Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel terima sumbangan RM50,000, gerak misi bantuan banjir

SHAH ALAM, 26 DIS: Universiti Selangor (Unisel) menerima dana berjumlah RM50,000 daripada kerajaan Pulau Pinang bagi menggerakkan misi bantuan pascabanjir.

Presiden dan naib canselornya berkata bantuan yang disampaikan melalui Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mampu meringankan beban mangsa terjejas bencana negeri ini.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kerajaan Pulau Pinang berbesar hati menyalurkan bantuan tersebut berikutan Unisel antara institusi pengajian tinggi (IPT) paling aktif menggerakkan misi terbabit.

“Kita juga menerima sumbangan sebanyak RM15,000 berupa barangan keperluan logistik daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Kedah untuk misi bantuan ini.

“Kita rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak menyumbang terutama dari aspek tenaga serta kewangan bagi membantu mereka terkesan dengan banjir,” katanya dalam kenyataan.

Dr Mohammad Redzuan turut memaklumkan seluruh aset digerakkan bagi menjayakan misi yang dianggotai 2,340 sukarelawan terdiri pelajar, kakitangan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, lebih 300 rumah termasuk beberapa sekolah sekitar Permatang, Ijok, Jeram, Padang Jawa, Sri Muda, Hulu Langat dan Kuala Langat dibersihkan sukarelawan terbabit sejak 21 Disember lalu.

Individu yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian ke akaun bernombor 8600836700-Cimb (Universiti Selangor) dengan rujukan BANJIR 2021.

Selain wang ringgit, orang ramai juga boleh menyumbang makanan dan barangan logistik kepada petugas dan mangsa banjir dengan menghubungi Pengarah Pusat Jaringan Komuniti Izwan Suhadak Ishak di talian 017-6560102.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Unisel Bestari Jaya bakal jadi pusat teknologi dron

BESTARI JAYA, 19 SEPT: Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat teknologi dron berikutan memiliki ruang lapang.

Presiden dan naib canselornya berkata persetujuan dicapai bersama syarikat pembekal dron kedua terbesar dunia, Aeorodyne dan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selati dalam usaha menjadikan universiti itu sebagai pusat berkenaan.

“Kawasan di sini tiada bukit, luas dan paling penting bukan laluan kapal terbang. Oleh itu, ia berpotensi untuk dimajukan teknologi dron.

Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Insya-Allah kalau berjaya, Unisel terdapat dalam peta dunia sebagai sebuah pusat berkaitan dan terkenal suatu hari nanti,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman pada majlis perasmian pertandingan memancing tangkap dan lepas ikan toman dan tasik The Tomanz di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata pengorekan sebuah tasik terbiar seluas 26.3 hektar dalam kampus terbabit akan menghidupkan semula kesuraman kawasan berkenaan tidak lama lagi.

“Kita telah menandatangani perjanjian dengan Semesta (Kumpulan Semesta Sdn Bhd) untuk membolehkan tasik di depan kampus ini dikorek.

“Insya-Allah, sebaik tatacara operasi piawai (SOP) fasa pelan pemulihan negara (PPN) dilonggarkan, projek itu akan berjalan dan menjadi satu kawasan rekreasi penting,” katanya.

Dr Mohammad Redzuan menambah kawasan itu juga akan berkembang maju susulan pembinaan projek perumahan dengan keluasan 40.5 hektar di luar kampus.

“Kawasan ini tidak lagi terpencil sebaliknya menjadi tarikan ramai, lebih-lebih lagi Lebuhraya Pantai Barat (WCE) akan dibuka. Malah, kita berunding dengan beberapa syarikat minyak untuk membina hentian rehat dan rawat (RNR) di pintu masuk (Unisel),” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Rakyat wajib fahami erti merdeka, keamanan dikecapi rentetan sejarah terdahulu

SHAH ALAM, 14 SEPT: Meskipun Malaysia telah mengharungi tempoh 64 tahun sebagai negara merdeka namun erti kemerdekaan sebenar masih tidak difahami segelintir rakyat, kata Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel).

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata biarpun dua tahun sambutan Hari Kebangsaan agak suram disebabkan Covid-19 tetapi setiap warganegara perlu menghayatinya kerana keamanan dialami adalah rentetan daripada sejarah sebelum ini.

“Sebagai rakyat kita wajib fahami maksud kemerdekaan dan penting untuk tahu perkembangan sejarah terutama kepada generasi baharu supaya kita lebih menghargai kehidupan ini, jika tidak ia akan dianggap perkara biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di webinar bertajuk Konsep Demokrasi dan Pembinaan Bangsa Malaysia: Cabaran, Halangan dan Masa Depan menerusi Facebook Unisel, hari ini.

