Categories
AGENDA NASIONAL

Sarawak mengundi 18 Disember, penamaan calon 6 Disember

KUCHING, 24 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini turut mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Pengumuman itu dibuat beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Jan sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan Covid-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Feb 2022. Darurat ini ditarik balik pada 3 Nov, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 Nov, memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Sementara itu, Abdul Ghani menerusi satu kenyataan yang diedarkan semasa majlis pengumuman itu memaklumkan 1,252,014 orang pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN ini dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Beliau berkata seramai 46,565 orang petugas SPR akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN itu.

Sebanyak 1,866 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 buah dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya.

Abdul Ghani berkata bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen selama 12 hari sehingga 11.59 malam 17 Dis, SPR menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

“Pasukan PP-KPR ini akan dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 346 buah pusat mengundi biasa pada hari mengundi akan dibuka dari 7.30 pagi hingga 5.00 petang dan baki 1,520 pusat mengundi dibuka mengikut waktu yang diwartakan.

Bagi pusat mengundi awal pula, beliau berkata 11 buah pusat mengundi akan dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah hari, 20 buah pusat mengundi dari 8 pagi hingga 2 petang dan baki 54 buah pusat mengundi awal akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Selain itu, sebanyak 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 82 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan pada PRN kali ini,” katanya.

Beliau berkata SPR turut menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam PRN kali ini.

“Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR pengundi.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Semakan boleh dibuat mulai 1 Dis 2021,” katanya.

Permohonan untuk mengundi secara pos pula boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my.

Pemohon dinasihatkan agar memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang isu atau kesulitan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tangguh PRN Sarawak jika kes Covid-19 terus meningkat

SHAH ALAM, 13 NOV: Ketua pembangkang bersetuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ditangguhkan jika kes harian Covid-19 terus meningkat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara berkenaan perlu diteliti mengikut data dan sains kerana ia melibatkan faktor keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Jangan ulangi kesilapan seperti di Melaka, Kerajaan UMNO telah menasihat Tuan Yang Terutama (TYT) tetapi tidak diteliti. Kita tengok sekarang tatacara operasi piawai (SOP) tidak tentu arah.

“Apa kaitan lambang dengan kesihatan dan apakah memakai lambang menjejaskan kesihatan? Tindakan tergopoh-gopoh ini menyebabkan orang Melaka menghadapi masalah,”katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PKR Sarawak Dr Michael Teo Yu Keng memaklumkan telah menghantar rayuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan PRN negeri ke tahun hadapan susulan peningkatan kes Covid-19.

PRN Sarawak dijadual diadakan awal Disember berdasarkan makluman pembatalan darurat oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg kepada SPR pada 4 November lalu.

Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bermula dari tarikh pembatalan darurat 3 November lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong isytihar darurat di Sarawak, gantung PRN hingga Februari 2022

KUCHING, 31 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan, sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dalam satu warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Julai, Seri Paduka berpuas hati darurat besar iaitu wabak Covid-19 yang sedang berlaku telah menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terancam.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Warta Kerajaan Persekutuan itu menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Jan, di mana PRN Sarawak dikehendaki diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

“Dan bahawasanya Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut, beta boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya umum diadakan,” titah Seri Paduka dalam warta berkenaan.

Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang itu turut menyatakan perkara itu akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Batu Sapi tetap dibuat, pengundi perlu patuh SOP

SHAH ALAM, 31 OKT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah perlu diadakan kerana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata perdana menteri.

Berikutan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan berdisiplin dan menjaga diri masing-masing.

“Begitu juga dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang terpaksa diadakan bila-bila masa. Saya sebutkan perkara ini kerana ia bukan main-main, ini perkara serius.

“Kalau saudara dan saudari beranggapan pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung masa ini tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.

Perdana menteri berkata hanya pengisytiharan darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dapat menangguhkan dua pilihan raya itu hingga krisis pandemik Covid-19 berakhir.

Muhyiddin juga menegaskan akan meneliti SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pelaksanaan kedua-dua pilihan raya tersebut.

“Saya tahu banyak kekangan dihadapi SPR dalam menggubal SOP bagi memastikan tiada jangkitan langsung ketika pilihan raya,” katanya lagi.

SPR menetapkan 5 Disember sebagai hari pengundian PRK Batu Sapi, manakala penamaan calon pada 23 November susulan kematian Ahli Parlimennya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober.

Categories
NASIONAL

AMK gesa anggota kempen PRN Sarawak

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 NOV: Anggota dan kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) digesa membantu parti dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau yakin golongan itu mampu membantu kempen, di Sarawak seperti mereka berkempen dalam Pemilihan KEADILAN 2018.

“Selepas pemilihan tentu penat, kita rehat dalam seminggu dan selepas itu kita kena mula berkerja.

“Kalau masa pemilihan boleh ke hulu ke hilir, saya rasa tentu juga boleh turun kempen di Sarawak membantu jentera pilihan raya di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kongres AMK, di IDCC di sini, hari ini.

