu selepas keluar daripada BN, berikutan kekalahan pada PRU14 tetapi mampu menjadi pengacau dalam memecah undi.

Bagi kempen calon daripada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) iaitu Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, beliau banyak menumpukan kepada isu nelayan serta infrastruktur untuk masyarakat setempat.

Dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar yang memulakan kempen sedikit lewat, turut membawa matlamat masing-masing dan dilihat sebagai penyeri kepada pertandingan enam penjuru itu, selain meraikan sistem demokrasi di negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama BN – PAS langkah terdesak

PONTIAN, 14 NOV: Kerjasama antara parti komponen Barisan Nasional (BN) – UMNO, MCA dan MIC dengan PAS pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan langkah ‘terdesak’ dalam dunia politik dan bukannya satu bentuk kerjasama demi kebaikan negara.

Ketua Penerangan PKR Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata beliau yakin kerjasama yang berlaku ketika ini lebih kepada kerjasama politik untuk memenangi PRK ini, dan bukan satu kerjasama untuk membina negara dan sebagainya.

“Ia lebih kepada tujuan terdesak dalam dunia politik. Saya yakin pengundi memahami perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Sesi Penerangan Isu-isu MSPO Pekebun Kecil Sawit Johor’, di Dewan Serbaguna Sungai Bunyi, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai ‘suasana’ politik yang menyaksikan PAS mampu bekerjasama dengan MCA dan MIC pada PRK tersebut.

Shamsul Iskandar turut menepis dakwaan kononnya parti Pakatan Harapan (PAKATAN) memainkan isu perkauman ketika berkempen pada PRK Tanjung Piai.

Jelasnya, PAKATAN adalah parti gabungan yang sentiasa menghargai dan menyokong aspirasi Malaysia Baharu yang mengutamakan kepentingan semua kaum malah wacana perkauman tidak lagi ‘segar’ dalam konteks politik di negara ini.

” Pimpinan (BN) perlu ‘cermin’ diri mereka sendiri. Kami tidak ada refleksi (perkauman) itu dalam PAKATAN,” kata Shamsul Iskandar.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyelar dan mendakwa PAKATAN memainkan isu perkauman ketika berkempen pada PRK itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tinjauan mesra pada pilihan raya tidak perlukan permit – Peguam Negara

PUTRAJAYA, 14 NOV: Kekecohan berhubung perlu mendapat permit polis untuk program tinjauan mesra dan berkempen dari pintu ke pintu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, akhirnya terjawab.

Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan bahawa program tinjauan mesra atau walkabouts dan kempen dari pintu ke rumah tidak memerlukan permit.

Merujuk kepada Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang dipetik oleh polis dalam mengisytiharkan keperluan bagi permit itu, Thomas berkata “ketetapan itu tidak menyatakan secara jelas merujuk kepada tinjauan mesra dan kempen pintu ke pintu”.

“Perkataan digunakan dalam ketetapan itu tidak boleh, di bawah mana-mana keadaan, ditafsirkan diperluaskan kepada tinjauan mesra dan kempen pintu ke pintu.

“Fakta dari segi sejarah adalah sejak 1955, kaedah ini bagi merayu pengundi adalah yang paling popular digunakan oleh calon semua parti politik dan tidak perlukan permit,” katanya dalam kenyataan.

Pada Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata polis menetapkan bahawa semua parti dan calon bertanding dalam pilihan raya kecil perlu mendapat permit untuk berkempen dari rumah ke rumah.

Beliau berkata polis juga menetapkan bahawa program tinjauan mesra, yang dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai had masa dan lokasi yang jelas untuk tujuan pemantauan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata permit akan memudahkan pemantauan, untuk memastikan perkara berkaitan keselamatan awam diberikan keutamaan, dan untuk mengelak kejadian provokasi dan pergaduhan antara parti yang bertanding.

“Ia juga memudahkan kami untuk memantau pergerakan calon-calon,” tegasnya.

Keperluan mendapatkan permit menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pemimpin parti pembangkang yang menggesa polis menyemak semua arahan bagi tinjauan mesra dan kempen dari rumah ke rumah, menyatakan ia dilihat sebagai membebankan.

Di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menyangkal dakwaan bahawa SPR mengenakan syarat perlu mendapatkan permit untuk program tinjauan mesra pada pertengahan kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

Beliau berkata SPR telah menetapkan syarat itu sebelum kempen bermula dan untuk menjustifikasikan kenyataannya, beliau berkata 42 permit bagi tinjauan mesra diluluskan polis pada hari penamaan calon itu sendiri pada 2 November.

Juga pada hari itu, SPR telah mengadakan mesyuarat dengan semua ejen dan wakil calon berhubung perkara itu, katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar daripada Barisan Nasional, sementara itu mencetuskan kekecohan dalam Dewan apabila mendesak Dewan Rakyat membatalkan syarat mendapatkan permit itu tetapi Timbalan Yang Dipertua Nga Kor Ming menjelaskan hanya Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan polis untuk berbuat demikian.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini (Pakatan Harapan), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian PRK itu ditetapkan Sabtu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tunjuk bukti PAKATAN guna sentimen kaum ketika berkempen

PONTIAN, 14 NOV: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub mencabar parti pembangkang yang menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) memainkan sentimen kaum ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, untuk membuktikan dakwaan itu.

Salahuddin berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membuktikan siapa pemimpin dalam PAKATAN yang didakwa memainkan sentimen kaum dan agama dalam kempen.

“Tunjukkanlah bukti ataupun keluarkanlah di video ataupun media, siapa dia (pemimpin) yang main isu perkauman dalam PAKATAN… kalau cakap sahaja, itu sekadar mendakwa sahajalah. Tapi pihak sebenar yang memainkan isu agama yang berputar-putar adalah mereka sendiri (BN),” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Media PRK Tanjung Piai di Stadium Mini Pontian di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan mendakwa pemimpin PAKATAN telah memainkan isu perkauman sepanjang kempen PRK di Tanjung Piai.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjasama MCA dan PAS, dengan UMNO memainkan peranan sebagai orang tengah, yang dilihat semakin terjalin baru-baru ini, Salahuddin menyifatkan kerjasama itu hanyalah kepentingan politik semata-mata.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata PAS dilihat ‘berpusing-pusing’ dalam menyatakan sokongan terhadap calon BN.

“Dalam kenyataan terbaharu pula mereka mengatakan undi MCA kali ini adalah tidak salah, tapi ketika di (PRK Parlimen) Cameron Highlands dahulu,‘fatwa’ wajibkan mengundi untuk calon Islam,” katanya.

-BERNAMA