Menurut Dr Mohammad Redzuan, sambutan kemerdekaan kini juga turut dipengaruhi dengan suasana politik kurang stabil sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

“Kita melihat suasana ini tidak begitu menggalakkan sehingga ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada masyarakat yang tidak lagi menunjukkan keriangan dalam menyambut hari kemerdekaan ditambah pula kehadiran pandemik Covid-19,” katanya.

Webinar sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021 itu turut dihadiri dan dirasmikan EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bayu: Unisel jangka pelajar bertambah, mantapkan program biaya

SHAH ALAM, 2 NOV: Universiti Selangor (Unisel) dijangka menerima lebih ramai pelajar baharu bagi mengikuti pengajian asas berikutan pengumuman inisiatif Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu) dalam Belanjawan Selangor 2021.

Presiden dan naib canselornya berkata inisiatif ini juga akan memantapkan program pembiayaan diperkenalkan universiti sejak tiga tahun melibatkan 10 pelajar di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita menyambut baik pengumuman mengenai Bayu yang akan memberikan lebih insentif kerana sebelum ini Unisel memberikan subsidi kepada pelajar mengikuti pengajian tahun asas. Malah untuk kemasukan bagi sesi Ogos-November kita juga memberikan yuran pengajian penuh satu semester.

“Walaupun program kita bergantung kepada kedudukan kewangan sedia ada tetapi dengan adanya Bayu akan memantapkan lagi program tersebut dan saya lihat akan mempengaruhi pertambahan jumlah pelajar ke Unisel,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman ketika dihubungi.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta dalam inisiatif Bayu bagi menarik minat pelajar melanjutkan pelajaran di semua univeristi milik Selangor serta meringankan beban ibu bapa kesan pandemik Covid-19.

Mengenai peruntukan RM35 juta secara pinjaman untuk meningkatkan hasil institusi pengajian, Dr Mohammad Redzuan menjelaskan ia akan dimanfaatkan untuk kerja membaik pulih kerosakan bagi memastikan Unisel lebih berdaya saing serta mencerminkan wajah Selangor sebagai negeri maju.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel tingkat kawalan di pintu masuk kampus Shah Alam, Bestari Jaya

SHAH ALAM, 6 OKT: Universiti Selangor (Unisel) terus memperketatkan kawalan di kesemua pintu masuk di kampus Shah Alam dan Bestari Jaya susulan peningkatan kes Covid-19 mutakhir ini.

Presiden dan naib canselornya berkata arahan dikeluarkan atas dasar keprihatinan pengurusan universiti supaya warganya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) demi keselamatan, kesihatan, kesejahteraan serta kebajikan bersama.

“Unisel akan sentiasa memantau situasi ini dari masa ke semasa dan akan menyalurkan maklumat terkini kepada semua staf serta pelajar.

“Mereka diingatkan sentiasa mematuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia. Bersama-sama kita bersatu-padu mengekang penularan wabak ini,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dalam kenyataan semalam.

Beliau menjelaskan kakitangan dan pelajar tidak digalakkan untuk keluar merentas negeri terutamanya ke kawasan berisiko tinggi serta menangguhkan aktiviti secara berkumpulan berkuat kuasa serta-merta.

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

Unisel anjur sambutan Hari Kebangsaan, peluang pelajar hayati merdeka

SHAH ALAM, 27 OGOS: Universiti Selangor (Unisel) menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan supaya pelajar generasi baharu dapat menghayati erti kemerdekaan.

Naib Canselornya berkata ia dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi program Semangat Merdeka Unisel 2020 di kampusnya di sini Selasa lalu.

“Walaupun sudah 63 tahun merdeka, pengisian sambutan harus dilakukan dengan aktiviti bermanfaat termasuk pengisian membina peribadi insan. Malah, kita juga perlu sentiasa ingat tarikh keramat 31 Ogos iaitu bebasnya negara daripada penjajah,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar baharu kemasukan Ogos dan menasihatkan mereka mematuhi peraturan serta menumpukan perhatian kepada pelajaran untuk mencipta kecemerlangan.

“Semoga pelajar terus berdisiplin dan tidak mensia-siakan harapan ibu bapa untuk melihat mereka menjadi pelajar cemerlang satu hari nanti,” katanya.

Program diadakan dengan simbolik perasmian majlis iaitu acara memotong riben dan nyanyian lagu Jalur Gemilang oleh kakitangan dan pelajar di perkarangan tempat letak kereta kampus Shah Alam.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, wakil MBSA dan pengurusan tertinggi Unisel.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 3,000 kes kemalangan di tempat kerja sehingga Jun

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 SEPT: Sebanyak 3,749 kes kemalangan pekerjaan direkodkan di seluruh negara bermula Januari hingga Jun lalu ekoran kegagalan majikan dan pekerja mematuhi piawaian keselamatan di tempat kerja.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 5,031 kes dicatatkan sepanjang tahun lalu.

