Categories
SELANGOR

Tabung amanah bantu kemajuan UNISEL

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 JAN: Kewujudan Tabung Amanah Universiti Selangor (UNISEL) akan membantu perkembangan universiti selain meningkatkan tahap ekonominya.

Mantan Presiden dan Naib Canselornya, Profesor Dr Anuar Ahmad, berkata tabung diusahakan sejak 2014 itu wajar diteruskan bagi membolehkan UNISEL terus melangkah maju.

“Tabung Amanah ini berbentuk sumbangan wakaf di mana pihak berkemampuan boleh menyumbang untuk kemajuan pendidikan.

anuar UNISEL pc 01“Harta dimiliki ada kalanya bukan untuk kita dan kita hanya diamanahkan menjaga, maka kita boleh salurkan untuk pendidikan supaya ia berterusan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyaluran dana penting untuk perkembangan universiti seperti Universiti Suleyman Shah, Turki, yang tidak menghadapi masalah kewangan menubuhkan kompleks sendiri ekoran sumbangan USD600 juta daripada seorang hartawan.

Katanya, persekitaran pembelajaran sesuai juga perlu diwujudkan di UNISEL bagi menimbulkan minat kakitangan mengajar dan berkongsi ilmu bersama pelajar.

“Mereka (kakitangan) perlu melayan pelajar macam anak sendiri dan pelajar pula dahagakan ilmu. Jika kedua-dua ini ada, maka ia boleh dijayakan.

“Bila saya melawat Universiti Leicester, United Kingdom, 39 peratus pelajarnya mencapai keputusan kelas pertama di mana sistem komputer dan kemudahan perpustakaan dibuka 24 jam,” katanya.

Unisel GrafikDr Anuar berkata, kejayaan dicipta Universiti Leicester sebagai universiti pilihan amat membanggakan dan boleh dicontohi UNISEL memandangkan ketika ini banyak universiti di UK menghadapi masalah hingga terpaksa ditutup atau bergabung dengan institusi pengajian lain.

“Kalau boleh diwujudkan persekitaran pembelajaran sebegini dengan pelajar menunggu hendak datang ke universiti dan pensyarah menunggu untuk mengajar pelajar.

“Dari situ kita boleh wujudkan satu universiti pilihan untuk pelajar,” katanya.

Sebelum itu berlangung majlis serah tugas Presiden dan Naib Canselor UNISEL antara Dr Anuar dan Dr Mohammad Redzuan.

-AA-

Categories
SELANGOR

RM20 juta perbaiki asrama UNISEL, siap Jun 2014

asrama-unisel-bestari-jayaBESTARI JAYA 26 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan penambahbaikan asrama Universiti Selangor (Unisel) dan dijangka siap selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun hadapan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri komited membaikpulih bangunan asrama yang tidak boleh digunakan lagi itu bagi tujuan kemudahan infrastruktur pelajar institusi pengajian tinggi berkenaan.

“Blok bangunan itu sudah tidak boleh pakai dan kita akan adakan program penambahbaikan ‘Repairs and Maintenance’ dan peruntukan diberikan kepada pihak universiti untuk bergerak pada pembaikan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Unisel Ke Lapan di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya di sini.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad.

Seramai 2,003 graduan bakal memperolehi ijazah masing-masing termasuk tujuh orang menerima ijazah kedoktoran falsafah dan profesional.

Manakala 34 orang menerima ijazah sarjana dan 1,024 orang menerima ijazah sarjana muda dan 937 orang menerima diploma.

Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata masyarakat diharap tidak beranggapan bahawa graduan Unisel sebagai ‘graduan pasang siap’ iaitu kemampuannya terbatas.

“Saya mahu dan bahkan seluruh rakyat Selangor mahu, bahawa Unisel ini sebenarnya sentiasa mengeluarkan graduan yang mempunyai pelbagai kemahiran berfikir, budiman, pencinta ilmu dan berperibadi mulia.

“Kesepaduan jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah kriteria penting untuk menjadi graduan cemerlang,” ujarnya.

Abdul Khalid berkata, Unisel sehingga kini mampu mengekalkan status sebagai antara graduan yang tertinggi memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

“Hal ini dilaporkan dalam media massa dan Kementerian Pendidikan 2012, saya percaya para graduan sedia maklum mengenai pencapaian dan kejayaan universiti ini serta pelbagai pengiktirafan yang diterima, sama ada dalam mahupun luar negara,” katanya lagi.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kontrak Jana Niaga ditamatkan 5 November ini

halimah

KUALA SELANGOR 25 OKT: Kerajaan Selangor mengambil keputusan menamatkan kontrak syarikat menyelenggara dan membaiki kerosakan asrama pelajar Universiti Selangor (UNISEL), Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), berkuatkuasa 5 November ini.

Exco Pendidikan negeri, Dr Halimah Ali, berkata keputusan itu diambil disebabkan kegagalan syarikat terbabit membaik pulih asrama pelajar universiti milik kerajaan negeri itu.

“Kita kenal pasti masalah sebenar di asrama UNISEL, sebaik kontrak JNSB tamat pada tarikh berkenaan,”katanya ketika merasmikan Festival Konvokesyen UNISEL, di sini, semalam.

Sebelum ini, TV Selangor melaporkan Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Anuar Ahmad mendakwa tapak asrama terbabit tidak dibuat ‘rawatan’ yang betul.