Katanya, berbeza dengan sebelumnya, PRN kali ini dijalankan selepas Barisan Nasional tidak lagi berkuasa di peringkat persekutuan.

Nik Nazmi turut menyatakan keyakinan Pakatan Harapan mampu menang, pada PRN Sarawak nanti.

 

Categories
NASIONAL

Calon KEADILAN PRN Sarawak mati ditembak

MIRI 21 JUN: Calon KEADILAN bagi Pilihanraya Negeri Sarawak, Bill Kayong ditembak mati di Miri pagi tadi.

Menurut KEADILAN dalam kenyataan, beliau ditembak mati berhampiran pusat membeli-belah Emart One-Stop di Senadin.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata KEADILAN merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Bill Kayong.

Ditembak1“Semoga mereka tabah menghadapi dugaan yang cukup besar ini.

“KEADILAN menggesa supaya polis memberkas dan membawa mereka yang terlibat dalam jenayah ini ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan media.

Mangsa yang memandu kereta jenis Toyoto Hilux dipercayai ditembak dari jarak dekat menembusi cermin kanan di sebelah pemandu kereta yang dinaikinya.

Ketika dijumpai mangsa dilaporkan sudah meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

BillKayongMangsa dikatakan antara individu dalam KEADILAN yang lantang memperjuangkan hak rakyat pribumi Dayak di utara Sarawak, khususnya berkaitan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Pada Pilihanraya Negeri lalu, Bill bertanding di DUN Bekenu dan memperoleh 1,220 undi kalah kepada Rosey Yunus (BN) yang mendapat 6,009 undi.

GAMBAR: BORNEO POST

Categories
NASIONAL

Politik wang, taruhan kemenangan BN Sarawak

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 24 MEI : Amalan politik wang oleh pentadbiran Barisan Nasional Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) awal bulan lalu didakwa mendorong kepada faktor kemenangan besar parti itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ba’ Kalalan, Baru Bian, berkata kepimpinan BN Sarawak seolah-olah menjadikan wang sebagai ‘akses’ membeli undi masyarakat di Sarawak.

PRN SARAWAK“Dua hari sebelum pengundian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman untuk meluluskan beberapa projek pembangunan dan pembinaan jalan dan sekolah di kawasan pendalaman.

“Tanpa segan silunya, ini menjelaskan bagaimana politik wang itu berlaku. Lebih mengecewakan juga apabila wujudnya kegiatan penyerahan wang tunai kepada pengundi sebelum dan selepas waktu mengundi.

“Penduduk menerima sejumlah wang (suapan) pada kadar RM50 sehingga RM1,000 sementara ketua-ketua kampung pula menerima wang berjumlah RM1,000 dan mencecah ribuan ringgit lagi,” kata Adun KEADILAN itu.

Beliau berkata demikian pada forum “Sarawak election – Lessons learnt and the way forward” di KL Selangor Chinese Assembly Hall, di sini malam tadi.

BN sebelum ini berjaya mengekalkan pemerintahan di Sarawak selepas menang besar pada PRN ke 11 dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Sementara KEADILAN berjaya mengekalkan tiga kerusi iaitu di Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan untuk penggal kedua berturut-turut. Manakala DAP memenangi tujuh kerusi berbanding tahun sebelumnya, 12.

Baru turut mengakui Sarawak dianggap sebagai negeri ‘fix deposit’ kepada BN menjelang pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun katanya, tanggapan itu perlu diubah dengan melalukan gerak kerja secara konsisten di peringkat akar umbi untuk menarik lebih ramai pengundi memilih komponen parti pembangkang.

“Dengan mengambilkira keputusan PRN lalu, kita perlu menggerakkan seluruh tenaga kerja dan jentera parti untuk duduk dan berbincang bersama.

“Kita perlu meneliti sebarang pendekatan terbaik untuk mendapatkan sokongan lebih besar lagi daripada rakyat Sarawak selepas ini,” katanya.

EZY

MB hadiri majlis tahlil untuk mangsa nahas helikopter


MB hadiri majlis tahlil untuk mangsa nahas helikopter

Categories
NASIONAL

Pakatan Harapan lakukan post-morterm PRN Sarawak

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 11 MEI: Parti komponen Pakatan Harapan (PH) sudah memulakan post-mortem Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak di peringkat masing-masing.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pimpinan PH mengakui kelemahan dalam PRN Sarawak yang memberi kesan keyakinan rakyat terhadap mereka.

“Kita menetapkan bahawa satu penilaian tulus ikhlas dilakukan dan dalam hal ini ketiga-tiga parti melakukan post-mortem di peringkat masing-masing.

Wan Azizah“Selanjutnya Majlis Presiden akan mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh masa terdekat untuk mengenalpasti kesalahan dan mengatasi segala kekurangan itu.