“Bagaimanapun, kadar kemalangan di industri pekerjaan menunjukkan penurunan kepada 2.4 peratus tahun lalu, berbanding 2.93 peratus pada 2017 bagi setiap 1,000 pekerja.

“Kita mengharapkan trend penurunan ini akan berterusan bagi tahun akan datang,” katanya pada Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) ‘Kesedaran Majikan dan Pekerja Muda Masa Hadapan’, di Dewan Kuliah 2, UNISEL Shah Alam, di sini, semalam.

 

Turut hadir, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Mustafa Draman; Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Daman Huri Mohammad serta Timbalan Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Selangor, Michelle Hah.

Presiden & Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Mohammad Redzuan bergambar bersama tetamu kehormat dan peserta ketika Program “Osh Awareness For Future Young Employers and Workers” di UNISEL Kampus Shah Alam pada 26 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Melihat kepada senario itu, Mohammad Redzuan berkata, usaha bagi mengurangkan kemalangan semasa bekerja selain mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat harus menjadi tanggungjawab semua pihak.

Katanya, sifat tanggungjawab seharusnya lahir daripada kesedaran individu dalam memberi tumpuan terhadap kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Aspek keselamatan di UNISEL misalnya sentiasa dipantau rapi oleh Dr Mohd Zubairy (Pengarah Pusat Pengurusan Risiko Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan akan dilaporkan kepada Mesyuarat Eksekutif.

“Hal ini supaya kita sedar bahawa ia bukan sekadar keselamatan untuk pelajar sahaja, tetapi turut mengambil kira keselamatan kontraktor yang datang ke sini dengan memastikan mereka mematuhi peraturan asas seperti memakai topi serta pakaian sepatutnya,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kompleks Sukan UNISEL kini dibuka

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kompleks Sukan Universiti Selangor (UNISEL) yang dinaiktaraf sebelum ini, dibuka sepenuhnya kepada kakitangan dan pelajar.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, setiap fasiliti sukan dinaiktaraf itu dapat meningkatkan lagi imej kemudahan sukan.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman menurunkan tandatangan ketika merasmikan Kompleks Sukan UNISEL. – Foto UNISEL

“Saya berharap kesemua pihak dapat memanfaatkan sepenuhnya fasiliti sukan ini dan setiap fasiliti sentiasa dijaga dalam keadaan yang baik.

“Selain itu, ia akan mengilap bakat terpendam pelajar atau kakitangan,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Kompleks Sukan itu, di Bestari Jaya, baru-baru ini.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman mencuba salah satu peralatan gimnasium yang tersedia di Kompleks Sukan UNISEL. – Foto UNISEL

Antara kemudahan yang tersedia adalah gimnasium, gelanggang badminton, futsal, bola keranjang, sepak takraw, padang rugbi, bola sepak dan bola jaring serta trek larian.

Kompleks berkenaan dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Categories
SELANGOR

Simpan politik lucah di ‘muzium’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JULAI: Politik lucah dan kotor selayaknya disimpan dan diarkib di muzium supaya tidak boleh diakses sama sekali, tegas Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) berkata, ia adalah bukti organik bahawa rakyat Malaysia sudah melangkaui budaya politik purba yang masih cuba dicanang masa kini.

“Jika rakyat Malaysia sudah berani bangkit untuk mengubah rejim satu parti yang memerintah selama enam dekad lamanya, pasti sahaja rakyat kita turut berani membawa satu politik nilai dan bersaing secara ilmiah serta positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Silaturrahim Aidilfitri & Baca Puisi Bumbung @ Shah Alam IDE, di perkarangan Pejabat Institut Darul Ehsan, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Mohammad Redzuan berkata, IDE menekankan komitmen dalam membawa satu aspirasi politik yang bersifat transformatif dan mengubah norma masyarakat kini.

Katanya, agenda reformasi adalah satu misi yang digalas pihaknya dan dimulakan seawal bulan pertama perubahan tampuk pemerintahan negara.

“IDE sebagai sebuah badan penyelidikan terbabit secara aktif dalam pilihan raya kecil bukan sahaja untuk menjalankan survei dan analisa, tetapi sebagai pemerhati yang dilantik di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Ini adalah satu komposisi penting reformasi negara yang dilihat mampu untuk memperbaiki sistem pilihan raya secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Terdahulu, Malam Puisi Bumbung Shah Alam adalah acara bulanan IDE dengan kerjasama Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) yang diketuai Pak Dinsman.

