Categories
SELANGOR

KEADILAN Selangor bincang, bantu PRN Melaka

KLANG,25 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor akan membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, maklum pengerusinya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Ada sebahagian pemimpin sudah mula bergerak. Bagaimanapun ada kekangan kerana kempen sangat ketat dan tidak pasti cara hendak laluinya.

“Kekangan ketat kerana tidak boleh bersemuka dan berkumpul walaupun dalam fasa empat. Saya rasa konsistensi kerajaan perlu ada dalam hal ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan tiada sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November hadapan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata larangan tersebut ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan tatacara operasi piawai (SOP) PRN dalam masa terdekat.

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN tetap buat persediaan walau pilihan raya Melaka ‘bukan masa sesuai’

SHAH ALAM, 18 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) sedia berdepan pilihan raya negeri (PRN) Melaka walaupun situasi ketika ini bukan tempoh yang sesuai.

Majlis Presiden berkata pihaknya risau jika pilihan raya itu menjadi punca gelombang keempat Covid-19 memandangkan ketika ini sektor ekonomi baru bermula selepas wabak menunjukkan trend penurunan.

“Kami turut risau jika PRN diteruskan, tatacara operasi piawai (SOP) berkempan yang diguna pakai mungkin mewujudkan keadaan tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.

“Majlis presiden kurang bersetuju dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berhubung PRN Melaka. Bagaimanapun HARAPAN akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapinya,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan dibuat bersama oleh Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Marius Tangau.

HARAPAN turut melahirkan kekesalan berhubung kenyataan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa hanya pengundi lengkap vaksinasi dibenarkan mengundi seperti dilaporkan media.

Jelasnya, tindakan berkenaan berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih.

“HARAPAN menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua namun ia tidak boleh dijadikan alasan melaksanakan diskriminasi terhadap mereka yang belum lengkap dua dos.

“Tindakan ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang. Kami menggesa SPR mengkaji semula pendirian ini untuk memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan boleh keluar mengundi,” katanya.

Majlis berkata Pengerusi HARAPAN Melaka yang juga bekas ketua menteri Adly Zahari akan memfailkan injunksi mahkamah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada Rabu ini.

Minggu lalu, HARAPAN menolak pembubaran DUN Melaka sebagai tidak berperlembagaan ketika negeri itu masih berdepan wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pilihan raya negeri Melaka bermula 8 November

MELAKA, 18 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 8 November manakala pengundian awal pada 16 November.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

Melaka mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Ghani berkata bagi tujuan PRN berkenaan, SPR telah melantik seramai 28 pegawai pengurus pilihan raya dan dibantu oleh 80 penolong pegawai pengurus pilihan raya.

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang dianggotai wakil polis, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata daftar pemilih yang digunakan bagi PRN Melaka adalah Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Kedua 2021 (ST2/2021) yang dikemas kini sehingga 3 Oktober 2021.

Daftar pemilih itu mengandungi seramai 495,196 pengundi dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN berkenaan adalah sebanyak 70 peratus.

Menurut Abdul Ghani daftar pemilih tersebut membabitkan 482,550 pengundi biasa; 10,191 anggota tentera dan pasangan; 2,349 anggota polis dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Ditanya mengenai tatacara operasi piawai (SOP) pada PRN Melaka nanti, Abdul Ghani berkata pihaknya akan memberi cadangan masa keluar mengundi menerusi sistem SPR bagi mengurangkan kehadiran pengundi yang ramai pada hari mengundi.

“Kita akan beri cadangan masa keluar mengundi melalui sistem kita seperti yang digunakan di aplikasi MySejahtera. Pengundi juga usah keluar mengundi serentak pada sebelah pagi. Kalau boleh, warga emas sebelah pagi dan tengah hari sikit untuk orang muda.

“SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu.. kita ada masa lagi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata garis panduan berkaitan Covid-19 akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis dari semasa ke semasa.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

– BERNAMA