“Kita juga akan mengambil langkah memperbaiki dan memperbetulkan organisasi serta strategi kami khususnya dalam berdepan dengan gelanggang lebih besar, Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan Majlis Presiden PH dalam satu sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Pada PRN Sarawak lalu, pembangkang sekadar meraih 10 kerusi menerusi tujuh kemenangan DAP dan tiga KEADILAN daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

-AA-

Categories
NASIONAL

KEADILAN tubuh jawatankuasa post-morterm PRN Sarawak

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 MEI: KEADILAN mengambil inisiatif menubuhkan sebuah jawatankuasa post-mortem Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016 yang dianggotai lima pemimpin kanan parti.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Dr Syed Hussin Ali.

Empat anggota lain adalah Dr Muhammad Noor Manuty, William Leong, Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Saifuddin Abdullah.

Wan Azizah“Pasukan ini mendapat mandat sepenuhnya dari saya dan parti untuk menyiapkan laporan post mortem yang menilai pengendalian proses pilihan raya Sarawak secara terperinci dan menyeluruh.

“Dapatan dan saranan menambah baik lagi pengendalian proses pilihan raya akan dibentangkan kepada Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat dalam tempoh selewat-lewatnya tiga minggu dari sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Azizah berkata, beliau sempat berbincang pendek dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu mengenai perkara ini dari perspektif Pakatan Harapan (PH).

“Saya berdoa post mortem yang ikhlas dan tepat akan memberikan kebaikan kepada parti dan meningkatkan keyakinan anggota parti dan rakyat seluruhnya,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Kemaraan KEADILAN di pedalaman semakin menular

OLEH : NAEEM RAFFI

KUCHING, 8 MEI: Biarpun tiada rezeki menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, KEADILAN berjaya memberi cabaran sengit kepada Barisan Nasional (BN) di kawasan luar bandar dan pendalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Sekadar berjaya mengekalkan kerusi dimenanginya pada PRN Sarawak ke -10 pada 2011, KEADILAN turut mencatat peningkatan undi di beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman pada PRN ke-11 semalam.

Calon KEADILAN N25 Simunjan, N38 Kalaka, N76 Marudi dan N77 Telang Usan membuktikan kemaraan dengan sokongan rakyat terhadap parti itu semakin bertambah.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, berkata perkembangan positif itu adalah isyarat kebangkitan rakyat yang mahukan keadilan ditegakkan sekaligus membuktikan kemampuan KEADILAN menjadi pesaing kuat kepada BN dalam PRN akan datang.

IMG1345“Statistik menunjukan,KEADILAN melakukan dengan baik dan di kawasan luar bandar kita mampu memberikan saingan terutama di tempat yang sebelum ini kita sudah hilang deposit.

“Kejayaan mengekalkan tiga kerusi juga wajar dibanggakan walaupun BN bekerja keras merampasnya,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Pengarah Pilihanraya KEADILAN Sarawak, Dr Xavier Jayakumar selain berharap jentera parti dan calon tewas terus membakar api reformasi dengan bekerja keras menjaga kebajikan rakyat.

IMG_0894“Kejayaan mengekalkan tiga kerusi membuktikan kita kukuh dan tidak mudah dirampas oleh BN. Kita percaya parti ini akan melakar kejayaan yang lebih besar di masa akan datang.

“Jadi, kerja keras perlu dilakukan untuk merealisasikan impian itu pada PRN akan datang,” katanya Naib Presiden KEADILAN itu kepada SelangorKini.

Pada PRN kali ini, KEADILAN berjaya mengekalkan tiga kerusinya iaitu di Ba’Kelalan (Baru Bian), Batu Lintang (See Chee How) dan Krian (Ali Biju).

-nR-

Categories
NASIONAL

Keputusan PRN: Pengajaran untuk bangkit lebih cemerlang – Xavier

OLEH : NAEEM RAFFI

KUCHING, 8 MEI : Pakatan Harapan disaran mengambil langkah yang lebih sepakat bagi membentuk sebuah gabungan pembangkang lebih kuat.

Pengarah Pilihanraya KEADILAN Sarawak, Dr Xavier Jayakumar, berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini wajar dijadikan pengajaran.

GOPR0392“Gabungan politik memerlukan semua pihak untuk bekerja bersama-sama bagi mendapatkan hasil terbaik, ia harus menjadi pengajaran untuk kedua-dua pihak dan Pakatan Harapan.

“Kita perlu membuat persediaan untuk pilihan raya umum akan datang sebagai satu gabungan mantap demi manfaat rakyat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) di sini, semalam.

Naib Presiden KEADILAN itu turut merakamkan penghargaan kepada rakyat diatas kepercayaan mereka terhadap tiga calon yang dipilih semula iaitu di Ba’Kelalan (Baru Bian), Batu Lintang (See Chee How) dan Krian (Ali Biju).

Mengulas lanjut, Xavier percaya tindakan Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelbagai peruntukan ‘segera’ kepada Sarawak dalam tempoh berkempen menjadi faktor membawa kepada kemenangan besar BN Sarawak.

-nR-