Program berkenaan turut menampilkan beberapa penyair amatur antaranya Datuk Dr Zurinah Hassan, Yassin Salleh dan Rozan Azen Mat Rasip termasuk persembahan lagu puisi oleh Kreatif Akustika dan Kopratasa.

Mohammad Redzuan berkata, program itu digerakkan bagi membugar seni dan budaya dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

“Sejarah membuktikan bahawa seniman, budayawan dan karyawan adalah pejuang yang membawa denyut nadi suara rakyat kerana suara mereka suara keramat.

“Dengan puisi, pantun, seloka dan gurindam dihasilkan bukan semata-mata untuk bergembira tetapi penuh hikmah membawa isu perjuangan rakyat,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

UNISEL rai kemeriahan Syawal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 22 JUN: Universiti Selangor (UNISEL) meneruskan kemeriahan Syawal dengan penganjuran Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat UNISEL, di Dewan Canselor kampus Bestari Jaya, di sini semalam.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, sambutan saban tahun itu disambut seluruh kakitangan insititusi pengajian tinggi terbabit termasuk dari kampus Shah Alam dan Petaling Jaya.

“Majlis ini diadakan setiap tahun bertujuan untuk menyambut kemenangan setelah sebulan berpuasa.

“Selain dapat berkumpul menyambut Hari Raya Aidilfitri, majlis ini juga merupakan satu landasan mengeratkan lagi tali silaturahim sesama staf di samping menjamah juadah disediakan,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin dan Penghulu Mukim Pasangan, Kampung Tanjung Siam Bestari Jaya, Mohd Rizan Haron.

Sebanyak 13 gerai makanan menyajikan aneka juadah antaranya kambing bakar, mee rebus, laksa dan buah-buahan yang membabitkan penyertaan daripada jabatan dan fakulti.

Selain itu, pertandingan gerai tercantik, pakaian tercantik (kontemporari, moden dan tradisional) termasuk kuiz dan cabutan bertuah turut diadakan.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL lantik 31 MPP, landasan lahir pemimpin kaliber

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 JUN: Universiti Selangor (UNISEL) melantik 31 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2019/2020 di Dewan Senat, UNISEL Bestari Jaya, di sini, pada 20 Jun lalu.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, beliau berharap MPP yang dilantik dapat menggunakan peluang itu sebagai landasan untuk menjadi pemimpin berkaliber dan bergerak lebih maju ke hadapan.

“Besar harapan saya barisan MPP UNISEL yang baharu dapat menggalas cabaran ini dengan penuh semangat dan memainkan peranan yang penting dalam menyantuni semua pelajar menerusi minat yang kepelbagaian,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan MPP UNISEL sesi 2018/2019 atas sumbangan dan perkhidmatan yang diberikan.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Dr Mohammad Redzuan turut menyampaikan penyerahan Watikah Pelantikan Kepada MPP UNISEL Sesi 2019/2020.

Lafaz bacaan ikrar juga berlangsung dengan diketuai oleh Presiden MPP sesi 2019/2020, Muhammad Faqih Damarulan.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Persekitaran kondusif UNISEL pacu perkembangan industri halal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 APR: Persekitaran kondusif dimiliki Universiti Selangor (UNISEL) menjadi antara faktor penting industri halal wajar dikembangkan secara menyeluruh, sekali gus memantapkan pembangunan modal insan industri berkenaan.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, institusi pengajian tinggi itu bukan sahaja menggunakan kepakaran daripada aspek pemasaran, malahan turut menekankan aspek penyelidikan dalam bidang berkenaan.

Katanya, melalui gabungan kedua-dua aspek berkenaan, UNISEL mampu bergerak seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menggalakkan kemajuan dalam industri terbabit.

“Kita menubuhkan Pusat Kecemerlangan UNISEL atau UNISEL Centre of Excellence (COE) yang membawa perkembangan baik buat universiti ini dan institusi yang terdapat di COE iaitu Institut Halal Antarabangsa Unisel (INSHA).

“Institusi ini bergiat aktiviti dalam bidang penyelidikan halal dengan mengadakan beberapa seminar dan forum berkaitan halal yang meninggalkan impak positif terhadap masyarakat tempatan dan antarabangsa.

“Malah, sebagai universiti yang menawarkan pelbagai kursus, kita mahu menanam minat mahasiswa untuk sentiasa melihat ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Kesedaran Halal & Prospek Kerjaya, di Dewan Syarahan 2, UNISEL kampus Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha memacu perkembangan terhadap industri berkenaan menuntut kesedaran mahasiswa memandangkan industri terbabit mampu memberi impak dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Contohnya, bagi perusahaan kerepek, kita di UNISEL boleh membantu daripada segi ‘design’ kerana dengan adanya logo halal ia akan menjadi nilai tambah terhadap produk itu,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)