Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

HARAPAN seru pembangkang, NGO berpadu lawan BN

SHAH ALAM, 24 JAN: Pakatan Harapan (HARAPAN) menyeru pembangkang dan masyarakat sivil bekerjasama bagi memenangi semula mandat rakyat yang diperolehi dalam pilihan raya 2018.

Majlis Presiden dalam kenyataan berkata persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya dan penamaan calon akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon menteri besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kelmarin, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor sebelum mendapat perkenan baginda.

Beliau berkata pilihan raya perlu diadakan berikutan kerajaan negeri dalam keadaan amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang.

Johor bakal menjadi negeri yang mengadakan pilihan raya selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor susahkan rakyat, wajar tumpu bantu mangsa banjir

GOMBAK, 23 JAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Selangor (KEADILAN) menyifatkan permohonan Barisan Nasional untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hanya menyusahkan rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pilihan raya negeri (PRN) tidak perlu dibuat tergesa-gesa sebaliknya usaha harus tertumpu kepada membantu mangsa banjir baru-baru ini selain golongan terjejas akibat wabak Covid-19.

“Selepas pandemik, Johor juga dilanda banjir. Kita perlu fokus itu, bukan politik. Saya rasa perbuatan ini (PRN) tidak perlu pada masa ini,” katanya selepas menyampaikan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Beliau juga mengingatkan wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor sanggup mengenepi perbezaan politik demi kepentingan rakyat dengan menyokong belanjawan negeri itu baru-baru ini.

“Kenapa tidak boleh sabar? Ini semua taktik politik mereka yang merancang untuk buat pilihan raya tiap bulan untuk tunjuk kononnya dapat sokongan,” kata Amirudin lagi.

Pada 17 Januari lalu, KEADILAN Selangor menyediakan sebanyak 1,000 bantuan makanan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di Johor. Sumbangan itu disampaikan  Amirudin Shari kepada Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Johor Jimmy Puah Wee Tse di Johor Bahru, Johor.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon pembubaran DUN negeri tersebut sebelum mendapat perkenan baginda.

Johor bakal menjadi negeri yang mengadakan pilihan raya negeri selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan perkenan tandatangan watikah bubar DUN Johor

JOHOR BAHRU, 22 JAN: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“(Menurut) Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022,” titah Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook rasmi baginda hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene di sini pada 5 petang.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada pertemuan itu, Hasni diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Negeri Johor.

— BERNAMA