Halimah ketika diminta mengulas laporan berkenaan berkata, masalah tanah mendap yang mengancam struktur bangunan itu tidak boleh diletakkan ke atas satu pihak.

“Masalah ini sudah berlaku sejak UNISEL mula dibina tanpa mengikut perancangan yang betul dan kita akn cuba kenal pasti maslaah itu dalam masa terdekat,” kata beliau lagi.

Mengikut rekod, kerja pembinaan 44 blok asrama UNISEL mula dilakukan atas bekas tapak lombong bijih timah, pada 2002.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Graduan Unisel Paling Laris Di Sektor Pekerjaan

SHAH ALAM – Walau dihimpit pelbagai spekulasi, Universiti Selangor (Unisel) berjaya membuktikan keunggulannya apabila berjaya melahirkan graduan berkualiti untuk pasaran pekerjaan negara.

Ini dibuktikan berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) apabila hanya 23.3 peratus graduan lepasan Unisel masih belum mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Angka ini adalah yang paling rendah berbanding dengan semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lain.

Naib Cancelor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, sepanjang tempoh enam majlis konvokesyen diadakan bermula pada tahun 2006 sehingga tahun 2011, Unisel sudah melahirkan 14,626 graduan dari pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan.

“Peratusan pelajar Unisel yang bekerja di syarikat-syarikat antarabangsa dan GLC adalah tertinggi jika dibandingkan dengan keseluruhan IPT,” katanya.

Antara graduan Unisel yang berjaya mendapat pengiktirtafan badan profesional adalah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Sufi Habibullah Roslan yang mendapat pengiktirafan pelajar terbaik daripada Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM), di Majlis Anugerah 2012 kali ke-53 IEM baru-baru ini.

Sufi mendapat keputusan Penilaian Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) cemerlang serta kejayaan projek tahun akhir yang melayakkannya menerima pingat emas IEM.

Anuar mengakui, kejayaan ini dipengaruhi oleh peningkatan kemasukkan pelajar untuk setiap sesi pengajian kesan daripada beberapa kontroversi yang melanda Unisel.

“Saya beranggapan semua ini ada hikmahnya. Di sebalik semua spekulasi atau dakwaan selama ini membawa kebaikan kepada universiti.

“Tanpa disangka-sangka, jumlah kemasukan pelajar untuk semester pendek Unisel pada April tahun ini berjaya mencatatkan jumlah kemasukan cukup tinggi iaitu 1,400 orang pelajar berbanding kemasukan yang sama pada tahun lepas iaitu hanya 400 orang pelajar,” katanya.

Tambahnya, perkara ini berlaku sebelum keputusan UPU dikeluarkan untuk kemasukkan IPTA.

Jelasnya, keadaan ini membuktikan Unisel merupakan pilihan utama pelajar sekaligus menafikan dakwaan kononnya Unisel merupakan pilihan terakhir pelbagai pihak bagi melanjutkan pengajian selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Categories
NASIONAL

Unisel Umum Pembekuan PTPTN Ditarik Balik

SHAH ALAM 8 JUN : Pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap pelajar-pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) secara rasminya ditarik balik, umum Naib Canselor Unisel, Prof. Dr Anuar Ahmad.

Menurut Dr Anuar, pihaknya menerima surat daripada Pejabat Menteri Pengajian Tinggi awal pagi tadi berkenaan penarikan pembekuan pinjaman tersebut.

“Dengan penarikan itu, pelajar-pelajar baru kini boleh mula memohon kembali pinjaman PTPTN bermula malam ini atau selewat-lewatnya esok pagi.

“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang menyumbang kepada keputusan yang menggembirakan ini termasuk pihak kementerian dan Kerajaan Negeri,” jelas beliau dalam satu sidang media di Unisel sebentar tadi.

Mengelak untuk mengulas lanjut alasan yang dikemukakan pihak kementerian mengenai pembekuan yang dikenakan sebelum ini, Dr Anuar bagaimanapun tidak menolak segalanya berpunca daripada perbezaan ideologi politik.

“Kami sebagai pentadbir tidak mahu melibatkan diri atau memberi komen mendalam berkenaan perkara ini tetapi kami juga tidak mahu pendidikan pelajar-pelajar Unisel terganggu.

“Atas sebab itu, kami mengikut segala prosedur yang digariskan, kami membuat rayuan secara hitam putih seperti yang diminta, kami mengadakan perbincangan dengan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan bagi mengembalikan hak pelajar-pelajar untuk mendapatkan pinjaman,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga dilihat enggan memberi sebarang komen berkenaan keprihatinan dan inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri berhubung isu tersebut bagaimanapun menerima baik idea pendidikan percuma.

“Namun semuanya bergantung kepada keberdayaan sesebuah kerajaan yang memerintah asalkan perjalanan pendidikan berjalan baik.

“Kami juga akan sentiasa patuh pada dasar yang ditunjangi mana-mana kerajaan yang memerintah,” ulasnya sambil menambah Kerajaan Negeri banyak membantu dalam mengurangkan kos operasi Unisel.

Sebelum ini, PTPTN membekukan pinjaman kepada Unisel dan KUIS kedua-duanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bantahan pelbagai pihak terhadap tindakan tersebut.